Pages

Ads 468x60px

Sunday, January 15, 2006

``Isunya bukan Moorthy saja'' - Munir Yahoob

``Isunya bukan Moorthy saja''
Mukadimah

KONTROVERSI status agama Sarjan M. Moorthy atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah terus berlarutan biarpun selepas mahkamah mengesahkan beliau adalah seorang Islam dan harus dikebumikan sebagai seorang Islam.

Tetapi kontroversi itu sekarang bukan lagi tentang soal Islam atau tidaknya Moorthy alias Mohamad semasa hidupnya. Kontroversi itu sekarang berlegar pada soal bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah bertolak daripada peruntukan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Kontroversi itu mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta supaya semua kekeliruan mengenai undang-undang dan perlembagaan berhubung perkara-perkara yang berkaitan dengan penukaran agama diperjelaskan.

``Kita mesti ada prosedur yang jelas berkenaan proses tukar agama,'' kata Prof. Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI.

Pensyarah di Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu berpendapat segala kontroversi ini timbul berpunca daripada satu masalah: Tiadanya ketelusan dan keterbukaan dalam proses pertukaran agama.

Bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ini percaya bahawa kontroversi seperti dalam kes Moorthy alias Mohamad itu boleh dielakkan sekiranya ahli keluarga dan waris terdekatnya diberitahu pertukaran agamanya.

``Ini bukan perkara yang boleh diambil mudah kerana pertukaran agama mempunyai implikasi dari sudut hukum,'' tegas Abdul Monir.

Dalam wawancara ini, Abdul Monir melontarkan beberapa idea yang barangkali boleh diberikan perhatian dalam kita mencari kejernihan di tengah-tengah kekeruhan ini. Beliau mencadangkan supaya prosedurnya diperkemaskan termasuk mensyaratkan kaunseling dan kursus prapertukaran agama.

MINGGUAN: Apakah yang perlu diperjelaskan tentang urusan penukaran agama ini?

ABDUL MONIR: Urusan penukaran agama kepada Islam ini tidak terhenti hanya setakat seseorang itu melafazkan syahadah dan didaftarkan statusnya sebagai seorang Islam. Pertukaran agamanya itu harus dimaklumkan kepada ahli keluarga dan waris terdekat.

Saya melihat kita harus ada satu prosedur yang telus, yang memberikan satu tempoh tertentu yang munasabah untuk perkara itu dimaklumkan kepada ahli keluarganya.

Kenapa pemberitahuan itu penting?

ABDUL MONIR: Ia ada implikasi hukum. Apabila salah seorang daripada pasangan suami isteri, misalnya, telah memeluk Islam, mereka tidak lagi boleh tinggal bersama sebagai suami isteri.

Saya percaya orang ramai merasakan perkahwinan itu serta-merta terbatal. Apakah begitu kedudukannya dari segi undang-undang?

ABDUL MONIR: Tidak. Undang-undang yang terpakai kepada orang bukan Islam ialah Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Seksyen 51 akta itu memperuntukkan bahawa perkahwinan itu hanya terbatal sekiranya ada permohonan yang dibuat oleh pihak yang tidak memeluk agama Islam.

Peruntukan ini telah menjadi masalah sejak sekian lama. Malah Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim pernah beberapa kali mencadangkan agar peruntukan itu dipinda bagi membolehkan kedua-dua belah pihak membuat petisyen untuk bercerai.

Siapakah yang sepatutnya memaklumkan pertukaran agama itu?

ABDUL MONIR: Kepada saya, pihak pendaftar harus memainkan peranannya dalam hal ini.

Melihatkan sekian banyak kes yang timbul berhubung soal masuk Islam ini, perkara ini tentunya tidak berlaku?

ABDUL MONIR: Ya, terpulang kepada inisiatif orang yang masuk Islam itu sendiri. Apa yang membimbangkan saya ialah dalam keadaan tidak berlaku kematian sekalipun, hal ini telah menjadi satu masalah kerana ia menyentuh soal hukum.

Kita tidak boleh hendak menyalahkan orang yang baru masuk Islam itu kerana saya beranggapan mereka saudara baru dan tidak bolehlah kita mengharapkan mereka tahu semua hukum.

