Pages

Ads 468x60px

Saturday, April 29, 2006

Hakim Syarie Wanita Imbangi Dominasi Lelaki

Hakim syarie wanita imbangi dominasi lelaki

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK (Watrawan Utusan)-29/4/2006

BARU-baru ini kita dikhabarkan berita pelantikan Datuk Rafiah Salim sebagai Naib Canselor Universiti Malaya - wanita pertama yang diberi kepercayaan menjawat jawatan tersebut.

Sememangnya khabar itu menambah keyakinan bahawa wanita kini setanding dengan kaum lelaki malah dalam bidang tertentu penglibatan wanita lebih menyerlah berbanding kaum Adam.

Dan hari ini satu lagi berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh golongan wanita di negara kita iaitu telah ada calon hakim syarie wanita.

Pastinya perkembangan menarik ini dilihat mampu mengimbangi sistem perundangan syariah yang selama ini didominasi oleh hakim-hakim syarie lelaki.

Ia sekali gus meminimumkan pendapat bahawa wanita tidak sesuai atau tidak layak memegang jawatan tersebut seperti yang pernah diperdebatkan sedikit masa dulu.

Hakikatnya tiada apa yang boleh menghalang kaum wanita daripada cemerlang dalam apa bidang sekali pun.

Yang penting peluang serta ruang untuk wanita dilantik ke jawatan itu dibuka luas dan pelantikan mereka adalah berdasarkan merit bukan kerana paras rupa jauh sekali belas ihsan.

Walaupun pengalaman sewajarnya menjadi kriteria penting untuk melayakkan seseorang itu menjadi hakim, tetapi pencapaian ilmu wanita masa kini juga tidak membataskan kebolehan mereka untuk mengadili sesuatu kes.

Ada juga hakim yang berpengalaman gagal menggunakan tempoh perkhidmatan yang lama untuk meningkatkan kerjaya dan masih di takuk lama.

Pendapat klasik yang sering mengaitkan ketidakmampuan wanita menjadi hakim atau ketua sesebuah negara dengan faktor ‘kurang akal’ juga perlu dihapuskan sama sekali.

Mempunyai pendidikan yang mencukupi pasti melahirkan generasi wanita yang tidak `kurang akal' dan mempunyai kemampuan untuk memegang jawatan-jawatan penting.

Sebenarnya apa yang perlu diperbetulkan ialah tanggapan masyarakat yang melihat wanita sebagai kaum yang lemah dan tidak layak mengadili sesuatu kes. Selagi tanggapan itu tidak diperbetulkan, wanita tidak akan mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat.

Dan wanita Malaysia pastinya berbangga kerana kaum lelaki di negara ini semakin mengiktiraf kesaksamaan jantina dan kehadiran wanita sememangnya amat diperlukan.

Hakim syarie wanita imbangi dominasi lelaki

Hakim syarie wanita imbangi dominasi lelaki

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK (Watrawan Utusan)-UM 19/4/2006

BARU-baru ini kita dikhabarkan berita pelantikan Datuk Rafiah Salim sebagai Naib Canselor Universiti Malaya - wanita pertama yang diberi kepercayaan menjawat jawatan tersebut.

Sememangnya khabar itu menambah keyakinan bahawa wanita kini setanding dengan kaum lelaki malah dalam bidang tertentu penglibatan wanita lebih menyerlah berbanding kaum Adam.

Dan hari ini satu lagi berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh golongan wanita di negara kita iaitu telah ada calon hakim syarie wanita.

Pastinya perkembangan menarik ini dilihat mampu mengimbangi sistem perundangan syariah yang selama ini didominasi oleh hakim-hakim syarie lelaki.

Ia sekali gus meminimumkan pendapat bahawa wanita tidak sesuai atau tidak layak memegang jawatan tersebut seperti yang pernah diperdebatkan sedikit masa dulu.

Hakikatnya tiada apa yang boleh menghalang kaum wanita daripada cemerlang dalam apa bidang sekali pun.

Yang penting peluang serta ruang untuk wanita dilantik ke jawatan itu dibuka luas dan pelantikan mereka adalah berdasarkan merit bukan kerana paras rupa jauh sekali belas ihsan.

Walaupun pengalaman sewajarnya menjadi kriteria penting untuk melayakkan seseorang itu menjadi hakim, tetapi pencapaian ilmu wanita masa kini juga tidak membataskan kebolehan mereka untuk mengadili sesuatu kes.

Ada juga hakim yang berpengalaman gagal menggunakan tempoh perkhidmatan yang lama untuk meningkatkan kerjaya dan masih di takuk lama.

Pendapat klasik yang sering mengaitkan ketidakmampuan wanita menjadi hakim atau ketua sesebuah negara dengan faktor 'kurang akal' juga perlu dihapuskan sama sekali.

Mempunyai pendidikan yang mencukupi pasti melahirkan generasi wanita yang tidak `kurang akal' dan mempunyai kemampuan untuk memegang jawatan-jawatan penting.

Sebenarnya apa yang perlu diperbetulkan ialah tanggapan masyarakat yang melihat wanita sebagai kaum yang lemah dan tidak layak mengadili sesuatu kes. Selagi tanggapan itu tidak diperbetulkan, wanita tidak akan mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat.

Dan wanita Malaysia pastinya berbangga kerana kaum lelaki di negara ini semakin mengiktiraf kesaksamaan jantina dan kehadiran wanita sememangnya amat diperlukan.

Friday, April 28, 2006

Perkahwinan Sebelum Islam Batal Apabila Memeluk Islam

Bersama Mohd. Farid Ravi Abdullah-28/4/2006

SAYA kini menetap di India untuk urusan perniagaan. Saya memeluk Islam pada November 2005. Masalahnya sebelum saya memeluk Islam, saya telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Pengislaman saya tidak diketahui oleh seorang pun ahli keluarga.

Sebelum saya memeluk Islam lagi saya dan isteri tidak hidup bersama selama empat tahun (sejak tahun 2002). Kami sentiasa tiada sefahaman dan saya bertekad untuk ke luar negara bagi mengembangkan perniagaan.

Setelah memeluk Islam, saya telah berkenalan dengan seorang gadis yang beragama Islam. Sekarang saya ingin berkahwin dengannya. Tetapi isteri saya sengaja tidak mahu bercerai walaupun kami telah tidak bersama dan tidak tinggal sebumbung selama empat tahun. Walau bagaimanapun saya telah memohon perceraian dan kes itu sedang dalam proses.

Oleh kerana kami tidak hidup bersama lebih daripada tiga tahun, proses perceraian saya adalah lebih senang berbanding jika saya masih hidup bersama. Namun ia akan mengambil masa untuk mengeluarkan sijil penceraian.

Saya tidak dapat mengaku saya telah memeluk agama Islam kerana khuatir keadaan ibu yang sakit akan bertambah buruk jika dia mengetahui perkara sebenar. Seperti yang dinasihatkan oleh ustaz yang mengendalikan pengislaman saya, elok saya merahsiakan pengislaman saya daripada keluarga buat masa sekarang.

Saya pernah menghubungi Jabatan Agama Islam dan mereka beritahu bahawa mulai saat saya memeluk Islam, perkahwinan saya itu tidak lagi sah dari segi undang-undang syariah dan saya bebas untuk berkahwin lain. Soalan saya ialah:

1. Bolehkah saya berkahwin dengan orang Islam mengikut undang-undang Islam tanpa mengemukakan sijil perceraian dengan isteri saya secara rasmi mengikut undang-undang?

2. Adakah apa-apa halangan atau masalah untuk saya berkahwin dengan orang Islam?

3. Apakah senarai borang yang saya perlu bawa ketika permohonan pernikahan?

Buat masa sekarang, saya tidak mampu untuk berterus-terang kepada ahli keluarga saya tentang pengislaman saya. Apakah akan timbul apa-apa masalah dari segi undang-undang berkaitan dengan hal ini?

Saya berasal dari Selangor dan gadis yang bakal menjadi isteri berasal dari Johor. Saya bercadang untuk bernikah di Johor diwakili oleh keluarga gadis itu. Perlukah saya mengemukakan sebarang bukti atau lain-lain surat dalam hal ini?

4. Saya tidak akan mampu untuk membawa saksi yang merupakan ahli keluarga saya. Apakah ini akan menimbulkan sebarang masalah dalam hal pernikahan?

Saya telah cuba menghubungi pelbagai pihak untuk mendapatkan maklumat dan jawapan mengenai soalan-soalan di atas, namun usaha saya menemui kegagalan apabila saya tidak dapat sebarang balasan daripada pihak terbabit. Oleh kerana saya menetap di luar negara, saya tidak dapat untuk berjumpa dengan pihak yang sepatutnya secara bersemuka. Saya amat berharap ustaz dapat menolong saya.

JAWAPAN: 1. Saudara boleh berkahwin dengan wanita Islam tanpa perlu mengemukakan surat cerai dengan isteri pertama. Ini kerana bila saudara menganut Islam, secara langsung saudara sudah terpisah dengan isteri pertama saudara yang tidak beragama Islam. Nasihat saya teruskan usaha mendapat pengesahan perceraian saudara dengannya bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah pada masa akan datang.

2. Tiada sebarang halangan untuk saudara berkahwin dengan orang Islam, kerana saudara telah memenuhi syarat yang melayakkan saudara bernikah dengan wanita yang beragama Islam. Perkara yang perlu saudara ambil perhatian adalah proses penukaran agama dan menghadiri kursus asas pengetahuan Islam.

3. Borang nikah kahwin bolehlah saudara dapatkan di pejabat agama daerah atau di jabatan agama negeri dan dapatkan nasihat untuk mengisi borang tersebut dengan pegawai agama yang bertugas. Saudara juga boleh mendapatkan borang tersebut daripada imam-imam di masjid tempat saudara tinggal yang bertauliah atau mereka yang dilantik sebagai Penolong Pendaftar Nikah Kahwin.

Jika proses pernikahan itu dilakukan mengikut undang-undang keluarga Islam negeri, maka tidak ada masalah yang timbul dan keluarga saudara juga tidak boleh menghalang atau membantah perkahwinan saudara kerana ia sah dari segi undang-undang.

4. Dua orang saksi itu mesti beragama Islam. Saudara boleh membawa dua orang saksi yang beragama Islam dari kalangan kawan-kawan saudara atau sesiapa sahaja orang Islam yang mengenali saudara.

Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh

dihantar melalui e-mel ke

agama@utusan.com.my atau

ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia,

46M, Jalan Lima,

Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

Tel: 03-9221 7055 samb. 575 atau faks: 03-9222 4967.

Calon Hakim Syarie Wanita

Calon hakim syarie wanita

UM-28/4/2006

PULAU PINANG 27 April - Terdapat seorang calon wanita di dalam perkhidmatan pegawai syariah di seluruh negara pada masa ini layak dilantik sebagai hakim syarie berdasarkan skim jawatan dan pengalaman kerjanya.

Kakitangan tersebut yang baru sahaja memegang skim jawatan LS48 dan kini bertugas sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Selangor bagaimanapun hanya layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah kerana pengalamannya belum mencukupi untuk beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Namun, menurut Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Sheikh Ghazali Ab. Rahman, terpulang kepada kerajaan negeri untuk melantik kakitangan berkenaan sebagai hakim syarie wanita pertama di negara ini kerana kuasa berbuat demikian terletak di tangan sultan.

``Sebelum itu (dilantik), kena tanya tuan punya badan dulu sama ada dia mahu jadi hakim atau tidak. Bukan semua orang mahu jadi hakim,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Mahabah Jabatan Kehakiman Syariah Bersama Masyarakat Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Sheikh Ghazali berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan pelantikan wanita sebagai hakim syarie di negara ini.

Beliau yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, penglibatan wanita dalam perkhidmatan pegawai syariah bermula sekitar tahun 1994 dan pada masa ini 30 peratus daripada 200 kakitangan perkhidmatan tersebut adalah wanita, namun hampir kesemua daripada mereka masih baru berkhidmat.

Jelasnya, pelantikan hakim syarie wanita seperti juga lelaki perlu melalui proses yang sama iaitu mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang melalui sistem penggiliran jawatan.

Antaranya, kata beliau, mereka perlu terlebih dahulu pernah berkhidmat sebagai pegawai sulh, pegawai pendakwah dan peguam di Biro Bantuan Guaman, Jabatan Agama Islam dengan pengalaman kerja 10 hingga 15 tahun sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Sunday, April 16, 2006

Re: eeee awass- na'u zubillah hi min zalik.....

