Pages

Ads 468x60px

Monday, January 23, 2006

Hentikan tindakan persoal undang-undang syariat

Hentikan tindakan persoal undang-undang syariat
Monday, January 23 @ 10:48:17 MYT

Persepsi buruk ini jika berterusan akan mengancam perpaduan kaum dan
saling hormat menghormati antara agama di negara ini yang telah ujud
sejak sekian lama.

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Hrkh)-Rakyat bukan Islam diminta menghentikan
tindakan mempersoalkan peruntukan undang-undang syariat kerana ia
boleh membawa persepsi buruk terhadap mereka di kalangan umat Islam.

"Kegagalan kita memahami segala hikmah di sebalik peruntukan
peruntukan ini dengan menyerang institusi Mahkamah Syariah hanya akan
memburukkan lagi persepsi orang Islam terhadap bukan Islam di negara
ini."

Demikian sikap dan pandangan Lajnah Perpaduan Nasional PAS. Pendirian
ini disampaikan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh
pengerusinya, Mujahid Yusof Rawa.

Pendirian ini dibuat oleh lajnah itu setelah mengikuti perkembangan
isu pengislaman Moorti dan debat tentang hak dan kuasa Mahkamah
Syariah.

Dalam konteks ini, Lujnah Perpaduan Nasional PAS mengambil sikap
berhati-hati dalam menangani kes ini yang dianggap sebagai menguji
kewibawaan artikel 121 (1A) dan sekaligus menyentuh persoalan sensitif
tentang kewibawaan Mahkamah Syariah yang sedia ada dalam kerangka
Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, lajnah itu melihat persoalan 121 (1A), mesti
ditangani oleh semua pihak dengan penuh sikap bertanggunjawab dan
tidak melihat isu ini dalam konteks politik sempit dan penuh emosi
sehingga menggadai kepentingan negara dan perpaduan serta tidak
menghormati semangat dan ruh Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, mereka menyeru semua pihak supaya;

"1. Tidak menimbulkan isu sensitif tentang urusan dan perkara yang
dikhususkan untuk mentadbir hak hak orang Islam dalam perlembagaan
negara, antaranya ialah hak perundangan yang dikuatkuasakan melalui
peruntukan peruntukan dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

"2. Menghormati hak ke atas urusan umat Islam di Malaysia, sebagaimana
yang diperuntukan oleh Syariat Islam yang suci dan tidak campurtangan
dalam urusan ini sebagai melaksanakan peruntukan dalam Deklarasi Hak
Asasi Manusia PBB, bahawa mana mana penganut agama berhak melaksanakan
amalan dan perintah agamanya tanpa prejudis.

"3. Berhenti daripada mempersoalkan peruntukan undang undang syariat
terhadap persoalan memeluk Islam dan kemurtadan serta apa juga
konsekuensi dari kes kes ini yang merupakan peruntukan di dalam agama
Islam. Kegagalan kita memahami segala hikmah di sebalik peruntukan
peruntukan ini dengan menyerang institusi Mahkamah Syariah hanya akan
memburukkan lagi persepsi orang Islam terhadap bukan Islam di negara
ini.

"Persepsi buruk ini jika berterusan akan mengancam perpaduan kaum dan
saling hormat menghormati antara agama di negara ini yang telah ujud
sejak sekian lama.

"4. Dakwaan dwi sistem kehakiman (mahkamah sivil dan mahkaman syariah)
yang dikatakan menjadi masalah, sebenarnya mesti dilihat dari sudut
sejarah perundangan negara yang sejak zaman kesultanan Melaka lagi
telahpun menjadikan undang undang syariat sebagai tunggak penyelesian
masalah perundangan.

"Undang undang Sivil hanya dikenali di negara ini pada zaman penjajah
yang membawa versi undang undangnya mengikut persepsi dan
latarbelakang budaya dan sejarahnya untuk diadaptasikan dalam iklim
masyarakat Malaysia.

"Ujudnya Mahkamah Syariah di negara ini perlu diberi penghargaan
kerana peranannya memelihara keamanan dan keharmonian sepanjang
sejarah kita, bukan cacian dan penghinaan serta merendahkan status dan
kewibawaanya.

"5. Peruntukan 121 (1A), perlu dilihat juga dalam peruntukan
peruntukan lain tentang kedudukan Agama Islam dalam perlembagaan
Persekutuan, khususnya hak negeri negeri menggubal undang undang bagi
kepentingan orang Islam.

"Usaha pindaan 121 yang dilakukan pada tahun 1988 adalah sebagai
penegasan dan pengukuhan kepada memelihara bidang kuasa Syariah yang
sebelum pindaan dilihat terkongkong dan tidak dapat melaksanakan
bidangkuasanya yang berwibawa. Usaha meminda semula akan membawa jarum
jam kebelakang dan sekaligus meremehkan usaha pakar pakar perundangan
yang telahpun melihat dan membuat kajian terperinci bagi menyelaraskan
bidang kuasa antara dua mahkamah yang diamalkan di Malaysia."

Menurut Mujahid, berpandukan kepada sebab sebab di atas, Lujnah
Perpaduan Nasional PAS menyokong supaya 121 (1A) dikekalkan bagi
menjamin perpaduan kaum dan bagi memelihara kesejahteraan dan ruh
perlembagaan persekutuan yang menetapkan Islam adalah agama resmi
persekutuan.

Sokongan mengekalkan 121 (1A) ini, katanya, walaubagaimanapun mestilah
disertai juga usaha memperkemaskan pendekatan dan prosedur Mahkamah
Syariah supaya memperuntukan hak bagi bukan Islam untuk menuntut dan
dituntut di dalam Mahkamah Syariah.
-zs

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text