Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 25, 2006

‘Bidang kuasa tidak perlu dipertikai’


BH 25/1/2006

KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin politik menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban memutuskan Nyonya Tahir, sebagai bukan Islam ketika kematiannya membuktikan kredibiliti institusi itu dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Penghakiman itu melambangkan bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak perlu dipertikaikan mana-mana pihak selaras dengan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata keputusan itu jelas menunjukkan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa penuh menentukan status orang Islam berdasarkan bukti dikemukakan.

"Mahkamah Syariah mendengar rayuan daripada keluarganya dan keputusan menunjukkan Islam adil," katanya ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md Zin, berkata hakim Mahkamah Syariah membuat keputusan saksama apabila mengambil kira hujah dan bukti yang dikemukakan keluarga Nyonya Tahir.

Katanya, selain bukti, riwayat Sheikh Abu Sujak daripada Kitab Kifayatul Akhyar yang diguna pakai dalam memutuskan penghakiman mengenai kes berkenaan juga membuktikan ketelusan mahkamah.

"Keputusan itu jelas menunjukkan status Islam seseorang itu hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sivil," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berkata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bersetuju mengadakan kursus khas kepada semua hakim Mahkamah Syariah bagi meningkatkan mutu perbicaraan dan perkhidmatan.

"Program itu akan diadakan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (Iklap), dalam masa terdekat bagi memastikan masalah penerimaan bukti dan cara menjalankan perbicaraan dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada ahli MT ketika membincangkan isu berkaitan Perlembagaan negara dan langkah menyeragamkan Undang-undang Keluarga Islam dalam mesyuarat semalam.

Katanya, penyelarasan dan penyeragaman perlu dilaksanakan untuk memberi keyakinan umum yang keadilan boleh dilaksanakan pada peringkat Mahkamah Syariah untuk masyarakat pelbagai kaum dengan adanya fakta lengkap.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text