Rahsia Jenglot belum terjawab


KEWUJUDAN makhluk kenit yang digelar Jenglot sememangnya misteri. Sejak dipertontonkan kepada umum di Jakarta pada 1997, masih wujud pelbagai rahsia yang tidak terjawab malah persoalan mengenai asal-usul makhluk sebesar telapak tangan itu masih menjadi tanda tanya.


Adakah ia spesis baru haiwan yang ditemui di dunia ini atau manusia yang disumpah kerana mengamalkan ilmu sihir pada ribuan tahun seperti didakwa pemiliknya, Hendra Hartanto, seorang pengusaha restoran dari Surabaya, Indonesia.

Hendra mendakwa memperoleh makhluk itu daripada 'seseorang' pada 1972 di pantai Ngliyep, Malang, Jawa Timur dan selepas 25 tahun, barulah beliau membuat keputusan untuk mengumumkan kewujudan makhluk itu kepada umum.

Jenglot menyerupai manusia tetapi saiz tubuhnya kecil sekitar 10.65 sentimeter (cm), memiliki bahagian menyerupai kepala, badan, tangan dan kaki. Ia memiliki taring, kuku dan rambut yang lebih panjang daripada saiz badannya iaitu 30 cm.

Pemiliknya mendakwa makhluk seberat 37.2 gram itu tidak bergerak seperti haiwan lain; ia berdiam diri dan kaku ketika dilihat orang dan bergerak apabila bersendirian. Beliau mengatakan keadaan itu disebabkan posisi kaki, tangan dan matanya akan berubah setiap kali ditinggalkan manakala kuku dan rambut makhluk itu akan semakin memanjang.

Hendra memberi darah manusia yang dicampur minyak wangi sebagai makanan kepada Jenglot tetapi tidak pernah melihat bagaimana makhluk itu makan sebaliknya sekitar 18 jam selepas disajikan, bahan makanan itu akan berkurangan.

Bagaimanapun, ramai yang enggan mengakui kewujudan Jenglot sebagai antara hidupan aneh dan baru di dunia ini menyebabkan Hendra membawa makhluk itu ke makmal Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM) Jakarta, untuk diuji secara klinikal.

Di bahagian forensik RSCM, Jenglot diuji menggunakan peralatan Rontgen dan Mamo untuk mengetahui struktur tulangnya selain ujian kimia untuk mengetahui bahan mineral yang membentuk Jenglot. Foto yang dihasilkan peralatan itu mendapati ia tidak memiliki tulang.

Seterusnya ujian CT Scan dilakukan terhadap Jenglot tetapi hasil yang diperoleh tetap sama - struktur dalamannya tidak seperti manusia. Lalu muncul tiga hipotesis mengenai hasil ujian itu.

Kemungkinan Jenglot adalah manusia yang memiliki struktur fizikal yang sudah berubah manakala kemungkinan kedua adalah sel kulit makhluk kecil itu menghalang peralatan perubatan itu daripada melihat bahagian dalamannya. Kemungkinan lain adalah Jenglot adalah spesis kehidupan baru yang belum ditakrif bentuk biologinya oleh dunia sains moden.

Tidak berpuas hati dengan hasil uji kaji itu, pakar forensik dan saintis RSCM menguji DNA (deoxyribose nucleic acid) makhluk itu dengan andaian jika terdapat DNA, maka makhluk itu adalah hidupan dan sebaliknya, ia bukanlah benda hidup.

DNA diperoleh daripada rambut dan kulit Jenglot dan sampel sel itu dianalisis dengan kaedah PCR (Polymerase Chain Reaction) dan ia diuji bagi mengkelaskan hasilnya sama ada DNA berjenis manusia atau haiwan.

Keputusannya amat mengejutkan, DNA Jenglot menyerupai dan mengandungi ciri-ciri DNA manusia! Begitu juga penelitian terhadap struktur rambut makhluk itu yang terdiri daripada akar yang diselimuti gelembung sebagai medan tumbuh rambut, kulit rambut, dan di dalam kulit rambut terdapat sumsum rambut.

Bagaimanapun, struktur rambut Jenglot tidak sama seperti rambut manusia sebaliknya hanya memiliki ciri yang hampir menyamai rambut manusia.

Dengan pengakuan daripada pemiliknya bahawa makhluk itu hanya bergerak apabila tidak dilihat manusia, saintis RSCM menjalankan ujian menggunakan kamera untuk mengambil gambar pada senggang waktu berbeza.

Perbezaan jelas terlihat pada dua gambar yang diambil itu; gambar kedua menunjukkan bola mata Jenglot berubah daripada gambar pertama sekali gus membuktikan kenyataan Hendra.

Saintis RSCM semakin berminat untuk mengkaji hidupan itu dan membuat keputusan untuk menjalankan pembedahan bagi meneliti organ dalaman Jenglot tetapi cadangan itu tidak dipersetujui Hendra yang khuatir ia akan merosakkan makhluk itu.

Hasil ujian makmal itu akhirnya semakin menimbulkan misteri dan tanda tanya mengenai apakah sebenarnya makhluk Jenglot yang dikatakan sudah berusia 300 tahun itu.

Menurut Hendra, Jenglot pada masa ribuan tahun lalu adalah manusia yang bertapa dan mempelajari ilmu dinamakan Bethara Karang iaitu ilmu untuk hidup abadi. Akibatnya, jasad manusia itu tidak diterima bumi manakala rohnya ditolak naik ke langit. Jasad manusia itu kemudiannya semakin mengecil sehinggalah sekarang.

Kesahihan cerita itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan tetapi jelasnya sihir iaitu antara amalan dan ilmu yang bertentangan dengan syariat Islam memang terdapat di dalam Islam seperti firman Allah SWT:

Kewujudan Jenglot sebagai suatu spesis baru juga tidak mustahil kerana di sebalik tumbuhan dan haiwan yang terjangkau pada pandangan manusia, sebenarnya masih banyak hidupan lain yang kewujudannya masih menjadi misteri di dunia berusia jutaan tahun ini.

Malah, dianggarkan kira-kira 2,000 spesies baru hidupan laut ditemui pada setiap tahun sekali gus membuktikan bahawa keupayaan manusia termasuk dalam menerokai rahsia alam sebenarnya amat terbatas seperti firman Allah:

"Katakanlah: jika lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat Tuhanku, habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimat Tuhanku meskipun Kami datangkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan," (al-Kahfi: 109)

On 3/23/06, Abu Bakar Daud <alamkia@gmail.com> wrote:

MENAKUTKAN...


SEPASANG jenglot yang menjadi tumpuan orang ramai pada Pameran Alam Misteri 2006 di Balai Syed Sheikh Al-Hadi, Bastion House, Jalan Kota, Melaka, semalam.

Sepasang makhluk aneh atau jenglot dari Indonesia dan paku puntianak adalah sebahagian daripada benda-benda misteri yang menjadi tumpuan orang ramai pada Pameran Alam Misteri 2006 yang kini berlangsung di Melaka.

Sejak dibuka 12 Mac lalu, lebih 7,000 pelawat begitu teruja untuk melihat dari dekat bahan-bahan pameran yang dipamerkan di Balai Syed Sheikh Al-Hadi, Bastion House, Jalan Kota, Melaka.

Pameran anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) itu yang akan berakhir hujung bulan depan, turut mempamerkan seekor burung cenderawasih, minyak pengasih dan tulang rusuk ikan duyung.



Saturday, April 15, 2006

Malaysia tidak iktiraf nikah mutaah

BH-15/4/2006


PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan mutaah yang dilakukan di luar negara oleh penduduk Islam negara ini, menurut Mahkamah Rayuan.

Hakim Mohamed Noor Abdullah, berkata perkahwinan mutaah atau perkahwinan kontrak antara sesama orang Islam atau dengan orang Yahudi, orang Kristian atau penyembah api, dengan lelaki yang mengisytiharkan kepada seorang wanita, “Saya telah bersatu dengan anda” atau perkataan yang membawa maksud serupa dan menetapkan tempoh bersekedudukan serta menyatakan jumlah mas kahwin yang spesifik adalah dilarang, haram dan tidak sah.

“Kami berkewajipan untuk membetulkan salah tanggapan bahawa orang Islam di negara ini boleh melakukan perkahwinan mutaah di luar negara dan bahawa perkahwinan seumpama itu adalah sah dan diiktiraf mengikut undang-undang Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman terhadap seorang ustaz yang melakukan perkahwinan mutaah dengan seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun yang diserahkan kepadanya oleh keluarga pelajar itu sebelum dia mencabul pelajar berkenaan. Penghakiman itu diedarkan kepada media semalam.

Dalam keputusan 18 Januari lalu, Mohamed Noor yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram dan Datuk Azmel Ma’amor sebulat suara mengekalkan semula hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan terhadap Ishak Shaari yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan mencabul pelajar itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengurangkan hukuman itu kepada penjara dua tahun tanpa sebatan.

Ishak, 42, didapati bersalah mencabul kehormatan pelajar Tingkatan Dua itu di sebuah rumah di Taman Sebang Baru, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada jam 2 petang, 28 Jun 1995.

Mahkamah Majistret mendapati dia membawa pelajar itu pulang ke rumah dan bernikah mutaah dengannya selepas mengajak pelajar berkenaan sembahyang sebelum berhubungan seks serta menyuruh tidak menceritakan kepada orang lain.

Katanya, Peraturan 76, Peraturan Mahkamah Rayuan 1994 memberikan kuasa kepada Mahkamah Rayuan untuk campur tangan dan mengekalkan semula tempoh hukuman penjara yang diputuskan terhadap Ishak oleh majistret.

ual dengan pelajar itu. Apabila pelajar itu enggan, dia meletakkan senaskhah Quran di atas kepalanya dan memaksa pelajar itu bersumpah dengan bersaksikan kitab suci itu untuk tidak menceritakan apa yang berlaku kepada orang lain. – Bernama

Mohamed Noor berkata dengan melakukan perkahwinan mutaah, Ishak meniru perkahwinan yang banyak berlaku di kalangan penduduk “Sabeans dan Zoroastrians” di zaman dulu yang diteruskan selepas mereka memeluk Islam.

Sri Ram dalam penghakimannya berkata, hukuman itu tidak terlalu berat kerana kesnya jelas menunjukkan bahawa tertuduh menggunakan kedudukannya sebagai guru agama untuk cuba memuaskan nafsu syahwatnya.

Beliau berkata ketidakadilan telah berlaku apabila Mahkamah Tinggi meminda tempoh hukuman penjara itu.

©The New Straits Times Press (M) Berhad

Wednesday, April 12, 2006

Interaksi: PBT mesti bijak terjemah perlakuan tidak sopan

BH-12/4/2006
Bersama M Thillinadan

BULAN lalu, kira-kira 300 pasangan menyertai pesta bercumbu di pulau peranginan Bali, Indonesia, acara tahunan yang dikaitkan dengan upacara untuk menjauhkan malapetaka terhadap pasangan yang mengambil bahagian.


Di bandar Tangerang, juga di Indonesia, pihak berkuasa wilayah bercadang menggubal undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pasangan yang bercium lebih daripada lima minit di tempat awam.

Di sebalik kedua-dua perkembangan itu, pemerintah Indonesia pula bercadang membuat undang-undang negara untuk mengenakan hukuman penjara lima tahun terhadap mereka yang bercium di tempat awam dan 10 tahun jika berbogel.

Ini menimbulkan keresahan penduduk Bali dan Papua kerana mereka mendakwa ia bertentangan dengan budaya dan cara hidup mereka. Penduduk Bali yang bergantung hidup kepada industri pelancongan bimbang ia akan menjejas kehidupan mereka manakala penduduk Papua menentangnya kerana ia mencemari budaya pakaian mereka.

Jadi apabila Mahkamah Persekutuan kita memutuskan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang dan peraturan bagi menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak ramai seperti bercumbu, maka timbul perdebatan di kalangan pelbagai pihak mengenai undang-undang kecil berkaitannya.

Ada pandangan keputusan itu bertentangan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak kebebasan seseorang rakyat manakala pandangan lain ialah ia melindungi rakyat daripada perbuatan tidak bermoral dan tidak sopan.

Bagi pandangan pertama, Mahkamah Persekutuan memutuskan undang-undang kecil PBT mengenai perbuatan tidak sopan tidak ultra vires perlembagaan atas alasan ia bukan norma masyarakat Timur di samping mengambil kira perasaan dan pandangan orang di sekeliling perbuatan itu.

Pejuang kebebasan dan hak asasi manusia tidak boleh berpandangan sebelah pihak dalam hal ini. Tanpa menyentuh soal moralnya, kita juga perlu rasional dan mengambil kira hak orang yang berada di sekeliling perlakuan sedemikian.