Kita andaikan tanggapan Dr. itu betul. Dalam keadaan itu, kenapa pihak berkuasa agama tidak mengambil inisiatifnya sendiri? Kenapa tidak proaktif?

ABDUL MONIR: Ini mungkin kerana tidak ada prosedur mengenainya. Kita harus ada prosedur yang membolehkan urusan pertukaran agama itu diketahui oleh pihak yang sepatutnya tahu mengenainya - dalam hal ini ahli keluarganya sendiri, baik suami, isteri mahupun anak-anak.

Saya boleh terima kita tidak ada prosedur, cuma saya musykil kenapa tidak ada langkah yang lebih proaktif? Kalau tidak ada prosedur, kenapa tidak diusahakan? Orang masuk Islam, keluar Islam ini bukan cerita baru, bukan masalah baru. Kenapa harus tunggu berlaku kontroversi seperti kes Moorthy baru terfikir tentang prosedur, baru hendak buka mata?

ABDUL MONIR: Saya setuju dengan pandangan saudara. Jawatankuasa Teknikal Penyelaras Undang-Undang Syarak dan Sivil sekarang ini hanya memikirkan dari segi undang-undang yang terpakai apabila ada orang mahu keluar daripada agama Islam.

Saya berpendapat ia harus juga mengemaskinikan undang-undang yang ada apabila seseorang memeluk agama Islam. Apa yang ada sekarang ini hanyalah prosedur yang biasa dan tidak menjadi satu tanggungjawab kepada pendaftar untuk memaklumkan pertukaran agama itu kepada ahli keluarga terdekatnya.

Saya berharap urusan pertukaran agama atau masuk Islam ini tidak harus diselindungkan atau dibuat secara sembunyi-sembunyi. Kita harus terbuka. Kita harus meletakkan peraturan bahawa ia harus dimaklumkan kepada pihak yang berkenaan terutama ahli keluarganya.

Dalam keadaan yang telus dan terbuka itu, apakah lagi yang perlu dilakukan?

ABDUL MONIR: Kita harus juga memaklumkannya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh tertentu supaya ia tidak mencetuskan sebarang kontroversi pada kemudian hari.

Ini penting supaya rekod yang ada pada JPN dapat dikemas kini, dan sekiranya berlaku sesuatu kontroversi seperti ini, kita ada pihak ketiga yang boleh mengesahkan status agama seseorang itu.

Apa maksud Dr. dengan pihak ketiga?

ABDUL MONIR: JPN menjadi pihak ketiga. Dalam kontroversi seperti ini, kita harus juga menghormati pandangan orang bukan Islam. Saya percaya oleh kerana semua pihak yang terlibat adalah orang Islam, mahu tidak mahu ia menimbulkan prejudis di kalangan orang bukan Islam. Mereka mungkin merasakan ini kerja pakat-pakat antara orang Islam. Prejudis itu menyebabkan mereka rasa tidak puas hati.

Tetapi kalau ada pihak ketiga seperti JPN, prejudis ini tidak mungkin timbul kerana ia adalah sebuah badan bebas yang tidak ada unsur agama. Saya percaya kalau ada mekanisme untuk mengemaskinikan rekod itu di JPN kita boleh mengelakkan prejudis dan rasa tidak puas hati ini. Kita boleh mewajibkan supaya maklumat pertukaran itu dimaklumkan kepada JPN.

Dr. yakin proses yang lebih telus boleh mengatasi masalah yang timbul selama ini?

ABDUL MONIR: Insya-Allah, tidak mustahil. Memeluk agama Islam kepada saya bukanlah sesuatu yang harus disembunyikan kerana ia bukan ajaran yang salah di negara ini. Ia agama yang diakui oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kita tidak mahu lagi orang sembunyi-sembunyi masuk Islam. Kita mahu terbuka dan telus supaya orang tahu ia adalah atas kerelaan hatinya sendiri, bukan kerana tekanan atau paksaan.


Apa mesejnya kalau tidak telus dan terbuka?

ABDUL MONIR: Ia akan mencetuskan kecurigaan dan buruk sangka di kalangan orang bukan Islam, bukan sahaja terhadap Islam malah juga kepada pentadbiran Islam itu sendiri. Ini adalah sesuatu yang harus kita elakkan kerana kita sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Adalah menjadi harapan saya pertukaran kepada agama Islam juga boleh diterima, sama seperti mana masyarakat bukan Islam menerima pertukaran ke agama lain, misalnya seorang yang sebelum ini beragama Hindu kemudian memeluk agama Kristian. Saya amat berharap masalah seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang, dan dapat diperbaiki dengan mewujudkan satu prosedur yang telus dan terbuka.

