KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam memutuskan lafaz cerai pelakon, Fareez, terhadap isterinya penyanyi, Noraniza Idris, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai tidak sah.
|
Hakim Syarie Shamsuddin Hussin memutuskan tidak wujud niat untuk melafazkan cerai dalam kedua-dua SMS dan ikatan perkahwinan mereka masih sah selepas Fareez membuat pengakuan bersumpah menafikan beliau mempunyai niat menceraikan isterinya.
Sebelum itu, Shamsuddin memberi peringatan kepada Fareez atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Mohd Tajuddin, 37, untuk membuat pengakuan bersumpah secara jujur sama ada mempunyai niat untuk menceraikan Noraniza, 36, ketika menulis SMS itu.
"Kamu menjadikan Allah sebagai saksi dan tidak mampu membohongi Allah. Jika kamu menipu, di dunia lagi kamu akan mendapat balasan daripada-Nya," katanya.
Fareez kemudian meminta penangguhan sebentar sebelum mengambil keputusan melafazkan pengakuan bersumpahnya itu.
"Demi Allah, saya sesungguhnya tidak berniat untuk menceraikan isteri saya melalui SMS yang dihantar pada jam 12.45 tengah hari, 7 September 2005 dan SMS kedua pada jam 1.30 tengah hari, hari sama.
"Saya juga tidak mempunyai niat menceraikannya sebelum atau selepas menghantar SMS itu. Jika berdusta, saya akan mendapat kemurkaan dan laknat daripada Allah di dunia dan akhirat," katanya.
Noraniza dan Fareez yang berpakaian sedondon warna putih tiba di kawasan pekarangan mahkamah jam 8.50 pagi.
Noraniza yang bertindak sebagai plaintif, memfailkan permohonan pengesahan cerai itu pada 1 Disember lalu.
Fareez tidak diwakili peguam, manakala Noraniza diwakili peguam syarie, Zuri Zabuddin Budiman.
Ketika ditemui wartawan di luar mahkamah, Zuri berkata, beliau memerlukan arahan lanjut daripada Noraniza sama ada akan memfailkan rayuan.
Shamsuddin dalam penghakimannya berkata, apabila seorang suami yang mampu berkata-kata, menulis untuk menceraikan isterinya, sama ada sah atau tidak perceraian itu bergantung kepada keadaan.
"Jika dia turut melafazkannya ketika menulis lafaz cerai itu, maka sah perceraian itu. Jika tidak dilafazkan, ia bergantung pula sama ada suami mempunyai niat untuk menceraikan isterinya.
"Tiada sesiapa pun yang tahu sama ada suami mempunyai niat atau tidak ketika melafazkan cerai, jawapannya bergantung kepada suami itu sendiri," katanya.
Noraniza bagaimanapun enggan ditemu ramah wartawan dan bergerak dengan pantas menuju ke keretanya, manakala Fareez yang ditemui selepas itu turut enggan memberikan sebarang komen selepas mahkamah memutuskan bahawa mereka masih suami isteri yang sah.
Fareez dan Noraniza yang mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 1988 di Kluang, Johor, mempunyai dua cahaya mata berusia 17 dan 13 tahun.
Kedua-duanya kini tidak lagi tinggal sebumbung selepas kejadian itu.
No comments:
Post a Comment