Pages

Ads 468x60px

Tuesday, April 04, 2006

PBT berhak sekat perbuatan tak sopan

Oleh Munira Yusoff
BH 4/4/2006


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang dan peraturan bagi menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak ramai.



Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohamad Sheriff dan Datuk Richard Malanjum, sebulat suara memutuskan Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) adalah betul untuk mendakwa seorang guru sandaran dan teman wanitanya kerana bercumbu di Taman City Centre Kuala Lumpur (KLCC).

Malah, panel tiga hakim itu mempersoalkan kewajaran sepasang kekasih menunjukkan kasih sayang dengan berpeluk dan bercumbu di khalayak ramai.

“Adakah bermoral dalam masyarakat kita sebagai masyarakat Asia, bercumbu dan berpelukan di tempat awam? Kita perlu ingat bahawa peraturan itu bukan dibuat di negara seperti Amerika Syarikat atau United Kingdom di mana perbuatan seperti itu diterima masyarakat.

“Bagaimana pula dengan hak orang sekeliling yang melihat perbuatan mereka,” kata Ahmad Fairuz.

Berikutan itu, mahkamah menolak permohonan Ooi Kean Thong, 23, dan Siow Ai Wei, 21, untuk pengisytiharan bahawa tuduhan terhadap mereka melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana menghalang hak asasi mereka.

Panel itu memutuskan Seksyen 8(1) Undang-Undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan) 1981(UKT) tidak ultra vires (bercanggah) Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, berhubung kebebasan hak asasi.

Mahkamah kemudian mengarahkan kes itu dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk membolehkan perbicaraan bersambung di Mahkamah Majistret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ooi didakwa berkelakuan tidak senonoh kerana berpeluk dan bercumbuan bersama Siow di bawah rimbunan pokok di Taman KLCC, jam 5.20 petang, 2 Ogos 2003.

Pasangan itu menghadapi denda maksimum RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 8(1) Undang-Undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan) 1981.

Perbicaraan kes itu ditangguhkan sehingga 1 Jun ini apabila isu berkenaan diselesaikan. Isu itu sebelum ini dikemukakan di Mahkamah Tinggi, tetapi Hakim Datuk Abdull Hamid Embong pada 15 Ogos lalu mengarahkan kes itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan kerana membabitkan isu perlembagaan.

Terdahulu, dalam hujahnya, peguam S Selvan berkata, Datuk Bandar gagal mengambil kira Malaysia adalah negara majmuk, manakala berpeluk dan bercumbu hanya satu cara untuk pasangan kekasih menunjukkan kasih sayang mereka.

“Kesan daripada undang-undang itu menyebabkan kesusahan pada anak guam saya, selain menyekat hak asasi mereka. Beliau (Datuk Bandar) tiada kuasa untuk membuat undang-undang sedemikian dan tiada kuasa untuk menentukan tahap moral yang perlu diikuti masyarakat.

“Jika beliau boleh membuat peraturan seperti itu, bererti kuasanya tiada had. Kita perlu menyekat kuasanya untuk menggubal peraturan sedemikian, jika tidak, kuasanya seolah-olah tiada had.

“Pegawai penguat kuasa yang menangkap anak guam saya juga sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah. Pemohon (Ooi) ditangkap dan didakwa kerana enggan memberi rasuah kepada pegawai berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, berkata Datuk Bandar tidak bertindak di luar bidang kuasa yang diberikan kepadanya apabila menggubal undang-undang kecil itu.

“Datuk Bandar diberi kuasa untuk menggubal undang-undang kecil dalam keadaan perlu yang membabitkan kepentingan awam, termasuk keselamatan, kesihatan dan ketenteraman awam.

“Sama ada perbuatan mereka itu bermoral atau tidak adalah satu fakta yang perlu diputuskan pada peringkat perbicaraan terlebih dulu,” katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text