Oleh PROF. DR. SYED HUSSEIN ALATAS-UM 29/1/2006
PINDAAN Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang telah dipersetujui tetapi belum dilaksanakan, sangatlah perlu disemak kembali dan dibahaskan secara meluas dan mendalam.
Yang perlu ditinjau kembali bukan hanya pindaan yang baru itu, Seksyen 122 Pembahagian Harta Sepencarian mengenai kuasa mahkamah memerintahkan pembahagian harta sepencarian jika bercerai, tetapi keseluruhan akta itu yang mengandungi beberapa kesilapan dari segi Islam, logik dan bahasa.
Pada keseluruhannya memang perlu kita mempunyai Akta Undang-Undang Keluarga, tetapi akta itu mesti dapat membimbing pemikiran dan kelakuan umat Islam dalam rangka hidup berundang-undang.
Sebagai contoh, Bab VI, Seksyen 65 (2) yang berbunyi demikian: ``Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima pemberian daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perjanjian hendaklah terhenti apabila isteri itu berkahwin atau hidup dalam perzinaan dengan seseorang lain, melainkan jika perjanjian itu memperuntukkan selainnya.''
Setiap undang-undang mesti ketat dan tidak longgar hingga boleh dimasukkan unsur lain yang tidak dituju oleh undang-undang itu. Melihat yang di atas bagaimana pula kalau yang hidup dalam perzinaan itu bukan orang lain tetapi bekas suaminya? Apakah pemberian itu terhenti?
Kalau suami itu pula menghentikan pemberian di bawah undang-undang ini? Si suami tidak melaporkan dia berhenti kerana berzina dengan bekas isterinya, dan bekas isterinya tidak akan melaporkannya kerana dia sendiri melanggar undang-undang.
Andai kata, hal ini ada yang melaporkan pada Jabatan Agama Islam bagaimana kalau sang isteri mengaku tidak melanggar undang-undang kerana yang dilarang hidup berzina dengan orang lain bukan dengan bekas suaminya?
Kenapa tidak ditambah empat kata `atau bekas suaminya itu' setelah `seseorang lain'? Bagaimana pula kalau pasangan yang bercerai telah mengadakan perjanjian dengan peruntukan yang tidak dibatalkan oleh kahwin dan zina? Seksyen 65 ini mengizinkan membuat perjanjian dengan bekas isteri untuk diberi bantuan kewangan tanpa digugurkan oleh kahwin lagi atau hidup dalam perzinaan.
Inilah yang saya maksudkan dengan teks perundangan yang longgar. Satu lagi yang dari segi logik tidak masuk di akal adalah Bab V, Seksyen 53. Jika seorang suami hilang, tidak diketahui berada di mana, mati atau hidup, langsung tiada hubungan, dalam masa tujuh tahun atau lebih dia akan dianggap mati bagi membenarkan isterinya kahwin lagi.
Komunikasi
Kenapa mesti menunggu tujuh tahun? Kenapa tidak tiga, empat atau lima? Kalau ada yang menghilangkan diri untuk meninggalkan isteri dan keluarga, mengapa tunggu tujuh tahun? Sudah nyata dia tidak bertanggungjawab. Dalam syariah memang masanya lama, ada yang jauh lebih daripada 90 tahun.
Tetapi pada zaman lampau itu tidak ada sistem komunikasi seperti kita sekarang. Kalau kapal tenggelam dan kebetulan terselamat jauh dari negeri kita, boleh sahaja kita berusaha mencari hubungan dalam masa tiga atau empat tahun.
Saya ingin bertanya dari sumber syariah yang mana bahawa tujuh tahun itu ditentukan bagi suami yang mafqud (hilang tidak diketahui tempat dan nasibnya, mati atau hidup)?
Mazhab Hanafi, Maliki, Hambali dan Syafie masing-masing berlainan pendapat. Imam Abu Hanifah menetapkan 120 tahun, Imam Hambali dan Syafie 90 tahun dan Imam Malik empat tahun. Mazhab Syiah Imamiyah empat tahun dari waktu dilaporkan hilang. Tempoh 90 dan 120 tahun didasarkan atas anggapan panjangnya umur manusia.
Pendapat Mazhab Maliki dan Syiah Imamiyah berdasarkan atas logik, yakni penggunaan akal, sedangkan pendapat Mazhab Hanafi dan Syafie berdasarkan alasan yang lemah kerana segelintir manusia sahaja yang hidup antara 90 dan 120 tahun. Ini bermakna yang ditinggal hilang oleh suami tak dapat kahwin lagi seumur hidup.
Jelaslah hukuman ini tidak adil. Penetapan akta, tujuh tahun, kurang adil, Mazhab Maliki, empat tahun, paling adil dalam keadaan komunikasi pada masa lampau tidak seperti sekarang.
Ada juga yang mencadangkan antara 60 dan 70 tahun atas dasar hadis Nabi Muhammad s.a.w.; Umur umatku antara 60 dan 70 tahun. Iktibar bagi kita adalah perlunya kita mencipta perundangan atas tuntutan zaman sebagaimana dilaksanakan oleh imam-imam, mazhab-mazhab umat Islam.
