Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 24, 2006

Mahkamah syariah lindungi hak bukan Islam

Mahkamah syariah lindungi hak bukan Islam


SEREMBAN: Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini semalam, mengisytiharkan Nyonya Tahir, yang meninggal dunia Khamis lalu sebagai bukan Islam ketika kematiannya membuktikan mahkamah syariah bukan saja melindungi hak orang Islam, malah bukan Islam.

Malah, keputusan itu jelas membuktikan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah adalah selari dan relevan dalam menegakkan keadilan kepada semua pihak.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok, berkata keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menolak sebarang desakan pindaan artikel itu adalah tepat dan bijaksana.

"Ini jelas membuktikan mahkamah syariah bukan saja melindungi dan memulihara hak orang Islam tetapi bukan orang Islam dalam menuntut hak serta keadilan masing-masing," katanya.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam yang memutuskan bahwa Nyonya Tahir yang meninggal dunia dan mencetuskan kontroversi berhubung pengebumiannya, diisytiharkan sebagai bukan Islam semasa kematiannya.

Mahkamah mengarahkan mayat Nyonya Tahir, 89, diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut agama Buddha.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Shukor Sabudin selepas mendengar permohonan ex-parte perisytiharan Islam yang dikemukakan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Pengarah JHEAINS.

Muhamad yang menjadi peguam pemerhati pada prosiding itu berkata, kes membabitkan Nyonya patut dijadikan contoh untuk kes seumpamanya pada masa depan terutama dengan kesanggupan waris menjadi saksi dalam mencari keadilan.

Sementara itu, lapan daripada 13 anak mendiang yang hadir di mahkamah semalam, menerima keputusan itu dengan rasa lega sambil menyifatkan ia sebagai sesuatu yang amat tepat serta adil.

Malah, mereka turut memuji tindakan mahkamah yang memanggil dan memberi peluang kepada dua adik beradik mereka, Chiang Ah Fatt, 40, dan Chiang Kwai Ying, 43, untuk mengemukakan keterangan serta bukti bahawa ibu mereka bukan Islam.

"Kami amat gembira dan bersyukur dengan keputusan ini. Mahkamah jelas memberi peluang dan keadilan secukupnya kepada kami dalam menuntut dan mendapatkan hak kami iaitu mayat ibu kami.

"Malah, JHEAINS juga banyak membantu dalam menyelesaikan masalah ini dengan baik dan harmoni," kata Kwai Ying selepas keputusan mahkamah.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Zaharuddin Mohd Sharif menyerahkan surat perintah mahkamah kepada anak bongsu Nyonya, Ah Fatt di Hospital Tampin, kira-kira jam 5.50 petang semalam.

Serentak itu juga, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron turut menyerahkan surat kematian dan surat kebenaran pengkebumian kepadanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text