Pages

Ads 468x60px

Saturday, January 21, 2006

kredibiliti Mahkamah Syariah: PGSM akan ambil tindakan

kredibiliti Mahkamah Syariah: PGSM akan ambil tindakan
Friday, January 20 @ 20:02:17 MYT


Oleh SAIDATUL AMANI
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Hrkh) - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memberi amaran kepada mana-mana individu dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis jika masih terus menghina dan mempersoalkan krediabiliti institusi kehakiman khususnya Mahkamah Syariah.

Presidennya, Muhammad Burok berkata, PGSM bimbang dengan kenyataan melampau yang seolah-olah sengaja ditimbulkan oleh individu dan NGO yang mempertikaikan serta mencabar hak orang Islam.
Menurut beliau, kebimbangan itu timbul memandangkan kenyataan mempertikaikan hak orang Islam yang sudah termaktub dalam Perlembagaan tidak ada sekatan atau teguran langsung daripada pihak kerajaan.

Katanya, terlalu banyak kenyataan yang sengaja dikeluarkan oleh NGO tertentu sehingga pandangan atau penjelasan daripada wakil PGSM langsung tidak dihiraukan oleh pihak kerajaan.

Rang Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang telah diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember 2005 telah mencetuskan bantahan di kalangan NGO wanita sehingga menimbulkan kontroversi di kalangan rakyat Malaysia.

Berhubung bantahan itu, PGSM telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut yang dihadiri semua Peguam Syarie, ahli akademik, Hakim Syarie dan NGO.

Mesyuarat itu diadakan di Mahkamah Syarie Kuala Lumpur pada 13 Januari lalu. Turut hadir Ketua Biro Undang-undang Wanita Umno, Dato' Kamaliah Ibarhim, Kamar Aniah dan Dr Zulkifli Nordin.

Dalam mesyuarat itu, PGSM memutuskan akan mengadakan satu konvensyen yang dihadiri semua NGO Melayu Islam bagi membincangkan secara menyeluruh tindakan yang akan diambil berkenaan dengan isu yang sedang hangat dipertikaikan.

"PGSM juga akan menubuhkan satu pasukan Peguam Senior untuk mengendalikan kes-kes seperti ini jika ia akan timbul di masa akan datang. Dengan cara ini kita dapat membantu Mahkamah untuk mencari keadilan serta memberi keputusan yang lebih menyeluruh dan adil," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat diadakan.

Sebagai Presiden, Muhammad Burok telah memutuskan PGSM akan memberikan penerangan kepada seluruh orang Islam tentang isu yang dipertikaikan oleh pihak tertentu melalui khutbah Jumaat.

Katanya, penerangan itu perlu dilakukan segera supaya orang Islam serta pihak yang menimbulkan bantahan faham tentang kepentingan kandungan Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan.

"Kita tahu ramai yang masih kabur tentang kandungan 121 (A) yang menyentuh kebebasan beragama, kita tidak mahu orang lain mempertikaikan hak agama orang Islam," tegasnya.

Beliau mendesak pihak dan NGO tertentu menghentikan daripada terus membuat kenyataan menghina Mahkamah Syariah kerana kenyataan itu menggambarkan bahawa mereka tidak menghormati keputusan Mahkamah yang sedia ada di negara ini.

Katanya, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa tersendiri yang termaktub dalam Perlembagaan begitu juga Mahkamah Sivil yang ada kuasa untuk memberikan keputusan.

Muhammad Burok turut terkilan dengan sikap dan pendirian orang Islam yang tidak menyebut kepada umum keistemewaan Allahyarham Muhammad bin Abdullah (Moorthy) setelah Allahyarham meninggal dunia.

"Beliau sudah memilih agama Islam kalau meninggal dunia sudah tentu mahu ditalqin dan dikebumikan sebagai orang Islam. Malangnya isu ini ditutup dan tidak dibincangkan sebaliknya yang ditonjolkan hak isteri dia sahaja," luahnya. - mns

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text