Apakah pengajaran daripada episod ini?

ABDUL MONIR: Kita harus belajar memahami agama-agama lain bagi mengelakkan salah faham yang timbul seperti sekarang ini. Masalahnya konflik ini timbul kerana orang bukan Islam mempunyai tanggapan yang salah mengenai pertukaran agama kepada Islam.

Mereka harus memahami bahawa dalam Islam ada mazhab-mazhabnya, sama seperti Kristian yang ada fahaman Katolik dan Protestan, misalnya. Kita di Malaysia ini berpegang kepada mazhab Shafie. Jadi sebelum memeluk agama Islam mereka harus faham bahawa apabila sudah Islam mereka tidak lagi boleh bertukar kepada agama yang asal. Itu ajaran yang dipegang oleh mazhab Shafie.

Kalau mereka mendengar pandangan daripada pendakwah luar yang datang ke negara ini yang mengatakan bahawa tidak ada paksaan dalam agama dan sebagainya, mereka akan terkeliru. Mereka harus faham bahawa ada implikasi undang-undang apabila mahu keluar daripada Islam.

Dalam hal ini, orang mungkin berhujah dari segi hak asasi manusia. Tetapi saya hendak mengingatkan bahawa tidak semua negara Islam menerima konsep hak asasi manusia dalam kaitan pemelukan agama. Memang betul kita menerima hak kebebasan memilih agama dan mengamalkan agama tetapi apabila seseorang itu telah memilih agama Islam, dia haruslah menerima agama Islam sepenuhnya termasuklah apa yang telah diputuskan oleh para ulama.

Kalau masyarakat menerima ini semua dan memahami undang-undang, saya fikir masalah seperti ini tidak akan timbul. Masalahnya sekarang isu ini timbul kerana emosi kita mengatasi fikiran yang rasional.

Walaupun tidak ada prosedur yang mewajibkan pihak berkuasa agama memaklumkan kepada waris tentang ahli keluarga mereka yang masuk Islam, ia masih ada ruang untuk berbuat begitu. Tetapi masalahnya selepas seseorang itu memeluk Islam mereka ditinggalkan terkontang-kanting, tidak dijenguk dan dibimbing. Ini cerita yang biasa kita dengar. Kenapa ini tidak berlaku?

ABDUL MONIR: Ini mungkin kerana pihak berkuasa agama menganggap ada pihak-pihak tertentu yang boleh menangani hal itu itu termasuk Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan beberapa NGO lain.

Tetapi kepada saya kita boleh menggunakan kekuatan yang ada pada institusi zakat untuk membantu urusan ini. Kenapakah tidak kita gunakan peruntukan yang ada untuk mualaf sebagai satu daripada lapan asnaf yang layak menerima zakat untuk tujuan-tujuan ini?

Kita boleh wujudkan satu sistem untuk membantu saudara baru ini, dan bukannya hanya mengharapkan daripada NGO kerana mereka juga ada halangan dan masalah yang tersendiri.

Tidakkah ini satu fardu kifayah; kalau tidak ada orang yang maklumkan, semua kita berdosa?

ABDUL MONIR: Ya, saya setuju. Apatah lagi kita sudah ada peruntukan zakat yang besar. Kenapa kita abaikan keperluan mereka ini? Kenapa kita hanya nampak golongan fisabilillah saja?

Dalam melihat isu-isu yang timbul dalam soal pertukaran agama ini, kita harus juga melihat aspek ini iaitu menggunakan wang zakat untuk kepentingan golongan mualaf. Jangan kita hanya mendaftarkan mereka dan kemudian meninggalkan mereka begitu saja.

Kenapa kita boleh sampai ke tahap yang runcing seperti ini? Kita ada banyak peluang untuk mengelakkan masalah keluarga tidak tahu-menahu seseorang itu telah memeluk Islam tetapi kita semacam tidak menggunakan peluang itu. Kita ada peluang, pertama, semasa seseorang itu memeluk Islam. Kita juga ada banyak peluang kemudian, dari masa ke masa, kalau ada program bimbingan ke rumah, misalnya. Dr. setuju atau tidak dengan saya?

