Pages

Ads 468x60px

Friday, February 24, 2006

Peguam Negara bantu prosiding


BH - 24/2/2006



PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail akan hadir di Mahkamah Rayuan pada 2 Mac ini untuk membantu mahkamah menentukan sama ada peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengadu kepada Ketua Hakim Negara berhubung perilaku seorang hakim.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang memohon penangguhan kes itu memberitahu mahkamah bahawa beliau yang mewakili Abdul Gani memohon penangguhan untuk membolehkan kes berkenaan dihadiri sendiri oleh Peguam Negara, Khamis ini.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram yang bersidang bersama Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin membenarkan permohonan itu dan menangguhkan kes berkenaan.

"Tolong sampaikan kepada Peguam Negara bahawa mahkamah berterima kasih kerana beliau sanggup hadir ke mahkamah untuk berhujah dalam kes itu," katanya.

Muhammad Shafee yang diwakili peguam DP Vijandran diperintahkan berhujah mengapa dakwaan menghina mahkamah tidak boleh diambil terhadapnya kerana menghantar surat aduan kepada Tun Ahmad Fairuz Syeikh Abdul Halim, berhubung tingkah laku Sri Ram dalam penghakimannya bagi kes Metramac Corporations Sdn Bhd dan Fawziah Holdings Sdn Bhd.

Dalam prosiding semalam, Vijandran meminta arahan daripada mahkamah berhubung kes itu.

"Kamu hanya perlu menunjukkan kepada mahkamah bahawa anak guam kamu dan surat yang dihantarnya kepada Ketua Hakim Negara tidak menghina mahkamah," kata Sri Ram.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Majlis Peguam yang diwakili Kuthubul Zaman Bukhari dan Vazeer Alam Mydin Meera yang hadir untuk turut membantu mahkamah dalam kes itu.

Sebelum itu panel yang sama, turut menangguhkan kepada 1 Mac depan keputusan permohonan Metramac untuk penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah yang mengarahkannya membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings.

Muhammad Shafee berhujah, jumlah RM100 juta yang diperintahkan supaya tidak dilupuskan daripada aset Metramac adalah satu jumlah yang tinggi dan perintah penangguhan pelaksanaan tanpa syarat perlu diberikan kepada syarikat itu.

Beliau yang memohon mahkamah membenarkan pelaksanaan penangguhan itu berkata syarikat mempunyai cukup aset tidak cair untuk memenuhi perintah membeku harta RM100 juta itu.

Peguam CV Das yang mewakili Fawziah Holdings berhujah bahawa jika permohonan itu dibenarkan, mahkamah perlu meletakkan beberapa syarat antaranya jumlah aset yang perlu dibekukan, dinaikkan daripada RM100 juta kepada RM200 juta dan melantik syarikat perakaunan untuk meneliti pergerakan kewangan atau aset syarikat itu.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text