Pages

Ads 468x60px

Wednesday, April 05, 2006

Talak SMS suami Noraniza tidak sah

Oleh SUWARNI MOKHTAR- UM 5/4/2006


FAREEZ dan Noraniza di luar mahkamah semalam.


KUALA LUMPUR 4 April - ``Demi Allah, saya tidak berniat untuk menjatuhkan talak terhadap isteri saya Noraniza Idris (kiri) semasa menulis khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laknatlah ke atas saya dunia akhirat sekiranya berdusta.''

Berdasarkan sumpah penafian yang dilafazkan oleh Fareez atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Tajuddin dan keterangan yang diberikan pada 1 Mac lalu, Hakim Syarie Shamsudin Hussin memutuskan bahawa ikatan pernikahan antara Fareez dan penyanyi irama Malaysia, Noraniza Idris, masih sah.

Fareez diarahkan untuk melafazkan sumpah penafian tersebut bahawa dia benar-benar tiada niat untuk menjatuhkan talak ke atas isterinya itu semasa menghantar SMS.

Sekiranya Fareez enggan berbuat demikian, Noraniza perlu mengangkat sumpah bahawa dia yakin SMS tersebut adalah lafaz untuk jatuh talak.

Kes pengesahan cerai melalui SMS ini merupakan yang pertama di kalangan artis; namun begitu kisah-kisah isteri diceraikan melalui SMS semakin banyak dipaparkan oleh media.

Sebelum itu, Shamsudin memberi peringatan kepada Fareez akan akibat daripada kesanggupannya untuk melafazkan penafian bersumpah itu.

``Sumpah itu menjadikan Allah sebagai saksi dan kamu tidak boleh berbohong kepadaNya kerana Dia Maha Mengetahui. Jika kamu berbohong maka Allah akan laknat kamu. Adakah kamu sanggup untuk bersumpah?''

Semasa menyampaikan keputusannya, Shamsuddin menyatakan bahawa tidak jatuh talak ke atas penyanyi tersebut kerana suaminya tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian semasa menghantar SMS kepada Noraniza.

Pada 7 September 2005, lebih kurang 12.45 petang, Fareez telah menghantar SMS kepada Noraniza yang berbunyi ``...aku lepaskan kau.''

Dan apabila ditanya oleh Noraniza yang juga plaintif dalam kes ini akan maksud SMS terdahulu, Fareez membalas pada hari yang sama lebih kurang pukul 1.30 petang: ``Macam adik kau Nor dengan Rizal, Uda dengan K.Zie...kau dengan aku bercerai berai.''

Berdasarkan SMS ini, Noraniza membuat permohonan pengesahan cerai kerana percaya suaminya itu mempunyai niat untuk menjatuhkan talak tetapi dinafikan oleh Fareez semasa menjawab pernyataan tuntutan di mahkamah pada 1 Mac lalu.

Pada tarikh lalu juga, Fareez bersetuju sepanjang tahun 2005 terutamanya selepas bulan Jun, dia dan plaintif sering berselisih faham dan pernah beberapa kali menghalau penyanyi itu keluar dari rumah kelamin mereka.

Noraniza juga tidak dapat memasuki rumah kerana kuncinya telah ditukar oleh Fareez malah pernah diarahkan oleh suaminya itu untuk keluar rumah dan mengangkat barang-barang kepunyaannya.


No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text