Mereka juga perlu mengambil kira perasaan orang lain seperti ibu bapa yang membawa anak mereka ke taman permainan dan disaji dengan pelbagai aksi ghairah pasangan remaja. Bagaimana mereka menjelaskan perbuatan bercumbu yang dilakukan secara bebas dan terbuka kepada anak yang masih kecil.

Apakah pejuang kebebasan dan hak asasi ini sanggup mendedahkan anak kecil mereka dengan aksi sedemikian. Mereka perlu akui sementara pasangan yang bercium di tempat awam percaya itu hak mereka, orang ramai yang tidak mahu melihat aksi sedemikian juga ada hak mereka.

Soalnya hak siapa yang besar. Rasionalnya ialah hak majoriti rakyat. Di negara Barat, perbuatan bercium tidak menjadi isu kerana majoriti rakyatnya sudah menerimanya sebagai budaya mereka.

Hujah bahawa Malaysia adalah negara majmuk, berpeluk dan bercumbu hanya satu cara untuk pasangan kekasih menunjukkan kasih sayang tidak boleh diterima.

Bolehkah kita terima aksi seks secara terbuka sebagai satu cara untuk menunjukkan kasih sayang?

Sementara kita menyokong keputusan mahkamah berhubung isu sopan, kita juga berharap PBT tidak menjadikannya sebagai senjata untuk menjadi ‘polis moral’ bagi menahan dan mendakwa semua pelakuan yang diterjemahkan sebagai tidak sopan.

Undang-undang kecil berkaitan kuasa PBT berhubung isu moral mesti dikaji dan diberi maksud sebenar supaya tidak berlaku penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan. Kajian juga perlu mengambil kira cara hidup, budaya dan adat resam semua kaum. Sebagai contoh, perkahwinan pasangan Kristian yang berakhir dengan ‘you may kiss the bride’, kerana gereja juga tempat awam, maka undang-undang mesti sensitif terhadap keperluan dan kelonggaran sedemikian.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mengkaji keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara mendalam dan menggubal satu undang-undang kecil yang seragam supaya ia dapat dikuatkuasakan di seluruh negara.

Ekspresi cinta biar bertempat

BH-12/4/2006
Bersama Rejal Arbee

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap pasangan yang berkelakuan tidak senonoh dan tidak sopan di tempat awam mendapat reaksi berbeza mengikut pandangan kaum tertentu.

Semua akhbar perdana Melayu, rata-ratanya mengalu-alukan keputusan itu. Malah, mereka terang-terangan menyokong pandangan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang mempersoalkan adakah perbuatan berpeluk, bercium di tepi jalan atau di taman awam boleh diterima penduduk Malaysia?

Akhbar Melayu juga bersetuju dengan pandangan beliau bahawa perlakuan demikian di tempat awam yang mungkin boleh diterima di negara Barat seperti Amerika Syarikat atau Britain, tetapi tidak dapat diterima rakyat negara ini.

Tetapi, akhbar berbahasa Inggeris rata-rata mempersoalkan adakah PBT boleh dipercayai untuk diberi hak membuat peraturan menjaga akhlak dan moral orang ramai. Ada yang khuatir anggota penguat kuasa bertindak keterlaluan mengheret pasangan ke pengadilan, termasuk suami isteri yang berpegangan tangan atau berkucup untuk mengucap selamat tinggal di lapangan terbang. Mereka juga mempersoalkan peraturan berbeza PBT mengenai apa yang dianggap tidak senonoh dan tidak sopan. Perkara ini bukanlah suatu masalah.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh mentakrifkan apakah yang disebut sebagai perlakuan tidak sopan atau tidak senonoh. Ia supaya kakitangan penguat kuasa PBT tahu kelakuan bagaimana melanggar peraturan dan apa yang tidak.

Oleh itu, PBT mempunyai tanggungjawab berat untuk memberikan keterangan sejelas-jelasnya kepada semua anggota penguat kuasa supaya tidak berlaku penyalahgunaan kuasa menahan pasangan.

Tetapi, Majlis Peguam mempersoalkan bagaimana soal moral dan kesopanan, suatu hal yang subjektif boleh diperundangkan. Mereka sengaja lupa bahawa peraturan itu hanya dikenakan ke atas orang yang berkelakuan demikian di khalayak. Apa yang mereka lakukan jauh daripada mata orang, masyarakat tidak peduli melainkan mereka itu beragama Islam yang tertakluk dengan undang-undang dan peraturan Islam.

Rakyat yang prihatin terhadap keadaan sekarang di mana ramai muda-mudi negara ini dipengaruhi terlalu banyak perlakuan buruk dari Barat hingga tidak lagi berpegang kepada kesopanan dan tata susila ketimuran, sepatutnya boleh menerima teguran Ahmad Fairuz.

Malangnya, mereka yang tidak senang dengan keputusan itu sengaja mahu menimbulkan perlakuan kasih sayang biasa suami isteri mahupun muda-mudi tanpa adanya unsur keghairahan, kononnya akan disasarkan pihak penguat kuasa PBT. Pertubuhan atau orang perseorangan ini seolah-olah mahu persendakan peraturan yang tidak membenarkan pasangan yang tidak mempunyai perasaan segan silu bercumbuan dan bertindak keterlaluan serta tidak sopan di tempat awam.

Mereka ini sengaja buat tidak faham dengan peraturan sedia ada yang hanya melarang kelakuan tidak senonoh di khalayak ramai – bukannya apa yang mereka hendak buat secara persendirian di tempat tertutup yang tidak terbuka kepada orang ramai seperti di rumah mereka.

Peraturan itu juga tidak harus disamakan dengan usaha kononnya pemerintah mahu menjaga tata susila atau moral orang ramai.

Ada juga pertubuhan yang pertahankan kelakuan buruk itu kononnya muda-mudi berhak membuktikan perasaan kasih sayang sesama mereka. Tetapi, apakah bercium, berpeluk-pelukan dan bercumbuan hingga menimbulkan keghairahan di antara pasangan di khalayak ramai boleh diterima sebagai luahan kasih sayang? Kalaupun hendak membuktikan perasaan kasih sayang, apakah perlu melakukannya di tempat awam?

Mereka yang memandang serong dengan keputusan itu juga mempersoalkan apakah kehendak agama Islam mahu dipaksa ke atas pasangan bukan Islam. Masakan agama lain merestui perbuatan tidak bermoral dan tidak senonoh di khalayak ramai. Kononnya pasangan yang hendak menunjukkan kasih sayang mempunyai hak berbuat demikian dan tidak harus disekat.

Mereka ini membuat kesimpulan seolah-olah agama lain merestui perlakuan tidak senonoh hingga bercumbuan, bercium dan berpeluk-pelukan yang mengghairahkan di tempat awam pun tidak mengapa. Tetapi, apakah benar agama lain membenarkan pasangan berghairahan dan bercumbu-cumbuan di depan khalayak ramai?

Apakah hak asasi individu, bermakna mereka boleh bersikap tidak sopan tanpa menghiraukan pandangan orang lain?

Apa pun keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati kelakuan tidak senonoh seperti berpeluk atau bercium di khalayak ramai boleh didakwa di mahkamah, tentunya melegakan rakyat yang meluat melihat perlakuan demikian yang semakin menjadi-jadi di kalangan muda-mudi.

Diharapkan keputusan itu sedikit sebanyak dapat membendung pengaruh buruk Barat yang saban hari semakin menular di kalangan muda-mudi negara ini baik yang Islam apatah lagi yang bukan Islam.

Ada sesetengah pihak tertentu dalam negara ini khususnya bukan Islam berpandangan tidak salah anak mereka bercumbuan di khalayak ramai. Mereka persoalkan kenapa nilai murni Islam mahu dipaksa ke atas mereka yang tidak menganut Islam.

Apakah hanya kerana Malaysia sebuah negara majmuk, orang bukan Islam boleh bercium-cium, berpeluk-pelukan dan bercumbuan di khalayak ramai? Ia bukankah kelakuan sumbang?

Inilah masalahnya apabila terlalu dipengaruhi gejala buruk Barat. Muda-mudi kita bukan saja suka ikut perangai tidak sopan, bahkan hingga bercumbuan di tempat awam pun mahu dibiarkan. Maka, tidak menghairankan berlaku perbuatan sumbang sedemikian di stesen kereta api dan transit aliran ringan, mahupun dalam kereta api serta di ruang legar pusat beli-belah dan institusi pengajian tinggi.

Malah, saya mendapat tahu ada sebuah kolej universiti swasta seolah-olah menggalak pelajarnya bercumbuan di ruang legar kampus tanpa boleh ditegur oleh pensyarah. Seorang pensyarahnya memberitahu penulis bahawa mereka tidak langsung boleh menegur pelajar. Kononnya pemilik kolej itu tidak mahu menggusarkan pelajarnya kerana kewujudannya bergantung kepada yuran yang dibayar pelajar.

Perlakuan tidak senonoh begini bukan saja dilakukan muda-mudi bukan Islam, malah yang beragama Islam, termasuk yang memakai tudung. Ada sesetengah mereka memakai tudung bukan untuk memenuhi kehendak menutup aurat, tetapi hanya sebagai fesyen. Maka, dapat dilihat kepala ditudung, tetapi berpakaian baju-T lengan pendek. Malah, bahagian dada dan leher boleh kelihatan.

Tidak menghairankan pelbagai pertubuhan bukan Islam mempersoalkan bagaimana pasangan yang bercumbuan itu boleh dihadapkan ke mahkamah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ada peguam berpendapat kononnya bercium dan berpelukan di taman awam adalah luahan cinta, malah perlu digalakkan pula. Kononnya perlakuan itu adalah satu bentuk kebebasan hidup yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu tidak boleh disekat. Beginilah keadaannya kalau sudah dirasuk gejala buruk demikian ini.

Sebenarnya tiada siapa yang mahu menyekat pasangan yang mahu bercinta. Tetapi, tentunya luahan cinta ada tempatnya. Kalau perlakuan tidak senonoh ini dibenarkan apakah tidak mungkin perbuatan yang lebih buruk tidak akan berlaku?

Jika perlakuan begini tidak boleh disekat, hanya kerana mahu menunjukkan betapa mendalamnya cinta mereka, apakah mereka sedia bercium dan berpelukan di hadapan ibu bapa masing-masing? Kalau sudah segan menunjukkan perasaan cinta mereka di depan ibu bapa kenapa tidak pula malu melakukannya di tempat awam di mana orang ramai, termasuk kanak-kanak lalu lalang bermain atau beriadah?

Dakwa pasangan berkelakuan tidak senonoh

UM-12/4/2006

PENDAPAT

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan memutuskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh mendakwa dua pelajar sebuah universiti berkelakuan tidak sopan di taman awam adalah satu keputusan yang amat tepat. Ketika berhujah, salah seorang peguam bela berkata, perbuatan bercium dan berpeluk di taman awam merupakan luahan cinta dan perlu digalakkan. Ia satu bentuk kebebasan hidup yang tidak boleh disekat. Namun begitu kebebasan hidup di dunia tidak sama antara cara hidup orang Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.

Keputusan mahkamah tersebut memberi makna yang luas kepada rakyat negara ini tentang peringatan bahawa kita tidak boleh berkelakuan tidak senonoh di depan orang awam. Kita tidak boleh bebas sesuka hati untuk bercium dan berpeluk di sana sini kononnya berpegang pada prinsip kebebasan.

Dalam erti kata lain, tidak perlu bermadu asmara berlebih-lebihan di depan orang ramai walaupun ingin memberitahu bahawa mereka sedang hangat bercinta.

Kita tidak boleh membenarkan kebebasan tanpa had dibiarkan berleluasa di negara ini. Masyarakat kita sering disajikan dengan masalah keruntuhan moral di kalangan rakyat.

Semakin ramai pasangan berani melakukan aksi yang terlampau malah menjijikkan di hadapan orang ramai. Mereka sudah berani bercumbu di taman-taman, di dalam kenderaan awam, pawagam malah di mana-mana sahaja asalkan mereka dapat melepaskan segala kerinduan dan nafsu.

Masyarakat Timur merupakan sebuah komuniti yang kaya dengan sopan santun dan pemalu. Muda-mudi kini semakin bebas bergaul dengan sesuka hati tanpa mengira segala nasihat daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa.

Ketika kerajaan sibuk melaungkan Belia Sihat dan sebagainya, masih banyak pihak cuba menghancurkannya dengan mengadakan pelbagai pesta di pusat-pusat hiburan yang berunsurkan pergaulan bebas.

Kesopanan dan kesusilaan yang menjadi Rukun Negara langsung dilupakan oleh kebanyakan rakyat. Kita tidak harus terkejut pada suatu hari nanti jika remaja semakin hebat mengamalkan prinsip kebebasan. Tanda-tanda kehebatan remaja kita boleh dilihat di mana-mana sahaja termasuk di kawasan pedalaman. Seks bebas sudah semakin berleluasa di mana-mana sahaja.

Terlanjur

Jika hendak bercerita tentang kisah gadis terlanjur di Malaysia ia seperti pasar lambak. Banyak sangat cerita yang kita dengar dan kisah tersebut mudah dibaca di dalam majalah-majalah, akhbar tabloid dan di laman Internet.

Rakyat boleh dikatakan semakin prihatin tentang seks. Buktinya jenama pelbagai produk tongkat ali membanjiri pasaran, pelbagai jenis minyak dihasilkan bagi merangsang tenaga batin, peningkatan khidmat tukang urut tradisional, peningkatan permintaan majalah berunsurkan seks, VCD lucah dan laman web lucah.

Rakyat kita semakin berani dengan seks tanpa rasa segan silu. Walaupun penguat kuasa melancarkan pelbagai operasi, masalah ini akan tumbuh kembali. Kita sudah pening memikirkan segala masalah sosial ini yang sentiasa sensasi dan penuh dengan seribu satu cerita.

Dalam dunia globalisasi ini, ia datang dengan membawa pelbagai pengaruh. Cuma yang masih kuat berpegang kepada agama akan terus kuat dan mampu menahan segala godaan. Yang lemah akan terus terkulai layu kerana dibuai nafsu.

Semoga ketegasan keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberikan peringatan kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai. Ini bumi Malaysia bukannya negara Barat. Kita tidak sama walaupun mengamalkan demokrasi.

- EZARUDDIN ABD. RAHMAN,

Bandar Bukit Jalil,

Kuala Lumpur.

Putaran moral dan undang-undang

UM-12/4/2006

Oleh MOHD YUSMADI M. YUSOFF


Moral kita, bukan moral 'dia' atau moral 'awak'. Paling digemari, konsep duniaku untukku dan duniamu untukmu. Sememangnya, masyarakat itu sukar untuk diasing bahagi dan tambah dengan mudah. Pendapatnya pelbagai dan pandangan yang berbeza itu tidak mungkin diseragamkan sekali.

Hakikat inilah yang sebenarnya menyukarkan keadaan dan merumitkan pemerintah dalam mewartakan sesuatu undang-undang.

Apatah lagi apabila perkara yang diwartakan itu dikatakan bertindih dengan perkara moral, yang pada pandangan sesetengah pihak jatuh dalam ruang lingkup persendirian yang tidak perlu diatur pemerintah melalui undang-undang.

Polemik ini bukan baru. Sudah lama para filasuf dan pakar undang-undang memperdebatkan pertembungan undang-undang dan moral.

Kepelbagaian teori yang muncul jelas menunjukkan bahawa mazhab-mazhab dalam kerangka perbincangan undang-undang sivil, buatan manusia (terutama sekali kelompok Positivist) tentang isu ini belum lagi menemukan 'ijmaknya'.

Keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah menarik perhatian saya dan juga pelbagai pihak yang lain. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenarkan untuk mendenda pasangan yang bercumbuan di khalayak ramai. Premis alasan penghakiman tetap di atas dasar moral.

Bahawa perbuatan itu tidak bermoral dan DBKL selaku Majlis Bandaran berhak mewartakan undang-undang kecil tentang tatacara kelakuan, dalam kes ini di taman bunga.

Kes ini menjadi kontroversi kerana dua perkara. Pertama pertembungannya dengan isu moral, yang di dalam kes ini menyentuh pasangan bukan Islam. Oleh itu, hujahnya adalah apa yang dilakukan itu tidak menyimpang daripada fahaman moral peribadi mereka.

Keduanya isu bahawa dakwaan itu berlaku kerana keengganan mereka untuk memberi rasuah kepada penguat kuasa DBKL. Tetapi saya ingin menjuruskan perbincangan ini kepada kontroversi pertama itu.

Jika kita menyelongkar sejarah moral dan undang-undang itu berkait rapat. Kita akan melihat di kalangan para filasuf Jurispruden Barat sendiri terdapat perbezaan pendapat apa yang diistilahkan sebagai moraliti persendirian (private morality) dan moraliti awam (public morality).

Perdebatan moral dan undang ini kembali mendapat tempat di persada politik terutama sekali apabila agama dilihat memainkan peranan yang penting selepas peristiwa 11 September sehingga terbentuk kelompok yang dikenali sebagai 'agama' (religionist) di dalam politik dalaman mahupun politik antarabangsa.

Perspektif para pendukung mazhab anti undang-undang moral akan melaungkan isu hak peribadi di atas tema kebebasan. Manakala kelompok 'agama' melihat dari kaca mata dosa dan pahala itu antara manusia dan Penciptanya.

Tetapi, di sinilah silapnya apabila kita merenung moral dalam erti kata yang sempit, iaitu erti kata dosa yang diinterpretasikan sebagai 'dosa persendirian'.

Hakikatnya, hampir semua undang-undang itu berkait rapat dengan moral. Hatta undang-undang bunuh dan rogol itu juga berkaitan dengan moral! Pengiktirafan kemasukan elemen moral ke dalam undang-undang seolah-olah bersifat double standard.

Kita tidak akan mendengar suara membangkang apabila perbuatan rogol dijadikan suatu kesalahan undang-undang walaupun pada hakikatnya perwartaan undang-undang tersebut juga disebabkan oleh ia bersalahan dengan 'moral' manusia. Sebaliknya, kita melihat protes yang kuat apabila 'bercumbuan' dijadikan sebagai suatu kesalahan undang-undang.

Kesalahan rogol secara definisinya merujuk kepada suatu hubungan kelamin yang dibuat tanpa kerelaan dan ataupun kebenaran si mangsa. Perkara itu diterima sebagai suatu kesalahan jenayah oleh semua masyarakat di dunia.

Kayu ukur

Bagaimanapun hubungan seks dengan kerelaan di antara seorang dewasa dengan seorang remaja di bawah umur 16 tahun juga dianggap sebagai suatu kesalahan undang-undang. Perkara tersebut diterima tanpa bangkangan daripada mana-mana pihak, apabila kayu ukur isu ini adalah moral juga.

Di negara Barat, contoh yang paling kerap disebut sebagai percanggahan di antara undang-undang dan moraliti adalah isu homoseksual. Lebih 40 tahun yang lalu, perbuatan itu dikira salah dari segi undang-undang tetapi tidak kini.

Malah negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom juga telah mewartakan undang-undang yang mengiktiraf perkongsian hidup pasangan sejenis ini sebagai 'perkongsian sivil' yang hak dan kelebihan yang dinikmati di bawahnya adalah serupa dengan perkahwinan biasa. Malah, ada negeri di AS yang mengiktirafnya sebagai 'perkahwinan'.

Tetapi, kita jangan fikir bahawa garis ukur moraliti sudah semestinya berubah 360 darjah. Hatta di negara-negara seperti AS sendiri, pengaruh golongan konservatif dan mereka yang antihomoseksual tidak dapat dinafikan amat kuat sekali. Sehinggakan, kemenangan Presiden George W. Bush untuk penggal kedua juga dikatakan berpunca daripada sokongan lawannya, John Kerry, terhadap perkahwinan sejenis yang tidak dapat diterima oleh pelbagai pihak.

Oleh itu, bolehkah kita menyatakan bahawa apa yang bersifat moral itu tidak mengenal tempat, budaya dan masa? Mampukah kita menyatakan bahawa apa yang moral dan apa yang tidak itu sebenarnya berdasarkan fahaman yang tidak akan ada jauh bezanya kerana yang hak itu tetap hak dan batil itu tetap batil.

Pada persimpangan definisi inilah akan muncul aspek keagamaan dan sosiobudaya. Apa yang terangkum dalam huraian 'hak' dan 'batil' itu mungkin tidak jauh bezanya tetapi menjadi lebih khusus dan tersendiri dengan elemen agama serta sosiobudaya masyarakat.

Kita mungkin boleh 'bertoleransi' melihat pasangan romantis itu bercumbuan di khalayak dengan berjalan terus tanpa menegur. Tetapi, jangan kita marahkan orang yang menegur kerana pihak yang menegur itu merasakan tidak senang dengan perbuatan seperti itu, mungkin malu dan tidak selesa.

Mungkin kerana ada anak-anak kecil yang sedang bersama. Paling mudah, adakah kita mahu anak-anak kecil kita juga menjadi serakah sedemikian rupa? Mungkin itu kayu ukurnya, tentang apa yang kita boleh telan dan apa yang tidak dapat sama sekali kita hadamkan.

- MOHD YUSMADI M. YUSOFF ialah peguam dan koordinator ILHAM, sebuah forum yang menumpukan isu-isu hak awam.

Tuesday, April 11, 2006

Selamat Datang Ke Laman Web JAKESS

Selamat Datang Ke Laman Web JAKESS

Bekas imam dalang sindiket nikah

KUANTAN: Seorang bekas imam di Pekan yang dipecat daripada jawatannya tahun lalu, dipercayai terbabit dalam sindiket menguruskan pernikahan termasuk jururawat yang menggunakan sijil kematian palsu bapanya, 13 Januari lalu.

Ketua Pendakwa Syarie Pahang, Abdul Rahim Jaafar, berkata berdasarkan siasatan, sindiket berkenaan dipercayai menjadikan rumah bekas iman itu lokasi pernikahan pasangan yang bermasalah untuk berkahwin.

Katanya, kes memalsukan dokumen untuk pasangan melangsungkan perkahwinan banyak berlaku di Pahang, tetapi penggunaan sijil kematian palsu wali adalah yang pertama di kesan di negeri itu.

"Surat kematian itu disertakan dalam bentuk salinan yang kemudian disahkan individu terbabit. Siasatan terperinci sedang dilakukan bagi membolehkan dakwaan dibuat terhadapnya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mahkamah Tinggi Syariah kelmarin, membatalkan pernikahan seorang jururawat dengan lelaki pilihannya di Pejabat Agama Daerah Pekan 13 Januari lalu, kerana menggunakan sijil kematian palsu bapanya untuk bernikah berwali hakim.

Berikutan itu, mahkamah memerintahkan Wan Norerni Murni Abdullah, 23, dan pasangannya, Rahmat Ahmad, 26, difarakkan (dipisahkan) serta merta. Mereka hanya boleh dinikahkan semula dengan berwalikan bapanya, Abdullah Salleh, yang masih hidup.

Sijil nikah pasangan itu juga dibatalkan dengan semua maklumat dipadamkan daripada rekod Majlis Agama Daerah.

Abdul Rahim berkata, sindiket berkenaan juga terbabit menguruskan perkahwinan pasangan bermasalah dari luar Pahang di bekas itu tetapi sijil pernikahan mereka dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam Thailand.

Katanya, sindiket itu memperoleh upah besar kerana membantu memudahkan urusan pernikahan pasangan bermasalah.

"Berdasarkan maklumat, sindiket itu juga sanggup menggunakan orang lain yang mempunyai nama sama seperti bapa perempuan dan kemudian menyamar sebagai wali untuk membolehkan proses pernikahan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengelak perkara sama, Jaip kini mensyaratkan semua dokumen untuk urusan pernikahan perlu diberi dalam salinan sebenar.

Abdul Rahim berkata, pasangan yang ingin bernikah perlu memastikan proses pernikahan menepati syarak.

10/4/2006-BH

Tutup Aurat Dari Sudut Sains Fizik

Bagaikan susu yang sebelumnya bercampur dengan najis, kuman, urea dan darah di dalam sistem badan seekor lembu akhirnya keluar sebagai susu
yang suci yang mendatangkan kebaikan kepada peminumnya. Dapat
disimpulkan bahawa bagaimana sukarnya susu itu keluar dari badan
seekor lembu melalui proses perahan untuk bebas dari unsur-unsur
negatif, begitulah sukarnya sesuatu perubahan untuk dilaksanakan.
Persekitaran memerlukan masa untuk menerima sesuatu kelainan.

Adalah penting pemahaman tentang aurat kerana ia melibatkan penjagaan
penglihatan yang berkaitan secara langsung dengan hati dan fikiran
yang dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan. Aurat yang dimaksudkan bukan
sahaja terhadap kaum wanita, tetapi juga kepada kaum lelaki di mana
sesetengahnya yang kurang sensitif menganggap aurat lelaki tidak
berapa penting sehingga memakai seluar yang menampakkan lutut ketika
bersukan. Bagi seorang wanita, aurat adalah perkara yang sangat besar
dan skop aurat adalah lebih luas pada tubuh mereka berbanding lelaki.
Manakala dalam institusi kekeluargaan pula, ibu bapa memainkan peranan
penting terhadap pentarbiyahan setiap anak. Bahkan, mereka juga perlu
ditarbiyah dan diberi peringatan agar tidak alpa akan arus dunia
semasa yang membawa kepada kebatilan.

Haba Pendam Tentu dan Konsep Aurat

Dalam Fizik, konsep ketahanan mental, emosi dan spiritual ditekankan
dalam bab haba pendam tentu dan berhubungkait dengan penjagaan aurat.
Jika dikaji tentang formula yang digunakan:

J = mc x tetha

J ialah haba pendam tentu: Kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu
objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa.

m ialah jisim objek yang menerima perubahan suhu.

c ialah keupayaan haba tentu: Keupayaan suatu objek yang mempunyai
jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa.

tetha ialah perubahan suhu.

Eksperimen 1: Haba Pendam Tentu (Fizik Tingkatan 4- BAB 2.3)

Abstrak/Pengenalan

Dalam kajian ini, "eksperimen" dilakukan ke atas 3 jenis wanita:
wanita A- wanita bertudung labuh, berjubah dan menjaga lengan daripada
terdedah, wanita B-wanita memakai pakaian biasa tetapi masih menutup
aurat dan wanita C- wanita yang lebih selesa memaparkan rambut yang
lurus setelah melalui teknik rebonding, menunjukkan keputihan dan
kehalusan kulit lengan, mendedahkan kerampingan bentuk badan dan
berhias laksana model-model muka hadapan majalah hiburan.

Tujuan

Mengkaji tahap ketahanan spiritual, mental dan emosi wanita terhadap
tekanan yang diberi berdasarkan cara pemakaian.

Hipotesis

Semakin baik cara pemakaian yang diamalkan mengikut tatacara yang
disyorkan dalam Islam, semakin tinggi tahap ketahanan mental, emosi
dan spiritual atas tekanan yang diberi. Begitu juga sebaliknya.

Inferens

Wanita A mempunyai tahap ketahanan yang tinggi, wanita B mempunyai
tahap ketahanan yang sederhana dan wanita C mempunyai tahap ketahanan
yang lemah.

Pembolehubah manipulasi

c atau keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima
suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa mempunyai hubungan
dengan ketahanan seseorang terhadap tekanan yang dikenakan. Bercakap
tentang konsep aurat, ia mempunyai kaitan dengan suhu. Ramai yang
membuka aurat atas alasan panas dan lebih suka bebas dari suatu
kongkongan. Seorang pensyarah wanita di UIA dari New Zealand (bukan
Islam) mempersoalkan istilah baju kurung. Adakah istilah baju kurung
tercipta kerana sifatnya "mengurung" wanita di Malaysia? Sehinggakan
ramai wanita sekitar KL dan Selangor lebih suka memakai jeans dan
t-shirt?

Pembolehubah malar

m atau jisim objek yang menerima perubahan suhu. Anggap jisim, bentuk
badan, bangsa, agama, dan ciri-ciri fizikal ketiga-tiga jenis wanita
adalah sama.

tetha atau perubahan suhu. Ia adalah tekanan yang diberi secara
automatik oleh Pencipta alam di mana wanita berhadapan dengan
perubahan biologi seperti haid (datang bulan), nifas (keadaan yang
berlaku semasa bersalin), menopause (berlaku pengurangan hormon
estrogen) dan tekanan persekitaran (kerja, pelajaran dan lain-lain).

Pembolehubah bergerakbalas

J atau kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang
mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa. Ia berkaitan
dengan setinggi mana tahap ketahanan spiritual, emosi dan mental
ketiga-tiga jenis wanita terhadap daya tekanan yang diberi.

Kaedah

1) Melalui pemerhatian kritikal terhadap perubahan personaliti
ketiga-tiga jenis wanita dalam suatu jangka masa.

2) Bertanya secara berhikmah tentang perspektif ketiga-tiga wanita
terhadap cara pemakaian.

3) Eksperimen diulang keatas wanita-wanita lain yang mempunyai ciri yang sama.

4) Eksperimen juga dilakukan keatas 2 jenis lelaki: Lelaki A- Lelaki
yang menutup aurat dengan baik dan Lelaki B- Lelaki yang suka
mendedahkan pusat sewaktu berlengging dan memaparkan lutut serta paha
sewaktu bersukan atau berjalan-jalan.

Pemerhatian

1) Wanita A kelihatan humble, tenang, happy, ceria, lembut, sopan,
pendiam, bercakap ketika perlu, berhati-hati dengan perhubungan dan
berkemampuan mengawal perkataan yang dikeluarkan dari mulut.

2) Wanita B juga kelihatan tenang, ceria, happy tetapi kadangkala
kelihatan risau dan bimbang seperti ada sesuatu yang tak kena. Ada
masanya terlepas juga kata-kata yang kurang baik ketika marah. Tapi
kembali normal setelah beberapa ketika. Penulis yang berjurusan
senibina pernah menegur seorang studiomate wanita yang menggunakan
spray dengan cara yang salah ketika menyembur model yang dibuat
sehingga menyebabkan cat yang terhasil rosak. Lalu dalam keadaan
marah, penulis dikatakan penyibuk walaupun niat penulis ingin menegur
kesilapan yang dibuat. Penulis terus berlalu kerana tahu tetha sedang
dikenakan terhadap studiomate tersebut. Selepas kejadian tersebut,
keadaan kembali normal.

3) Wanita C kelihatan kelam-kabut, mempunyai stail tersendiri, kurang
menjaga perkataan yang dilafazkan, overexcited, mudah melenting, agak
sombong, materialistik dan sosial.

4) Lelaki A kelihatan normal, tetapi lelaki B agak stylo, mudah marah,
ego yang terlampau tinggi, sukar menerima nasihat, memandang rendah
atas kemampuan orang lain dan lebih agresif.

Kesimpulan

Dari eksperimen yang dijalankan, wanita dan lelaki yang mempunyai
nilai J yang tinggi adalah mereka yang menjaga cara pemakaian dengan
baik mengikut syariat Islam dan sensitif terhadap aurat. Seperti dalam
formula yang diberi:

J = mc x tetha

Oleh itu, hipotesis diterima.

Mengkaji Fizik melalui perspektif Islam

Dalam usaha penyampaian Islam kepada individu yang faham tentang
Islam, individu yang kurang faham tentang Islam dan individu yang
tidak faham tentang Islam, pendekatan melalui ilmu duniawi berdasarkan
kaedah saintifik dan empirik adalah salah satu cara yang sesuai kerana
tak semua daripada mereka akan menerima jika menyampaikan melalui ilmu
Tauhid. Masalah berlaku di Malaysia di mana persepsi masyarakat
berubah iaitu belajar adalah untuk bekerja, bukan belajar untuk
mencari ilmu.

Adalah menghampakan situasi yang sama berlaku pada mereka yang
mengambil jurusan agama dan mereka yang menghafal kalam-kalam Allah.
Jika perspektif ini berterusan, mereka tidak akan mampu untuk
mengislamisasi ilmu yang dipelajari, melakukan integrasi antara ilmu
duniawi dan ilmu Islam, menyampaikan ilmu pada peringkat antarabangsa
agar mesej Islam sampai ke serata tempat seterusnya mencapai
kecemerlangan menyeluruh.

Seperti yang tertera dalam misi UIA iaitu Triple ICE (Integrations,
Islamizations, Internationalizations dan Comprehensive Excellence),
adakah pelajar UIA akan mencapai misi UIA andai masih lagi belajar
untuk bekerja? Bukan untuk pelajar UIA sahaja, malah kepada pelajar
institusi lain sekali. Tidak malukah kita kepada mereka yang bukan
Islam mengkaji ilmu sains melalui al-Quran lantas memeluk Islam atas
kesedaran? Di manakah perginya reputasi pelajar Islam yang cuba
dipertahankan? Fikirkan"

Masalah Ketika Berkomunikasi Dan Cara Mengatasinya - Bahagian 2

Antara masalah ketika berkomunikasi ialah:

 

1. Minda yang tidak stabil

2. Pelupa

3. Spontan

4. Gagal untuk membaca pemikiran orang lain

5. Pengaruh emosi

6. Sukar mencari perkataan yang sesuai

7. Persepsi berbeza

8. Kurang menumpukan perhatian pada perbualan

9. Tidak memberikan penjelasan yang baik

10. Gagal bertanya soalan yang kreatif

11. Tidak mengucapkan terima kasih atau menunjukkan penghargaan

 

Masalah 2: Pelupa

 

Sikap pelupa merupakan satu sifat yang susah untuk dikikis. Sikap ini banyak menimbulkan masalah kepada kita kerana 'terlupa' melakukan sesuatu yang penting itu adalah sangat membahayakan terutama sekali di alam persekolahan. Anda mungkin selalu terlupa apa-apa yang sedang diperkatakan oleh guru kepada anda. Ataupun pengurus anda telah mengarahkan anda membuat sesuatu tugasan, tetapi sedang dia bercakap, anda merasakan yang anda tidak ingat perkara yang diperkatakannya mula-mula tadi.

 

Contoh kes:

 

         Anisah bekerja sebagai seorang setiausaha kepada pengurus besar di sebuah syarikat swasta. Pada suatu hari, Anisah kerap dipanggil oleh bosnya melalui intercom. Dia pun bergegas ke bilik bosnya.

 

         "Anisah, drafkan satu surat kepada Kementerian Kesihatan dan tanya mereka tentang status permohonan kita. Dah lebih sebulan ni, belum ada berita. Selepas itu, kamu suruh driver balik awal hari ini sebab saya tidak perlukan dia untuk ke tempat mesyuarat malam ini. Saya akan drive sendiri," kata bos Anisah.

 

         Anisah hanya mengangguk dan terus keluar. Setelah sampai ke tempatnya, Anisah lupa apa-apa yang dicakapkan oleh bosnya dan dia berasa keliru, "Nak tulis surat kepada driver ke, siapa ni… apa nak cakap ha?" Anisah panik. Dia tentu dimarahi lagi sekiranya dia bertanya sekali lagi.

 

 

Sifat pelupa seperti ini memang mendatangkan banyak masalah dan boleh memberi kesan buruk kepada karier anda. Antaranya:

 

1.      Anda terlupa apa-apa yang diucapkan oleh orang lain sejurus selepas tamat perbualan.

 

2.      Anda juga mudah terlupa apa-apa yang ingin anda katakan.

 

3.      Anda terlalu menumpukan fikiran dengan soalan yang ingin anda utarakan sehingga anda hilang tumpuan pada perbualan tersebut dan kesudahannya anda menjawab soalan lain yang tidak relevan dengan topik sebenar.

 

4.      Anda suka mencelah dan menyampuk apabila orang lain sedang bercakap kerana anda tidak  mahu terlupa untuk memberitahu perkara yang ada dalam fikiran anda.

 

         Perkara sebegini tidak boleh dianggap remeh kerana akan memberikan kesan negatif terhadap personaliti anda. Anda akan dilabel sebagai penyampuk, kurang ajar dan ingin mengawal perbualan. Walaupun perkara ini tidak anda sengajakan, tidak semua orang akan faham situasi yang anda hadapi.

 

 

Cara Mengatasinya

 

1.      Ambil nota semasa anda berbual. Menulis sambil mendengar akan membantu anda supaya dapat mengingati dengan baik.

 

2.      Cuba elakkan tempat yang ramai orang sekiranya anda ingin berbual atau berbincang tentang perkara yang penting. Tempat yang sunyi adalah lebih baik kerana kurang faktor luaran yang akan mengganggu konsentrasi anda.

 

3.      Anda juga boleh menggunakan pita rakaman sekiranya perlu untuk merakam percakapan pensyarah semasa kuliah sedang berjalan ataupun merakam minit mesyuarat.

 

4.      Anda tidak perlu berasa takut atau malu untuk bertanya jika anda tidak faham atau lupa. Apa yang penting, mesej yang anda terima adalah jelas dan tepat.

 

 

Artikel di atas dipetik daripada buku CARA MUDAH UNTUK MENGUASAI KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI terbitan Perintis Books Sdn. Bhd.



********************************************************************

ADAB-ADAB TERHADAP DIRI SENDIRI

Bersama ini dikirimkan bahan tazkirah sebagai santapan rohani agar ia menjadi iktibar dan peringatan kepada kita.

1. Menjaga kebersihan secara menyeluruh dengan cara mandi dan menyucikan diri.

2. Memotong kuku tangan dan kaki sekali setiap minggu. Janganlah
memanjangkannya walaupun sebahagian darinya kerana dikuatiri tersimpan
najis dan perbuatan demikian menyerupai haiwan yang buruk.

3. Memotong rambut setiap kali ia panjang, menjaga kebersihannya dan
menyisirnya selalu, yakni jangan pula sampai berlebih-lebihan (tidak
membiarkannya dan tidak pula menunpukan perhatian kepadanya)

4. Mengutamakan bahagian kanan, yakni mendahulukan kanan dalam semua
perkara yang mulia, seperti ketika mandi, berwuduk, menghormat,
berjabat tangan. memakai pakaian atau kasut, memotong kuku, mengambil
dan menerima pemberian, makan dan minum. Mengutamakan bahagian kiri
yakni perkara yang tidak mulia, seperti membuang ingus, meludah,
menanggalkan pakaian dan kasut beristinjak, dan menyentuh aurat.
Daripada Aisyah katanya, Rasulullah s.a.w menggunakan tangan kanan
untuk bersuci dan makan, sedangkan tangan kiri untuk bersuci dan yang
kotor-kotor.

5. Jangan menghadap kiblat ketika meludah, membuang ingus dan kahak,
tapi hendaklah ke arah kiri dan pada saputangan yang khusus supaya
tidak mengganggu orang lain.

6. Mengalihkan wajah ketika bersin dari muka manusia, dan dari makanan
dan minuman agar percikan ingus tidak mengenai orang lain, dan
meletakkan saputangan atau tangan ke mulut, memperlahankan suaranya
sedapat mungkin. Daripada Abi Hurairah katanya, Apabila Rasulullah
s.a.w bersin, beliau meletakkan tangannya di mulutnya dan dengannya
suaranya menjadi tidak kuat

7. Memuji Allah sesudah bersin.

8. Orang yang bersin dan memuji Allah hendaklah dijawab dengan
(yarhamukallah) dan orang yang bersin pula menjawabnya dengan doa yang
berikut (yahdikumullahu wa yushlihu balakum)

9. Meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan
yang tidak layak ketika mulut terbuka, juga untuk menghalang sesuatu
masuk ke dalam mulut. Juga disuruh mengurangkan suaranya, dan jika
dapat, jangan sampai mengeluarkan suara. Selepas menguap hendaklah
beristighfar kepada Allah kerana menguap adalah bukti kemalasan. Oleh
itu Allah tidak menyukainya dan menyatakan bahawa ia disebabkan
syaitan.

Dari Abu Hurairah bahawa nabi bersabda, "Sesungguhnya Allah suka akan
bersin dan benci akan menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan
memuji Allah hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan
''Yarhamukallah'' .Adapun menguap adalah dari syaitan, jadi jika salah
seorang dari kamu menguap maka hendaklah ia mengembalikannya sedapat
mungkin kerana apabila kamu menguap, syaitan ketawa melihatnya."

10. Berusaha tidak bersendawa, menghindari makanan yang menyebabkan
sendawa atau makanan yang membanyakkannya. Dan jika tidak dapat
dihindari, bersendawalah dengan suara yang ringan, kemudian bacalah
istighfar sesudah sendawa. Daripada Abu Juhaifah katanya,"Aku memakan
kepingan roti dan daging kemudian aku mendatangi nabi lalu aku
sendawa. Beliau bersabda, pendekkan sendawamu kerana sesungguhnya
orang yang paling lapar pada Hari
kiamat kelak ialah orang yang paling kenyang di dunia."

11. Mengingat Allah dan bersyukur kepadaNya ketika berkaca (melihat
wajah di cermin) kemudian berdoa dengan doa yang warid dari nabi :
''Segala puji bagi Allah, sebagaimana engkau elokkan kejadian aku maka
elokkanlah akhlakku."

12. Menggunakan telefon bila perlu sahaja, bukan untuk bermain-main,
bergurau atau untuk mengejutkan orang lain, dan bertelefonlah pada
waktu-waktu yang sesuai, awali percakapan dengan salam, mengenalkan
diri, kemudian menyebut maksud.

13. Membiasakan diri dengan amal yang salih, seperti beribadah,
bersedekah, sembahyang unat, menghampirkan diri kepada Allah, berzikir
dan membaca Al-Quran. Jangan meninggalkan demikian kerana malas,
enggan atau kesibukan dunia. Daripada Aisyah katanya, amalan yang
disukai Rasulullah ialah amalan yang terus menerus dilakukan
seseorang.

14. Meninggalkan berlebihan dalam segala suatu, tidak melakukan suatu
yang tidak berguna, selalu memperbaiki diri dan berusaha
memperbaikinya. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda
''Sebahagian tanda kebagusan Islam seseorang adalah meninggalkan
sesuatu yang tidak dimaksudnya.

15. Memberi nasihat kepada orang yang mengenali kebaikan, yakni dengan
nasihat yang baik bagi orang itu samaada pada agamanya atau dunianya.

16. Menerima nasihat orang lain, mahu mengakui kebenaran dan kembali
semula kepadanya, juga mengakui kesalahan diri sendiri jika memang
benar sudah salah, dan jangan berterusan padanya, kerana kebenaran itu
ialah barang orang mukmin yang hilang, yang terus dicarinya dan akan
berterima kasih kepada orang yang menyerahkannya kepadanya serta
memuji setiap orang yang sudi memberi nasihat.

17. Membiasakan hidup sederhana, mensyukuri yang sedikit, dan
meninggalkan hidup bermewah-mewah dan bersenang-senang di dunia kerana
sifat itu menjauhkan diri dari takbur dan ujub serta selamat dari
sifat sombong, memuji-muji diri dan angkuh. Dari Aisyah katanya,"Tikar
Rasulullah s.a.w diperbuat dari kulit yang disamak setelah dipenuhi
dengan sabut."

18. Ikhlas kerana Allah dalam semua pekerjaan, menjadikan matlamat
utama dari kehidupan sebagai syiar orang mukmin yang diletakkannya di
hadapan dan terus menerus mengulang-ulang sebutan ''Oh Tuhanku,
Engkaulah tujuanku, dan Redamulah yang ku cari''.

Sekian, wassallam.


________________________________

Di petik dari e-mail bahantarbiah.
Web Utama www.bahantarbiyah.sodeeq.com
Web Log www.bahantarbiyah.blogspot.com

Monday, April 10, 2006

‘Keluarga tak boleh halang cinta kami’

Oleh Ilham Nusa


KUANTAN: "Mahligai impian tetap akan saya dibina bersama dia (Rahmad Ahmad) sebaik saja surat arahan peguam diterima walaupun apa yang terjadi demi maruah dan cinta sejati saya.


"Keluarga yang tidak memahami perasaan kami tidak akan menghalang cinta saya kepada Rahmad yang berputik sejak 2002," katanya Wan Norerni Murni Abdullah (gambar) , 23, ketika dihubungi Berita Harian di rumah abangnya di Kampung Chengal Lempung, dekat sini, semalam.

Dia yang memulakan tugas sebagai jururawat di Pusat Kesihatan Kampung Tanjung Selangor, Pekan, hari ini, berkata dia mengenali hati budi Rahmad, sebab itu perhubungannya mampu bertahan sehingga sekarang walaupun mendapat tentangan hebat keluarga.

Ditanya mengapa dia sanggup menggunakan sijil mati palsu ayahnya, Wan Norerni Murni berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana bapanya (Abdullah Salleh) tidak mungkin mahu menjadi wali pernikahannya dengan Rahmad.

"Sebelum ini, saya sudah memaklumkan kepada keluarga mengenai niatnya untuk berumah tangga dengan Rahmad tetapi ayah membantah keras dengan memberi pelbagai alasan.

"Tindakan terakhir saya ialah meneruskan niat (berkahwin) menggunakan sijil kematian palsu ayah dengan bantuan seorang lelaki yang mendakwa boleh menyediakan semua dokumen yang diperlukan," katanya.

Menurutnya, perasaan cinta dan sayang kepada Rahmad terbit dari hati yang suci bukan kerana unsur lain seperti paksaan termasuk ubat guna-guna seperti yang didakwa oleh keluarga.

Wan Norerni Murni yang lebih mesra dengan panggilan Murni berkata, dia tidak menolak tindakan beraninya menggunakan sijil mati palsu ayahnya memakan dirinya sendiri.

"Bagaimanapun, saya menganggap perkara ini tidak mungkin berlaku jika pihak keluarga terutama ayah faham dan merestui niat kami untuk berumahtangga secara baik," katanya.

Menurutnya, bapanya terlalu memilih bakal menantu.

Katanya, walaupun menyesali apa yang terjadi, dia tetap dengan pendirian untuk berumah tangga dengan Rahmad terutama sekarang ini mengandung dua bulan.

Wan Norerni menyifatkan dakwaan keluarga yang menyatakan dia terkena buatan Rahmad terutama apabila berubah perangai daripada lemah lembut kepada kasar, tidak benar dan karut.

"Perangai saya berubah menjadi kasar dan memberontak kerana sikap keluarga sendiri yang tidak setuju dengan keputusan saya untuk bernikah dengan Rahmad, bukan kerana ubat guna-guna.

"Saya sedar (ingat) terutama apabila keluarga ingin membawa saya berjumpa bomoh untuk berubat, saya tidak mahu mengikut mereka sebab benci dengan mereka yang tidak faham perasaan saya," katanya yang akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang memisahkan dia dengan Rahmad.

Kelmarin, Berita Harian menyiarkan kisah Wan Norerni Murni Abdullah, 23, dari Kota Bharu dan pasangannya, Rahmad Salleh, 26, dari Felda Bukit Kuantan, yang bernikah menggunakan sijil kematian palsu bapa Wan Norerni Murni.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Sunday, April 09, 2006

‘Anak Saya Berfikiran Waras’

BM-9/4/2006
Oleh Ilham Nusa


KUANTAN: Pihak ketiga yang membantu mengeluarkan sijil kematian palsu Abdullah Salleh, 73, dianggap punca membolehkan Wan Norerni Murni bernikah dengan pasangannya, Rahmad Ahmad pada 13 Januari lalu.

Pihak tidak bertanggungjawab itu mengatur semua rancangan terutama menyediakan dokumen bagi membolehkan pasangan berkenaan bernikah tanpa persetujuan wali.

Bapa pasangan itu, Abdullah, tidak percaya anaknya (Wan Norerni Murni) melakukan perbuatan berdosa dan terkutuk itu kerana anaknya berpendidikan dan berfikir waras.

"Dia dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk," katanya di rumahnya di Kampung Chengal Lempong, Beserah dekat sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun tiada bukti kukuh menguatkan dakwaan pihak ketiga yang menyediakan semua dokumen yang membolehkan anaknya bernikah, hatinya tetap percaya ia dilakukan mereka yang biasa dengan perbuatan itu.

"Pada dokumen itu tertulis jawatan anak saya sebagai kerani sedangkan dia jururawat," katanya.

Beliau yakin anaknya menjadi mangsa kepada perbuatan tidak bertanggungjawab yang menangguk di air keruh.

Abdullah turut mempersoalkan mengapa majlis pernikahan pasangan berkenaan dibuat di Felda Chini 2, sedangkan lelaki berkenaan berasal dari Felda Bukit Kuantan.

"Saya tidak pernah kenal dengan lelaki (Rahmad) yang bernikah dengan anak saya, sebaliknya hanya mengetahui namanya melalui anak lelaki saya yang tinggal di sini (Kuantan).

"Saya difahamkan anak saya mengenali lelaki berkenaan sejak tiga tahun lalu tetapi sejauh mana perhubungan mereka saya tidak pasti," katanya.

Ditanya perasaannya apabila mendengar berita pernikahan anaknya pada 13 Januari lalu, Abdullah yang kini tinggal di Pasir Tumbuh, Kota Bharu berkata, dia seolah-olah tidak mempercayainya.

Katanya, untuk memastikan kesahihan berita itu, dia datang ke Kuantan pada 5 Mac seterusnya ke Pejabat Agama Islam Pekan pada keesokan harinya untuk mendapat gambaran sebenar mengenai perkara itu.

"Selepas menyemak dokumen pernikahan itu, saya dapati ia tidak benar dan ada beberapa penipuan terutama sijil kematian saya.

"Selepas mahkamah memutuskan pasangan berkenaan wajib dipisahkan, saya bersyukur dan menganggap kes ini sudah selesai," katanya.

©The New Straits Times Press (M) Berhad

Soal Jawab: Perspektif Baru Tangani Kelakuan Tak Senonoh

Berita Minggu - 9/4/2006


PENGHAKIMAN Mahkamah Persekutuan pada 4 April lalu, membuka perspektif baru kepada persoalan undang-undang moral di Malaysia. Jika selama ini, orang Islam tertakluk kepada undang-undang jenayah syariah, keputusan bersejarah dalam kes membabitkan orang bukan Islam ini menimbulkan perdebatan di kalangan masyarakat. Meskipun penghakiman membabitkan isu kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tetapi kes ini membabitkan isu yang lebih kompleks. Ini yang menyebabkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdull Hamid Embong, mengarahkan kes ini dirujuk ke Mahkamah Persekutuan kerana membabitkan isu Perlembagaan. Wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin, mendapatkan pandangan Profesor Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Aziz Bari, untuk mengupas isu ini.

