Pages

Ads 468x60px

Monday, February 06, 2006

Permohonan Pengikut Ayah Pin Ditolak

BH Online 6/2/2006

 
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menolak permohonan pengikut ajaran sesat Ayah Pin, Kamariah Ali, 55, yang juga bekas ustazah untuk mengkaji status agamanya yang didakwanya bukan lagi Islam.

Hakim Mohamad Abdullah, berkata ia adalah fakta yang perlu dibangkitkan pendakwa dan menjadi tanggungjawab pendakwa membuktikannya.

"Selepas diteliti, apa yang dibangkitkan adalah fakta kes yang perlu dibuktikan pihak pendakwaan dan jika usul yang dikemukakan itu diterima, ia akan menjadi tertangguh.

"Sekiranya mahkamah memberikan penangguhan, hal itu tidak memberikan keadilan kepada kedua-dua pihak. Perumpamaan menyatakan penantian itu satu penyeksaan, perkara berkenaan juga jika dibenarkan akan memberikan tekanan kepada tertuduh kerana perlu menunggu lama," katanya.

Beliau berkata, pendakwa juga tidak mendapat keadilan jika usul itu dibenarkan kerana kekuatannya pada saksi yang dikemukakan dan penilaian saksi bergantung kepada kekuatan ingatan yang mungkin terjejas jika perbicaraan berjalan dalam tempoh panjang.

Kamariah sebelum ini diwakili Wan Mohd Haidi Wan Jusoh, menukar peguam bela dengan melantik Saadiah Din dari Tetuan Saadiah, Khoo & Loo bagi mewakilinya.

Mohamad berkata, mahkamah sudah memberikan tempoh lebih empat bulan kepada peguam tertuduh terdahulu untuk menyediakan usul bertulis berhubung status tertuduh tetapi tidak menerima sebarang usul.

Pada 14 September tahun lalu, Wan Haidi Wan Jusoh memohon kepada mahkamah untuk menyediakan usul bahawa Kamariah tidak lagi beragama Islam berdasarkan nota dan rekod prosiding yang diperoleh dari Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

Selain itu, anak guamnya secara konsisten sejak 1998 cuba mengisytiharkan dirinya tidak lagi beragama Islam.

Mahkamah sebelum itu mendengar keterangan Saadiah yang menjelaskan isu yang cuba diketengahkan adalah isu undang-undang dan jika anak guamnya jelas tidak lagi beragama Islam, perbicaraan di mahkamah syariah tidak perlu diteruskan.

Bagaimanapun, Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah menegaskan bahawa pendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa status Kamariah masih Islam berpandukan fakta kes dan bukan isu undang-undang.

Pertikaian berhubung fakta kes dan isu undang-undang menyebabkan Mohamed menangguhkan prosiding kira-kira setengah jam bagi membolehkan ia diputuskan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 dan 3 April ini sebagai tarikh sambung perbicaraan dan mengarahkan jaminan terhadap Kamariah dilanjutkan sehingga tarikh perbicaraan.
 

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text