Pages

Ads 468x60px

Thursday, February 23, 2006

Hak Muslim: Bekas suami berhak lawat anak

BH-23/2/2006

SAYA bercerai dengan suami di Mahkamah Syariah Teluk Intan, Perak. Saya juga mendapat perintah hak jagaan dua anak yang berumur tiga dan enam tahun. Setelah bercerai saya memohon kerja dan ditawarkan bekerja kilang di Shah Alam, Selangor.

Saya membawa anak bersama. Apa yang merisaukan saya ialah bekas suami kata saya telah hilang hak penjagaan anak kerana membawa mereka ke Shah Alam. Adakah ini benar? Bagaimana saya hendak meninggalkan anak di Perak, sedangkan saya bekerja di Shah Alam?

ALINA,
Shah Alam, Selangor.


Ibu adalah orang paling layak bagi menjaga anak kecilnya dalam masa masih dalam perkahwinan dan selepas perkahwinannya dibubarkan.

Jika ibu itu hilang kelayakan mengikut hukum syarak untuk menjaga anak kecilnya, maka hak itu akan berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaannya iaitu:

  • Nenek sebelah ibu hingga ke atas.
  • Bapa.
  • Nenek sebelah bapa hingga ke atas.
  • Kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
  • Kakak atau adik perempuan seibu.
  • Kakak atau adik perempuan sebapa.
  • Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
  • Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu.
  • Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa.
  • Emak saudara sebelah ibu.
  • Emak saudara sebelah bapa.
  • Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari.

    Namun, kebajikan kanak-kanak itu hendaklah tidak terjejas apabila mahkamah memerintahkan hak penjagaannya.

    Bagi mendapat hak jagaan kanak-kanak beberapa kelayakan perlu dipenuhi iaitu:

  • Penjaga adalah seorang Islam.
  • Penjaga adalah sempurna akal.
  • Penjaga berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu.
  • Penjaga berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  • Penjaga tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak dan jasmani.

    Hak jagaan ini akan gugur sekiranya seseorang perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu, yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu. Jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

    Tetapi, hak untuk penjagaan itu akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan.

    Hak jagaan ini juga akan hilang sekiranya perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka. Atau jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu. Ia kecuali seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.

    Hak jagaan ini juga akan gugur sekiranya perempuan itu murtad atau mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

    Berbalik kepada persoalan puan, sekiranya puan berpindah untuk menghalang bekas suami menjalankan pengawasan yang perlu ke atas anak, maka hak jagaan puan akan gugur.

    Namun daripada apa yang puan nyatakan, tujuan berpindah ke Shah Alam atas alasan mencari nafkah, maka hak puan tidak gugur.

    Bagaimanapun, puan dinasihatkan supaya memberitahu di mana puan dan anak tinggal kepada bekas suami. Hal ini supaya bekas suami dapat melawat anak.

    Hubungan di antara anak dengan bapa mereka tidak akan putus walaupun puan dan bekas suami telah bercerai. Memutuskan silaturahim adalah dosa dan amat dibenci oleh Allah.

    Puan tidak perlu meninggalkan anak di Perak semata-mata risaukan kehilangan hak jagaan anak.

    Puan boleh membawa anak ke Shah Alam dan tinggal bersama puan. Puan juga hendaklah bekerjasama memberi hak lawatan kepada bekas suami untuk melawat anak seperti yang diperintahkan mahkamah, melainkan ada sebab lain yang boleh menjejaskan kebajikan anak.

    Sekiranya ada sebab yang boleh menjejaskan kebajikan anak, puan hendaklah pergi kembali ke mahkamah untuk mengubah perintah yang telah diberikan berdasarkan ada perubahan matan kepada perintah yang telah diberikan dulu.

    Puan tidak boleh hanya mengubah perintah itu mengikut suka puan, tetapi hendaklah mendapatkan pengesahan daripada mahkamah terlebih dulu.

  • Artikel ini dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Pandangan dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.com.my, faksimile 03-80259495 atau layari www.pgsm.com.my




  • ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    No comments:

     

    Sample text

    Sample Text

    Sample Text