Isu Penyeragaman Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 telah mengundang pelbagai polemik perdana. Bermula dengan bantahan secara rasmi yang dikemukakan oleh sekumpulan NGO wanita yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan seterusnya diikuti oleh perbahasan hangat dan runtunan emosi sebilangan Ahli Parlimen dan Senator wanita di dalam Parlimen.
Tidak dinafikan bahawa pihak yang berwajib telah mengutarakan premis serta rasional masing-masing dalam melenturkan ketegangan yang sedang memuncak bagi mengimbangi desakan serta rasional pindaan tersebut dibuat. Terdapat sekurang-kurangnya lima isu kontroversi terhadap pindaan undang-undang tersebut yang ditimbulkan oleh pihak JAG yang selanjutnya berpegang bahawa undang-undang tersebut nyata tidak adil serta mendiskriminasi kaum wanita.
Sebagai seorang wanita khususnya dan sekaligus sebagai Pengamal undang-undang syariah, premis saya cukup mudah iaitu sewajarnya saya menyokong apa saja undang-undang yang diperuntukkan untuk kebaikan dan mampu memberikan keadilan untuk kaum wanita berdasarkan ketetapan agama. Namun demikian sekiranya wujud undang-undang yang dikatakan tidak memberi keadilan serta mendiskriminasi kaum hawa, maka pastinya saya tidak keseorangan dalam hal ini dan akan membentuk barisan bertindak saya sendiri bagi menghalang apa jua ketidakadilan terhadap wanita.
Saya berkesempatan untuk meneliti hujah lima isu kontroversi yang dibangkitkan di dalam memorandum yang dibentangkan oleh NGO terbabit iaitu:-
Seksyen 23(9)(b) : Hak suami untuk menuntut harta sepencarian daripada bahagian harta isterinya apabila dia berpoligami;
Seksyen 23(3) dan 23(4)(a) : Menjadikan poligami lebih senang terhadap lelaki;
Seksyen 23(9): Memaksa isteri memilih nafkah ATAU pembahagian harta sepencarian apabila suami berpoligami;
Seksyen 52(1) : Melanjutkan hak fasakh seorang isteri kepada suaminya;
Seksyen 107 A: Suami boleh memohon kepada Mahkamah untuk menahan/menegah isteri memindahkan hartanya sendiri.
Ternyata jangkaan awal saya tepat iaitu pandangan yang diutarakan tersebut nyata tidak berdasarkan maklumat yang tepat apatah lagi memenuhi intipati hukum syara�. Malah segala perbahasan rasionaliti serta justifikasi yang diberikan juga sangat mengelirukan dan saya yakin mereka bukan orang yang faqih serta selayaknya dalam membahaskan segala peruntukan undang-undang tersebut secara terbuka tanpa mendalami maksud serta hasrat sebenar penggubal undang-undang sewaktu undang-undang tersebut dibuat.
Terdahulu saya ingin menegaskan bahawa isu penyeragaman undang-undang Islam ini bukanlah isu yang baru memandangkan penegasan tersebut telah dibuat berdasarkan persetujuan Majlis Raja-Raja pada tahun 2001 berdasarkan keperluan semasa. Model Undang-undang Keluarga Islam tersebut telah melalui beberapa peringkat evolusi sebelum diperkenalkan dan dilaksanakan di beberapa buah negeri di Malaysia termasuk Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Walaupun terdapat beberapa negeri yang masih belum menerima pakai model Undang-undang seragam tersebut namun pelaksanaannya di negeri-negeri lain yang terlebih dahulu melaksanakan undang-undang seragam tersebut nyata berjalan dengan baik dan teratur.
