Pages

Ads 468x60px

Wednesday, April 12, 2006

Ekspresi cinta biar bertempat

BH-12/4/2006
Bersama Rejal Arbee

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap pasangan yang berkelakuan tidak senonoh dan tidak sopan di tempat awam mendapat reaksi berbeza mengikut pandangan kaum tertentu.

Semua akhbar perdana Melayu, rata-ratanya mengalu-alukan keputusan itu. Malah, mereka terang-terangan menyokong pandangan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang mempersoalkan adakah perbuatan berpeluk, bercium di tepi jalan atau di taman awam boleh diterima penduduk Malaysia?

Akhbar Melayu juga bersetuju dengan pandangan beliau bahawa perlakuan demikian di tempat awam yang mungkin boleh diterima di negara Barat seperti Amerika Syarikat atau Britain, tetapi tidak dapat diterima rakyat negara ini.

Tetapi, akhbar berbahasa Inggeris rata-rata mempersoalkan adakah PBT boleh dipercayai untuk diberi hak membuat peraturan menjaga akhlak dan moral orang ramai. Ada yang khuatir anggota penguat kuasa bertindak keterlaluan mengheret pasangan ke pengadilan, termasuk suami isteri yang berpegangan tangan atau berkucup untuk mengucap selamat tinggal di lapangan terbang. Mereka juga mempersoalkan peraturan berbeza PBT mengenai apa yang dianggap tidak senonoh dan tidak sopan. Perkara ini bukanlah suatu masalah.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh mentakrifkan apakah yang disebut sebagai perlakuan tidak sopan atau tidak senonoh. Ia supaya kakitangan penguat kuasa PBT tahu kelakuan bagaimana melanggar peraturan dan apa yang tidak.

Oleh itu, PBT mempunyai tanggungjawab berat untuk memberikan keterangan sejelas-jelasnya kepada semua anggota penguat kuasa supaya tidak berlaku penyalahgunaan kuasa menahan pasangan.

Tetapi, Majlis Peguam mempersoalkan bagaimana soal moral dan kesopanan, suatu hal yang subjektif boleh diperundangkan. Mereka sengaja lupa bahawa peraturan itu hanya dikenakan ke atas orang yang berkelakuan demikian di khalayak. Apa yang mereka lakukan jauh daripada mata orang, masyarakat tidak peduli melainkan mereka itu beragama Islam yang tertakluk dengan undang-undang dan peraturan Islam.

Rakyat yang prihatin terhadap keadaan sekarang di mana ramai muda-mudi negara ini dipengaruhi terlalu banyak perlakuan buruk dari Barat hingga tidak lagi berpegang kepada kesopanan dan tata susila ketimuran, sepatutnya boleh menerima teguran Ahmad Fairuz.

Malangnya, mereka yang tidak senang dengan keputusan itu sengaja mahu menimbulkan perlakuan kasih sayang biasa suami isteri mahupun muda-mudi tanpa adanya unsur keghairahan, kononnya akan disasarkan pihak penguat kuasa PBT. Pertubuhan atau orang perseorangan ini seolah-olah mahu persendakan peraturan yang tidak membenarkan pasangan yang tidak mempunyai perasaan segan silu bercumbuan dan bertindak keterlaluan serta tidak sopan di tempat awam.

Mereka ini sengaja buat tidak faham dengan peraturan sedia ada yang hanya melarang kelakuan tidak senonoh di khalayak ramai – bukannya apa yang mereka hendak buat secara persendirian di tempat tertutup yang tidak terbuka kepada orang ramai seperti di rumah mereka.

Peraturan itu juga tidak harus disamakan dengan usaha kononnya pemerintah mahu menjaga tata susila atau moral orang ramai.

Ada juga pertubuhan yang pertahankan kelakuan buruk itu kononnya muda-mudi berhak membuktikan perasaan kasih sayang sesama mereka. Tetapi, apakah bercium, berpeluk-pelukan dan bercumbuan hingga menimbulkan keghairahan di antara pasangan di khalayak ramai boleh diterima sebagai luahan kasih sayang? Kalaupun hendak membuktikan perasaan kasih sayang, apakah perlu melakukannya di tempat awam?

