Duta perkecil sistem perundangan
MERUJUK rencana 'Bersama Diplomat' bertajuk 'Turki tidak kisah digelar sekular', saya ingin memberi reaksi kepada pandangan Duta Besar Turki ke Malaysia, Barlas Ozener, yang menyatakan pelaksanaan perundangan sivil dan syariah di negara ini akan mencetuskan kemelut.
Kenyataan beliau tidak wajar dan seolah-olah memperkecilkan sistem perundangan negara. Sungguhpun masih ada kekurangan sistem syariah di negara ini, ia jelas memelihara hak umat Islam.
Oleh itu, tidak akan timbul konflik kerana perundangan Islam hanya diguna terhadap umat Islam. Bukan Islam pula tertakluk di bawah perundangan sivil.
Malaysia juga mencatatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dalam Perlembagaan. Oleh itu, pelaksanaan perundangan syariah di negara ini tidak patut dipertikaikan, apatah oleh diplomat asing.
Sejarah Turki tidak harus menjadi justifikasi terhadap negara yang menjalankan perundangan syariah dan sivil sekali gus. Selain berbeza sejarah, suasana budaya turut mencorakkan masyarakat Malaysia yang sudah cukup matang untuk menerima sistem dua perundangan ini.
Kenyataan yang dikeluarkan harus lebih berhati-hati dan mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat. Kenyataan mengenai perundangan negara adalah sensitif dan tidak patut disentuh secara sambil lewa.
Pelaksanaan perundangan syariah di negara ini juga bukan untuk menunjukkan Malaysia lebih Islam daripada negara lain, tetapi memenuhi kewajipan terhadap Islam.
Mengenai kenyataan 'setiap dosa yang dibuat adalah di antara individu dan Tuhan', masyarakat Malaysia sudah sebati dengan peranan memperingatkan satu sama lain ke arah kebaikan, sama ada yang Muslim atau bukan.
Ketaatan terhadap agama masing-masing mewujudkan suasana harmoni di kalangan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini.
Dengan kesedaran terhadap kekuasaan-Nya, masyarakat Malaysia sentiasa menjadi produktif dan progresif kerana menjauhi dosa.
Pandangan itu juga tidak sesuai, malah bertentangan dengan falsafah Rukun Negara.
Ditambah pula dengan konsep Islam Hadhari yang diterima baik pada semua peringkat termasuk bukan Muslim, mencerminkan pelaksanaan Islam dalam dasar pentadbiran negara tidak menggugat keharmonian masyarakat pelbagai bangsa, sebaliknya menjadi elemen penyatuan dan keharmonian Malaysia.
NAJMUDDIN MOHD NAWI,
Gombak, Kuala Lumpur.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
BH Online 14/1/2006
Saturday, January 14, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment