Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 24, 2006

Mahkamah putus Nyonya Tahir bukan Islam

Mahkamah putus Nyonya Tahir bukan Islam


SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam memutuskan, Nyonya Tahir (gambar), 89, yang status agamanya mencetuskan kontroversi ketika meninggal Khamis lalu, bukan beragama Islam ketika kematiannya.

Sehubungan itu, Hakim Mohd Shukor Sabudin mengarahkan mayat wanita itu diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut adat istiadat dan upacara Buddha.

Keputusan itu selepas hakim mendengar permohonan ex-parte perisytiharan Islam yang dikemukakan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Pengarah JHEAINS.

Mohd Shukor berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes berkaitan kepentingan orang Islam, termasuk masalah akidah yang berlaku di negara ini.

Katanya, keputusan itu juga mengambil kira afidavit yang dikemukakan oleh anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt, 40, serta keterangannya bersama kakaknya, Chiang Kwang Ying, 43, di mahkamah semalam.

"Selepas mendengar serta meneliti keterangan waris Nyonya dan bukti yang dikemukakan di mahkamah, mahkamah memutuskan bahawa Nyonya Tahir, bernombor kad pengenalan 180425-04-5054 @ 02033418 bukan beragama Islam ketika kematiannya.

"Mahkamah membenarkan ahli-ahli waris si mati untuk menguruskan pengebumian mayat berkenaan. Mahkamah mengarahkan Hospital Tampin menyerahkan mayat kepada waris si mati," katanya.

Terdahulu, Mohd Shukor memetik riwayat Sheikh Abu Sujak daripada Kitab Kifayatul Akhyar yang bermaksud 'Barang siapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat, dan jika tidak, dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam'.

Nyonya, 89, meninggal dunia kerana sakit tua jam 4 petang Rabu lalu di rumahnya di Taman Indah, Tampin. Status agama Nyonya disedari oleh anggota polis di Balai Polis Tampin apabila anak dan cucunya datang membuat laporan kematian.

Dalam salinan kad pengenalan Nyonya jelas menunjukkan dia Melayu dan beragama Islam sedangkan anaknya menggunakan nama Cina dan beragama Buddha.

Berikutan itu, Jumaat lalu, Ah Fatt memohon keputusan mahkamah bagi menentukan status agama Nyonya dan permintaan keluarganya untuk mengebumikan mayat wanita itu mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Peguam Syarie, Siti Harlina Shahran mewakili plaintif, manakala Koo Chin Nam yang dibantu Kevin Koo S K, bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Nyonya.

Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok, yang juga peguam syarie, bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak persatuan itu.

Turut hadir pada prosiding semalam ialah Pengarah JHEAINS, Datuk Zaharudin Mohd Shariff; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah, Datuk Gan Chin Yap; Adun Temiang, Datuk Lee Yuen Fong; Adun Rahang, Datuk Yip Chee Keong dan Adun Chuah, Foo Ming Chee.

Siti Harlina sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ah Fatt, 40, telah mengemukakan afidavit bagi meminta supaya mayat ibunya disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Kandungan afidavit itu antara lain berhubung keputusan laporan penyiasatan Pejabat Agama Islam Alor Gajah, Melaka pada 7 Mei 1986 mengenai laporan bersekedudukan antara Nyonya dengan suaminya, Chiang Meng.

Dokumen penyiasatan itu ditulis oleh Pemeriksa Hal Ehwal Agama I Daerah Alor Gajah, Melaka, Abd Azit Abdullah melalui kadi daerah yang dialamatkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka.

Antara kandungan laporan siasatan itu ialah Nyonya dilahirkan pada 1918 di Alor Gajah, Melaka dan dipelihara sejak kecil oleh neneknya, seorang Melayu yang berkahwin dengan seorang mualaf Cina berketurunan Hailam.

Hasil penyiasatan itu mendapati sejak dipelihara oleh neneknya, wanita itu mendapat asuhan dan didikan mengikut budaya serta agama Buddha.

Pada 1936, ketika berusia 18 tahun, dia melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki Cina bernama Chiang Meng dan dikurniakan 13 anak. Sejak itu, Nyonya mengamalkan ajaran Buddha dan memakan babi, manakala suaminya itu tidak pernah memeluk Islam.

Abd Azit dalam laporannya berkata, hasil penyiasatan mendapati wanita itu membuat pengakuan untuk kekal dalam agama Buddha dan sekiranya mati, dia mahu disemadikan mengikut cara Buddha.

Ah Fatt turut mengemukakan akuan bersumpah ibunya yang mengatakan bahawa dia tidak akan kembali kepada Islam dan jika mati, dia mahu disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Ketika ditanya oleh mahkamah mengenai tujuan utama afidavit itu dibuat, Ah Fatt berkata, ia mahu meminta mahkamah memulangkan mayat ibunya bagi disemadikan mengikut agama Buddha.

Ah Fatt berkata, sepanjang hidup, ibunya tidak pernah mengamalkan ajaran Islam tetapi secara konsisten mengamalkan cara hidup Cina dan menjadi penganut agama Buddha yang setia.

"Saya tinggal bersama ibu sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir dan beliau pada sepanjang masa mengamalkan cara amalan agama Buddha dan tidak agama Islam," katanya.

Sementara itu, Kwai Ying memberitahu mahkamah, ibunya membuat wasiat dalam akuan bersumpahnya bahawa dia tidak akan kembali kepada agama Islam dan meminta disemadikan mengikut cara agama Buddha.

"Ketika ibu sakit baru-baru ini, dia berpesan supaya disemadikan bersebelahan kubur ayah kami. Nama Cina ibu saya ialah Wong Ah Kiu. Kami pada 1986 telah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi urusan penukaran namanya itu tetapi ditolak," katanya.

Pegawai Agama Alor Gajah Melaka, Kamarul Saman Yaacub, 42, yang turut dipanggil memberikan keterangan, mengesahkan laporan yang dibuat oleh Ab Azit pada 1986. Beliau mengemukakan salinan asal dokumen itu kepada mahkamah.

Ketika ditanya oleh mahkamah berhubung tindakan susulan pejabat agama setelah menerima laporan bersekedudukan itu, beliau menjawab: "Saya tidak tahu."


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text