SHAH ALAM: Orang ramai yang hadir di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, terkejut apabila seorang kakak sanggup menjadi 'tertuduh' bagi adiknya yang didakwa berkhalwat dan melakukan perbuatan tidak bermoral bersama pasangannya, tahun lalu.
Siti Hamidah Omar, 26, mendakwa berbuat demikian berikutan adiknya, Siti Saidah Omar, 21, tidak dapat hadir ke mahkamah kerana kurang sihat.
Perbuatannya terbongkar apabila dia hanya mendiamkan diri selepas beberapa kali ditanya Hakim Syarie Abu Bakar Daud sama ada mengaku salah atau tidak.
HAKIM: Faham pertuduhan yang dibacakan?
SITI HAMIDAH: Faham.
HAKIM: Adakah kamu mengaku salah?
SITI HAMIDAH: (mendiamkan diri)
HAKIM: Kenapa kamu mendiamkan diri? Adakah kamu mengaku salah atau tidak?
SITI HAMIDAH: Saya bukan Siti Saidah.
HAKIM: Kamu siapa?
SITI HAMIDAH: Saya kakak kepada Siti Saidah.
HAKIM: Kenapa kamu yang hadir?
SITI HAMIDAH: Sebenarnya adik saya kurang sihat dan saya mewakilinya.
HAKIM: Kenapa kamu tidak memberitahu mahkamah awal-awal? Ada bawa sijil pengesahan sakit daripada hospital?
SITI HAMIDAH: Maaf Yang Arif, saya tiada sijil pengesahan sakit kerana adik saya tidak ke hospital.
HAKIM: Sepatutnya kamu memberitahu mahkamah lebih awal dan bukannya berdiri dan mendengar pertuduhan dibacakan terhadap kamu. Nasib baik saya tidak mendakwa kamu atas kesalahan yang orang lain lakukan, faham?
SITI HAMIDAH: Faham Yang Arif.
HAKIM: Oleh kerana tertuduh wanita tidak hadir dan tiada sebarang alasan bertulis, mahkamah terpaksa mengeluarkan waran tangkap.
SITI HAMIDAH: Yang Arif, saya merayu supaya tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap adik saya. Tolonglah Yang Arif.
HAKIM: Tidak boleh. Adik kamu tidak hadir tanpa sebab munasabah dan mahkamah menganggap dia sebagai cuai. Adakah kamu faham?
SITI HAMIDAH: Ya, Yang Arif.
Terdahulu, mengikut fakta kes, sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah rumah di Seksyen 7, di sini dan menahan seorang lelaki dan wanita yang berkurung di dalam rumah berkenaan dengan keadaan menimbulkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira jam 3.30 pagi pada 23 Oktober, tahun lalu.
Hasil soal siasat terhadap pasangan terbabit mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri sah dan bukan mahram.
Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie Mohd Kamal Ismail.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
No comments:
Post a Comment