Pages

Ads 468x60px

Thursday, February 16, 2006

E-syariah rangkaikan 102 Mahkamah Syariah

Megabait-UM-16/2/2006
Oleh: KHAIRUNNISA SULAIMAN

BILA menyebut Mahkamah Syariah, tentu saja kita terbayang banyak kes yang tertangguh akibat masalah operasi dan birokrasi.

Semuanya ini berlaku kerana Mahkamah Syariah di seluruh negara beroperasi secara bersendirian dan tidak mempunyai keseragaman menyebabkan kes-kes di sesebuah mahkamah sukar dirujuk oleh mahkamah negeri lain.

Adakalanya akan berlaku pertindanan dalam kes-kes yang membabitkan mahkamah tersebut terutama dalam hak penjagaan anak, penceraian dan harta pusaka jika ia difailkan di mahkamah negeri yang berbeza.

Bagaimanapun, masalah itu kini telah dapat diatasi melalui penggunaan sistem aplikasi E-Syariah. Mahkamah Syariah tidak lagi dipandang sebagai institusi yang ketinggalan.

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) merupakan agensi peneraju pembangunan aplikasi E-Syariah dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) selaku agensi pelaksana. Sistem tersebut dibangunkan oleh Sarawak Information Systems (SAINS).

E-syariah menjadikan operasi Mahkamah Syariah lebih tersusun dan teratur.

Projek E-syariah merupakan satu sistem pengurusan bersepadu dan aplikasi hasil ciptaan anak tempatan menggunakan teknologi terkini.

Melalui projek tersebut, satu rangkaian komunikasi yang menghubungkan kesemua 102 buah Mahkamah Syariah seluruh negara diwujudkan menggunakan rangkaian kerajaan elektronik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman menyifatkan aplikasi E-Syariah sebagai usaha Kerajaan Persekutuan dalam mempertingkatkan pengurusan dan pentadbiran institusi kehakiman Islam di seluruh negara.

"Sesungguhnya E-Syariah amatlah bertepatan dengan aspirasi umat Islam masa kini yang semakin berdaya saing di negara ini serta di peringkat antarabangsa dalam menghadapi era globalisasi tanpa sempadan,'' katanya.

Samsudin berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Projek E-Syariah dan Penyerahan Hasil Kajian Tempoh Penyelesaian Kes-kes Pembubaran Perkahwinan di Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia (1998-2002) di Bangi baru-baru ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Ismail Adam.

Pada majlis itu, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, aplikasi E-Syariah mengambil kira aspek pentadbiran dan pengurusan Mahkamah Syariah, pendaftaran dan pengurusan peguam syarie serta kepentingan dan keperluan masyarakat atau semua pengguna Mahkamah Syariah.

"Objektif E-Syariah adalah untuk memanfaatkan sistem teknologi maklumat secara meluas bagi melicinkan pentadbiran kehakiman syariah.

"Selain itu, ia juga memastikan kes Mahkamah Rayuan Syariah dapat dikendalikan dengan teratur,'' katanya.

E-Syariah mempunyai tujuh modul yang meliputi Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS), Sistem Pendaftaran Peguam Syarie (SPPS), Sistem Pengiraan Faraid Menyeluruh, Sistem Perpustakaan E-syariah, Portal E-syariah, Sistem Automasi Pejabat dan Jaringan E-syariah.

SPKMS meliputi pendaftaran, penyemakan, pemantauan, pengagihan kes, rekod perbicaraan, keputusan perbicaraan dan juga alasan kehakiman bagi sesuatu kes.

Selain itu, SPKMS juga akan mempunyai bahagian laporan statistik, prestasi dan pengurusan sesuatu kes dalam mahkamah.

Sementara itu, SPPS pula membantu pengguna dari segi pengurusan dan pendaftaran peguam syarie serta pentauliahan dan sejarah kes peguam syarie berkenaan.

"Ini akan memudahkan pengguna merujuk kepada peguam syarie yang diperlukan bagi satu-satu kes,'' katanya.

Sistem Perpustakaan E-syariah yang menggunakan sistem berasaskan web pula akan memudahkan pengguna.

Di dalamnya terdapat kemudahan e-perolehan, katalog bahan penerbitan, pengurusan keahlian dan kemudahan pengedaran.

Sementara itu, Sistem Faraid E-syariah pula amat mudah digunakan serta mesra pengguna, malah dapat memberikan keputusan pengiraan dengan tepat dan cepat.

Pengguna boleh membuat pengiraan semua jenis tuntutan faraid sama ada yang selapis (melibatkan satu generasi) atau pelbagai lapis (lebih daripada satu generasi) menggunakan E-syariah.

Pengiraan faraid menggunakan E-syariah amat mudah. Pengguna hanya perlu memasukkan jantina si mati, bilangan waris, nilai harta si mati dan tekan butang pengiraan.

Dalam beberapa saat, pengguna boleh mendapatkan keputusan pengiraan faraid kepada waris yang layak dalam layar komputer.

Portal E-syariah pula meliputi prosedur dan peraturan Mahkamah Syariah yang dilaksanakan secara dalam talian (online).

Pengguna boleh membuat pertanyaan atau kemusykilan mengenai perkhidmatan, pengiraan faraid layan diri bagi menjadikan Mahkamah Syariah lebih telus.

Teknologi Jaringan e-syariah memberikan kemudahan kepada pengguna untuk mengakses ke laman-laman web seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Biro Bantuan Guaman.

Sistem E-syariah adalah satu sistem pengurusan kes yang bersepadu dan mengintegrasikan semua proses pengendalian kes Mahkamah Syariah.

Melalui cara ini, semua kes yang melibatkan Mahkamah Syariah di seluruh negara dapat diseragamkan.

E-syariah akan membantu transformasi Mahkamah Syariah ke arah mempertingkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di kalangan kakitangan mahkamah di samping memperkemaskan pengurusan kes.

Ini dapat memudahkan perjalanan kes kerana pengadu boleh membuat laporan melalui borang dalam talian (online).

Selepas itu mereka dapat melihat perjalanan kes masing-masing, nama hakim, senarai peguam syarie dan tarikh kes tersebut didengar.

Objektif E-syariah adalah

untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan Mahkamah Syariah, mempertingkatkan keberkesanan penyelarasan dan pemantauan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia kepada agensi bawahannya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text