Pages

Ads 468x60px

Sunday, April 09, 2006

Soal Jawab: Perspektif Baru Tangani Kelakuan Tak Senonoh

Berita Minggu - 9/4/2006


PENGHAKIMAN Mahkamah Persekutuan pada 4 April lalu, membuka perspektif baru kepada persoalan undang-undang moral di Malaysia. Jika selama ini, orang Islam tertakluk kepada undang-undang jenayah syariah, keputusan bersejarah dalam kes membabitkan orang bukan Islam ini menimbulkan perdebatan di kalangan masyarakat. Meskipun penghakiman membabitkan isu kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tetapi kes ini membabitkan isu yang lebih kompleks. Ini yang menyebabkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdull Hamid Embong, mengarahkan kes ini dirujuk ke Mahkamah Persekutuan kerana membabitkan isu Perlembagaan. Wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin, mendapatkan pandangan Profesor Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Aziz Bari, untuk mengupas isu ini.

? APAKAH kepentingan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang bakal menjadi rujukan pada masa depan

Mahkamah Persekutuan adalah yang tertinggi dalam sistem kehakiman negara dan sudah tentu keputusan mahkamah ini penting. Dalam sistem yang mengikat, penghakiman kes ini adalah muktamad dan ia adalah undang-undang baru. Bagaimanapun, kita belum melihat penghakiman bertulis, tetapi berdasarkan laporan akhbar. Saya fikir kita dapat melihat intipati penghakiman itu. Walaupun keputusan itu menangani persoalan bidang kuasa, dalam negara yang mempunyai undang-undang bertulis, kita harus lihat dalam konteks lebih besar, iaitu kerangka Perlembagaan.

Mahkamah menyatakan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Bandar) mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang dan peraturan berkaitan moral yang dipersoalkan plaintif dalam kes ini. Bagi saya, ini satu keputusan yang baik.

? Bagaimana aspek teknikal kes ini, terutama penggunaan Akta Kerajaan Tempatan 1976?

Ini satu perkara yang menarik kerana pihak yang mencabar tindakan Datuk Bandar menggunakan Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Ini satu aliran yang menonjol dalam kes kebelakangan ini. Barang kali disengajakan atau menunjukkan ketidakmahiran mengenai Perlembagaan. Mungkin ada persoalan teknikal yang boleh dibangkitkan berdasarkan akta ini, tetapi jangan lupa kita mempunyai Perlembagaan bertulis yang antara lain menyebut dalam Perkara 3(1) Islam adalah agama Persekutuan dan ini cukup luas untuk memberikan dasar kepada keputusan itu.

Majlis Peguam dalam kenyataan berhubung penghakiman itu memberikan perspektif keputusan mahkamah boleh dipersoalkan dari segi persoalan apakah nilai moral atau undang-undang moral, sesuatu yang boleh diseragamkan dengan membangkitkan perkara seperti kebebasan dan pilihan peribadi.

Sepatutnya pihak yang menyaman Datuk Bandar harus menggunakan Perlembagaan terlebih dulu untuk mempersoalkan tindakan atau undang-undang yang dibuat Datuk Bandar. Berdasarkan laporan akhbar, nampaknya ini tidak dilakukan.

? Bagaimanakah kes ini dilihat dari sudut Perlembagaan?

Perkara 3(1) Perlembagaan cukup luas kerana menyatakan Islam adalah agama Persekutuan. Ini boleh ditafsirkan Islam sebagai nilai, ideologi atau anutan bagi negara. Maknanya negara ini harus ditadbirkan mengikut lunas agama atau sekurang-kurangnya lunas yang tidak bertentangan dengan Islam. Ini tidak mempunyai kesan untuk menafikan kebebasan atau hak beragama. Dalam kes ini, kita tidak nampak bagaimana larangan berpegang tangan atau bercium di khalayak boleh menyebabkan teruna dan dara dinafikan hak kebebasan beragama. Mereka harus menunjukkan bagaimana bercium dan berpeluk di khalayak itu dituntut agama mereka.

