Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 31, 2006

PENJENAMAAN SEMULA MAHKAMAH SYARIAH

Maal Hijrah 1427 menimbulkan kenangan manis dan pahit di zaman silam


Salleh Buang


Dua dekad yang lalu, ketika masyarakat Islam di negara ini menyambut Maal Hijrah 1407, saya baru bertugas setahun dua di Kulliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya. Antara tugas saya sebagai Timbalan Dekan pada masa itu ialah membantu Dekan (sahabat saya Prof Dr Razali Nawawi) dan Sheikh Kulliyyah (Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim) mentadbir dan menyelenggara program lepasan ijazah Diploma Kehakiman Islam. Pada masa itu, kumpulan perintis (pertama) yang mengambil program itu masih lagi sebuk menghadiri kuliah dan menyiapkan kertas projek mereka, sambil bersiap sedia menghadapi peperiksaan akhir.


Kini, setelah dua dekad berlalu, ramai di antara siswazah program lepasan ijazah itu (kumpulan perintis dan kumpulan lain selepas itu) yang telah mengukir nama dan berjasa besar kepada institusi kehakiman Islam di negara ini. Antaranya, yang boleh saya sebutkan di sini, adalah Dato’ Sheikh Ghazali Abd. Rahman (kini Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JKSM), Dato’ Sheikh Hasbullah (bekas Ketua Hakim Syarie Kedah, kini Mufti Negeri Kedah), Dato’ Asri Hj Abdullah (bekas Ketua Hakim Syarie Perak, kini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di JKSM), Dato’ Ismail Yahya (kini Ketua Hakim Syarie Terengganu), Dato’ Sheikh Abu Naim (bekas Ketua Hakim Syarie Selangor dan Hakim Mahkamah Rayuan JKSM), Dato’ Johdi (Ketua Hakim Syarie Selangor), Dato’ Ali (Ketua Hakim Syarie Johor), Hj Awang Pon (bekas Ketua Hakim Syarie Sarawak), dan ramai lagi.


Kata orang, satu-satunya kebanggaan seorang guru adalah kejayaan dan kecemerlangan “anak didik” mereka. Pastinya kebanggaan Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim dan ahli tenaga pengajar program lepasan ijazah ini adalah kejayaan dan kesungguhan semua ”pelajar” yang namanya telah saya sebutkan di atas (dan ramai lagi yang tidak sempat saya sebutkan secara satu persatu) yang telah terus gigih dan bersemangat memperbaiki, meningkatkan dan memartabatkan Mahkamah Syariah di seluruh negara.


Dua dekad lalu, Mahkamah Syariah negeri masih daif lagi. Prasarananya menyedihkan. Infrastruktur perundangannya masih kucar kacir. Profesionalisma kerja masih di tahap paling rendah. Akhbar tempatan, termasuk yang berbahasa ibunda, seringkali memanggilnya (secara salah dan tidak adil) sebagai ”kangaroo court”. Pada waktu itu, mahkamah syariah masih lagi terletak di bawah bayang-bayang mahkamah sivil. Ia belum mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mahkamah sivil.


Kini, dalam tempoh masa 2 dekad (yang pada saya amat singkat sekali), banyak perubahan telah berlaku. Ia tidak daif lagi. Prasarananya sudah bertambah baik. Infrastruktur perundangannya sudah banyak diperbaiki, walaupun belum sempurna. Profesionalism kerja sudah meningkat. Pun begitu, walau sudah jauh berjalan, hakikatnya perjalanan masih jauh lagi. Pada hemat saya, kesempurnaan mungkin mengambil masa satu dua dekad lagi.


Salah satu peristiwa penting yang berlaku pada ketika itu ialah penghakiman Dato’ Lim Beng Choon dalam satu kes keluarga yang difailkan di Mahkamah Tinggi (sivil) di Kuala Lumpur. Keputusan hakim bicara ini menggemparkan seluruh tenaga pengajar program lepasan ijazah ini di universiti tempat saya mengajar. Kes ini merupakan kes paling mutakhir (pada masa itu) dalam rentetan kes-kes lain yang serupa di mana mahkamah sivil terus mempertahankan kuasanya mendengar semua kes, walaupun melibatkan kes-kes keluarga di kalangan warga Islam di negara ini.


Ramai warga Islam di negara ini yang tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir dalam kes ini selepas itu, terutamanya tentang usaha gigih yang dilakukan oleh sekumpulan peguam sivil beragama Islam (dengan bantuan tenaga pengajar di universiti saya pada ketika itu) semasa persediaan dijalankan untuk merayu keputusan Dato’ Lim itu ke Mahkamah Agung. Hasil usaha gigih yang dijalankan ini, seluruh masyarakat Islam negara ini akhirnya dihadiahkan oleh Mahkamah Agong dengan keputusannya yang bersejarah dalam kes Habibullah lwn Faridah [1992] 2 MLJ 793.


Kes Habibullah ini menempatkan Mahkamah Syariah di landasannya yang betul, sekali gus memberi nafas baru kepada perjuangan memartabatkan semula institusi kehakiman Islam di negara ini. Tindakan bersejarah Mahkamah Agong ini akhirnya menjadi penggerak dan pemangkin yang kuat kepada badan eksekutif negara mengusulkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.


