Pages

Ads 468x60px

Friday, February 10, 2006

Pindaan Undang-Undang Keluarga Islam Hanya Soal Teknikal

[UM-10/2/2006]
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pindaan ke atas Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 hanya melibatkan soal teknikal bagi menjelaskan kekaburan beberapa peruntukan dalam akta tersebut.

Beliau berkata, pihaknya sedang mempercepatkan pindaan akta tersebut untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

``Dalam pindaan ini, soal pembetulan kepada undang-undang itu tidak timbul, apa yang kita beri tumpuan ialah memberi tumpuan dalam perkara-perkara yang menimbulkan kekaburan,'' katanya.

Abdul Gani bagaimanapun enggan mengulas peruntukan-peruntukan yang terlibat dalam pindaan itu .

Beliau dijemput khas oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi menjelaskan kontroversi berhubung akta tersebut di sini hari ini.

Menurut beliau, proses meminda akta itu adalah mengikut prosedur dan ia telah diwartakan selepas diluluskan oleh Parlimen pada 22 Disember lalu, cuma belum dikuatkuasakan.

``Semua undang-undang boleh dipinda pada bila-bila masa mengikut keadaan dan keperluan,'' katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun semua undang-undang boleh dipinda, tetapi dalam hal ini (Undang-Undang Keluarga Islam), tidak ada sesiapa berhak mengubah hukum Allah.

Oleh itu, katanya, pindaan yang akan dilaksanakan kelak hanya bertujuan menjelaskan kekaburan sehingga menimbulkan salah tafsir pihak-pihak tertentu.

Perdana Menteri sebelum ini telah mengarahkan Peguam Negara meneliti semula akta tersebut setelah timbul kontroversi kononnya terdapat beberapa peruntukan yang mendiskriminasi wanita.

Abdul Gani berkata, pindaan itu dibuat kerana kerajaan sangat mengambil berat dan tidak mahu kepentingan wanita terjejas.

``Apabila pindaan itu siap kelak, kita akan dapat lihat kebaikannya dan wanita akan tahu hak mereka,'' katanya.

Menurut beliau, ulama tidak melanggar undang-undang ketika membuat tafsiran tetapi apabila ada kekaburan, penjelasan adalah perlu supaya wanita tahu hak mereka.

Abdul Gani berkata, beliau telah mendapat kerjasama yang baik dan pandangan daripada lebih 40 pertubuhan termasuk ulama, persatuan wanita dan ahli akademik dalam membuat pindaan itu.

Ditanya mengenai kebimbangan wanita hak mereka tidak dilindungi oleh akta itu terutama dalam pembahagian harta sepencarian, katanya, Islam melindungi hak wanita cuma tafsiran undang-undang mengenainya agak kabur.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text