ABDUL MONIR: Saya setuju. Bukan setakat itu saja, sekarang ini tugas kita semacam selesai selepas bertanyakan kerelaan hatinya memeluk Islam dan dia mengucap dua kalimah syahadah. Habis setakat itu saja.

Adakah kita memaklumkan juga tugas dan tanggungjawab yang harus diberikan oleh saudara baru itu selepas dia memeluk Islam? Tentang kedudukan perkahwinannya, tentang hubungannya sebagai suami isteri, tentang tanggungjawabnya kepada anak-anak, dan sebagainya.

Apakah ada sesi kaunseling sebelum seseorang itu memeluk Islam, menjelaskan tentang tugas dan tanggungjawabnya?

ABDUL MONIR: Inilah yang sebaik-baiknya. Kita jangan terlalu cepat menerima seseorang yang hendak memeluk agama Islam. Kita jangan ambil mudah perkara ini kerana ia boleh menimbulkan masalah di kemudian hari.

Kalau kita boleh ada kursus praperkahwinan, kenapa kita tidak boleh ada kursus untuk orang yang hendak memeluk Islam?

Memeluk agama lain adalah suatu hal yang tentunya lebih besar daripada berkahwin. Barangkali elok kalau kita ada satu kursus prapertukaran agama Islam bagi menjelaskan tugas dan tanggungjawab mereka selepas memeluk Islam nanti. Selepas menghadiri kursus itu barulah mereka memutuskan sama ada hendak memeluk Islam atau tidak.

Faktor perkahwinan sebagai pendorong untuk seseorang itu memeluk agama Islam adalah satu perkara yang lain. Apa yang penting, dia mesti tahu tanggungjawab-tanggungjawab yang dituntut sebagai seorang Islam.

Kita bukan saja mahu seseorang itu memeluk Islam dengan rela hati tetapi pada masa yang sama, dia harus juga memahami apa maknanya menjadi seorang Islam. Apabila seseorang itu sudah memeluk Islam dia harus bersetuju untuk menerima segala peraturan dan tanggungjawab yang datang bersama keputusannya itu.

Kalau kita bergantung hanya kepada mengucap kalimah syahadah, saya rasa di tepi jalan pun sudah banyak orang yang mengucap, misalnya ikut menyanyi lagu (kumpulan nasyid) Raihan.

Apakah orang bukan Islam yang menyanyikan lagu itu sudah boleh kita katakan sebagai memeluk agama Islam, kalau kita mengatakan syahadah sudah memadai? Tidak. Kita harus memastikan bahawa hasrat dan niat seseorang itu selari dengan perlakuannya memeluk Islam.

Saya fikir kalau kursus ini dapat dilakukan, insya-Allah semua pihak akan berpuas hati dan tidak ada mana-mana pihak yang rasa kehilangan atau rugi. Apa yang penting ialah kita turut menjaga hati dan hubungan dengan keluarga walaupun selepas memeluk Islam.

Memeluk Islam tidak bermakna hubungan kekeluargaan itu terputus langsung. Hubungan itu masih ada. Malah dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini, hubungan itulah yang hendak dijaga dan dipertahankan, tanpa prejudis.

Dr. yakin masalah ini boleh selesai?

ABDUL MONIR: Insya-Allah. Apa yang menjadi masalah ialah tanda tanya dan buruk sangka. Tetapi pada masa yang sama, saya juga percaya bahawa cara yang terbaik ialah mereka yang memeluk Islam itu sendiri yang menjelaskannya kepada keluarga masing-masing.

Apa yang kita bincangkan setakat ini ialah proses yang berlaku ketika seseorang itu memeluk Islam. Tetapi bagaimana apabila ada pertikaian selepas berlaku kematian atau ada perebutan harta sehingga membawa ia dirujuk ke mahkamah?

ABDUL MONIR: Dalam rangka Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang, jelas bahawa tidak ada remedi untuk orang bukan Islam kerana masalah bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Kes-kes perundangan yang diputuskan oleh mahkamah telah menjelaskan keadaan ini.

Tetapi walau bagaimanapun mereka harus ada tempat untuk mendapatkan keadilan.

