Pages

Ads 468x60px

Friday, January 20, 2006

Kabinet tangguh pewartaan

Kabinet tangguh pewartaan-PM mahu Undang-Undang Keluarga Islam yang cetus kontroversi dikaji semula

Kabinet tangguh pewartaan
Oleh Kadir Dikoh

PM mahu Undang-Undang Keluarga Islam yang cetus kontroversi dikaji semula

PUTRAJAYA: Kabinet semalam menangguhkan pewartaan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang menimbulkan kontroversi kerana dikatakan menindas wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata undang-undang yang diluluskan Parlimen pada 22 Disember lalu itu tidak akan diwartakan sehingga kajian semula mengenainya dilakukan.

Kabinet juga menerima dua nota masing-masing dari Pejabat Peguam Negara serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkaitan undang-undang berkenaan.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kedua-dua nota itu diteliti dan dibincangkan dengan lanjut sebelum dikemukakan semula kepada Kabinet.

"Beliau memandang serius perkara ini dan mahukannya diselesaikan segera," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya sama ada mesyuarat Kabinet minggu depan akan membincangkan semula isu itu setelah mengambil kira dua nota berkenaan, Mohamed Nazri berkata, ia bergantung kepada kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang kini mengerjakan haji.

Katanya, nota itu mengandungi pandangan kementerian berkenaan dan satu lagi ialah pandangan pihak Peguam Negara mengenai undang-undang berkenaan.

"Kita tidak mahu membincangkannya tanpa kehadiran Shahrizat kerana kementeriannya mungkin mempunyai pandangan tertentu.

"Apa saja keputusan yang kita buat di peringkat Persekutuan, kita akan berhubung dengan pihak negeri kerana soal membabitkan agama Islam berada dalam bidang kuasa Sultan.

"Shahrizat akan menemui Sultan mengenai apa saja keputusan itu nanti supaya undang-undang ini boleh dilaksanakan bukan saja di Wilayah Persekutuan, malah di semua negeri," katanya.

Mohamed Nazri berkata, undang-undang itu masih boleh dipinda dan kerajaan tiada masalah untuk berbuat demikian walaupun sudah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

"Apabila Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan, ia akan dihantar semula kepada kita tetapi ia tidak akan menjadi undang-undang sehingga kita meletakkan tarikh (mewartakan). Selagi tidak diwarta, kita tidak boleh menguatkuasakannya," katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga mahu perpaduan wujud dalam usaha berkenaan dan meminta pertubuhan bukan kerajaan membantu Shahrizat untuk menangani masalah berkaitan.Mesyuarat Kabinet semalam turut menyentuh isu berkaitan penukaran agama bekas pendaki Everest, Allahyarham Mohammad Abdullah @ M Moorthy dan mengarahkan Peguam Negara mengambil tindakan tertentu.

Mohamed Nazri berkata, Peguam Negara akan meneliti isu itu dari setiap sudut undang-undang sama ada pindaan perlu dilakukan dan Kabinet akan menunggu sebarang syor yang bakal dikemukakan nanti.

Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu sama ada Kabinet mengarahkan Peguam Negara untuk meneliti Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menyebut, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text