Pages

Ads 468x60px

Tuesday, February 07, 2006

Rumah Jadi Mahkamah Syariah


LANGKAWI: Rumah seorang lelaki berusia 73 tahun yang juga tertuduh kes syariah di Kampung Belanga Pecah, dekat Kuah, di sini, dijadikan mahkamah sementara semalam, berikutan dia tidak dapat ke mahkamah kerana sakit.

Hakim, pegawai pendakwa dan kakitangan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) yang terbabit dalam prosiding kes berkenaan, terpaksa ke rumah lelaki terbabit untuk mendengar sebutan kes itu.

Mereka tiba kira-kira jam 9.45 pagi dan perbicaraan dijalankan di ruang tamu rumah berkenaan.

Tertuduh, Mat @ Ahmad Salleh, dibicarakan atas tuduhan bernikah di Narathiwat, Selatan Thailand pada 6 September 1989 dengan Nhaoumaly Khor, 38, warganegara Thailand tanpa mendapat kebenaran Pendaftar Nikah, Rujuk dan Cerai Negeri Kedah.

Difahamkan, ini kes pertama yang membabitkan perbicaraan kes syariah dilakukan di rumah tertuduh.

Sepanjang hampir satu jam prosiding berlangsung, tertuduh hanya berbaring manakala hakim, pendakwa dan kakitangan Jaik duduk bersila di depan tertuduh.

Kira-kira 10 penduduk kampung juga hadir untuk mendengar perbicaraan itu.

Pendakwa Syarie, Sheikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin ketika membentangkan fakta kes berkata, Mat dituduh mengikut Seksyen 32(2) Enakmen Jenayah Syariah Kedah 1979 kerana bernikah di negara jiran tanpa kebenaran.

Katanya, tertuduh bernikah dengan wanita terbabit selepas berpisah dengan isteri pertamanya, enam tahun lalu dan memperoleh dua anak hasil perkahwinan kedua.

Bagaimanapun, Hakim Syarie, Sheikh Baharuddin Che Nen kemudian mengarahkan tertuduh dibebaskan mengikut Seksyen 99(2)(b) Enakmen Keluarga Syariah Kedah 1979 kerana masalah kesihatan.

Sheikh Baharuddin kemudian mengarahkannya berkelakuan baik mengikut Seksyen 6 Enakmen Aturcara Jenayah Syariah 1988.

"Mahkamah berbuat demikian memandangkan tertuduh sedang sakit dan terpaksa mengharapkan ihsan isterinya yang bekerja sebagai pengutip tin aluminium dengan tidak pendapatan seberapa," katanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text