Akibatnya, pada 10 Jun 1988, Parlimen meminda Perlembagaan, dengan mewujudkan Fasal (1A) kepada Perkara 121. Mulai detik itu, Mahkamah Syariah negeri menempah satu lembaran sejarah yang baru dan paling mencabar.


Kini, hanya disebabkan satu dua kes yang mendapat liputan sensasi oleh akhbar tempatan, sudah timbul cadangan liar oleh beberapa pihak agar Perlembagaan Persekutuan disemak semula, pastinya dengan harapan agar Perkara 121 Fasal (1A) ini dipinda, dan kalau boleh, dimansuhkan terus. Andainya tuntutan pihak-pihak ini dituruti oleh kerajaan, ia merupakan bukan hanya satu tindakan yang kebelakangan yang sekali gus menjadikan segala-galanya yang telah diusahakan selama ini sebagai sia-sia sahaja, bahkan menjadi satu mala petaka besar kepada institusi kehakiman Islam di negara ini.


Dalam pada itu, walaupun kita membantah segala saranan untuk memansuhkan peruntukan Perlembagaan yang keramat ini, ini tidak bermakna perundangan negara ini sekarang sudah sempurna. Perlu ditegaskan, ia belum lagi.


Kita masih lagi belum berjaya menyelesaikan masalah konflik bidangkuasa. Hakikatnya, kita masih lagi berdepan dengan situasi di mana Mahkamah Syariah tidak boleh mendengar kes dan memberi remedi kerana pihak yang memohon (menjadi pihak kepada pertikaian) adalah bukan Islam, dan dalam masa yang sama Mahkamah Sivil tidak boleh mendengar kes kerana pertikaian itu melibatkan undang-undang keluarga Islam yang terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Satu mekanisma untuk menyelesaikan masalah konflik bidangkuasa ini mesti diwujudkan segera.


Dua dekad yang lalu saya telahpun mensarankan agar satu Mahkamah Keluarga Khas ditubuhkan. Pada saya, jika kerajaan boleh menubuhkan satu Mahkamah Khas untuk menyelesaikan masalah imuniti raja, kenapa tidak boleh satu Mahkamah Khas untuk kes-kes keluarga melibatkan pihak-pihak yang berlainan agama? Mengikut saranan saya itu, mahkamah ini boleh dianggotai ahli panelnya yang terdiri dari hakim-hakim mahkamah sivil dan hakim-hakim mahkamah syariah, dan diberi kuasa di bawah undang-undang bertulis untuk mendengar apa jua kes di mana pihak-pihak yang bertikai adalah berlainan agama. Malangnya, cadangan ini tidak mendapat sambutan.


Akhir-akhir ini, ada pula cadangan agar ditubuhkan satu Mahkamah Perlembagaan (Constitutional Court), yang mana bidangkuasanya adalah seumpama yang disebutkan dalam saranan awal dulu itu. Pada saya, apa juga nama yang hendak diberi adalah kurang penting. Yang penting adalah mahkamah itu wujud. Soalnya, apakah cadangan terbaru ini juga akan menerima nasib yang sama?


Maal Hijrah 1427 merupakan peringkat awal zaman kedewesaan Mahkamah Syariah di negara ini. Zaman berkhidmat untuk kumpulan perintis pelajar program lepasan ijazah yang saya sebutkan di atas itu (termasuklah diri saya sendiri) akan segera berlalu. Kumpulan pelapis, yang datang selepas ini, perlu faham sejarah silam untuk meneruskan kerja kita.


Tanpa mengetahui dan mengambil pengajaran dari sejarah silam, tidak mustahil kita nanti akan kecundang dalam perjalanan, yang masih jauh lagi.


Jika kumpulan perintis telah berjaya menempatkan Mahkamah Syariah ke landasannya yang betul, kumpulan pelapis perlu merangka penjenamaan semula institusi kehakiman Islam di negara ini untuk 2 dekad yang mendatang. Penjenamaan bukan suatu gimik. Ia telah menjadi satu alat (tool) yang nyata berjaya digunakan dalam zaman moden yang serba canggih dan berteknologi tinggi ini.

Lagi Kes Tuntut Jenazah Islam

UM online - 31/1/2006
 
MELAKA 30 Jan. - Satu lagi kes membabitkan isu tuntutan jenazah Islam oleh keluarga bukan Islam.

Kali ini membabitkan seorang lelaki berketurunan India N. Anthonysamy, 71, yang dikatakan beragama Islam tetapi dinafikan oleh ahli keluarga yang beragama Kristian.

Jenazah bekas pekerja ladang tembikai itu gagal dituntut ahli keluarganya di Rumah Mayat Hospital Melaka (HM) kira-kira pukul 2 petang hari ini setelah pihak polis mendapat maklumat bahawa dia beragama Islam.

Anthonysamy yang nama Islamnya, Mohd. Sani Abdullah, mengalami keracunan dan meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 pagi setelah dimasukkan ke HM pada 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Balai Merlimau, Inspektor Azlan Limat berkata, pihaknya menyedari status sebenar agama Anthonysamy melalui rakan kepada salah seorang anaknya, Henry, 38, yang tidak dikenali namanya.

Menurut Azlan, rakan Henry telah memberitahu mengenai perkara itu dan meminta supaya bertanya mengenainya kepada rakan baik Anthonysamy, Said Md. Desa, 47, seorang peniaga pasar di Jasin.

