Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 24, 2006

Pengalaman Fatimah Az-Zahra dan Saidina Ali


SABARIAH SALLEH.
UM 24/1/2006

Aisyah hanya berusia sembilan tahun ketika dikahwinkan dengan Rasulullah s.a.w.. Kehidupan rumah tangganya selama 10 tahun di sisi Baginda membentuk penampilan Aisyah sebagai wanita yang berpengetahuan tinggi.

Perkahwinan pada usia yang terlalu muda juga tidak menghalang Aisyah mengimbangi dua kehidupan dalam usia yang muda: sebagai isteri dan intelektual Islam yang berjaya.

Dengan mengambil contoh keperibadian Aisyah dan Rasulullah s.a.w., mampukah pasangan yang berkahwin dalam usia muda memikul cabaran alam rumah tangga dan menghayati peranan masing-masing bagi memastikan perkahwinan yang dibina kekal ke akhir hayat?

Penolong Pengarah Unit Pembangunan Keluarga, Bahagian Perundangan Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sabariah Salleh mengulas isu ini.

Beliau yang pernah bertugas sebagai Pendaftar di Mahkamah Syariah Selangor dari tahun 1991 hingga 1996 berkata, asas perkahwinan dalam Islam harus berdasarkan kepada empat konsep iaitu mengenali pasangan masing-masing termasuk latar belakang keluarga dan rakan-rakannya, sekufu (setaraf), kasih mengasihi dan reda antara satu sama lain. "Sekiranya pasangan mengenali hati budi masing-masing, maka secara tidak langsung akan wujud persefahaman dan saling bertolak ansur dalam perkahwinan. Sebab itu Islam menggalakkan berkahwin dengan lelaki atau perempuan yang setaraf, bukan sahaja melibatkan kedudukan dan harta benda tetapi dari segi agama dan keturunan. Malah umur juga memainkan peranan penting. Dengan itu akan wujud perasaan kasih terhadap pasangan dan mereka reda untuk hidup bersama," jelas beliau mengenai konsep asas dalam perkahwinan.

Menurut Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor No. 2 Tahun 2003, Seksyen 8 Bab Umur minimum untuk perkahwinan, tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah enakmen itu jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Sabariah menjelaskan, jika ada pasangan yang memilih untuk berkahwin di bawah umur dan mereka perlu mendapatkan kebenaran Hakim Syarie terlebih dahulu.

Mahkamah akan meneliti kemampuan pasangan, contohnya kalau berkahwin pada usia 17 tahun dan baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mampukah bakal suami menyara isteri dan anak-anak. Dalam perkara ini, komitmen keluarga amat penting kerana dikhuatiri berlaku kejadian yang tidak diingini menimpa suami.

Tegas Sabariah, mendapatkan persetujuan ibu bapa kedua-dua belah pihak adalah penting sebelum meneruskan niat mendirikan rumah tangga sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor No. 2 Tahun 2003, Seksyen 13 dalam bab persetujuan yang dikehendaki.

Harmoni

"Kita perlu ingat bahawa sesiapa sahaja boleh berkahwin tetapi tidak ramai yang mampu membina rumah tangga yang harmoni. Ada satu isu yang perlu diperjelaskan di sini iaitu apabila suami hilang keupayaan menyara keluarganya, misalnya dia kemalangan dan lumpuh seumur hidup dan isteri tidak bekerja, maka orang yang bertanggungjawab mengambil alih tugas tersebut ialah bapa kepada suami dan sekiranya tidak mampu, adik-beradik lelaki kepada suami perlu bertanggungjawab dan seterusnya barulah pihak keluarga si isteri ataupun pihak berkuasa agama seperti Baitulmal dan Pusat Zakat.

"Sebaliknya, apa yang berlaku ialah isteri akan pulang ke pangkuan keluarganya semula dan keluarga mertua tidak mahu bertanggungjawab. Sebab itu perkahwinan harus mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku," jelas Sabariah.

Perkahwinan pada usia muda adalah satu cabaran terutama ia membabitkan soal emosi, sensitiviti dan perasaan cemburu. Malah keinginan untuk bebas juga masih menguasai diri, tambahan pula dikelilingi rakan-rakan yang masih belum berkahwin. Tidak kurang juga sifat orang muda yang suka kepada aktiviti sosial dan mereka juga mudah 'melihat' orang lain walaupun sudah mendirikan rumah tangga.

Dalam Islam tidak ditentukan had umur tertentu untuk berkahwin. Sebagai contoh Aisyah yang berkahwin ketika berumur sembilan tahun dan Khadijah yang juga isteri Nabi berkahwin pada usia 40 tahun. Namun, kedua-duanya mampu memikul tanggungjawab sebagai isteri dengan sempurna.

Persediaan individu untuk memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri diukur dari aspek kematangan emosi dan persediaan fizikal dan sosial. Jika kemantapan ekonomi dijadikan ukuran kepada sebuah perkahwinan, ia bukanlah satu masalah besar kerana yang paling penting adalah persefahaman dan menerima pasangan seadanya.

"Saya tidak menafikan hal ini tetapi berdasarkan pengalaman rakan-rakan saya yang berkahwin ketika masih belajar, alhamdulillah, perkahwinan mereka kekal hingga ke hari ini walaupun mereka pernah sama-sama susah suatu waktu dulu. Maknanya, perlu wujud persefahaman dan memahami keperluan masing-masing yang perlu ke kuliah dan menyiapkan tugasan," cerita Sabariah mengenai pengalaman rakan-rakannya yang berkahwin semasa di menara gading.

Pasangan yang berkahwin muda perlu mencontohi kisah Fatimah az-Zahra, iaitu puteri kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Ali, seorang pemuda yang terdidik dengan sifat kemuliaan dan keberanian. Perkahwinan mereka dianugerahkan lima orang anak.

Ketika berkahwin, Fatimah hampir berumur 18 tahun dan mendapat bekas air yang diperbuat daripada kulit, sebuah kendi tanah, sehelai tikar dan batu penggiling jagung sebagai mahar daripada ayahnya.

Nabi juga pernah berkata kepada puterinya, "Anakku, aku telah menikahkanmu dengan lelaki yang kepercayaannya lebih kuat dan lebih tinggi daripada yang lainnya, dan seorang yang menonjol dalam hal moral dan kebijaksanaan."

Alam rumah tangganya berjalan lancar dalam suasana yang sederhana. Fatimah melaksanakan tugasnya seperti menggiling jagung dan mengambil air telaga dan Ali pula bekerja keras mencari nafkah untuk keluarga. Malah mereka juga terkenal dengan budi pekerti yang tinggi dan bersifat dermawan.

Fatimah meninggal dunia di sisi Ali dan anak-anaknya pada usia 28 tahun, enam bulan selepas kewafatan Baginda dan dimakamkan di Jannah al-Baqi', Madinah.

Semasa hayatnya, Nabi Muhammad s.a.w. pernah menyatakan bahawa Fatimah akan menjadi 'Ratu segenap wanita yang berada di syurga'.


No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text