Pages

Ads 468x60px

Friday, February 17, 2006

Prinsip mengangkat martabat wanita

Oleh: A. MOHD. RAHIMIN SIHAT
UM-17/2/2006
Dalam membicarakan konteks pembangunan sesebuah negara, peranan kaum wanita begitu sinonim dan tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja khususnya bagi seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri.

Di Malaysia, golongan wanita terus diberi kepercayaan untuk bersama-sama menganggotai barisan pentadbiran negara. Peranan dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, politik, kehakiman, perundangan, kewangan, kedoktoran dan sebagainya mendapat pengiktirafan dan sanjungan.

Malah kerajaan sendiri telah mengkhususkan satu kementerian - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipimpin oleh wanita.

Sungguhpun pihak Barat menimbulkan polemik dengan mendakwa bahawa Islam tidak memberi perhatian dan kedudukan yang wajar kepada wanita namun kaum Hawa di negara ini jauh lebih baik. Bahkan ada undang-undang yang menjamin hak-hak mereka dan kesatuan yang menguruskannya.

Akhir-akhir ini terdapat kecenderungan daripada pihak-pihak tertentu yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menjaja dan memperlihatkan imej mereka sebagai NGO Islam yang mendakwa membela dan memperjuangkan hak-hak wanita dan isu feminisme di negara ini.

Beberapa NGO tertentu seolah-olah mempertikaikan kesucian undang-undang syariah dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005, dengan memberi gambaran kononnya akta itu zalim dan menindas golongan wanita.

Persoalannya, adakah benar dakwaan kumpulan ini? Adakah suara dan bantahan mereka ini berlandaskan hukum dan prinsip syariah Islam?

Adakah kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan wanita belum memadai?

Dan apakah kerajaan sekarang yang bertunjangkan sepuluh prinsip Islam Hadhari menindas dan mengamalkan diskriminasi terhadap wanita?

Kita amat khuatir, dalam kebebasan kumpulan ini yang semakin aktif dan lantang menyuarakan pandangan dan bantahan terhadap isu-isu wanita, mereka lupa dan tergelincir daripada hukum-hukum dan prinsip yang digariskan oleh syarak.

Ini kerana, isu-isu yang cuba diperdebatkan dan dibawa oleh kumpulan ini banyak berkisar dan bersangkutan dengan undang-undang dan hukum-hukum syarak. Dan apabila undang-undang dan hukum syarak ini diperlecehkan dan dipertikaikan, bagaimana masyarakat dan penganut agama lain boleh menghormati agama Islam keseluruhannya?

Oleh demikian, sepatutnya segala permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan bijaksana dan secara hikmah. Dakwaan yang tidak berasas perlu disangkal dan diperbetulkan dan pihak-pihak yang berautoriti perlu memberikan penjelasan dan penerangan melalui sesi perbincangan agar segala kekeliruan dan kekaburan dapat diselesaikan secara harmoni.

Di sebuah negara kecil seperti Malaysia, apa yang diharapkan ialah kedudukan wanita yang kurang diberi perhatian kepada kedudukan yang lebih tinggi dan mulia seperti sekarang akan terus terpelihara. Semua ini memerlukan kerjasama dan sokongan daripada golongan wanita Islam sendiri.

Walaupun peredaran zaman terus berlalu, peranan wanita seperti yang dipaparkan oleh Sayidatina Khadijah, Sayidatina Aishah dan ramai lagi Ummul Mukminin dan sahabiah perlu diteliti kisah hidup mereka untuk mencungkil kekuatan yang boleh dicontohi sebagai bekalan dalam menghadapi dunia yang terlalu mencabar.

Sifat wanita yang dijadikan Allah dengan penuh kelembutan dan kekuatan dalaman perlu dicernakan melalui pendekatan diri kepada Allah dengan penuh ketakwaan dan memohon kekuatan dari-Nya dalam menghadapi cabaran era globalisasi ini.

Lantaran itu, wanita Islam perlu bijak berperanan dalam hidup bermasyarakat dan mengikis tanggapan sesetengah pihak bahawa golongan ini dikatakan sebagai penyumbang kepada keruntuhan akhlak selain menjadi liabiliti yang menghalang proses pembentukan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Perjuangan wanita perlu didasari dengan pegangan agama kerana agamalah yang telah meletakkan mereka pada darjat yang tinggi lagi mulia dan prinsip syariah itu mesti berada di tempat pertama dalam senarai keutamaan.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text