? APAKAH kepentingan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang bakal menjadi rujukan pada masa depan

Mahkamah Persekutuan adalah yang tertinggi dalam sistem kehakiman negara dan sudah tentu keputusan mahkamah ini penting. Dalam sistem yang mengikat, penghakiman kes ini adalah muktamad dan ia adalah undang-undang baru. Bagaimanapun, kita belum melihat penghakiman bertulis, tetapi berdasarkan laporan akhbar. Saya fikir kita dapat melihat intipati penghakiman itu. Walaupun keputusan itu menangani persoalan bidang kuasa, dalam negara yang mempunyai undang-undang bertulis, kita harus lihat dalam konteks lebih besar, iaitu kerangka Perlembagaan.

Mahkamah menyatakan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Bandar) mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang dan peraturan berkaitan moral yang dipersoalkan plaintif dalam kes ini. Bagi saya, ini satu keputusan yang baik.

? Bagaimana aspek teknikal kes ini, terutama penggunaan Akta Kerajaan Tempatan 1976?

Ini satu perkara yang menarik kerana pihak yang mencabar tindakan Datuk Bandar menggunakan Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Ini satu aliran yang menonjol dalam kes kebelakangan ini. Barang kali disengajakan atau menunjukkan ketidakmahiran mengenai Perlembagaan. Mungkin ada persoalan teknikal yang boleh dibangkitkan berdasarkan akta ini, tetapi jangan lupa kita mempunyai Perlembagaan bertulis yang antara lain menyebut dalam Perkara 3(1) Islam adalah agama Persekutuan dan ini cukup luas untuk memberikan dasar kepada keputusan itu.

Majlis Peguam dalam kenyataan berhubung penghakiman itu memberikan perspektif keputusan mahkamah boleh dipersoalkan dari segi persoalan apakah nilai moral atau undang-undang moral, sesuatu yang boleh diseragamkan dengan membangkitkan perkara seperti kebebasan dan pilihan peribadi.

Sepatutnya pihak yang menyaman Datuk Bandar harus menggunakan Perlembagaan terlebih dulu untuk mempersoalkan tindakan atau undang-undang yang dibuat Datuk Bandar. Berdasarkan laporan akhbar, nampaknya ini tidak dilakukan.

? Bagaimanakah kes ini dilihat dari sudut Perlembagaan?

Perkara 3(1) Perlembagaan cukup luas kerana menyatakan Islam adalah agama Persekutuan. Ini boleh ditafsirkan Islam sebagai nilai, ideologi atau anutan bagi negara. Maknanya negara ini harus ditadbirkan mengikut lunas agama atau sekurang-kurangnya lunas yang tidak bertentangan dengan Islam. Ini tidak mempunyai kesan untuk menafikan kebebasan atau hak beragama. Dalam kes ini, kita tidak nampak bagaimana larangan berpegang tangan atau bercium di khalayak boleh menyebabkan teruna dan dara dinafikan hak kebebasan beragama. Mereka harus menunjukkan bagaimana bercium dan berpeluk di khalayak itu dituntut agama mereka.

Mahkamah Persekutuan adalah benar dan patut dipuji apabila menekankan soal perbezaan antara nilai Asia dan Barat. Ini satu perkara yang saya fikir adalah original, berani dan harus diberikan tahniah. Kita mengharapkan dalam penghakiman bertulis nanti, ini dijelaskan dengan lebih mendalam. Ini perkara baru dan satu keberanian yang sangat perlu dalam kontroversi sekarang kerana sering dibangkitkan ciri masyarakat majmuk Malaysia.

Di Pulau Pinang dalam perayaan keagamaan, apabila penari berpakaian mencolok mata, perasaan tidak senang disuarakan. Jadi masyarakat Cina sendiri dan kaum lain ada persamaan dengan masyarakat Islam dalam soal kesopanan di khalayak.

? Bagaimanapun dalam penghakiman yang dilaporkan, hakim tidak menyatakan persoalan agama, tetapi nilai masyarakat Asia?

Mahkamah, terutama Mahkamah Persekutuan mempunyai hak memilih hujah, tetapi sebagai negara yang mempunyai Perlembagaan bertulis, perkara pertama yang harus dirujuk adalah Perlembagaan.

Kita bimbang kalau mahkamah hanya menyebut nilai masyarakat Asia, ini adalah perkara subjektif dan memudahkan mahkamah diserang pihak lain seperti Majlis Peguam yang mempunyai alasan berbuat demikian. Mahkamah pada peringkat apa pun harus memberikan penghakiman spesifik. Jika tidak, penghakiman akan dikritik dan menimbulkan persoalan lebih dari jawapan.

Aliran yang berlaku sejak beberapa tahun lalu seperti kes Meor Atiqulrahman al-Syafiq Ishak dan Lina Joy (Azlina Jailani), apabila penghakiman Mahkamah Rayuan dalam keputusan menentang, Hakim Datuk Gopal Sri Ram, tidak merujuk kepada Perlembagaan secara spesifik.

Pendekatan yang digunakannya ialah undang-undang pentadbiran, pendekatan yang sebenarnya sesuai di negara seperti England yang tidak mempunyai Perlembagaan bertulis. Undang-undang di sana berkembang mengikut keadaan. Malaysia berbeza kerana undang-undang bertulis walaupun berkembang dalam bentuk sama, tetapi harus disesuaikan dalam konteks Perlembagaan bertulis.

Oleh kerana tidak menyebut peruntukan tertentu secara khusus, menyebabkan Majlis Peguam membuat kenyataan seperti itu. Sebab itu, kalau tidak dihakimkan secara spesifik, ini membuka ruang dan menjadi perdebatan yang tiada penghujung.

? Alasan pembelaan dalam kes ini ialah tindakan terhadap mereka menghalang kebebasan hak asasi.

Malaysia ada peruntukan spesifik mengikut Bahagian II Perlembagaan mengenai kebebasan hak asasi dan semua kes mahkamah harus diletakkan di situ. Saya tidak menyalahkan mahkamah kerana pihak yang membawa kes ini pun tidak mengikut Perlembagaan. Ini mungkin disengajakan dengan isu ini cuba dialihkan kepada persoalan bidang kuasa Datuk Bandar.

Saya berpendapat kalau tidak dirujuk kepada Perlembagaan pun, Datuk Bandar mempunyai kuasa. Ini bergantung kepada bagaimana kita melihat kuasa itu. Tidak bererti apabila Datuk Bandar diberi kuasa untuk mengawal kesentosaan, ini tidak termasuk soal moral. Dalam masyarakat kita, kesentosaan berbeza dengan di England. Kita harus menerima undang-undang dari England dengan berhati-hati. Jangan lupa bahawa undang-undang yang membenarkan penggunaan kes England, iaitu Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956, menyatakan Common Law dari England hanya boleh dipakai di sini jika tiada undang-undang di sini dan pemakaian itu tidak menyebabkan ketidakadilan.

Sebab itu saya berpendapat keputusan Mahkamah Persekutuan betul. Tetapi kalau orang berhujah dari segi terlalu longgar dan tidak mantap, itu mungkin boleh diterima.

? Orang Islam tertakluk kepada Enakmen Jenayah Syariah. Adakah dengan penghakiman ini bermakna bukan Islam pun tidak terlepas dikenakan tindakan berhubung kesalahan moral?

Kita harus melihat perkara ini dalam konteks berbeza. Orang Islam dikenakan hukuman mengikut Enakmen Jenayah Syariah kerana melakukan sesuatu yang bertentangan Islam. Bukan Islam tidak dikenakan undang-undang itu. Kita bercakap kes ini dalam soal kesopanan awam yang Islam berhak menanganinya. Di Eropah, kita jangan lupa nilai asas yang digunakan ialah budaya Judeo-Kristian. Ini perkara yang tidak siapa boleh nafikan walaupun mereka sekarang menyatakan adalah masyarakat sekular.

Di Malaysia, apakah salah berdasarkan realiti dan sejarah, Islam digunakan sebagai nilai tunjang masyarakat? Kesopanan awam tidak menafikan hak kebebasan beragama bukan Islam. Kalau undang-undang didakwa bertentangan atau menafikan hak kebebasan beragama, buktikan bercium dan berpegang tangan di khalayak ramai dituntut agama.

Tidak timbul soal bukan Islam dikenakan undang-undang seperti orang Islam. Ini soal kesopanan awam yang seharusnya ditentukan Islam dan yang penting tidak menafikan hak mereka. Ini satu perkara yang harus dibezakan kerana sekarang ini ada kecenderungan bahawa pakai skaf, tudung dan songkok, menafikan hak kebebasan beragama. Ini tidak betul kecuali hingga ke tahap meminta orang Sikh membuang serban. Tetapi kalau agama tidak melarang berpakaian atau berkelakuan seperti itu, apa asas menyatakan ini bertentangan dengan Perlembagaan.

? Timbul kekhuatiran bahawa apabila undang-undang tidak menyatakan secara khusus kelakuan tidak bermoral menyebabkan kemungkinan dikenakan tindakan akibat kesalahan yang tidak jelas?

Perkara jenayah mesti disebut secara spesifik dalam akta atau enakmen. Pihak berkenaan juga mesti ada bidang kuasa yang betul seperti diberikan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Dari segi pelaksanaan, kalau yang dibimbangi ialah soal melampaui kuasa atau kasar, itu boleh dibawa ke mahkamah. Dalam setiap kes, mahkamah melihat apakah tindakan penguat kuasa selaras atau dalam lingkungan undang-undang. Ini saya fikir satu perkara yang mahkamah setiap hari menangani persoalan ini.

Ada dua perkara berhubung soalan ini. Soal jenayah ada akta tertentu yang mesti digunakan. Kalau tidak ada, tidak boleh. Dari segi penguatkuasaan, mungkin dalam keadaan tertentu apabila melewati tahap kemunasabahan, mahkamah boleh mengisytiharkan tindakan itu tidak sah. Undang-undang yang ada cukup peruntukan untuk menangani persoalan itu.

? Adakah penghakiman kes ini mengejutkan masyarakat?

Saya fikir bagi masyarakat Islam, ini boleh diterima kerana orang Islam sudah lama hidup dengan peraturan atau tanda aras begini. Bagi masyarakat lain saya tidak tahu. Kalau masyarakat sudah hanyut dan menerima nilai Barat, mereka akan terkejut. Keputusan ini baik kerana dari satu segi akan membuatkan masyarakat membincangkan secara terbuka mengenai nilai moral dan kesopanan awam yang boleh diterapkan dalam masyarakat. Mahkamah akan mengambil kira suasana dan nilai yang diterima masyarakat.

Penghakiman ini secara terbuka dapat menjelaskan mengenai isu yang masih belum jelas atau tidak diketahui. Bagaimanapun, saya fikir banyak perkara yang sudah jelas, tetapi tidak diketahui masyarakat. Ini adalah satu kesempatan bagi kita mengetahui atau sekurang-kurangnya mempelajari perkara yang kita pelajari dan ketahui.

? Tidakkah ini menimbulkan tanggapan seolah-olah ada polis untuk menguatkuasakan undang-undang moral?

Ini bukan perkara yang terlalu ganjil kerana dalam undang-undang jenayah, kebanyakan peruntukan dalam Kanun Keseksaan ialah nilai moral yang dibentuk, dimasukkan atau membentuk peruntukan undang-undang. Jenayah sebenarnya adalah undang-undang moral. Jadi, ini bukan perkara baru. Soal polis moral sebenarnya ditimbulkan mereka yang antimoral, golongan hedonist (mempercayai nikmat nafsu adalah yang teragung).

? Adakah faktor bangsa dan agama hakim dalam kes ini akan mewujudkan keadaan penghakiman yang berbeza?

Kemungkinan itu ada, tetapi saya pasti jika keadaan, tabiat dan nilai masyarakat difahami, penghakiman hakim tidak terlalu berbeza. Sesuatu kes harus diputuskan dengan adil, sama ada menggunakan pendekatan undang-undang Perlembagaan, pentadbiran atau undang-undang apa pun. Hakim mesti adil. Pada saya, sama ada hakim yang mengendalikan kes ini Melayu dan Islam atau bukan Islam, tak ada perbezaan.

? Tidakkah kes ini menggambarkan Malaysia sebagai negara yang amat ketat dan menekan dalam penguatkuasaan undang-undang moral?

