Pages

Ads 468x60px

Saturday, April 29, 2006

Hakim Syarie Wanita Imbangi Dominasi Lelaki

Hakim syarie wanita imbangi dominasi lelaki

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK (Watrawan Utusan)-29/4/2006

BARU-baru ini kita dikhabarkan berita pelantikan Datuk Rafiah Salim sebagai Naib Canselor Universiti Malaya - wanita pertama yang diberi kepercayaan menjawat jawatan tersebut.

Sememangnya khabar itu menambah keyakinan bahawa wanita kini setanding dengan kaum lelaki malah dalam bidang tertentu penglibatan wanita lebih menyerlah berbanding kaum Adam.

Dan hari ini satu lagi berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh golongan wanita di negara kita iaitu telah ada calon hakim syarie wanita.

Pastinya perkembangan menarik ini dilihat mampu mengimbangi sistem perundangan syariah yang selama ini didominasi oleh hakim-hakim syarie lelaki.

Ia sekali gus meminimumkan pendapat bahawa wanita tidak sesuai atau tidak layak memegang jawatan tersebut seperti yang pernah diperdebatkan sedikit masa dulu.

Hakikatnya tiada apa yang boleh menghalang kaum wanita daripada cemerlang dalam apa bidang sekali pun.

Yang penting peluang serta ruang untuk wanita dilantik ke jawatan itu dibuka luas dan pelantikan mereka adalah berdasarkan merit bukan kerana paras rupa jauh sekali belas ihsan.

Walaupun pengalaman sewajarnya menjadi kriteria penting untuk melayakkan seseorang itu menjadi hakim, tetapi pencapaian ilmu wanita masa kini juga tidak membataskan kebolehan mereka untuk mengadili sesuatu kes.

Ada juga hakim yang berpengalaman gagal menggunakan tempoh perkhidmatan yang lama untuk meningkatkan kerjaya dan masih di takuk lama.

Pendapat klasik yang sering mengaitkan ketidakmampuan wanita menjadi hakim atau ketua sesebuah negara dengan faktor ‘kurang akal’ juga perlu dihapuskan sama sekali.

Mempunyai pendidikan yang mencukupi pasti melahirkan generasi wanita yang tidak `kurang akal' dan mempunyai kemampuan untuk memegang jawatan-jawatan penting.

Sebenarnya apa yang perlu diperbetulkan ialah tanggapan masyarakat yang melihat wanita sebagai kaum yang lemah dan tidak layak mengadili sesuatu kes. Selagi tanggapan itu tidak diperbetulkan, wanita tidak akan mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat.

Dan wanita Malaysia pastinya berbangga kerana kaum lelaki di negara ini semakin mengiktiraf kesaksamaan jantina dan kehadiran wanita sememangnya amat diperlukan.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text