Peruntukan berkaitan dengan poligami ibarat bom jangka, jika tidak dilaraskan punatnya dengan bijak, ia akan meletup serta meledakkan serpihan yang cukup menghiris dan melukakan. Di dalam peruntukan Seksyen 23 tersebut telah memperuntukkan bidangkuasa baru bagi Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan kes tuntutan harta sepencarian ketika ikatan perkahwinan masih terjalin dan dalam waktu yang sama, suami mengemukakan permohonan poligami. Pindaan ini dibuat demi untuk memelihara harta mutlak isteri serta harta sepencarian yang diperolehi secara bersama dalam tempoh perkahwinan tersebut daripada disalahgunakan oleh pihak suami untuk kepentingan dirinya. Ini bermakna hak dan kepentingan isteri pertama nyata diutamakan dalam keadaan tersebut. Apa yang saya ingin tegaskan adalah bahawa pihak-pihak perlu terlebih dahulu memahami maksud harta sepencarian dan hak masing-masing terhadap harta sepencarian tersebut berdasarkan sumbangan masing-masing dan pembuktian di Mahkamah Syariah. Tidak timbul lansung isu harta isteri yang lain akan dituntut oleh suami memandangkan Islam telah memberi pengiktirafan terhadap kaum wanita untuk memiliki harta sendiri secara mutlaq sebagai feme sole. Segala harta yang dimiliki, diperoleh, diusahakan dan harta yang diberikan kepada wanita tersebut adalah menjadi haknya sendiri. Malah suami juga sama sekali tidak boleh membuat tuntutan terhadap harta yang telah dihibahkan kepada isteri memandangkan ianya tidak termasuk di dalam definisi harta sepencarian dan pemberian secara hibah merupakan pemberian secara total dan tidak boleh dituntut semula.
Tidak perlu gusar dan curiga dengan istilah gender neutral yang merujuk kepada konotasi �mana-mana pihak� memandangkan di dalam isu pembahagian harta sepencarian, ternyata suami dan isteri mempunyai hak masing-masing berdasrkan sumbangan serta pembuktian yang jelas terhadap harta tersebut. Malah undang-undang yang sedia ada sememangnya telah mengiktiraf hak serta sumbangan baik isteri mahupun suami di dalam harta sepencarian tersebut berdasarkan kes Noh Bin Atan v. Shakila binti Mohamad (1998) 12 JH 27. Nah, sekiranya undang-undang Islam hanya memberikan hak kepada wanita sahaja apakah ia selayaknya dipanggil undang-undang Islam yang terkenal dengan keadilan dan kesaksamaan untuk semua pihak termasuk untuk lelaki dan wanita?
Selanjutnya berkaitan dengan dakwaan bahawa terdapat peruntukan yang memaksa isteri memilih nafkah atau pembahagian harta sepencarian apabila suami berpoligami adalah tidak benar sama sekali. Malah ia merupakan intepretasi yang cukup mengelirukan dan terpesong dari hasrat sebenar penggubal undang-undang tersebut. Premis saya kali ini kembali berpasak kepada maqasid syariah dan secara tegasnya peruntukan tersebut menyatakan bahawa bidang kuasa Mahkamah atas permohonan mana-mana pihak dalam perkahwinan itu ketika perkahwinan poligami suami di hadapan Mahakmah ke atas suatu perintah nafkah yang boleh dikenakan ke atas suami yang memohon poligami itu kepada isterinya yang ada. Malah Mahkamah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya apa-apa asset yang diperolehi oleh pihak berkenaan dalam masa perkahwinan suami isteri itu sebelum poligami dibahagikan di antara mereka.
Tidak timbul sama sekali isu bahawa perkataan �atau� yang dimaksudkan menjurus secara paksa agar isteri memilih diantara nafkah atau harta sepencarian. Malah sekali lagi perkataan yang digunakan adalah merujuk kepada permohonan �mana-mana pihak� iaitu samada suami atau isteri. Perlu diingat di dalam pembacaan peruntukan undang-undang, frasa �dan� dan �atau� mempunyai justifikasinya sendiri mengikut perspektif undang-undang. Perkataan �atau� di dalam seksyen tersebut tidak membwa maksud salah satu untuk memberikan ruang yang lebih fleksibel kepada isteri untuk memohon salah satu atau kedua-duanya sekali dan berdasarkan senario semasa setiap kes. Malah jika perkataan �dan� diletakkan untuk menggantikan perkataan �atau�, ia akan lebih mencelarukan keadaan terutama bagi suami yang tidak mempunyai harta sepencarian sedangkan maksud �dan� membawa implikasi wajib di sisi undang-undang.
