BH-8/4/2006
KUALA LUMPUR: Kes penipuan bernikah secara wali hakim tidak banyak dicatatkan di negara ini berikutan penapisan permohonan secara rapi yang dilaksanakan jabatan agama Islam negeri.
Bagaimanapun, di bandar raya ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mencatatkan satu kes seorang lelaki dipercayai menipu ketika mengisi borang permohonan nikah dengan menggunakan nama berbeza daripada nama dalam kad pengenalan, dua tahun lalu.
Kes berkenaan terbongkar apabila lelaki terbabit hadir di pejabat Jawi, di sini lapan bulan selepas bernikah untuk mendapatkan pengesahan status pernikahannya berikutan rasa bersalah atas tindakannya.
Jurucakap Jawi berkata, lelaki berusia 39 tahun itu bernikah dengan pasangannya berusia awal 30-an di sebuah masjid di Gombak pada Januari 2004 dengan menggunakan nama berkenaan.
�Beberapa hari sebelum bernikah, dia membuat laporan polis dan mendakwa kad pengenalannya hilang. Dia dinikahkan dengan menggunakan nama yang berbeza daripada nama dalam kad pengenalannya.
�Bagaimanapun, pada September tahun sama, dia hadir di pejabat Jawi dan menceritakan hal sebenar. Siasatan Jawi terpaksa mengambil masa yang agak lama kerana beberapa saksi yang ditemui meragukan,� katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Sehubungan itu, katanya, kes itu sekarang menunggu tarikh sebutan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 38 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.
Jurucakap itu berkata, hanya satu kes dicatatkan pada 2004, manakala bagi tahun lalu dan tahun ini, tiada kes penipuan seumpama itu.
Semalam, akhbar ini melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan membatalkan pernikahan seorang jururawat dengan lelaki pilihannya di Pejabat Agama Daerah Pekan 13 Januari lalu kerana menipu dengan menggunakan sijil kematian palsu bapanya untuk bernikah berwali hakim.
Mahkamah memerintahkan Wan Norerni Murni Abdullah, 23, yang hamil dua bulan bersama pasangannya, Rahmad Ahmad, 26, difarakkan serta-merta.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie, Muhamad Burok berkata, mungkin ada kes lain seumpama itu tetapi tidak dikesan jabatan agama Islam negeri.
Sehubungan itu, persatuan itu meminta jurunikah memastikan semua maklumat dalam borang permohonan pernikahan bukan setakat lengkap, malah sahih.
Di MELAKA, tidak ada kes penipuan wali dilaporkan dalam tempoh lima tahun ini, berikutan peraturan permohonan wali hakim menjalani dua kali proses penapisan sebelum diluluskan mahkamah.
Di JOHOR BAHRU, Ketua Hakim Syarie Johor, Datuk Ali Ahmad berkata, setakat ini tiada kes Mahkamah Tinggi Syariah di negeri ini membatalkan pernikahan berikutan penipuan wali.
No comments:
Post a Comment