UM Online - 1/2/2006
PUTRAJAYA 31 Jan. - Usaha badan kehakiman menyelesaikan kes-kes tertunggak di mahkamah, mendedahkan kewujudan kes-kes lapuk lebih 25 tahun yang selama ini tidak disentuh dan terbiar dalam fail mahkamah.Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bagaimanapun berkata, kewujudan kes-kes tertunggak lebih suku abad ini tidak bermakna pegawai mahkamah `tidur' atau tidak mengambil pendekatan menanganinya.
``Apa yang saya mahu tegaskan, apabila kita memutuskan untuk menghapuskan kes-kes yang didaftarkan sebelum 2000, kita menyelongkar bilik Mahkamah Tinggi di seluruh negara.
``Kita membuka semua bilik simpanan bagi mendapatkan fail lama yang kemudian dikenal pasti dan diberi keutamaan (untuk diselesaikan). Oleh itu, timbullah kes-kes berusia 15, 18 dan 25 tahun, seperti yang dilaporkan oleh media.
``Kalau kita tidak geledah dan cari fail lama, perkara ini tidak akan timbul dan masyarakat tidak akan tahu bahawa ada kes yang sudah 25 tahun tidak diselesaikan,'' katanya ketika ditemui di sini.
Beliau mengulas mengenai kewujudan kes-kes lapuk yang mencapai usia lebih 20 tahun yang pernah dilaporkan oleh media massa dan menarik perhatian masyarakat awam.
Akhir tahun lalu, Utusan Malaysia pernah melaporkan mengenai seorang lelaki, Chang Kui Hin @ Ong Nga, 76, dari Sri Aman, Sarawak yang dibebaskan selepas 44 tahun ditahan di penjara kerana menghadapi tuduhan membunuh isterinya pada 1961.
Kesnya mula disebut di Mahkamah Sri Aman pada Februari 1962 yang mana dia diperintah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Sentosa, Kuching.
Ong Nga diletakkan di bawah pengawasan atas perkenan Yang di-Pertua Negeri sejak Oktober 1967.
Ahmad Fairuz berkata, sejak menerajui badan kehakiman, beliau mengambil pendekatan sistematik untuk mengatur dan menyelesaikan kes pra 2000 supaya yang tinggal cuma kes-kes berusia lima tahun.
``Keputusannya sungguh memberangsangkan, cuma tinggal 27 peratus kes lama yang belum selesai di Mahkamah Tinggi. Apabila ia diselesaikan tahun ini, akan timbul lagi kes-kes yang berusia 20 tahun atau lebih,'' ujarnya.
Ketua Hakim Negara berkata, beliau juga telah mengeluarkan arahan supaya kes-kes didengar mengikut tarikh pendaftaran dan bukan mengikut peruntukan sivil yang mengarahkan kes didengar apabila semua pihak telah bersedia.
Katanya, dengan kerjasama para hakim, pada 2004 dan 2005, mahkamah berjaya menyelesaikan 75 peratus kes-kes pra 2000 tanpa mengetepikan tugas untuk mendengar dan memutuskan kes-kes semasa yang segera dan mudah.
``Dalam hal ini, para hakim, pegawai mahkamah dan peguam telah mengambil langkah proaktif untuk menentukan tahap kelajuan kes-kes masing-masing.
``Mahkamah tidak mahu lagi terikat dengan peruntukan sivil yang lapuk dan perlu dipinda,'' tegasnya.
No comments:
Post a Comment