Peruntukan undang-undang berkaitan dengan poligami juga dilihat sebagai semakin ketat dan bukannya lebih senang sebagaimana di dakwa. Malah mereka sepatutnya berterima kasih dan menarik nafas lega memandangkan dengan adanya undang-undang yang lebih ketat terhadap permohonan poligami yang lebih menjamin keadilan dan hak wanita di sisi undang-undang. Buat kaum lelaki, dengan ketatnya undang-undang poligami tersebut tidak bermakna ia merupakan ketidakadilan atau diskriminasi terhadap anda, tetapi lebih kepada pindaan kepada undang-undang yang lebih teratur supaya anda lebih bertanggungjawab dan mampu memberikan keadilan kepada isteri yang sedia ada dan bakal isteri. Berpoligami sama sekali tidak menyalahi hukum syara� namun ia harus ditangani dengan rasional bukan emosi, penuh hikmah dan tauladan menjunjung keadilan agar terus berkekalan.
Undang-undang berkaitan poligami tersebut nyata lebih tersusun apabila Mahkamah berhak memanggil isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang lain yang berkenaan untuk memberi keterangan bersabit dengan permohonan poligami suami tersebut. Moga tiada kejadian yang buruk akan berlaku sewaktu perbicaraan poligami tersebut memandangkan semua pihak terbabit akan dipanggil untuk menyatakan hak dan keperluan masing-masing.
Dalam masa yang sama terdapat pihak yang tidak berpuashati terhadap empat syarat yang harus dipatuhi oleh suami tersebut berdasarkan pindaan peruntukan undang-undang tersebut khususnya bagi frasa �patut atau perlu� dan ia sepatutnya dibaca sebagai �patut dan perlu�. Sekali lagi perbahasan ditumpukan terhadap frasa �dan� serta �atau�. Implikasinya berbeza dan justifikasinya jelas dan rasional. Sekali lagi perlu dipertegaskan bahawa perkahwinan poligami adalah perkahwinan yang diiktiraf oleh hokum syara� dan sedikit sebnayak melibatkan soal hati dan perasaan. Peruntukan undang-undang telah meletakkan perkataan �patut atau perlu� dan bukannya �patut dan perlu� bagi suami sewaktu memohon poligami harus dilihat dari perspektif yang berbeza. Secara jujurnya memang wujud keadaan patut atau perlu tersebut apabila dalam keadaan seorang suami yang mempunyai pendapatan yang rendah tidak patut berkahwin lain berdasarkan ketidakmampuannya, tetapi dia mungkin perlu untuk beristeri lagi jika isteri pertamanya tidak mampu melaksanakan kewajipan rumahtangganya termasuk menunaikan nafkah batin atau sekiranya isteri pertamanya mempunyai kecacatan fizikal seperti lumpuh anggota badan. Kes Aishah lwn Wan. Mohd Yusof (1990) 7 JH 152 tidak hanya menumpukan kepada isu serta syarat keperluan atau kepatutan tersebut sahaja malah Mahkamah membuat keputusan setelah meneliti keempat-empat syarat tersebut yang perlu dibuktikan satu persatu oleh suami tersebut. Ada baiknya juga untuk terus tidak mengundang polemic yang berterusan, perkataan yang membawa hasrat sebenar iaitu �adil� diletakkan bagi menggantikan perkataan �patut atau perlu� tersebut.