Bagaimana mereka boleh mendapatkan keadilan? Ada pihak mencadangkan supaya Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dimansuhkan, dan mahkamah sivil diberi kuasa untuk memutuskan isu-isu seperti ini.

ABDUL MONIR: Kita tidak perlu memansuhkan Artikel 121(1A) kerana amalan sekarang ialah mahkamah sivil masih mempunyai bidang kuasa dalam beberapa perkara melibatkan Islam dan orang Islam termasuk soal wakaf melalui Akta Pemegang Amanah.

Dalam hal orang bukan Islam memeluk agama Islam, saya berpendapat pertimbangannya harus diberikan kepada mahkamah sivil kerana asalnya orang itu dianggap sebagai bukan beragama Islam dan sekarang mahu membuktikan bahawa dia Islam. Bagaimanapun mahkamah sivil dalam membuat keputusannya hendaklah mengambil kira pandangan pakar daripada ulama.

Tetapi sebaliknya dalam soal orang yang beragama Islam mahu keluar daripada Islam, tempat rujukannya ialah di mahkamah syariah kerana asalnya orang itu beragama Islam dan sekarang mahu membuktikan dia bukan lagi Islam.

Adakah selama ini kita telah tersalah tafsir Artikel 121(1A) itu, dengan mengatakan bahawa mahkamah sivil langsung tidak mempunyai bidang kuasa ke atas hal-hal menyentuh Islam?

ABDUL MONIR: Kita tersalah tafsir kerana pindaan itu bukanlah sesuatu yang muktamad. Masih banyak ruang yang ada pada mahkamah sivil untuk melaksanakan bidang kuasanya seperti dalam soal wakaf, misalnya.

Kepada saya, peruntukan itu telah mendatangkan kekeliruan kerana ia tidak muktamad.

Adakah selama ini kita keliru?

ABDUL MONIR: Keliru dalam erti kata peruntukan itu ada tetapi amalannya masih lagi seperti dahulu, seperti sebelum pindaan peruntukan itu.

Dalam urusan pentadbiran dan pembahagian harta orang Islam misalnya, mahkamah syariah hanya boleh mengesahkan bahagian faraid tetapi surat kuasa pentadbiran harta itu hanya boleh dikeluarkan oleh mahkamah sivil. Ini hanyalah satu daripada beberapa contoh yang ada.

Saya berpendapat selagi undang-undang ini tidak dipinda supaya selaras dengan peruntukan Artikel 121(1A), selagi itulah pindaan tahun 1988 itu belum muktamad. Saya percaya kekeliruan ini juga bukanlah hasrat Parlimen ketika ia meluluskan pindaan ke atas Artikel 121(1A) pada tahun 1988. Saya percaya ia juga tidak menjangka akan timbul masalah-masalah seperti ini, akibat beberapa peruntukan mengenai Islam dan orang Islam dalam beberapa undang-undang yang masih tidak dipinda.

Ibarat menukar pakaian. Adakah maksudnya pada tahun 1988 itu, kita sudah menyalin baju tetapi tidak sempat menukar seluar?

ABDUL MONIR: (ketawa). Maksudnya tidak lengkap? Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim semasa hayatnya telah menulis banyak makalah mengenai isu ini - tentang undang-undang lain yang perlu dipinda.

Apa yang patut kita buat sekarang?

ABDUL MONIR: Inilah peluang untuk kita melihat semua isu mengenai pentadbiran undang-undang Islam yang sebenarnya masih tertunggak.

Kita jangan menyempitkan perhatian kita hanya kepada soal pertukaran agama semata-mata. Ia hanyalah satu daripada masalah yang berbangkit. Kes Moorthy itu satu hal tetapi kita harus juga meluaskan skopnya.

Saya tidak fikir kita perlu memansuhkan Artikel 121(1A). Kita harus sebaliknya memikirkan usaha ke arah mewujudkan bahagian syariah di mahkamah sivil yang hakim-hakimnya terdiri daripada mereka yang terlatih dalam undang-undang syariah dan sivil. Tugas mereka ini nanti bukan hanya untuk melihat kes-kes melibatkan soal tukar agama tetapi juga soal-soal perbankan Islam dan takaful serta harta.

Kita harus juga mula melihat kemaslahatan dan keadilan untuk orang Islam.

UM Online - 15/1/2006

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text