Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 12, 2006

Buat kajian terperinci elak wanita ditindas - NGO

Buat kajian terperinci elak wanita ditindas - NGO
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Penangguhan pewartaan Undang-Undang Keluarga

Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 perlu disusuli dengan
kajian terperinci bagi memastikan tidak wujud diskriminasi dan
penindasan terhadap wanita Islam di negara ini.

Harapan tersebut disuarakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) yang turut menyarankan supaya semua negeri yang telah
melaksanakan undang-undang itu mematuhi arahan tersebut.

Pegawai Undang-Undang Sisters in Islam, Razlina Razali berkata,
pihaknya berharap semua cadangan yang telah dikemukakan oleh NGO
menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat
diteliti sepenuhnya sebelum undang-undang lebih lengkap diperkenalkan.

``Semasa kajian semula juga, kerajaan perlu mendapatkan maklum balas
daripada orang awam terutamanya wanita yang pernah berurusan dengan
Mahkamah Syariah.

``Justeru itu, kami berharap kerajaan dapat menubuhkan satu
jawatankuasa khas bagi melihat semula undang-undang ini secara
menyeluruh dan bukan sekadar satu pihak sahaja,'' katanya kepada
Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Razlina, memandangkan Wilayah Persekutuan telah menangguhkan
pewartaan undang-undang tersebut, negeri-negeri lain yang telah
menguatkuasakannya perlu melaksanakan tindakan yang sama.

Presiden Jemaah Islah Malaysia, Dr. Harlina Harlizah Siraj berkata,
langkah positif itu jelas menggambarkan kerajaan cuba memuaskan hati
semua rakyat dan mewujudkan keadilan dalam soal kekeluargaan.

``Kajian semula itu diharap dapat menghasilkan undang-undang yang
boleh dihormati dan meningkatkan rasa cinta kepada Islam di mana tiada
kesukaran dalam soal penyelesaian kekeluargaan,'' katanya.

Beliau memberitahu, banyak ruang kelemahan yang perlu dihalusi bagi
memastikan pelaksanaannya boleh dinikmati oleh semua pihak.

``Apa yang penting selepas ini ialah perkukuhkan aspek penghakiman
iaitu hakim-hakim yang mengendalikan kes-kes tertentu diharap dapat
menjalankan tugas dengan mengikut lunas-lunas Islam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Wanita (WDC),
Maria Chin Abdullah berharap, dengan penangguhan itu lebih banyak
pendapat daripada NGO dan orang ramai dikumpulkan supaya undang-undang
itu diterima sebaiknya.

``Saya berharap kelemahan yang jelas dalam undang-undang yang tidak
dipersetujui itu dapat dibahas dan dipinda bagi memberi keadilan
kepada wanita, lelaki, anak-anak dan keluarga,'' katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text