Mereka yang memandang serong dengan keputusan itu juga mempersoalkan apakah kehendak agama Islam mahu dipaksa ke atas pasangan bukan Islam. Masakan agama lain merestui perbuatan tidak bermoral dan tidak senonoh di khalayak ramai. Kononnya pasangan yang hendak menunjukkan kasih sayang mempunyai hak berbuat demikian dan tidak harus disekat.

Mereka ini membuat kesimpulan seolah-olah agama lain merestui perlakuan tidak senonoh hingga bercumbuan, bercium dan berpeluk-pelukan yang mengghairahkan di tempat awam pun tidak mengapa. Tetapi, apakah benar agama lain membenarkan pasangan berghairahan dan bercumbu-cumbuan di depan khalayak ramai?

Apakah hak asasi individu, bermakna mereka boleh bersikap tidak sopan tanpa menghiraukan pandangan orang lain?

Apa pun keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati kelakuan tidak senonoh seperti berpeluk atau bercium di khalayak ramai boleh didakwa di mahkamah, tentunya melegakan rakyat yang meluat melihat perlakuan demikian yang semakin menjadi-jadi di kalangan muda-mudi.

Diharapkan keputusan itu sedikit sebanyak dapat membendung pengaruh buruk Barat yang saban hari semakin menular di kalangan muda-mudi negara ini baik yang Islam apatah lagi yang bukan Islam.

Ada sesetengah pihak tertentu dalam negara ini khususnya bukan Islam berpandangan tidak salah anak mereka bercumbuan di khalayak ramai. Mereka persoalkan kenapa nilai murni Islam mahu dipaksa ke atas mereka yang tidak menganut Islam.

Apakah hanya kerana Malaysia sebuah negara majmuk, orang bukan Islam boleh bercium-cium, berpeluk-pelukan dan bercumbuan di khalayak ramai? Ia bukankah kelakuan sumbang?

Inilah masalahnya apabila terlalu dipengaruhi gejala buruk Barat. Muda-mudi kita bukan saja suka ikut perangai tidak sopan, bahkan hingga bercumbuan di tempat awam pun mahu dibiarkan. Maka, tidak menghairankan berlaku perbuatan sumbang sedemikian di stesen kereta api dan transit aliran ringan, mahupun dalam kereta api serta di ruang legar pusat beli-belah dan institusi pengajian tinggi.

Malah, saya mendapat tahu ada sebuah kolej universiti swasta seolah-olah menggalak pelajarnya bercumbuan di ruang legar kampus tanpa boleh ditegur oleh pensyarah. Seorang pensyarahnya memberitahu penulis bahawa mereka tidak langsung boleh menegur pelajar. Kononnya pemilik kolej itu tidak mahu menggusarkan pelajarnya kerana kewujudannya bergantung kepada yuran yang dibayar pelajar.

Perlakuan tidak senonoh begini bukan saja dilakukan muda-mudi bukan Islam, malah yang beragama Islam, termasuk yang memakai tudung. Ada sesetengah mereka memakai tudung bukan untuk memenuhi kehendak menutup aurat, tetapi hanya sebagai fesyen. Maka, dapat dilihat kepala ditudung, tetapi berpakaian baju-T lengan pendek. Malah, bahagian dada dan leher boleh kelihatan.

Tidak menghairankan pelbagai pertubuhan bukan Islam mempersoalkan bagaimana pasangan yang bercumbuan itu boleh dihadapkan ke mahkamah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ada peguam berpendapat kononnya bercium dan berpelukan di taman awam adalah luahan cinta, malah perlu digalakkan pula. Kononnya perlakuan itu adalah satu bentuk kebebasan hidup yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu tidak boleh disekat. Beginilah keadaannya kalau sudah dirasuk gejala buruk demikian ini.

Sebenarnya tiada siapa yang mahu menyekat pasangan yang mahu bercinta. Tetapi, tentunya luahan cinta ada tempatnya. Kalau perlakuan tidak senonoh ini dibenarkan apakah tidak mungkin perbuatan yang lebih buruk tidak akan berlaku?

Jika perlakuan begini tidak boleh disekat, hanya kerana mahu menunjukkan betapa mendalamnya cinta mereka, apakah mereka sedia bercium dan berpelukan di hadapan ibu bapa masing-masing? Kalau sudah segan menunjukkan perasaan cinta mereka di depan ibu bapa kenapa tidak pula malu melakukannya di tempat awam di mana orang ramai, termasuk kanak-kanak lalu lalang bermain atau beriadah?

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text