Pages

Ads 468x60px

Saturday, January 14, 2006

Pindaan tidak jejas Islam

Pindaan tidak jejas Islam:Kerajaan kaji Perlembagaan selepas mendengar pandangan, maklum balas semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan muktamad


KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan sebarang pindaan pada Perlembagaan Persekutuan termasuk Perkara 121 (1A) tidak akan menjejaskan kedudukan Islam yang terus ditadbir Mahkamah Syariah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata rakyat, terutama Melayu tidak perlu bimbang kerana kerajaan yang sedang mengkaji Perlembagaan sentiasa mendengar pandangan dan maklum balas semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kita akan membuat keputusan yang memberi kepuasan kepada semua pihak tanpa menjejaskan kedudukan Islam yang ditadbir Mahkamah Syariah," katanya ketika diminta mengulas pendirian kerajaan mengenai Perlembagaan yang memperuntukkan Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa dalam perkara membabitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Timbalan Perdana Menteri ditemui selepas merasmikan Kursus Khas Setiausaha Umno Bahagian di Institut Budaya Baru Melayu (IBBM), Hulu Klang, dekat sini semalam.

Kursus tiga hari anjuran ibu pejabat Umno itu dihadiri semua Setiausaha Umno bahagian dari seluruh negara. Turut hadir Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad; dan Setiausaha Kerja Umno, Brig Jen (B) Datuk Husainay Hashim.

Sebelum ini, Kabinet mengarahkan Peguam Negara supaya mengkaji undang-undang sedia ada serta Perlembagaan untuk melihat sama ada perlu dibuat sebarang perubahan atau penjelasan.

Ia termasuk mengkaji sama ada undang-undang sekarang tidak memberikan sebarang ruang kepada Mahkamah Sivil mendengar perkara membabitkan Islam atau ia berpunca daripada hakim Mahkamah Sivil yang keberatan menggunakan kuasanya.

Sebelum ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan agama meminta kerajaan mempertimbangkan saranan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Mahkamah Sivil diberi hak mendengar kes berkaitan Islam yang membabitkan individu bukan Islam.

Isu membabitkan Perkara 121 (1A) itu timbul berikutan perebutan mayat pendaki gunung Everest, M Moorthy atau Mohamad Abdullah yang memeluk Islam. Status agama bekas anggota tentera itu dipertikaikan balunya, S Kaliammal yang mendesak mayatnya disempurnakan mengikut agama Hindu dan membawa kes itu ke mahkamah.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Sivil untuk tidak mencampuri urusan Mahkamah Syariah yang memperakukan Moorthy sebagai seorang mualaf tanpa mendengar bantahan balunya mendapat reaksi negatif mengenai peraturan Islam yang diguna pakai di negara ini.

Moorthy yang lumpuh sejak tujuh tahun lalu memeluk agama Islam pada 11 Oktober 2004 berdasarkan rekod Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi).

Mahkamah Tinggi Syariah mengisytiharkan Moorthy beragama Islam dan perlu dikebumikan mengikut hukum syarak. Jenazahnya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, di sini selepas sembilan hari menjadi rebutan.

Mengulas kes Moorthy, Najib berkata, beliau menganggap ia sudah selesai kerana mahkamah sudah membuat keputusan.

"Pada prinsipnya, pada masa depan diharap kes seumpama ini dapat ditangani dengan baik dan memberi kepuasan kepada semua pihak," katanya.




©The New Straits Times Press (M) Berhad
BH Online 14/1/2006

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text