Pages

Ads 468x60px

Friday, January 20, 2006

IKIM perbetul salah faham

IKIM perbetul salah faham


KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan membantu
kerajaan menjelaskan salah faham serta mencari jalan penyelesaian
berhubung isu Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan)
(Pindaan) (2005) dan gesaan daripada beberapa pihak supaya
Perlembagaan Malaysia Artikel 121 (A) dipinda.

Ketua Pengarah Ikim, Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, berkata walaupun
pada peringkat awal IKIM tidak diminta memberi pandangan berhubung isu
itu, pihaknya akan berusaha menyelesaikan kebuntuan berkenaan.

"IKIM akan menganjurkan dialog bagi menjelaskan salah faham dan
mencari penyelesaian isu terbabit," katanya pada sidang media di Bilik
Gerakan IKIM, semalam.

Katanya, beberapa pihak berkaitan akan dijemput menyertai dialog itu
termasuk Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat;
Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat; Majlis Peguam
dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Selain itu, institusi pendidikan, universiti; Jabatan Peguam Negara,
Gabungan Peguam Syarie Malaysia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), wakil
persatuan keagamaan, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan
Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Sisters in Islam akan turut
dijemput.

"Surat jemputan sesi dialog itu akan dihantar kepada pihak terbabit
hari ini (semalam) dan berharap ia mendapat sambutan serta
dilaksanakan secepat mungkin,"

Beliau berkata, beberapa topik akan dibincang termasuk Konflik
Perundangan Sivil dan Syariah; Keadilan dan Kesaksamaan Dalam
Perundangan dan Penyelarasan Undang-Undang Islam di negara ini.

Melalui topik itu, katanya perkara yang akan dibincangkan ialah
Perlembagaan Malaysia dan Undang-Undang Syariah; Pentadbiran
Undang-Undang Syariah di Malaysia serta Kajian Kes dan Pendekatan
Perundangan.

Selain itu, Hak dan Kedudukan Wanita di Dalam Islam; Rang
Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Pindaan 2005): satu
tinjauan" serta Konsep Poligami dan Aplikasi Undang-Undang di
Malaysia.

"Buat masa ini, IKIM tidak boleh memberi pandangan berhubung isu
terbabit kerana tidak dipanggil untuk berbincang atau ditunjukkan
artikel serta dokumen sebenar mengenainya... jadi tidak adil bagi saya
memberi komen.

"Dengan itu, kita mahu menganjurkan sesi dialog dan mendapatkan apa
sebenar masalahnya. Kalau saya mengulas sekarang, ia hanya berdasarkan
laporan media," katanya yang kecewa apabila IKIM tidak diminta memberi
pandangan apabila isu itu berbangkit.



(c)The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text