Oleh Misiah Taib
BH Online -1/2/2006MELAKA: Keluarga lelaki yang ditemui mati di tepi jalan di Merlimau kelmarin, setuju bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) menguruskan pengebumian jenazahnya berikutan pengesahan statusnya sebagai seorang Islam.
Waris kepada Mohd Sani Abdullah, 71 yang nama asalnya Anthonysamy a/l Naiagam, juga berpuas hati dengan dokumen yang membuktikan Allahyarham sudah memeluk Islam, seperti yang dikemukakan oleh Maim.
Anak lelaki Mohd Sani, A Henry, 38, berkata pihaknya berpuas hati dengan dokumen yang dikemukakan Maim bahawa bapanya sudah sah memeluk Islam di Pejabat Perkim Melaka pada 1 Julai 1992 dengan nombor pendaftaran Islam 114/92.
Henry yang ditemui di rumah mayat Hospital Melaka pagi semalam berkata, mereka sekeluarga berpuas hati dengan bukti bahawa bapanya sudah memeluk Islam dan sedia menyerahkan kepada Maim menguruskan pengebumiannya .
Mohd Sani ditemui mati di tepi jalan di Merlimau awal pagi kelmarin dan jenazahnya tidak dibenarkan dituntut oleh waris yang datang ke rumah mayat Hospital Melaka kelmarin, selepas Maim percaya dia sudah memeluk Islam.
Henry berkata, keluarganya menghormati keputusan bapa mereka untuk memeluk Islam dan Maim juga sudah mengemukakan bukti untuk membolehkan mereka menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
Beliau berkata, keluarganya yang berada di rumah mayat itu sepanjang hari kelmarin, menerima panggilan Maim pada jam 10 malam yang mengatakan bukti sudah ditemui dan meminta supaya satu perjumpaan diadakan malam itu juga.
Setiausaha Maim, Halim Tawil, yang turut berada di rumah mayat bersyukur kerana ahli keluarga mangsa memberi kerjasama penuh dan isu berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam.
"Alhamdulillah kita dapat mengenal pasti jenazah Mohd Sani Abdullah. Dia memeluk Islam pada 1 Julai 1992. Soalnya cuma dia tidak menukar kad pengenalan selepas memeluk Islam," katanya.
Beliau juga berkata, Allahyarham yang berpisah dengan keluarganya sejak bercerai dengan isterinya 15 tahun yang lalu, tinggal bersama keluarga angkat, Mohd Said Mohd Desa.
Jenazah Allahyarham dimandi, dikapan dan disembahyangkan di rumah mayat hospital berkenaan pagi semalam dengan turut disaksikan sendiri oleh ahli keluarganya, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Setempat Ayer Keroh, pada jam 11.30 pagi.
No comments:
Post a Comment