Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 24, 2006

Black Metal ajaran sesat

Black Metal ajaran sesat

Oleh HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 23 Jan. - Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan aliran muzik keras, Black Metal dikategorikan sebagai ajaran sesat dan boleh menjejaskan akidah mereka yang mengamalkannya.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin menegaskan, berikutan keputusan itu mereka yang terbabit dengan aliran muzik keras tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah sekiranya fatwa tersebut diwartakan oleh negeri-negeri.

``Setelah dikaji dan menilai dari setiap sudut, Black Metal diputuskan sebagai kumpulan ajaran sesat dan amalannya bertentangan dengan syariah yang dari segi akidahnya, ia boleh terkeluar daripada Islam.

``Apabila kita sudah haramkan, terpulang kepada pihak berkuasa agama untuk bertindak mewartakan fatwa itu,'' katanya selepas mempengerusikan muzakarah ke-72 selama kira-kira empat jam itu di Dewan Syura, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap pengaruh Black Metal di negara ini termasuk mengeluarkan fatwa mengenainya.

Laporan akhbar menyebut pengaruh aliran muzik keras itu digerakkan oleh anak-anak muda berpelajaran tinggi lulusan luar negara, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) serta yang bekerjaya hebat.

Lebih membimbangkan, ramai pelajar dalam pengajian Islam di sekolah dan IPT turut terlibat dalam muzik metal yang membawa aliran ekstrem `Jangan Ikut Tuhan' (JIT) itu.

Seratus peratus daripada mereka adalah anak muda Melayu.

Majalah Mastika terbitan kumpulan Utusan pada Oktober lalu mendedahkan mengenai kegiatan kumpulan Black Metal termasuk upacara membakar al-Quran dan lebih teruk melakukan perbuatan keji di atas kitab suci itu.

Hitam menjadi warna rasmi mereka dan kumpulan Black Metal Barat yang paling ekstrem serta membawa fahaman kesyaitanan adalah seperti Mayhem, Burzum dan Immortal (Norway), Katatonia (Sweden) dan Thou ArtLord (Greece).

Pengaruh Black Metal terus berkembang kerana mereka sering mengadakan `gig underground' bersama kumpulan-kumpulan sealiran seperti Melodic Death Metal, Black-Death Metal serta Death Metal.

Menurut Abdul Shukor, amalan mendengar muzik Black Metal masih tidak menjadi masalah sebaliknya ia menjadi sesat apabila mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan syariah seperti memijak al-Quran, minum arak, seks bebas dan perasaan anti-Tuhan.

Serentak itu, penyebaran dan pengembangan aliran tersebut perlu dicegah bagi mengelakkan lebih ramai remaja di negara ini terjebak dengan ajaran berkenaan.

``Jakim sendiri telah memutuskan untuk menggunakan kaedah kaunseling bagi membanteras gejala itu.

``Kita harap semua pihak termasuk guru dan ibu bapa dapat bekerjasama mencegah supaya jangan ada lagi pertambahan bilangan ahli golongan ini,'' katanya.


1 comment:

Anonymous said...

ya ALLAH .. kenapalah jadi macam ini .. belajar tinggi tinggi tapi x boleh na fikir mane baik ,, mne buruk ,, lebih baik tak payah belajar .. saya harap ,, masalah ini ,, dapat dibanteras dengan secepat yang mungkin .. mereka bukan orang lain ,, saudara se islam kita juga .. oleh itu ,, mari lah sama2 kita membanteras kes ini daripada berleluasa ..

 

Sample text

Sample Text

Sample Text