Berdasarkan hukum syara� tuntutan fasakh juga boleh dibuat oleh pihak suami untuk membubarkan sesebuah perkahwinan. Tidak timbul sama sekali bahawa fasakh merupakan hak isteri secara tradisinya dan dengan pindaan undang-undang yang membolehkan suami membuat tuntutan fasakh seolah-olah memberikan hak yang baru kepada suami selepas kuasa menjatuhkan talaq. Sekali lagi peruntukan berkaitan dengan permohonan faskah oleh suami atau isteri tersebut perlu diperhalusi dan dibuktikan di hadapan Mahkamah.Ia bukanlah kuasa baru yang diberikan kepada suami untuk menambah haknya untuk memfasakhkan perkahwinan selepas mempunyai kuasa terhadap talaq. Perlu diingat hak talaq adalah hak mutlaq di tangan suami dan mempunyai kesan serta implikasi dari segi bilangan talaq dan tuntutan selepas perceraian di mana suami berkewajipan untuk melunaskan tanggungjawab terhadap tuntutan selepas perceraian tersebut kepada isteri termasuk nafkah dan harta sepencarian. Manakala fasakh melibatkan pembuktian yang ketat dengan kewujudan aib di pihak suami atau isteri, umpamanya suami atau isteri yang telah menghilangkan diri dalam tempoh yang panjang tanpa sebarang makluman dan setelah dibuktikan fakta tersebut,maka mahkamah akan memfasakhkan perkahwinan tersebut. Adalah tidak adil bagi isteri untuk membuat sebarang tuntutan sedangkan perkahwinan tersebut telah dibubarkan kerana keaibannya sendiri.
Berkaitan isu peruntukan yang membolehkan mana-mana pihak untuk menghalang suami atau isterinya daripada melupuskan harta juga melibatkan pembuktian yang ketat dan prosedur yang kemas dan teratur. Malah harta yang berkaitan sahaja seperti harta sepencarian yang boleh dihalang dari dilupuskan dan ia tidak melibatkan harta milik persendirian isteri. Beban pembuktian yang ketat di letakkan ke atas pihak yang membuat permohonan injunksi menghalang harta tersebut ditegah daripada dilupuskan. Malah ia juga melibatkan prosedur yang teratur di bawah Akta Tatacara Mal dan pembuktian sebagaimana yang digariskan di dalam Akta Keterangan Syariah.
Mana mungkin Undang-undang Keluarga Islam tersebut dibaca bersendirian tanpa pembacaan selari dengan peruntukan di dalam akta-akta yang lain. Inilah hakikat perspektif undang-undang yang sedikit sukar bagi orang biasa untuk memahaminya apatah lagi jika dinilai tanpa sebarang latarbelakang perundangan dan sandaran hukum syara� yang kukuh.
Apa yang lebih menyedihkan saya lagi apabila isu tersebut turut memberikan impresi negatif terhadap Institusi Kehakiman Syariah Negara termasuk kritikan dan hentaman yang mengatakan Mahakamah Syariah tidak berlaku adil terhadap kaum wanita. Kelemahan dari segi sistem dan ketidakcekapan pengurusan mungkin kita boleh persoalkan tetapi jangan terus sembrono membuat kesimpulan bahawa Mahkamah Syariah menzalimi wanita.
Saya sesungguhnya percaya ramai wanita yang telah dibela nasib mereka di Mahkamah Syariah dan mendapat hak masing-masing mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syara� tanpa menafikan terdapat segelintir wanita yang masih bergelut untuk mendapatkan keadilan bagi pihak diri mereka sendiri. Adakalanya kita terlalu ghairah dan cukup emosi untuk mendapatkan keadilan tanpa berfikir panjang dengan penuh kewarasan. Malangnya kita juga tidak melalui proses dan tatacara yang teratur menyebabkan kita merasakan keadilan tidak berpihak kepada kita dan hak kita telah dizalimi. Tiada halangan untuk kita membuat permohonan sendiri dan mewakili diri sendiri tetapi sekali lagi saya pasti tidak semua wanita arif dan selayaknya mempunyai latar belakang perundangan yang mencukupi untuk memahami prosedur dan tatacara perjalanan Mahkamah termasuk proses pembuktian di Mahkamah Syariah. Sebab itulah adakalanya kita berhadapan dengan mehnah seperti kes tertangguh dan lewat buat sekian lamanya, kes dibuang dan perintah interim dan injunksi diluar jangkaan.
