Pages

Ads 468x60px

Monday, January 16, 2006

Ulama perlu perjelas kebaikan Undang-Undang Keluarga Islam

Ulama perlu perjelas kebaikan Undang-Undang Keluarga Islam
UM 16/1/2006

MEKAH 15 Jan. - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ulama harus berusaha memperjelaskan kebaikan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005).

Beliau berkata, golongan ulama merupakan pakar dalam bidang syariah dan pada kesudahannya mereka perlu memberikan penjelasan berhubung sebarang kekaburan berkaitan undang-undang itu.

``Kementerian saya tidak mempunyai kepakaran. Kami terima apa juga aduan dan menyerahkannya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),'' katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan musim haji di sini pada Ahad.

Shahrizat, yang melawat pusat operasi Tabung Haji di Hotel Al-Habibah yang turut menempatkan pusat akhbar Malaysia, berada di Tanah Suci bagi mengerjakan Haji yang berakhir Jumaat lepas.

Beliau diberikan taklimat berhubung operasi Tabung Haji di sini oleh Ketua Delegasi Haji Malaysia Datuk Dr. Azmi Ahmad, yang juga Pengurus Besar Kanan (Haji) Tabung Haji.

Shahrizat, yang turut ditemui oleh sebilangan jemaah Malaysia yang menginap di hotel berkenaan, mengucapkan terima kasih kepada Kabinet kerana menangguhkan penguatkuasaan undang-undang itu bagi memberikan lebih banyak masa kepada pelbagai pihak untuk mengemukakan pandangan mereka berhubung isu itu.

Kabinet, pada mesyuaratnya yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Rabu lepas bersetuju untuk tidak mewartakan undang-undang itu sementara menunggu lebih banyak perbincangan mengenai apa yang didakwa oleh sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita sebagai tidak adil kepada golongan wanita Islam.

Beliau berkata, penangguhan dalam menguatkuasakan undang-undang itu akan memberi peluang kepada Jakim dan kementeriannya untuk bertemu serta menyuarakan pandangan mereka mengenai undang-undang yang menjadi kontroversi itu.

``Sebenarnya tidak ada masalah yang besar. Mana undang-undang pun boleh diperbaiki. Cuma saya nak peringatkan dalam menangani isu ini, apa jua keputusan yang kita ambil terutama kerajaan, tidak boleh tergelincir daripada syariah,'' katanya.

Beliau berkata, isu itu timbul memandangkan terdapat sesetengah wanita Islam yang bimbang kepentingan mereka mungkin terjejas kerana tidak memahami sepenuhnya peruntukan di bawah undang-undang berkenaan. - Bernama

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text