Kita mempunyai dua sistem perundangan yang telah wujud sejak sekian lama dalam harmoni dan seiringan. Kes-kes ini menunjukkan wujud tanggapan bahawa satu sistem itu lebih rendah daripada yang satu lagi, seolah-olah tidak setanding dan setaraf. Persepsi inilah yang perlu dikikis.
Bagaimanakah gambaran ini boleh wujud? Kita terus terang saja: Sistem syariah lebih rendah daripada sivil?
MUHAMAD: Gambaran ini dibentuk oleh mereka yang tidak faham tentang kedua-dua sistem ini. Apabila tidak tahu, tidak kenal apatah lagi tidak cinta, mereka mula memperlekehkannya dan dengan prejudis mengatakan sistem sivil lebih baik daripada syariah.
Kenapa sampai boleh jadi begitu? Bukankah perundangan Islam itu wujud lama sebelum sistem sivil yang datang bersama penjajahan?
MUHAMAD: Kepada saya, silapnya ialah kita semua - orang Islam sendiri yang tidak mahu memberi pendidikan bukan saja kepada saudara seislam tetapi juga kepada orang bukan Islam. Bukankah itu tanggungjawab kita?
Inilah yang menyebabkan sistem keadilan Islam seolah-olah dipinggirkan dan tidak dibahaskan sejak sekian lama. Ini yang mengakibatkan orang bukan Islam merasakan bahawa mereka akan diprejudiskan dan tidak mendapat keadilan di mahkamah syariah.
Apakah tanggapan itu betul?
MUHAMAD: Tidak. Konsep utama dalam institusi kehakiman ialah menegakkan keadilan; meletakkan yang hak kepada yang berhak. Hak tetap hak, batil tetap batil. Malah itulah juga tujuan sebenar sistem sivil. Oleh kerana tidak faham kepada sistem keadilan inilah timbulnya prasangka bahawa tidak ada keadilan di mahkamah syariah. Itulah yang dapat kita lihat dalam perbahasan-perbahasan yang berbangkit selepas kes Moorthy, sebelum timbulnya kes Nyonya Tahir. Masalahnya kita tidak mahu mengkaji hukum syarak sebaliknya hanya melihat apa yang tercatat dalam akta dan enakmen.
Apakah itu sebabnya kita gagal memartabatkan kehakiman syariah?
MUHAMAD: Kita gagal kerana orang Islam sendiri tidak menghargai dan mendaulatkan sistem Islam itu. Kita, dan ini termasuk saya sendiri, gagal melaksanakan tanggungjawab itu walaupun kita sudah lama merdeka.
Kita sepatutnya bersyukur kerana negara ini ada dua sistem perundangan di negara ini tetapi malangnya kita tidak kasih dan tidak prihatin untuk menyebar dan mendidik orang Islam dan bukan Islam tentang sistem perundangan Islam.
Alhamdulillah, tidak lama selepas kes Moorthy, Allah menunjukkan pula kepada kita kes Nyonya Tahir yang mana orang bukan Islam dijemput oleh mahkamah syariah untuk membantu ia memutuskan keadilan.
Kenapa Mahkamah Syariah boleh mendengar keterangan orang bukan Islam dalam kes Nyonya Tahir dan tidak kes Moorthy?
MUHAMAD: Inilah yang berlaku apabila tidak ada keyakinan kepada sistem keadilan. Dalam hal ini, mungkin juga kita menjadi bijaksana selepas sesuatu perkara sudah berlaku. Kita sudah melihat kesannya, dan tidak mahu ia berulang lagi.
Pada asasnya tidak ada apa-apa yang menghalang orang bukan Islam untuk didengar oleh mahkamah syariah. Yakinlah kepada sistem yang ada. Inilah tugas kita sekarang - meyakinkan masyarakat.
Kewibawaan Mahkamah Syariah nampak lebih rendah daripada Mahkamah Majistret. Perintah hakim syarie tidak dihormati seperti perintah majistret misalnya. Kenapa?
MUHAMAD: Tetapi tidak bermakna sistem itu lemah, cuma pelaksanaannya saja yang bermasalah. Mahkamah Majistret wujud dalam sistem sivil yang telah dimantapkan sejak sekian lama. Mahkamah Syariah wujud sudah agak lama tetapi tidak dimantapkan.
Saya tidak mahu gunakan perkataan dipinggirkan kerana saya akan berasa sangat sedih. Tetapi saya tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa ia telah disampingkan, kalaupun tidak dipinggirkan.
Sekiranya ia diberi prasarana dan tenaga manusia yang diperlukan seperti yang ada di Mahkamah Sivil, insya-Allah tanggapan negatif itu tidak timbul.
Apa pandangan Tuan Haji mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Syariah?
MUHAMAD: Saya sanjung cadangan itu. Kalau kita boleh buat kajian yang mendalam secara sistematik dan strategik, kita boleh overhaul sistem yang ada.
Tetapi kita pernah ada laporan Allahyarham Tun Syed Nasir?
MUHAMAD: Inilah silap kita. Apabila ada perkara berbangkit, kita ghairah untuk buat sesuatu tetapi kita selalu lupa tindakan susulannya. Peringkat awalnya cantik dan molek tetapi tiada susulan.
Orang juga tidak hormat kepada Mahkamah Syariah kerana perundangannya berbeza mengikut negeri. Orang boleh lari daripada penguatkuasaan kalau dia misalnya berpindah negeri. Bagaimana orang hendak yakin?
MUHAMAD: Inilah realitinya dan kita mesti mengakui realiti ini. Menyedari keadaan inilah usaha-usaha penyeragaman undang-undang syariah mula dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu. Ini adalah satu langkah yang positif cuma masalahnya ia lambat diseragamkan dan lambat pula dikuatkuasakan. Sepatutnya tidak harus timbul masalah kerana undang-undang itu telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.
Harapan daripada seluruh episod ini?
MUHAMAD: Harapan saya ialah suatu hari nanti sistem sivil dan syariah, dapat disatukan menjadi sistem yang mantap. Malah kalau kita lihat ada banyak nilai murni dalam Islam yang boleh diterapkan ke dalam sistem sivil. Sebagai seorang pengamal undang-undang itulah yang saya hendak lihat berlaku.
Melihat masa depan apakah yang harus dilakukan untuk memartabatkan Mahkamah Syariah?
MUHAMAD: Kita harus menimbulkan keyakinan masyarakat kepada sistem keadilan Islam itu sendiri. Kita bukan saja harus memantapkan prasarana di mahkamah syariah tetapi pada masa yang sama meningkatkan kewibawaan pegawai mahkamah dan peguam syarie.
Kita kekurangan hakim. Hakim-hakim yang ada pula kurang berpengalaman. Kita selama ini tidak membetulkannya secara strategik tetapi membuatnya secara tampal cantum. Ada koyak yang lain, kita tampal dan cantum lagi.
Kita mesti mula melihatnya secara menyeluruh. Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim semasa hayatnya sudah menunjukkan caranya. Anggaplah apa yang beliau lakukan itu dulu sebagai amanah dan wasiatnya yang harus kita teruskan.
No comments:
Post a Comment