Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 25, 2006

Kaliammal kemuka 50 alasan dalam rayuan - BH 25/1/2006

 

BH 25/1/2006


PUTRAJAYA: Balu Mohammad Abdullah @ M Moorthy memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Disember lalu yang memutuskan ia tidak mempunyai kuasa menyemak dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung status agama suaminya.

S Kaliammal yang diwakili peguam M Manoharan memfailkan rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, di Palace of Justice (POJ) di sini, pada jam 12 tengah hari semalam.

Dalam rayuannya yang mengandungi 50 alasan, Kaliammal menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pengarah Hospital Besar Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Kaliammal mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi silap apabila memutuskan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa atau tidak layak menentukan sama ada Moorthy beragama Islam atau Hindu.

"Hakim silap apabila tidak memutuskan bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sama ada Moorthy secara sahnya sudah memeluk agama Islam," katanya.

Kaliammal berkata, hakim juga tersilap apabila tidak memutuskan bahawa adalah beban MAIWP untuk memberi atau mengemukakan keterangan bagi menunjukkan bahawa Mohammad sudah memeluk Islam kerana beliau mencabar pertukaran agama suaminya dan masih penganut Hindu.

Katanya, jika benar Mohammad memeluk Islam, beliau mencabar dokumen penukaran agama yang tidak sah di sisi undang-undang dan ia terbatal.

Beliau mendakwa Mahkamah Tinggi tersilap apabila menolak permohonannya untuk mengambil jenazah Mohammad dan disemadikan mengikut agama Hindu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan itu.

Hakim Datuk Md Raus Sharif pada 28 Disember lalu juga menolak permohonan Kaliammal untuk mendapatkan deklarasi yang suaminya ialah penganut agama Hindu dan bukan beragama Islam pada tarikh kematiannya pada 20 Disember.

Permohonan Kaliammal bagi mendapatkan deklarasi bahawa semua dokumen penukaran agama Moorthy kepada agama Islam adalah tidak sah dan terbatal juga ditolak.

Bagaimanapun, Md Raus membenarkan permohonan Kaliammal untuk mengisytiharkan bahawa beliau adalah isteri Moorthy yang sah sehingga tarikh kematiannya.

Kaliammal memfailkan saman pemula pada 21 Disember lalu memohon perintah supaya HKL menyerahkan mayat suaminya serta merta untuk diuruskan mengikut upacara Hindu.

Keesokan harinya, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan jenazah Moorthy dikebumikan segera mengikut hukum syarak selepas mendapati dia memeluk Islam pada 11 Oktober 2004.

Pada prosiding itu, mahkamah syariah menerima 'borang pendaftaran memeluk agama Islam' daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bertarikh 14 Mei lalu yang mempunyai cap jari kanan Moorthy yang mengaku beliau memeluk Islam dan menggunakan nama Mohammad Abdullah.

Mahkamah syariah juga menerima dokumen 'keterangan masuk agama Islam' yang menyatakan Moorthy memeluk Islam tanpa dipaksa sesiapa, diajarkan mengucap dua kalimah syahadah dan diberi faham makna serta diterangkan Rukun Iman dan Islam di hadapan dua saksi.

Moorthy, 36, yang lumpuh dari pinggang ke bawah sejak tujuh tahun lalu, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi HKL jam 11.10 pagi 20 Disember selepas koma sejak 11 November tahun lalu.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text