``Dalam pertemuan dengan saya, Md. Said mengesahkan bahawa dia adalah salah seorang saksi ketika Anthonysamy memeluk agama Islam,'' katanya ketika dihubungi.

Kata Azlan, beliau juga diberitahu bahawa Anthonysamy yang mempunyai tujuh orang anak sudah lama bercerai dan tidak lagi tinggal serumah dengan ahli keluarganya sejak 15 tahun lalu.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Abd. Halim Tawil mengesahkan Anthonysamy telah memeluk Islam pada 1 Julai 1992 di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Melaka dengan nama Mohd. Sani Abdullah.

Katanya, perkara itu akan dirujuk kepada Perkim Melaka dan sebarang tindakan lanjut akan ditentukan esok.

``Kita masih menunggu dokumen dari Perkim Melaka untuk membuktikan bahawa Anthonysamy benar-benar memeluk agama Islam.

``Saya dimaklumkan bahawa secara prinsipnya, ahli keluarga Anthonysamy tidak membantah tetapi mereka mahu bukti mengenai status agama warga tua itu,'' ujarnya.

Status agama belum ditentukan

BH - 31/1/2006

MELAKA: Mayat seorang lelaki yang ditemui mati di Merlimau, dekat sini awal pagi semalam dan dihantar ke rumah mayat Hospital Melaka, tidak dibenarkan dituntut mana-mana pihak sementara menunggu pengesahan status agamanya.

Mayat Anthony Samy, 71, yang dipercayai sudah memeluk Islam dan menukar nama kepada Mohd Sani Abdullah oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), tidak dibenarkan dituntut buat sementara, termasuk oleh keluarganya yang beragama Hindu.

Mayat itu ditemui orang awam pada jam 12.20 pagi semalam, dipercayai kerana meminum racun rumpai dan disahkan mati pada jam 1.05 pagi.

Lebih 20 anggota keluarga termasuk bekas isterinya, S Cinnamal, 64, bersama tiga daripada tujuh anaknya berada di hospital berkenaan sejak jam 7 pagi semalam, selepas menerima panggilan mengenai kematian mangsa pada jam 3 pagi.

Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan melihat mayat mangsa pada kira-kira jam 4 petang, selepas dimaklumkan seorang anggota polis dan pegawai MAIM bahawa mereka percaya mangsa sudah memeluk Islam dan perlukan masa untuk mencari bukti.

Seorang ahli keluarga mangsa, A Edward, 33, yang ditemui berkata, mangsa sudah bercerai dengan isterinya sejak 15 tahun lalu dan semua anaknya tinggal bersama bekas isterinya.

"Sejak itu kami semua putus hubungan dengannya walaupun pernah terserempak dengannya. Kita tak tahu, benar atau tidak dia sudah memeluk Islam, tapi kita tahu dia memang tinggal dan dijaga oleh seorang lelaki keturunan India beragama Islam.

"Kita datang pada hari ini pun cuma kerana mahu melihat mayatnya buat kali terakhir," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Setiausaha MAIM, Halim Tawil, yang dihubungi berkata pihaknya mempunyai saksi dalam kes itu dan memerlukan masa untuk mencari rekod bagi membuktikan mangsa sudah memeluk Islam.

"Kita terpaksa mencari rekod bertulis kerana sistem komputeran di MAIM hanya bermula pada lewat 1990-an. Mangsa dipercayai memeluk Islam pada 1989," katanya.

Selain mempunyai saksi, Anthony juga disahkan sudah berkhatan dan ini menguatkan lagi hujah MAIM untuk mendakwa dia sudah memeluk Islam.

Menantu Anthony, A Francis pula percaya MAIM mempunyai alasan yang kukuh untuk membuat dakwaan itu dan pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan, sebaliknya akan menunggu dengan sabar.

"Saya percaya MAIM tidak membuat dakwaan sembarangan. Ini bukan perkara main-main, jadi kami sekeluarga akur jika dia sudah memeluk Islam. Biarlah MAIM menguruskan mayatnya jika benar dia sudah memeluk Islam," katanya.

Bekas isteri Anthony, S Cinnamal juga sependapat dan akur MAIM menguruskan mayatnya, jika benar bekas suaminya itu sudah memeluk Islam.

Pengarah Hospital Melaka, Dr Abu Bakar Mohamad, yang dihubungi untuk mengulas mengapa ahli keluarga si mati terpaksa menunggu sehingga jam 4 petang sebelum dibenarkan melihat mayatnya berkata, kes itu sudah menjadi kes polis.

"Kami pun tidak suka menyimpan mayat terlalu lama. Saya baru mengambil alih jawatan ini sejak lima bulan lalu dan inilah kali pertama kes seperti ini berlaku," katanya.
©The New Straits Times Press (M) Berhad

Sunday, January 29, 2006

``Bukan Lemah Sistem Syariah Tetapi .......''

UM 29/1/2006
 
Apakah pengajaran daripada dua kes ini?MUHAMAD: Masyarakat harus ada keyakinan terhadap sistem perundangan dan keadilan. Kalau tidak ada keyakinan, sistem itu tidak akan dihormati dan tidak akan berfungsi.

Kita mempunyai dua sistem perundangan yang telah wujud sejak sekian lama dalam harmoni dan seiringan. Kes-kes ini menunjukkan wujud tanggapan bahawa satu sistem itu lebih rendah daripada yang satu lagi, seolah-olah tidak setanding dan setaraf. Persepsi inilah yang perlu dikikis.