Di dalam menjalani prosiding Mahkamah, seseorang itu perlu pandai berhujah dengan kebenaran serta fakta yang lengkap malah perlu jelas dengan permohonan yang dibuat di hadapan Mahkamah. Namun demikian tidak semua wanita berkeupayaan bertindak secara solo sedemikian, dan memerlukan bantuan orang lain yang lebih mahir dan berkelayakan untuk membantu wanita dalam mengemukakan permohonan mereka di mahkamah iaitu Peguam Syarie. Tuntutan ini selaras dengan nasihat serta pandangan Rasulullah SAW yang bersabda,� Sesungguhnya aku ini seorang manusia, kamu datang mengadu pertikaian kamu kepada ku. Dan boleh jadi di kalangan kamu ada yang lebih petah dalam menghuraikan hujahnya daripada yang lain. Aku hanya memutuskan perkara yang dipertikaikan menurut apa yang aku dengar daripada keterangannya kerana pandainya ia memberi keterangan dan aku hukumkan baginya sesuatu daripada hak saudaranya bermakna aku telah memberikan kepadanya sepotong api neraka�
Hadis tersebut jelas menggambarkan keperluan untuk berhujah dengan kebenaran serta membayangkan bahawa jika seseorang tidak berkemampuan untuk berhujah dengan baik maka dia boleh melantik wakli. Di sinilah timbulnya konsep wakil dalam pertikaian yang diiktiraf oleh hukumsyara� iaitu al-Wakalah bi al-Khusumah.
Yang Arif Hakim juga mempunyai perkiraan dan pertimbangan serta budi bicaranya yang tersendiri berdasarkan peruntukan undang-undang dan sandaran hukum syara�. Barang diingat Yang Arif Hakim Syarie juga mendengar dan memutuskan sesebuah kes secara zahiri yakni yang jelas serta terang dari segi permohonannya dan pembuktiannya dan Allah SWT yang akan menghakimi secara tersiratnya. Malah Rasulullah Saw pernah memberi ingatan kepada para hakim agar berhati-hati dalam membuat keptusan dengan bersabda bahawa �Qadi terbahagi kepada tiga bahagian, dua masuk neraka dan satu masuk syurga. Yang Masuk syurga ialah qadi yang mengetahui kebenaran dan menghukumkan dengannya. Yang masuk neraka ialah qadi yang mengetahui mana yang benar dan hak tetapi tidak menghukum dengannya dan zalim dalam hukumannya, maka ia masuk neraka. Dan qadi yang tidak mengetahui yang hak, lalu ia menghukum manusia berdasarkan kejahilannya, maka ia juga akan masuk neraka.�
Ini bermakna integriti dan kredibiliti Peguam Syarie dan Yang Arif Hakim Syarie cukup tinggi apatah lagi profesion tersebut wujud di dalam sebuah institusi kehakiman syariah yang berlandaskan hokum syara� serta paksi wahyu ilahi. Penegasan juga harus ditekankan bahawa isu yang melibatkan agama Islam tidak boleh dibahaskan secara terbuka oleh semua pihak apatah lagi oleh orang yang bukan Islam yang boleh menjejaskan nama baik dan maruah Islam itu sendiri.
Saya sudah menyatakan premis saya dengan jelas dan tegas. Saya juga menggesa agar lebih banyak usaha dibuat untuk memahamkan masyarakat tentang isu penyeragaman dan pindaan undang-undang tersebut serta menyedarkan kaum wanita secara khususnya tentang keperluan celik undang-undang syariah bagi mengelakkan kekeliruan di dalam masyarakat sekaligus memastikan proses keadilan berlangsung dengan sempurna dan saksama untuk semua pihak. Keadilan sejagat yang kita perjuangkan bukannya keadilan untuk kepentingan diri sendiri tetapi merangkumi keadilan untuk semua pihak sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam dan justifikasi keadilan itu hanya berlaku apabila kita meletakkan sesuatu itu sesuai pada tempatnya.
Fadlina Siddiq*
*Beliau adalah Ketua Biro Undang-undang ABIM
di petik dari laman ABIM di http://www.abim.org.my/web/modules/news/article.php?storyid=646
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment