Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 19, 2006

Peguam perjelas soal tukar agama

Peguam perjelas soal tukar agama
Oleh FAUZI JAAFAR

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Pengamal undang-undang berpendapat undang-undang sedia ada terutama dalam konteks tukar agama dari bukan Islam kepada Islam sudah jelas.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat adalah lebih wajar jika orang bukan Islam dibenarkan membuat tuntutan dalam soal tukar agama dari bukan Islam kepada Islam di Mahkamah Syariah.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar berkata, perkara mengenai tukar agama telah termaktub dalam undang-undang sedia ada. ``Kalau kita lihat, Mahkamah Tinggi juga telah membuat keputusan iaitu kes tukar agama dari agama bukan Islam kepada Islam adalah terletak di bawah Mahkamah Syariah...ini sudah jelas,'' kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengenai banyak perkara dalam perlembagaan yang kurang jelas dan perlu diperbaiki terutamanya berkaitan konteks tukar agama.

Zainul Rijal berkata, bukan sahaja Mahkamah Tinggi yang memutuskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam hal-hal berkaitan agama Islam tetapi juga Mahkamah Sivil.

``Kalau kita lihat ini, ia sudah jelas. Cuma ia dipertikaikan bila ada pihak yang masih tidak berpuas hati,'' katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan jika ada hasrat untuk memansuhkan Perkara 121(1A) iaitu antara lain mengatakan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan dalam keputusan atau yang mana sesuatu itu di bawah kuasa Mahkamah Syariah.

``Jika ini dimansuhkan atau diubah yang akan memberi kuasa untuk Mahkamah Sivil menyemak keputusan Mahkamah Syariah, lebih baik Mahkamah Syariah yang menjadi panduan orang Islam di negara ini dimansuhkan,'' kata beliau.

Tegasnya, Mahkamah Syariah berasaskan kepada hukum syarak dan berbeza dengan Mahkamah Sivil dalam membuat keputusan.

Sementara itu, Profesor Salleh Buang menyifatkan ia sebagai langkah ke belakang jika kerajaan ingin meminda Perlembagaan yang berkaitan menukar agama bukan Islam kepada Islam.

Dahulu, katanya, Mahkamah Syariah dibayangi Mahkamah Sivil sehinggalah pada tahun 1998 yang meletakkan Mahkamah Syariah sebagai satu mahkamah yang berkuasa dalam soal agama Islam tanpa campur tangan Mahkamah Sivil.

``Saya tak nak cakap banyak mengenai isu ini, nanti orang marah tetapi apa yang penting ialah adakah kita (orang Islam) mahukan Mahkamah Syariah dibayangi oleh Mahkamah Sivil,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya sebarang pindaan dalam konteks tukar agama membabitkan orang bukan Islam memeluk agama Islam mesti mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

``Saya berpendapat isu ini perlu diserahkan kepada Majlis Raja-Raja kerana Sultan adalah ketua agama,'' kata beliau.

Tambahnya, jika ada sesiapa yang ingin mengusulkan pindaan terhadap Perkara 121(1A), ia mestilah merujuk kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text