Mahkamah Persekutuan adalah benar dan patut dipuji apabila menekankan soal perbezaan antara nilai Asia dan Barat. Ini satu perkara yang saya fikir adalah original, berani dan harus diberikan tahniah. Kita mengharapkan dalam penghakiman bertulis nanti, ini dijelaskan dengan lebih mendalam. Ini perkara baru dan satu keberanian yang sangat perlu dalam kontroversi sekarang kerana sering dibangkitkan ciri masyarakat majmuk Malaysia.

Di Pulau Pinang dalam perayaan keagamaan, apabila penari berpakaian mencolok mata, perasaan tidak senang disuarakan. Jadi masyarakat Cina sendiri dan kaum lain ada persamaan dengan masyarakat Islam dalam soal kesopanan di khalayak.

? Bagaimanapun dalam penghakiman yang dilaporkan, hakim tidak menyatakan persoalan agama, tetapi nilai masyarakat Asia?

Mahkamah, terutama Mahkamah Persekutuan mempunyai hak memilih hujah, tetapi sebagai negara yang mempunyai Perlembagaan bertulis, perkara pertama yang harus dirujuk adalah Perlembagaan.

Kita bimbang kalau mahkamah hanya menyebut nilai masyarakat Asia, ini adalah perkara subjektif dan memudahkan mahkamah diserang pihak lain seperti Majlis Peguam yang mempunyai alasan berbuat demikian. Mahkamah pada peringkat apa pun harus memberikan penghakiman spesifik. Jika tidak, penghakiman akan dikritik dan menimbulkan persoalan lebih dari jawapan.

Aliran yang berlaku sejak beberapa tahun lalu seperti kes Meor Atiqulrahman al-Syafiq Ishak dan Lina Joy (Azlina Jailani), apabila penghakiman Mahkamah Rayuan dalam keputusan menentang, Hakim Datuk Gopal Sri Ram, tidak merujuk kepada Perlembagaan secara spesifik.

Pendekatan yang digunakannya ialah undang-undang pentadbiran, pendekatan yang sebenarnya sesuai di negara seperti England yang tidak mempunyai Perlembagaan bertulis. Undang-undang di sana berkembang mengikut keadaan. Malaysia berbeza kerana undang-undang bertulis walaupun berkembang dalam bentuk sama, tetapi harus disesuaikan dalam konteks Perlembagaan bertulis.

Oleh kerana tidak menyebut peruntukan tertentu secara khusus, menyebabkan Majlis Peguam membuat kenyataan seperti itu. Sebab itu, kalau tidak dihakimkan secara spesifik, ini membuka ruang dan menjadi perdebatan yang tiada penghujung.

? Alasan pembelaan dalam kes ini ialah tindakan terhadap mereka menghalang kebebasan hak asasi.

Malaysia ada peruntukan spesifik mengikut Bahagian II Perlembagaan mengenai kebebasan hak asasi dan semua kes mahkamah harus diletakkan di situ. Saya tidak menyalahkan mahkamah kerana pihak yang membawa kes ini pun tidak mengikut Perlembagaan. Ini mungkin disengajakan dengan isu ini cuba dialihkan kepada persoalan bidang kuasa Datuk Bandar.

Saya berpendapat kalau tidak dirujuk kepada Perlembagaan pun, Datuk Bandar mempunyai kuasa. Ini bergantung kepada bagaimana kita melihat kuasa itu. Tidak bererti apabila Datuk Bandar diberi kuasa untuk mengawal kesentosaan, ini tidak termasuk soal moral. Dalam masyarakat kita, kesentosaan berbeza dengan di England. Kita harus menerima undang-undang dari England dengan berhati-hati. Jangan lupa bahawa undang-undang yang membenarkan penggunaan kes England, iaitu Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956, menyatakan Common Law dari England hanya boleh dipakai di sini jika tiada undang-undang di sini dan pemakaian itu tidak menyebabkan ketidakadilan.

Sebab itu saya berpendapat keputusan Mahkamah Persekutuan betul. Tetapi kalau orang berhujah dari segi terlalu longgar dan tidak mantap, itu mungkin boleh diterima.

? Orang Islam tertakluk kepada Enakmen Jenayah Syariah. Adakah dengan penghakiman ini bermakna bukan Islam pun tidak terlepas dikenakan tindakan berhubung kesalahan moral?

Kita harus melihat perkara ini dalam konteks berbeza. Orang Islam dikenakan hukuman mengikut Enakmen Jenayah Syariah kerana melakukan sesuatu yang bertentangan Islam. Bukan Islam tidak dikenakan undang-undang itu. Kita bercakap kes ini dalam soal kesopanan awam yang Islam berhak menanganinya. Di Eropah, kita jangan lupa nilai asas yang digunakan ialah budaya Judeo-Kristian. Ini perkara yang tidak siapa boleh nafikan walaupun mereka sekarang menyatakan adalah masyarakat sekular.

Di Malaysia, apakah salah berdasarkan realiti dan sejarah, Islam digunakan sebagai nilai tunjang masyarakat? Kesopanan awam tidak menafikan hak kebebasan beragama bukan Islam. Kalau undang-undang didakwa bertentangan atau menafikan hak kebebasan beragama, buktikan bercium dan berpegang tangan di khalayak ramai dituntut agama.

Tidak timbul soal bukan Islam dikenakan undang-undang seperti orang Islam. Ini soal kesopanan awam yang seharusnya ditentukan Islam dan yang penting tidak menafikan hak mereka. Ini satu perkara yang harus dibezakan kerana sekarang ini ada kecenderungan bahawa pakai skaf, tudung dan songkok, menafikan hak kebebasan beragama. Ini tidak betul kecuali hingga ke tahap meminta orang Sikh membuang serban. Tetapi kalau agama tidak melarang berpakaian atau berkelakuan seperti itu, apa asas menyatakan ini bertentangan dengan Perlembagaan.

? Timbul kekhuatiran bahawa apabila undang-undang tidak menyatakan secara khusus kelakuan tidak bermoral menyebabkan kemungkinan dikenakan tindakan akibat kesalahan yang tidak jelas?

Perkara jenayah mesti disebut secara spesifik dalam akta atau enakmen. Pihak berkenaan juga mesti ada bidang kuasa yang betul seperti diberikan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Dari segi pelaksanaan, kalau yang dibimbangi ialah soal melampaui kuasa atau kasar, itu boleh dibawa ke mahkamah. Dalam setiap kes, mahkamah melihat apakah tindakan penguat kuasa selaras atau dalam lingkungan undang-undang. Ini saya fikir satu perkara yang mahkamah setiap hari menangani persoalan ini.

Ada dua perkara berhubung soalan ini. Soal jenayah ada akta tertentu yang mesti digunakan. Kalau tidak ada, tidak boleh. Dari segi penguatkuasaan, mungkin dalam keadaan tertentu apabila melewati tahap kemunasabahan, mahkamah boleh mengisytiharkan tindakan itu tidak sah. Undang-undang yang ada cukup peruntukan untuk menangani persoalan itu.

? Adakah penghakiman kes ini mengejutkan masyarakat?

Saya fikir bagi masyarakat Islam, ini boleh diterima kerana orang Islam sudah lama hidup dengan peraturan atau tanda aras begini. Bagi masyarakat lain saya tidak tahu. Kalau masyarakat sudah hanyut dan menerima nilai Barat, mereka akan terkejut. Keputusan ini baik kerana dari satu segi akan membuatkan masyarakat membincangkan secara terbuka mengenai nilai moral dan kesopanan awam yang boleh diterapkan dalam masyarakat. Mahkamah akan mengambil kira suasana dan nilai yang diterima masyarakat.

Penghakiman ini secara terbuka dapat menjelaskan mengenai isu yang masih belum jelas atau tidak diketahui. Bagaimanapun, saya fikir banyak perkara yang sudah jelas, tetapi tidak diketahui masyarakat. Ini adalah satu kesempatan bagi kita mengetahui atau sekurang-kurangnya mempelajari perkara yang kita pelajari dan ketahui.

? Tidakkah ini menimbulkan tanggapan seolah-olah ada polis untuk menguatkuasakan undang-undang moral?

Ini bukan perkara yang terlalu ganjil kerana dalam undang-undang jenayah, kebanyakan peruntukan dalam Kanun Keseksaan ialah nilai moral yang dibentuk, dimasukkan atau membentuk peruntukan undang-undang. Jenayah sebenarnya adalah undang-undang moral. Jadi, ini bukan perkara baru. Soal polis moral sebenarnya ditimbulkan mereka yang antimoral, golongan hedonist (mempercayai nikmat nafsu adalah yang teragung).

? Adakah faktor bangsa dan agama hakim dalam kes ini akan mewujudkan keadaan penghakiman yang berbeza?

Kemungkinan itu ada, tetapi saya pasti jika keadaan, tabiat dan nilai masyarakat difahami, penghakiman hakim tidak terlalu berbeza. Sesuatu kes harus diputuskan dengan adil, sama ada menggunakan pendekatan undang-undang Perlembagaan, pentadbiran atau undang-undang apa pun. Hakim mesti adil. Pada saya, sama ada hakim yang mengendalikan kes ini Melayu dan Islam atau bukan Islam, tak ada perbezaan.

? Tidakkah kes ini menggambarkan Malaysia sebagai negara yang amat ketat dan menekan dalam penguatkuasaan undang-undang moral?

Kita tak dapat lari daripada dilabelkan begitu kerana kita hidup pada zaman manusia hendak lari dari peraturan agama. Orang Barat, golongan liberal atau yang tidak mahu agama melihat ini sebagai satu ancaman.

Bagi mereka yang faham bahawa manusia ini dikandung peraturan dan kesusilaan, saya fikir ini bukan terlalu menekan. Kita tidak melarang orang bercinta, tetapi ada caranya. Saya tidak berfikir bercinta mesti mempertontonkan perasaan itu kepada masyarakat. Ini biadab. Kita harus membezakan antara kebiadaban dan hak.

? Sesetengah pihak bimbang terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan pelbagai tugas hingga dikritik pelbagai pihak harus dibebankan dengan tugas menjaga moral?

Saya tidak fikir PBT tidak cerdik hingga tidak tahu menyusun keutamaan tugas mereka. Saya percaya PBT mempunyai pengetahuan, pengalaman dan kepakaran yang cukup menjalankan tugas. PBT pun tahu mereka sentiasa dipantau dan diperhatikan. Kritikan dalam kes ini pun sudah cukup untuk mengingatkan PBT supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas. Saya fikir penguat kuasa pun tahu bidang tugas mereka.

Tetapi jangan lupa bahawa sistem kehakiman kita mempunyai banyak peringkat dari Mahkamah Majistret, Sesyen, Tinggi, Rayuan dan Persekutuan. Banyak hierarki yang boleh menyemak dan menimbang keputusan. Jadi kebimbangan itu walaupun ada asasnya tetapi tidak terlalu di luar kawalan. Sistem kita masih boleh mengawal kebimbangan itu. Ini bukan satu keadaan yang sesiapa boleh melakukan sesuka hatinya.

Peguam juga harus sedar, inilah antara fungsi dan tugas peguam untuk menangani, mempersoal, menghalusi tindakan pihak eksekutif. Umpamanya jika mereka yang ditangkap tidak mempunyai biaya, Majlis Peguam mempunyai dana untuk menangani kes seperti ini. Malah ramai peguam yang komited dengan hak asasi bersedia menangani kes ini. Saya rasa kebimbangan ini bukan betul-betul wujud, tetapi kerana kejahilan yang tidak berasaskan kenyataan.

FAKTA KES


PANEL HAKIM: Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohamad Sheriff dan Datuk Richard Malanjum.


PENGHAKIMAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai kuasa membuat undang-undang dan peraturan menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak ramai serta Seksyen 8(1) Undang-Undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan) 1981 (UKT) tidak ultra vires (bercanggah) dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, berhubung kebebasan hak asasi.


PERMOHONAN: Ooi Kean Thong, 23 dan Siow Ai Wei, 21, mengisytiharkan bahawa tuduhan terhadap mereka melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana menghalang hak asasi mereka.


TUDUHAN: Berkelakuan tidak senonoh kerana berpeluk dan bercumbuan di bawah rimbunan pokok di Taman KLCC, Kuala Lumpur, jam 5.20 petang, 2 Ogos 2003.



©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text