Ini tidak bermakna kita mesti meninggalkan mazhab tetapi menghalusi dan menambah pengaruh mazhab di kalangan umat Islam dewasa ini. Isi panduan mazhab yang senantiasa tepat dan berguna bagi zaman sekarang jauh lebih banyak daripada yang perlu dirobah.
Peranan mazhab pada keseluruhannya sangat perlu. Ini harus diperkukuh oleh bimbingan alim ulama yang mendalam pengetahuannya bukan hanya dalam ilmu agama tetapi juga dalam ilmu sains zaman sekarang yang berkaitan dengan perundangan Islam. Sebagai contoh ilmu perubatan, psikiatri sosiologi, antropologi dan lainnya.
Jika ini tidak dikuasai oleh yang menggubah undang-undang maka akibatnya undang-undang itu tempang. Masalah-masalah yang timbul dewasa ini luar biasa banyak yang belum timbul dan diketahui pada zaman lampau.
Ambillah pengetahuan tentang DNA dan gunanya untuk memeriksa keturunan makhluk hidup dan berbagai-bagai benda. Nampaknya faktor yang demikian penting tidak dihiraukan oleh Akta Undang-Undang Keluarga Islam yang kita bahaskan ini.
Penjelasan
Bab VIII, Seksyen 110-114 tidak ada penjelasan yang semestinya untuk melukiskan peristiwa untuk seksyen itu. Soalnya sekitar siapa yang ditentukan sebagai bapa jika seorang perempuan yang telah bercerai melahirkan anak di luar nikah enam bulan qamariah atau sebelum empat tahun setelah perkahwinannya dibubarkan, tanpa berkahwin semula.
Dalam kitab-kitab fikah sebab had empat tahun untuk masa penentuan bapa dijelaskan. Dalam akta ini langsung tidak dijelaskan. Selain daripada itu mengapa ada had waktu empat tahun? Gunakan saja pemeriksaan DNA antara bekas suami dan anak itu, jika hal ini dibawa ke mahkamah bila-bila masa sebelum atau sesudah empat tahun.
Mengapa kita mengikat diri pada cara pengesahan dan pembuktian dari zaman lampau yang kurang ketat daripada cara pembuktian DNA yang lebih ketat dan tidak memakan waktu tahunan atau bulanan?
Dari segi Islam penentuan DNA jauh lebih afdal, lebih semestinya daripada menyiasat dan menunggu pengakuan berbulanan atau tahunan. Dari segi aliran pemikiran fikah yang menjalankan penambahan, peninggalan dan pembaruan hukum-hukum, yang telah diberikan contoh oleh imam-imam besar kita. Akta Undang-Undang Keluarga Islam kita ini masih banyak kekurangannya.
Setakat ini saya akan menyentuh satu lagi iaitu Bab VIII, Seksyen 122.
Seksyen yang ada digugurkan dan digantikan Seksyen 122 yang baru, dalam pindaan akta baru ini. Seksyen 122 yang baru ini memberi mahkamah kuasa pembahagian harta sepencarian dan membekukan aset suami atau isteri. Ini perlu ditinjau secara lebih teliti kerana kuasa mahkamah untuk perintah menjual dan membeku aset.
Kegagalan mematuhi perintah boleh dikenakan hukuman penghinaan terhadap mahkamah. Di sini saya hanya menyatakan keraguan saya atas pelaksanaannya dan dasar keadilan pembahagian aset dan perintah jual jika perlu.
Hal ini elok ditinjau kembali oleh ahli-ahli hukum fikah dan ahli hukum lainnya dan juga mereka yang ahli dalam bidang lain yang ada kaitan dengan persoalannya. Saya yakin seluruh Akta Undang-Undang Keluarga Islam mesti diperkemas kembali mengingat bahawa akta ini disusun pada tahun 1984 dan pindaan yang telah diadakan hingga 1994 perlu juga ditinjau kembali.
Satu pindaan yang terakhir ini merupakan langkah ke belakang bukan langkah ke hadapan. Dalam akta yang ada, yang belum dipinda erti hukum syarak ialah ``undang-undang Islam dalam mana-mana mazhab yang sah''.
Dalam pindaan baru ertinya hukum syarak ``mengikut Mazhab Syafie, atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali''.
Pindaan bagi Bahagian 1, Seksyen 2, Akta Ibu.
Bidang hukum syarak diperbatas kepada hanya empat mazhab. Jika ada pasangan Syiah yang hendak membawa kesnya ke mahkamah boleh apa tidak? Umpamanya kalau seorang isteri ditipu oleh suaminya, atau dibelasah sampai patah gigi, boleh tidak minta cerai ke mahkamah dan mereka berdua itu warganegara Malaysia? Ke satu masjid sembahyang dengan yang lain boleh, meninggal dunia ditanam di kubur yang sama boleh, kahwin dengan yang lain boleh, naik haji sama-sama boleh. Apa halnya dengan ke Mahkamah Syariah?
Saya yakin jika Imam Syafie diminta pertolongan oleh orang-orang Syiah dalam menyelesaikan masalah hukum yang penting bagi mereka, Imam Syafie dengan segera dan ikhlas akan membantu mereka.
Undang-undang adalah cita
hidup sempurna intisarinya
jika terpandang sotong gurita
perhati anda jari-jarinya.
- PROF. DR. SYED HUSSEIN ALATAS ialah Fellow Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.
No comments:
Post a Comment