Pages

Ads 468x60px

Saturday, January 14, 2006

Jangan pertikai mahkamah

Jangan pertikai mahkamah
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang masih mempertikaikan keputusan kes tertentu di mahkamah berkenaan.

Presiden PGSM, Muhamad Burok, berkata pihaknya kesal dengan kenyataan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikan sesuatu keputusan hakim selepas ia dibicarakan.

"Kelantangan pihak tertentu mempertikaikan keputusan mahkamah boleh dianggap satu kesalahan di sisi undang-undang iaitu menghina mahkamah.

"Saya merayu kepada pihak terbabit agar menghentikan segala pertikaian mengenai keputusan mahkamah terutama berkenaan kes Wira Everest, Muhamad Abdullah atau M Moorthy," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat membincangkan perkara itu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Pada mesyuarat itu, pihaknya bersetuju mengemukakan memorandum berhubung salah tafsiran mengenai Akta Undang-Undang Keluarga Islam termasuk berkaitan Perkara 121 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Muhamad, memorandum itu akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja, menteri Kabinet dan semua pejabat mufti negeri.

"Pada mesyuarat ini, PGSM menetapkan enam usul iaitu akan mengadakan perbincangan dengan semua NGO berkaitan dan menggesa pihak terbabit menghentikan kenyataan yang dianggap tidak menghormati keputusan mahkamah syariah dan sivil.

"PGSM tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis sekiranya pihak berkenaan masih ingkar," katanya.

Katanya, pihaknya cuba sedaya upaya menerangkan kepada umum pentingnya undang-undang syariah agar tidak dicampuradukkan dengan undang-undang sivil.

"Kami akan melantik pasukan khas terdiri peguam syarie berpengalaman untuk menghadapi sebarang situasi membabitkan undang-undang dan agama Islam.

"Selain itu, dalam memorandum itu nanti, kami turut menekankan kepentingan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan beragama," katanya.

Muhamad berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang berani mempertikaikan hak orang Islam termasuk membabitkan kes di Mahkamah Syariah.


©The New Straits Times Press (M) Berhad
Harian Metro Online- 14/1/2006

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text