Kita tak dapat lari daripada dilabelkan begitu kerana kita hidup pada zaman manusia hendak lari dari peraturan agama. Orang Barat, golongan liberal atau yang tidak mahu agama melihat ini sebagai satu ancaman.

Bagi mereka yang faham bahawa manusia ini dikandung peraturan dan kesusilaan, saya fikir ini bukan terlalu menekan. Kita tidak melarang orang bercinta, tetapi ada caranya. Saya tidak berfikir bercinta mesti mempertontonkan perasaan itu kepada masyarakat. Ini biadab. Kita harus membezakan antara kebiadaban dan hak.

? Sesetengah pihak bimbang terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan pelbagai tugas hingga dikritik pelbagai pihak harus dibebankan dengan tugas menjaga moral?

Saya tidak fikir PBT tidak cerdik hingga tidak tahu menyusun keutamaan tugas mereka. Saya percaya PBT mempunyai pengetahuan, pengalaman dan kepakaran yang cukup menjalankan tugas. PBT pun tahu mereka sentiasa dipantau dan diperhatikan. Kritikan dalam kes ini pun sudah cukup untuk mengingatkan PBT supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas. Saya fikir penguat kuasa pun tahu bidang tugas mereka.

Tetapi jangan lupa bahawa sistem kehakiman kita mempunyai banyak peringkat dari Mahkamah Majistret, Sesyen, Tinggi, Rayuan dan Persekutuan. Banyak hierarki yang boleh menyemak dan menimbang keputusan. Jadi kebimbangan itu walaupun ada asasnya tetapi tidak terlalu di luar kawalan. Sistem kita masih boleh mengawal kebimbangan itu. Ini bukan satu keadaan yang sesiapa boleh melakukan sesuka hatinya.

Peguam juga harus sedar, inilah antara fungsi dan tugas peguam untuk menangani, mempersoal, menghalusi tindakan pihak eksekutif. Umpamanya jika mereka yang ditangkap tidak mempunyai biaya, Majlis Peguam mempunyai dana untuk menangani kes seperti ini. Malah ramai peguam yang komited dengan hak asasi bersedia menangani kes ini. Saya rasa kebimbangan ini bukan betul-betul wujud, tetapi kerana kejahilan yang tidak berasaskan kenyataan.

FAKTA KES


PANEL HAKIM: Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohamad Sheriff dan Datuk Richard Malanjum.


PENGHAKIMAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai kuasa membuat undang-undang dan peraturan menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak ramai serta Seksyen 8(1) Undang-Undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan) 1981 (UKT) tidak ultra vires (bercanggah) dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, berhubung kebebasan hak asasi.


PERMOHONAN: Ooi Kean Thong, 23 dan Siow Ai Wei, 21, mengisytiharkan bahawa tuduhan terhadap mereka melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana menghalang hak asasi mereka.


TUDUHAN: Berkelakuan tidak senonoh kerana berpeluk dan bercumbuan di bawah rimbunan pokok di Taman KLCC, Kuala Lumpur, jam 5.20 petang, 2 Ogos 2003.



©The New Straits Times Press (M) Berhad

Saturday, April 08, 2006

Penapisan Ketat Elak Kes Nikah Tipu Wali

BH-8/4/2006


KUALA LUMPUR: Kes penipuan bernikah secara wali hakim tidak banyak dicatatkan di negara ini berikutan penapisan permohonan secara rapi yang dilaksanakan jabatan agama Islam negeri.

Bagaimanapun, di bandar raya ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mencatatkan satu kes seorang lelaki dipercayai menipu ketika mengisi borang permohonan nikah dengan menggunakan nama berbeza daripada nama dalam kad pengenalan, dua tahun lalu.

Kes berkenaan terbongkar apabila lelaki terbabit hadir di pejabat Jawi, di sini lapan bulan selepas bernikah untuk mendapatkan pengesahan status pernikahannya berikutan rasa bersalah atas tindakannya.

Jurucakap Jawi berkata, lelaki berusia 39 tahun itu bernikah dengan pasangannya berusia awal 30-an di sebuah masjid di Gombak pada Januari 2004 dengan menggunakan nama berkenaan.

�Beberapa hari sebelum bernikah, dia membuat laporan polis dan mendakwa kad pengenalannya hilang. Dia dinikahkan dengan menggunakan nama yang berbeza daripada nama dalam kad pengenalannya.

�Bagaimanapun, pada September tahun sama, dia hadir di pejabat Jawi dan menceritakan hal sebenar. Siasatan Jawi terpaksa mengambil masa yang agak lama kerana beberapa saksi yang ditemui meragukan,� katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Sehubungan itu, katanya, kes itu sekarang menunggu tarikh sebutan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 38 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Jurucakap itu berkata, hanya satu kes dicatatkan pada 2004, manakala bagi tahun lalu dan tahun ini, tiada kes penipuan seumpama itu.

Semalam, akhbar ini melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan membatalkan pernikahan seorang jururawat dengan lelaki pilihannya di Pejabat Agama Daerah Pekan 13 Januari lalu kerana menipu dengan menggunakan sijil kematian palsu bapanya untuk bernikah berwali hakim.

Mahkamah memerintahkan Wan Norerni Murni Abdullah, 23, yang hamil dua bulan bersama pasangannya, Rahmad Ahmad, 26, difarakkan serta-merta.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie, Muhamad Burok berkata, mungkin ada kes lain seumpama itu tetapi tidak dikesan jabatan agama Islam negeri.

Sehubungan itu, persatuan itu meminta jurunikah memastikan semua maklumat dalam borang permohonan pernikahan bukan setakat lengkap, malah sahih.

Di MELAKA, tidak ada kes penipuan wali dilaporkan dalam tempoh lima tahun ini, berikutan peraturan permohonan wali hakim menjalani dua kali proses penapisan sebelum diluluskan mahkamah.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Hakim Syarie Johor, Datuk Ali Ahmad berkata, setakat ini tiada kes Mahkamah Tinggi Syariah di negeri ini membatalkan pernikahan berikutan penipuan wali.

Friday, April 07, 2006

PBT kaji undang-undang

Oleh Zuraidah Mohamed dan Rozdan Mazalan
BH 7/4/2006

Peraturan baru digubal selepas Mahkamah Persekutuan mendapati Datuk Bandar Kuala Lumpur ada hak dakwa guru bercumbu



KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyebut pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa membuat undang-undang dan peraturan menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak, disambut baik beberapa PBT di Lembah Klang.

Bagaimanapun, mereka meminta kerajaan mengkaji dan meneliti semula Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi memastikan peruntukan undang-undang sedia ada menepati dan sesuai dengan keadaan semasa.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Ahmad Shafie Saidin, berkata undang-undang sedia ada sudah berusia lebih 30 tahun dan sekarang adalah masa sesuai untuk mengkaji semula akta berkenaan.

“Ada undang-undang yang sudah lapuk, kita takut jika menggunakannya untuk mengambil tindakan pada masa sekarang pihak berkenaan boleh mencabar kewibawaan PBT sekali gus mempersoalkan kewajaran tindakan yang dikenakan kerana tidak relevan.

“Justeru, wajar Akta PBT dikaji semula dengan memasukkan mana yang perlu termasuk kuasa PBT menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohamad Sheriff dan Datuk Richard Malanjum, Selasa lalu memutuskan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah betul mendakwa seorang guru sandaran dan teman wanitanya kerana bercumbu di taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Panel itu turut memutuskan Seksyen 8 (1) Undang-undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan) 1981 (UKT) tidak bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan hak asasi.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Mohd Ariff Abdul Rahman, berkata pihaknya tiada halangan untuk menggubal undang-undang dan peraturan bagi menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak di taman dan kawasan awam.

“Bagaimanapun perkara ini perlu merujuk kepada kerajaan negeri mengenai bidang kuasa yang boleh dilaksanakan.

“Akta yang diperuntukkan itu juga perlu mengambil kira pertindihan kuasa dengan Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Zainal Abidin Azim, berkata kerjasama antara PBT dan Jais perlu bagi membendung gejala kurang sihat seperti tidak sopan di khalayak ramai.

Berikutan itu, beliau meminta Jais memberikan panduan serta latihan bagi membolehkan pihaknya menubuhkan unit penguatkuasaan bagi membendung penyalahgunaan kuasa di kalangan pegawainya.

“Kami sentiasa menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan rekreasi bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin bagaimanapun kami tidak diberi kuasa menyekat sebarang perbuatan tidak sopan,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Datuk Ahmad Termizi Puteh, berkata pihaknya akan mengkaji semula peruntukan undang-undang kecil sedia ada PBT itu bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan semasa.

“Kita akan lihat jika ada yang memerlukan tambahan kita akan lakukan dan cadangan itu akan dikemukakan kepada Penasihat Undang-undang Negeri bagi penelitian.

“Pada masa sama, kita minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengkaji semula Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi membolehkan undang-undang dan tindakan diambil berdasarkan keadaan semasa,” katanya.

Hakim dipilih bukan kerana jantina

PENULIS rasa terpanggil untuk menilai kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di dalam ucapan penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat minggu lepas.

Beliau memaklumkan kepada persidangan Dewan Rakyat tentang kemungkinan seorang hakim syarie wanita akan dilantik tahun ini, sekali gus memecah dominasi lelaki di dalam jawatan itu. Malah Kabinet sudah pun bersetuju dan sedang di dalam proses penilaian terakhir.

Menurut beliau, sudah sampai masanya jawatan tersebut diisi oleh wanita untuk mewujudkan keadilan di dalam kes-kes berkaitan masalah rumah tangga kerana, hakim syarie wanita lebih memahami isu-isu kekeluargaan dan akan bertindak adil dalam mengendalikan kes-kes penceraian. (Utusan Malaysia, 31/3/06)

Penulis kesal dengan kenyataan beliau yang berbaur prejudis terhadap lelaki dengan membangkitkan sentimen gender.

Kenyataan beliau seperti yang tersiar di akhbar, seolah-olah menggambarkan keputusan-keputusan mahkamah oleh hakim syarie lelaki di dalam kes-kes berkaitan masalah rumah tangga sebelum ini adalah tidak adil, sekali gus menafikan kredibiliti hakim-hakim syarie lelaki. Kenyataan beliau juga turut menggambarkan hakim syarie lelaki tidak arif di dalam mendepani kes-kes masalah rumah tangga.

Dengan membangkitkan sentimen gender, beliau menunjukkan bahawa wanita adalah lebih layak dan arif daripada lelaki di dalam soal-soal penghakiman kes-kes masalah rumah tangga.

Sebagai menteri beliau dilihat sebagai satu contoh dan sebarang kenyataannya dianggap sebagai satu dalil yang bertunjangkan keilmuan. Kenyataan beliau ini dilihat hanya akan membangkitkan lagi persaingan tidak sihat di antara gender dengan bersikap prejudis di antara satu sama lain.

Penulis beranggapan, tidak menjadi kesalahan untuk beliau memaklumkan kepada persidangan Dewan Rakyat berhubung perkara tersebut. Namun, makluman beliau perlulah dibuat secara baik tanpa mengapi-apikan sentimen dan prejudis terhadap gender yang berlainan. Ini penting untuk membolehkan rakyat memahami maksud makluman beliau dengan jelas dan tepat.

Di dalam membicarakan isu pelantikan wanita sebagai hakim syarie, penulis merasakan adalah amat perlu untuk perkara ini turut dibincangkan bersama dengan ahli agama selain daripada membincangkannya dengan ahli perundangan. Kerana isu ini bukan hanya berkaitan dengan soal undang-undang negara tetapi juga bersangkutan dengan fatwa agama. Agar apa-apa pun keputusannya adalah berdasarkan semangat musyawarah dengan bersandarkan kepada nas-nas agama dan disokong oleh undang-undang negara. Ini penting untuk memudahkan sebarang keputusan dapat diterima pakai tanpa ragu oleh semua pihak.

Dalam tulisan ini tidak bermakna penulis berniat untuk merendahkan peranan wanita di dalam pembangunan negara menurut konteks hari ini. Kerana wanita hari ini telah berjaya membuktikan kebolehan mereka di dalam memacu kejayaan negara di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa sebaris dengan lelaki.

Penulis cuma mengharapkan supaya persaingan di antara lelaki dan wanita di dalam membangunkan negara berlangsung di dalam suasana sihat dan tidak lupa kepada tanggungjawab asal yang pertama-tamanya telah diamanahkan oleh Tuhan kepada setiap diri kita sebagai manusia. Lelaki dan wanita telah pun secara fitrahnya diamanahkan dengan tanggungjawab ini yang perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum mengejar hal-hal lain.

- KHAIRUL ANWAR SHAZALI,

Kuching, Sarawak.

 

Sample text

Sample Text

Sample Text