Pages

Ads 468x60px

Sunday, January 15, 2006

Rang Undang-Undang Keluarga Islam WP jadi model

Rang Undang-Undang Keluarga Islam WP jadi model


KOTA BHARU: Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 akan dijadikan model penyeragaman undang-undang keluarga Islam negara selepas ia dipinda semula dan diwartakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata penyeragaman penting bagi mengelakkan hukuman di sesebuah negeri tidak boleh dilaksanakan di negeri lain kerana undang-undang berbeza.

Beliau berkata, kajian semula terhadap undang-undang itu akan dilakukan secara terperinci dengan mendengar pandangan semua pihak termasuk pakar keluarga Islam supaya boleh dijadikan model untuk dilaksanakan di negeri lain.

Katanya, kajian semula perlu berikutan bantahan dan pertikaian pelbagai pihak walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkannya sebagai undang-undang terbaik.

"Jakim mengatakan undang-undang ini adalah terbaik tetapi kenapa ada banyak bantahan dari golongan wanita. Sebab itu kita perlu meneliti semula supaya undang-undang yang akan dilaksanakan tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Jika kita dapati undang-undang di Wilayah Persekutuan adalah yang terbaik, maka kita akan ambil sebagai model supaya boleh dilaksanakan di negeri lain untuk diseragamkan.

"Sebelum ini pelaksanaan undang-undang di Wilayah Persekutuan diambil dari negeri lain yang mendapat bantahan pelbagai pihak. Kita tidak fikir ada bantahan kerana ia sebenarnya sudah diguna pakai di sebanyak 10 negeri sejak 2003," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan akhbar tabloid Parlimen Kota Bharu, 'Berita Dewan Rakyat' di Pejabat Umno Bahagian Kota Bharu, di sini semalam.

Rabu lalu, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan menangguhkan pewartaan rang undang-undang itu selepas mengambil kira pandangan Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat walaupun sudah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail untuk mendapat perkenan.

Kelmarin, Perdana Menteri berkata, kerajaan menangguhkan pewartaan undang-undang di Wilayah Persekutuan supaya kajian terperinci dilakukan bagi mengelak pertikaian apabila dikuatkuasakan.

Nazri berkata, undang-undang itu akan dikaji secepat mungkin dan apabila akta itu dikuatkuasakan, ia bukan saja baik untuk wanita di Wilayah Persekutuan, malah di seluruh negara.

"Kita kena gunakan model terbaik untuk wanita dan apabila bersetuju untuk dijadikan model, maka perlu pula berjumpa Raja-Raja Melayu bagi mendapat perkenan untuk meminda undang-undang negeri dan ia akan mengambil masa.

"Di Wilayah Persekutuan kita perlu mengadakan perbincangan di peringkat Parlimen tetapi di peringkat negeri ia dalam bidang kuasa Raja-Raja dan perlu mendapat perkenan terlebih dulu sebelum diseragamkan," katanya.



©The New Straits Times Press (M) Berhad
BH Online 14/1/2006

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text