Pages

Ads 468x60px

Tuesday, February 14, 2006

Mahkamah Syariah: 10 Minit Ketuk Pintu Hotel


SHAH ALAM: Sepasang kekasih masing-masing didenda RM2,300 oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas mengaku salah berkhalwat dan berdua-duaan tanpa hubungan sah ketika negara menyambut Hari Kebangsaan 31 Ogos lalu.

Khairul Hezrey Mohd Ariffin, 28, dituduh berkhalwat dengan Nor Haida Mohd Yusof, 31, selepas gagal mengemukakan dokumen nikah apabila diminta penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan serbuan di sebuah bilik di Hotel Subang Park, Subang Jaya, pada hari itu.

Pasangan terbabit dituduh mengikut Seksyen 29 (a) bagi lelaki dan (b) bagi perempuan Enakmen Jenayah-jenayah Syariah Selangor 1992.

Timbalan Pendakwa Syarie, Mohd Kamal Ismail, berkata berdasarkan fakta kes, pegawai penguat kuasa berkenaan bertindak hasil maklumat awam yang melaporkan ada pasangan bukan suami isteri melakukan perbuatan tidak bermoral.

Katanya, sekumpulan anggota Jais bergegas menuju ke hotel berkenaan sebelum memberi salam dan mengetuk pintu bilik hotel berkenaan hampir 10 minit.

Selepas pintu dibuka tertuduh lelaki, pegawai penguat kuasa bertindak memperkenalkan diri.

Hasil pemeriksaan, penguat kuasa terbabit terlihat seorang wanita sedang duduk di atas katil sebelum melakukan pemeriksaan termasuk meminta kad perkahwinan sekiranya ada.

Ketika itu, wanita berkenaan juga berpakaian lengkap.

Hasil soal siasat terhadap pasangan terbabit mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri sah dan bukan mahram.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Syarie, Abu Bakar Daud.

Sebelum hukuman dijatuhkan, pasangan itu mengemukakan rayuan.

Khairul yang bekerja sebagai Penolong Penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) turut mengaku menanggung perbelanjaan adiknya selain mempunyai pinjaman bank manakala pasangannya mendakwa sudah tidak bekerja lagi.

Sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah menasihati pasangan terbabit supaya berpada-pada menyambut hari kemerdekaan.

"Tindakan kamu menyambut hari kebanggaan negara di bilik hotel bersama pasangan mencemar nama baik keluarga, bangsa dan negara," katanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text