Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 19, 2006

Isu peruntukan agama dalam perlembagaan

Isu peruntukan agama dalam perlembagaan
UM 19/1/2006

SURAT PERTAMA
Mempertikai Artikel 121 (1A) sama seperti mempertikai Artikel 31
Saudara Pengarang,
ISU pindaan Artikel 121 (1A) Perlembagaan timbul berikutan salah faham
terhadap isi kandungan dan fungsi artikel tersebut. Isu tersebut memuncak
apabila berlaku perebutan mayat pendaki Everest, Sarjan M. Moorthy atau
nama Islamnya, Mohammad Abdullah.

Pada prinsipnya, artikel tersebut memberikan kuasa yang eksklusif kepada
Mahkamah Syariah di Malaysia bagi menjalankan perbicaraan kes yang
berkaitan undang-undang Islam. Ertinya, Mahkamah Sivil tidak berhak untuk
menjalankan perbicaraan kes berkaitan undang-undang Islam.

Usaha penambahan subseksyen 1A di bawah Artikel 121 Perlembagaan
Persekutuan pada 1988 yang dipelopori oleh Allahyarham Tan Sri Profesor
Ahmad Ibrahim itu juga telah menyelesaikan permasalahan konflik bidang
kuasa antara Mahkamah Syariah dan Sivil. Penambahan subseksyen tersebut
telah menyumbang kepada penambahbaikan sistem pentadbiran undang-undang
Islam di Malaysia.

Merujuk kepada kes Allahyarham Mohammad, punca kekeliruan yang berlaku
adalah kerana ketidakjelasan prosedur memeluk Islam di negara ini. Maka,
masalah ketidakjelasan prosedur tersebut yang sepatutnya ditangani.
Penambahbaikan prosedur tersebut tidak boleh dijadikan asas untuk
mempertikaikan kesahihan atau constitutionality artikel 121 (1A). Tidak
keterlaluan untuk menyatakan bahawa artikel ini juga merupakan manifestasi
kepada Artikel 3 yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Agama adalah perkara sensitif untuk diperdebatkan sebagaimana sensitifnya
perdebatan berkaitan hak-hak istimewa bumiputera dan Bahasa Melayu sebagai
bahasa Kebangsaan. Maka mempertikaikan artikel ini mungkin boleh disamakan
seperti mempertikaikan Artikel 3 tersebut.

Artikel 121 (1A) tidak wajar dipinda kerana ia akan memberi kesan jangka
panjang terhadap usaha mengharmonikan undang-undang Islam dan sivil.

Jangan lupa, perdebatan mengenai peruntukan berkaitan agama Islam di dalam
Perlembagaan Persekutuan juga pernah menjadi kontroversi apabila timbul
usaha untuk mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama suatu ketika dulu.

Namun ketegasan pihak kerajaan mempertahankan peruntukan Islam sebagai
agama rasmi Persekutuan telah berjaya menyelesaikan masalah tersebut.
Mengambil pengajaran situasi tersebut, saya amat berharap pihak kerajaan
dapat membuat penelitian dan kajian yang mendalam sebelum membuat sebarang
pindaan.

- NISAR MOHAMMAD AHMAD, Exeter, United Kingdom.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text