Pages

Ads 468x60px

Monday, January 23, 2006

Keluarga perlu tunggu keputusan mahkamah

Keluarga perlu tunggu keputusan mahkamah

PUTRAJAYA: Keluarga seorang wanita berusia 89 tahun yang meninggal
dunia Khamis lalu dan mencetuskan kontroversi berhubung
pengebumiannya, perlu menunggu keputusan Mahkamah Syariah sama ada dia
akan dikebumikan mengikut adat istiadat agama Buddha atau Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa
Abdul Rahman, berkata anak Nyonya Tahir perlu menunggu keputusan itu
walaupun mendakwa mempunyai bukti ibu mereka itu sudah keluar Islam
menerusi surat akuan sumpah.

Katanya, biar Mahkamah Syariah memutuskan sama ada surat akuan sumpah
keluar dari agama Islam di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Chong Yong Mok
bertarikh 19 Julai 1991 dan dokumen yang dikeluarkan Pejabat Agama
Islam dan Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah, Melaka bertarikh 7 Mei
1991, boleh diterima atau tidak.

"Biarlah mahkamah menentukan, menjalankan tugasnya bagi mendapat
keadilan dan saksama," katanya ketika dihubungi semalam.

Mustafa berkata, mengikut enakmen agama Islam negeri sedia ada,
mana-mana orang Islam yang keluar dari agama Islam tidak boleh dengan
sewenangnya membuat deklarasi bahawa mereka tidak lagi mahu
mengamalkan ajaran Islam.

Katanya, mereka perlu mengemukakan permohonan sebelum ia diputuskan di
Mahkamah Syariah kerana hanya mahkamah syariah boleh menentukan
rasional tindakan itu sebelum memutuskan sama ada menerima permohonan
berkenaan atau tidak.

Bagaimanapun, katanya setakat ini belum ada sebarang laporan mengenai
permohonan menukar status agama yang dibuat di mahkamah syariah.

Baru-baru ini, Berita Harian melaporkan kematian Nyonya Tahir
mencetuskan kontroversi apabila keluarganya ingin menjalankan upacara
pengebumian mengikut adat istiadat Buddha sedangkan wanita itu
berketurunan Melayu dan Islam.

Polis yang menerima laporan kematian Nyonya Tahir daripada keluarganya
merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)
selepas maklumat pada kad pengenalan wanita itu mencatatkan dia
berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Sehubungan itu, JHEAINS memperoleh perintah Mahkamah Syariah untuk
menangguhkan upacara pengebumian Nyonya Tahir mengikut adat istiadat
Buddha sehingga kes itu didengar di Mahkamah Tinggi Syariah, hari ini.

Dalam surat akuan sumpah itu juga, Nyonya Tahir mengaku sejak kecil
dipelihara mengikut asuhan dan didikan orang Cina. Dia juga meminta
jika mati hendaklah dikebumikan mengikut adat istiadat agama Buddha.

Dokumen itu menyebut, siasatan dijalankan Pejabat Agama Islam dan
Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah, Melaka mendapati Nyonya Tahir
berkahwin dengan Chiang Meng pada 1936 dan suaminya tidak pernah
memeluk Islam serta mereka menjalani kehidupan bersama 13 anak dengan
mengamalkan agama Buddha.

Dokumen itu juga menyebut Nyonya Tahir tidak berniat kembali kepada
Islam dan membuat perakuan terus hidup mengikut tradisi Cina dan jika
mati ditanam mengikut upacara Buddha.

Berikutan itu, keluarga wanita berkenaan meminta bantuan Jawatankuasa
Biro Agama MCA Pusat bagi membantu mereka menyampaikan dokumen itu
kepada Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, yang mendengar kes itu hari
ini.

Timbalan Pengerusi Biro Agama MCA Pusat, Koo Chin Nam yang juga
seorang Peguam Syarie dipetik sebagai berkata, pihaknya akan
menyampaikan segala dokumen yang dikemukakan keluarga wanita itu
kepada mahkamah untuk dipertimbangkan dan diteliti.

(c)The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text