Bagaimanakah gambaran ini boleh wujud? Kita terus terang saja: Sistem syariah lebih rendah daripada sivil?

MUHAMAD: Gambaran ini dibentuk oleh mereka yang tidak faham tentang kedua-dua sistem ini. Apabila tidak tahu, tidak kenal apatah lagi tidak cinta, mereka mula memperlekehkannya dan dengan prejudis mengatakan sistem sivil lebih baik daripada syariah.

Kenapa sampai boleh jadi begitu? Bukankah perundangan Islam itu wujud lama sebelum sistem sivil yang datang bersama penjajahan?

MUHAMAD: Kepada saya, silapnya ialah kita semua - orang Islam sendiri yang tidak mahu memberi pendidikan bukan saja kepada saudara seislam tetapi juga kepada orang bukan Islam. Bukankah itu tanggungjawab kita?

Inilah yang menyebabkan sistem keadilan Islam seolah-olah dipinggirkan dan tidak dibahaskan sejak sekian lama. Ini yang mengakibatkan orang bukan Islam merasakan bahawa mereka akan diprejudiskan dan tidak mendapat keadilan di mahkamah syariah.

Apakah tanggapan itu betul?

MUHAMAD: Tidak. Konsep utama dalam institusi kehakiman ialah menegakkan keadilan; meletakkan yang hak kepada yang berhak. Hak tetap hak, batil tetap batil. Malah itulah juga tujuan sebenar sistem sivil. Oleh kerana tidak faham kepada sistem keadilan inilah timbulnya prasangka bahawa tidak ada keadilan di mahkamah syariah. Itulah yang dapat kita lihat dalam perbahasan-perbahasan yang berbangkit selepas kes Moorthy, sebelum timbulnya kes Nyonya Tahir. Masalahnya kita tidak mahu mengkaji hukum syarak sebaliknya hanya melihat apa yang tercatat dalam akta dan enakmen.

Apakah itu sebabnya kita gagal memartabatkan kehakiman syariah?

MUHAMAD: Kita gagal kerana orang Islam sendiri tidak menghargai dan mendaulatkan sistem Islam itu. Kita, dan ini termasuk saya sendiri, gagal melaksanakan tanggungjawab itu walaupun kita sudah lama merdeka.

Kita sepatutnya bersyukur kerana negara ini ada dua sistem perundangan di negara ini tetapi malangnya kita tidak kasih dan tidak prihatin untuk menyebar dan mendidik orang Islam dan bukan Islam tentang sistem perundangan Islam.

Alhamdulillah, tidak lama selepas kes Moorthy, Allah menunjukkan pula kepada kita kes Nyonya Tahir yang mana orang bukan Islam dijemput oleh mahkamah syariah untuk membantu ia memutuskan keadilan.

Kenapa Mahkamah Syariah boleh mendengar keterangan orang bukan Islam dalam kes Nyonya Tahir dan tidak kes Moorthy?

MUHAMAD: Inilah yang berlaku apabila tidak ada keyakinan kepada sistem keadilan. Dalam hal ini, mungkin juga kita menjadi bijaksana selepas sesuatu perkara sudah berlaku. Kita sudah melihat kesannya, dan tidak mahu ia berulang lagi.

Pada asasnya tidak ada apa-apa yang menghalang orang bukan Islam untuk didengar oleh mahkamah syariah. Yakinlah kepada sistem yang ada. Inilah tugas kita sekarang - meyakinkan masyarakat.

Kewibawaan Mahkamah Syariah nampak lebih rendah daripada Mahkamah Majistret. Perintah hakim syarie tidak dihormati seperti perintah majistret misalnya. Kenapa?

MUHAMAD: Tetapi tidak bermakna sistem itu lemah, cuma pelaksanaannya saja yang bermasalah. Mahkamah Majistret wujud dalam sistem sivil yang telah dimantapkan sejak sekian lama. Mahkamah Syariah wujud sudah agak lama tetapi tidak dimantapkan.

Saya tidak mahu gunakan perkataan dipinggirkan kerana saya akan berasa sangat sedih. Tetapi saya tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa ia telah disampingkan, kalaupun tidak dipinggirkan.

Sekiranya ia diberi prasarana dan tenaga manusia yang diperlukan seperti yang ada di Mahkamah Sivil, insya-Allah tanggapan negatif itu tidak timbul.

Apa pandangan Tuan Haji mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Syariah?

MUHAMAD: Saya sanjung cadangan itu. Kalau kita boleh buat kajian yang mendalam secara sistematik dan strategik, kita boleh overhaul sistem yang ada.

Tetapi kita pernah ada laporan Allahyarham Tun Syed Nasir?

MUHAMAD: Inilah silap kita. Apabila ada perkara berbangkit, kita ghairah untuk buat sesuatu tetapi kita selalu lupa tindakan susulannya. Peringkat awalnya cantik dan molek tetapi tiada susulan.

Orang juga tidak hormat kepada Mahkamah Syariah kerana perundangannya berbeza mengikut negeri. Orang boleh lari daripada penguatkuasaan kalau dia misalnya berpindah negeri. Bagaimana orang hendak yakin?

MUHAMAD: Inilah realitinya dan kita mesti mengakui realiti ini. Menyedari keadaan inilah usaha-usaha penyeragaman undang-undang syariah mula dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu. Ini adalah satu langkah yang positif cuma masalahnya ia lambat diseragamkan dan lambat pula dikuatkuasakan. Sepatutnya tidak harus timbul masalah kerana undang-undang itu telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

Harapan daripada seluruh episod ini?

MUHAMAD: Harapan saya ialah suatu hari nanti sistem sivil dan syariah, dapat disatukan menjadi sistem yang mantap. Malah kalau kita lihat ada banyak nilai murni dalam Islam yang boleh diterapkan ke dalam sistem sivil. Sebagai seorang pengamal undang-undang itulah yang saya hendak lihat berlaku.

Melihat masa depan apakah yang harus dilakukan untuk memartabatkan Mahkamah Syariah?

MUHAMAD: Kita harus menimbulkan keyakinan masyarakat kepada sistem keadilan Islam itu sendiri. Kita bukan saja harus memantapkan prasarana di mahkamah syariah tetapi pada masa yang sama meningkatkan kewibawaan pegawai mahkamah dan peguam syarie.

Kita kekurangan hakim. Hakim-hakim yang ada pula kurang berpengalaman. Kita selama ini tidak membetulkannya secara strategik tetapi membuatnya secara tampal cantum. Ada koyak yang lain, kita tampal dan cantum lagi.

Kita mesti mula melihatnya secara menyeluruh. Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim semasa hayatnya sudah menunjukkan caranya. Anggaplah apa yang beliau lakukan itu dulu sebagai amanah dan wasiatnya yang harus kita teruskan.

``Luaskan skop kuasa syariah''

Mukadimah

UM - 29/1/2006


DUA kes menyentuh soal status agama - M. Moorthy atau Muhammad Abdullah dan Nyonya Tahir - serta polemik mengenai pindaan ke atas Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan melontarkan tumpuan umum kepada sistem keadilan syariah. Apabila membahaskan isu-isu itu, kita tidak dapat mengelak daripada merenung sekian banyak masalah yang masih membelenggu institusi kehakiman syariah - hakikat betapa martabatnya dipandang lebih rendah daripada Mahkamah Sivil.

Atas kesedaran itulah, Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim baru-baru ini melontarkan idea tentang penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Syariah.

``Kita perlu reformasi menyeluruh. Kita perlu perluaskan skop bidang kuasanya kalau kita mahu meningkatkan martabat Mahkamah Syariah,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan MUSTAFA KAMAL BASRI, semalam.

Kamilia adalah antara kumpulan pertama graduan undang-undang yang menuntut di bawah bimbingan Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim di Universiti Malaya, dan merupakan anak murid cendekiawan itu yang pertama yang menulis tesis tentang pentadbiran Islam di negara ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok melihat sikap tidak hormat kepada institusi kehakiman syariah dan undang-undang syariah itu berpunca daripada kesalahan orang Islam sendiri.

``Mahkamah Syariah adalah sebahagian daripada sistem keadilan; janganlah ia dibeza-bezakan dengan Mahkamah Sivil,'' katanya dalam wawancara berasingan.

MINGGUAN: Apakah pengajaran daripada dua kes ini?

KAMILIA: Inilah masa yang terbaik untuk kita mengkaji sistem perundangan negara, terutamanya mahkamah syariah. Inilah peluang untuk kita menerapkan gagasan Islam Hadhari yang disebut oleh Perdana Menteri. Gagasan itu seharusnya telah membuka pemikiran kita dan membuka ruang yang seluas-luasnya untuk aplikasi prinsip-prinsip Islam. Ia secara tidak langsung semacam satu reformasi kepada Islam itu sendiri.

Kenapa kewibawaan mahkamah syariah masih dianggap rendah daripada mahkamah sivil?

KAMILIA: Persepsi ini harus kita lihat dari sudut sejarah penubuhan mahkamah syariah itu sendiri; ia agak baru berbanding Mahkamah sivil. Kewibawaan Mahkamah Sivil dirasakan kerana ia mencakupi hampir semua urusan hidup kita. Mahkamah Sivil juga sudah berjaya menguatkuasakan perintahnya, dan oleh itu, kewibawaannya ternampak.

Ini adalah faktor sejarah.

Tetapi bukankah undang-undang syariah sudah lama ada, Kanun Melaka dan Undang-Undang 99 Perak, yang dilaksanakan oleh kesultanan Melayu dulu?

KAMILIA: Betul, tetapi kita perlu ingat bahawa ia tidak dilaksanakan secara formal. Malah sebelum ini kita hanya ada pejabat kadi yang bertindak sebagai mahkamah. Apa yang ada sekarang boleh dikatakan baru saja wujud apabila ada bangunan mahkamah syariah.

Persepsi itu juga wujud kerana mahkamah syariah hanya berasaskan kepada undang-undang keluarga. Apa yang lebih menyedihkan kes-kes yang mendapat perhatian ialah poligami, perceraian dan khalwat, seolah-olah hanya itu sajalah undang-undang Islam. Orang memandang rendah mahkamah syariah kerana bidang kuasanya kecil.

Kakitangannya pula dari awal hanya ada kadi saja yang selalu dilihat sebagai hakim kelas kedua. Hanya baru-baru ini saja hakim syarie diberikan kereta dan pemandu serta gelaran Datuk. Usaha mengkanunkan undang-undang Islam dan latihan kepada peguam dan hakim juga baru sejak kebelakangan ini dibuat. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1984 itu kepada saya adalah titik tolaknya usaha kita memantapkan kehakiman syariah.

Saya melihat mahkamah syariah memerlukan masa lagi untuk membina kewibawaannya.

Tetapi itu tentunya bukan alasan.

KAMILIA: Bukan. Apa yang penting ialah proses itu harus bermula sekarang. Inilah masa yang terbaik, seperti yang saya katakan tadi untuk meningkatkan kewibawaan dan martabat mahkamah syariah sejajar dengan konsep Islam Hadhari.

Saya percaya untuk meningkatkan martabatnya kita boleh memberikan tafsiran yang lebih luas kepada apa yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk orang Islam. Mahkamah juga harus menggunakan kreativiti dalam melaksanakan undang-undang Islam kepada orang Islam. Hukum Islam itu menyeluruh. Sebagai contoh, perbankan Islam adalah undang-undang Islam, dan saya percaya ia harus diputuskan oleh mahkamah syariah.

Apakah perlu satu kesedaran baru untuk meninggikan martabat mahkamah Syariah?

KAMILIA: Sebenarnya sudah ada kesedaran di kalangan para pengamal undang-undang syariah bahawa bidang kuasa mahkamah syariah perlu diperluaskan. Ia perlu merangkumi semua aspek perundangan yang berkaitan dengan orang Islam.

Saya tidak fikir Mahkamah Sivil mampu memutuskan kes-kes perbankan Islam kerana sumber perundangannya ada dalam al-Quran, hadis dan kitab-kitab. Itu sebabnya saya percaya kalau hendak memartabatkan mahkamah syariah, kita perlu memperluaskan bidang kuasanya.

Bidang kuasa hukuman mahkamah syariah misalnya terhad kepada formula 3-5-6 (tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan). Adakah itu realistik dan setimpal?

KAMILIA: Saya percaya kita harus kembali kepada konsep hukuman dalam Islam. Kita tidak harus terikat kepada formula yang ada sekarang. Kita tidak semestinya mengatakan hukuman itu hudud kerana dalam keadaan-keadaan tertentu hudud tidak boleh dilaksanakan. Kita tidak perlu menakut-nakutkan orang dengan hudud.

Kita harus kembali kepada hukuman Islam yang penuh dengan ihsan dan kemanusiaan. Apa yang penting ialah keadilan yang membawa kepada kebaikan masyarakat. Kita jangan menghukum semata-mata kerana hendak menghukum. Kita boleh mengkaji konsep hukuman dalam Islam supaya akhirnya orang boleh melihat cantiknya Islam.

Adakah ini sebahagian daripada apa yang Datuk maksudkan sebagai reformasi itu?

KAMILIA: Saya membaca buku Justice in the Twenty-First Century tulisan bekas hakim mahkamah persekutuan Australia, Russell Fox yang melihat tentang konsep pentadbiran keadilan pada masa akan datang. Inilah juga yang sedang kita bincangkan. Misalnya apakah sistem kehakiman yang sesuai - adakah sistem adversarial yang dipakai sekarang atau sistem inquisitorial?

Saya mengatakan perlu ada reformasi undang-undang syariah kerana imej mahkamah syariah itu sendiri. Malah sebenarnya Mahkamah Sivil juga berhadapan dengan masalah imej yang sama. Mahkamah Sivil misalnya belum ada sistem yang membolehkan kes-kes diputuskan tanpa bergantung kepada soal teknikal.

Kita perlu kepada sistem yang tidak terlalu impersonal, inflexible dan imperious (tidak insani, tidak fleksibel dan angkuh). Apa yang lebih penting ialah kebenaran dan keadilan. Apakah sistem yang ada ini boleh mendapatkan kebenaran dan mencapai keadilan? Kita perlu satu reformasi yang menyeluruh supaya dalam konteks mahkamah syariah kita boleh melihat sebuah institusi kehakiman yang lebih dipercayai oleh rakyat.

Apakah kita harus kembali kepada laporan Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail lebih kurang 30 tahun lalu itu? Mungkin ada banyak lagi cadangannya yang belum dilaksanakan.

KAMILIA: Mungkin ada juga cadangan yang sudah obsolete. Kita jangan lupa antara yang perlu diberikan perhatian sekarang ialah penggunaan teknologi untuk menjamin keadilan.

Misalnya, bagaimana kita boleh tahu seorang lelaki itu telah berkahwin sekiranya tidak ada rekod perkahwinan dalam komputer dan boleh diakses oleh semua pihak berkuasa negeri? Sistem itu boleh diperkenalkan. Kalau kita mahukan sebuah mahkamah syariah yang progresif, kita harus menggunakan teknologi-teknologi baru selain menukar mindset pegawai mahkamah dan persepsi masyarakat.

Saya percaya keinginan (untuk meningkatkan martabat mahkamah syariah) itu ada, cuma bagaimana kita boleh menolaknya ke hadapan. Bidang perbankan Islam adalah satu contoh yang terbaik. Dalam konsep Islam Hadhari yang sedang ditekankan sekarang, saya sangat berharap kita akan mula melihat sistem perundangan dan kehakiman dengan lebih serius.

Kenapa suruhanjaya?

KAMILIA: Saya percaya sebuah suruhanjaya lebih berkesan daripada jawatankuasa, dan ini telah terbukti. Perubahan-perubahan yang kita bincangkan ini ada dikaji oleh Jabatan Kehakiman Syariah tetapi (Ketua Pengarahnya) Datuk Sheikh Ghazali Ab. Rahman tidak boleh keseorangan.

Reformasi undang-undang syariah yang saya sebutkan ini adalah satu katalis kepada perubahan. Salah satu objektif utamanya ialah kita hendak mencari jalan penyelesaian dari sudut perundangan kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh pelbagai kaum di negara ini. Kita hendak mencari jalan yang lebih harmoni, tidak terikat dengan pandangan yang rigid sehingga Islam itu sendiri diberi persepsi yang negatif.

Melihat ke hadapan, apakah yang harus diberikan perhatian?

KAMILIA: Kita sebenarnya sedang melihat ke hadapan. Kita boleh mengkaji undang-undang dan peraturan yang masih tidak dikemas kini, termasuk dalam soal pertukaran agama.

Undang-undang kepada saya harus praktikal, mesra dan mudah difahami. Sistem mahkamah itu saya percaya harus beralih daripada satu bentuk pertarungan (adversarial) kepada usaha mencari kebenaran dan keadilan. Dalam soal nafkah misalnya, ia adalah sesuatu yang mesti diberi dan bukannya sama ada dipohon atau tidak.

Mereka yang dilantik sebagai hakim juga tidak cukup dengan hanya ada ilmu sahaja tetapi harus juga ada kebijaksanaan. Kita harus barangkali memikirkan cara pelantikan hakim yang lebih munasabah. Kita juga sepatutnya ada Majlis Peguam Syarie yang berperanan seperti Majlis Peguam.

Apa yang penting ialah sistem kehakiman itu hendaklah mengutamakan keadilan. Peguam harus memperjuangkan keadilan dan bukannya klien dengan mencari kesilapan teknikal. Masalahnya undang-undang sudah menjadi terlalu komersial. Kita tidak mahu keadilan menjadi tempat orang membuat duit. Mahkamah ialah tempat kebenaran dan keadilan. Kalau kita mahu memartabatkan mahkamah syariah, inilah yang harus diutamakan - kebenaran dan keadilan.

Ini memang masa terbaik untuk melihat semula Mahkamah Syariah, tetapi ini bukan satu isu baru. Apakah kita akan terperangkap dengan sindrom lama - hanya membincangkannya secara bermusim, apabila ada isu berbangkit?

KAMILIA: Kita boleh terperangkap sekiranya kita membenarkan ia berlaku. Ini semua terpulang kepada kita sendiri.

Kita perlu menggabungkan tenaga fikir Islam, para peguam dan ulama - mereka yang diamanahkan oleh Allah dengan ilmu - untuk memantau mahkamah syariah atau pelaksanaan hukum Allah.

Kita tidak perlu sebenarnya menunggu krisis.

Undang-undang keluarga longgar

Oleh PROF. DR. SYED HUSSEIN ALATAS-UM 29/1/2006


PINDAAN Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang telah dipersetujui tetapi belum dilaksanakan, sangatlah perlu disemak kembali dan dibahaskan secara meluas dan mendalam.

Yang perlu ditinjau kembali bukan hanya pindaan yang baru itu, Seksyen 122 Pembahagian Harta Sepencarian mengenai kuasa mahkamah memerintahkan pembahagian harta sepencarian jika bercerai, tetapi keseluruhan akta itu yang mengandungi beberapa kesilapan dari segi Islam, logik dan bahasa.

Pada keseluruhannya memang perlu kita mempunyai Akta Undang-Undang Keluarga, tetapi akta itu mesti dapat membimbing pemikiran dan kelakuan umat Islam dalam rangka hidup berundang-undang.

Sebagai contoh, Bab VI, Seksyen 65 (2) yang berbunyi demikian: ``Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima pemberian daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perjanjian hendaklah terhenti apabila isteri itu berkahwin atau hidup dalam perzinaan dengan seseorang lain, melainkan jika perjanjian itu memperuntukkan selainnya.''

Setiap undang-undang mesti ketat dan tidak longgar hingga boleh dimasukkan unsur lain yang tidak dituju oleh undang-undang itu. Melihat yang di atas bagaimana pula kalau yang hidup dalam perzinaan itu bukan orang lain tetapi bekas suaminya? Apakah pemberian itu terhenti?

Kalau suami itu pula menghentikan pemberian di bawah undang-undang ini? Si suami tidak melaporkan dia berhenti kerana berzina dengan bekas isterinya, dan bekas isterinya tidak akan melaporkannya kerana dia sendiri melanggar undang-undang.

Andai kata, hal ini ada yang melaporkan pada Jabatan Agama Islam bagaimana kalau sang isteri mengaku tidak melanggar undang-undang kerana yang dilarang hidup berzina dengan orang lain bukan dengan bekas suaminya?

Kenapa tidak ditambah empat kata `atau bekas suaminya itu' setelah `seseorang lain'? Bagaimana pula kalau pasangan yang bercerai telah mengadakan perjanjian dengan peruntukan yang tidak dibatalkan oleh kahwin dan zina? Seksyen 65 ini mengizinkan membuat perjanjian dengan bekas isteri untuk diberi bantuan kewangan tanpa digugurkan oleh kahwin lagi atau hidup dalam perzinaan.

Inilah yang saya maksudkan dengan teks perundangan yang longgar. Satu lagi yang dari segi logik tidak masuk di akal adalah Bab V, Seksyen 53. Jika seorang suami hilang, tidak diketahui berada di mana, mati atau hidup, langsung tiada hubungan, dalam masa tujuh tahun atau lebih dia akan dianggap mati bagi membenarkan isterinya kahwin lagi.

Komunikasi

Kenapa mesti menunggu tujuh tahun? Kenapa tidak tiga, empat atau lima? Kalau ada yang menghilangkan diri untuk meninggalkan isteri dan keluarga, mengapa tunggu tujuh tahun? Sudah nyata dia tidak bertanggungjawab. Dalam syariah memang masanya lama, ada yang jauh lebih daripada 90 tahun.

Tetapi pada zaman lampau itu tidak ada sistem komunikasi seperti kita sekarang. Kalau kapal tenggelam dan kebetulan terselamat jauh dari negeri kita, boleh sahaja kita berusaha mencari hubungan dalam masa tiga atau empat tahun.

Saya ingin bertanya dari sumber syariah yang mana bahawa tujuh tahun itu ditentukan bagi suami yang mafqud (hilang tidak diketahui tempat dan nasibnya, mati atau hidup)?

Mazhab Hanafi, Maliki, Hambali dan Syafie masing-masing berlainan pendapat. Imam Abu Hanifah menetapkan 120 tahun, Imam Hambali dan Syafie 90 tahun dan Imam Malik empat tahun. Mazhab Syiah Imamiyah empat tahun dari waktu dilaporkan hilang. Tempoh 90 dan 120 tahun didasarkan atas anggapan panjangnya umur manusia.

Pendapat Mazhab Maliki dan Syiah Imamiyah berdasarkan atas logik, yakni penggunaan akal, sedangkan pendapat Mazhab Hanafi dan Syafie berdasarkan alasan yang lemah kerana segelintir manusia sahaja yang hidup antara 90 dan 120 tahun. Ini bermakna yang ditinggal hilang oleh suami tak dapat kahwin lagi seumur hidup.

Jelaslah hukuman ini tidak adil. Penetapan akta, tujuh tahun, kurang adil, Mazhab Maliki, empat tahun, paling adil dalam keadaan komunikasi pada masa lampau tidak seperti sekarang.

Ada juga yang mencadangkan antara 60 dan 70 tahun atas dasar hadis Nabi Muhammad s.a.w.; Umur umatku antara 60 dan 70 tahun. Iktibar bagi kita adalah perlunya kita mencipta perundangan atas tuntutan zaman sebagaimana dilaksanakan oleh imam-imam, mazhab-mazhab umat Islam.

Ini tidak bermakna kita mesti meninggalkan mazhab tetapi menghalusi dan menambah pengaruh mazhab di kalangan umat Islam dewasa ini. Isi panduan mazhab yang senantiasa tepat dan berguna bagi zaman sekarang jauh lebih banyak daripada yang perlu dirobah.

Peranan mazhab pada keseluruhannya sangat perlu. Ini harus diperkukuh oleh bimbingan alim ulama yang mendalam pengetahuannya bukan hanya dalam ilmu agama tetapi juga dalam ilmu sains zaman sekarang yang berkaitan dengan perundangan Islam. Sebagai contoh ilmu perubatan, psikiatri sosiologi, antropologi dan lainnya.

Jika ini tidak dikuasai oleh yang menggubah undang-undang maka akibatnya undang-undang itu tempang. Masalah-masalah yang timbul dewasa ini luar biasa banyak yang belum timbul dan diketahui pada zaman lampau.

Ambillah pengetahuan tentang DNA dan gunanya untuk memeriksa keturunan makhluk hidup dan berbagai-bagai benda. Nampaknya faktor yang demikian penting tidak dihiraukan oleh Akta Undang-Undang Keluarga Islam yang kita bahaskan ini.

Penjelasan

Bab VIII, Seksyen 110-114 tidak ada penjelasan yang semestinya untuk melukiskan peristiwa untuk seksyen itu. Soalnya sekitar siapa yang ditentukan sebagai bapa jika seorang perempuan yang telah bercerai melahirkan anak di luar nikah enam bulan qamariah atau sebelum empat tahun setelah perkahwinannya dibubarkan, tanpa berkahwin semula.

Dalam kitab-kitab fikah sebab had empat tahun untuk masa penentuan bapa dijelaskan. Dalam akta ini langsung tidak dijelaskan. Selain daripada itu mengapa ada had waktu empat tahun? Gunakan saja pemeriksaan DNA antara bekas suami dan anak itu, jika hal ini dibawa ke mahkamah bila-bila masa sebelum atau sesudah empat tahun.

Mengapa kita mengikat diri pada cara pengesahan dan pembuktian dari zaman lampau yang kurang ketat daripada cara pembuktian DNA yang lebih ketat dan tidak memakan waktu tahunan atau bulanan?

Dari segi Islam penentuan DNA jauh lebih afdal, lebih semestinya daripada menyiasat dan menunggu pengakuan berbulanan atau tahunan. Dari segi aliran pemikiran fikah yang menjalankan penambahan, peninggalan dan pembaruan hukum-hukum, yang telah diberikan contoh oleh imam-imam besar kita. Akta Undang-Undang Keluarga Islam kita ini masih banyak kekurangannya.

Setakat ini saya akan menyentuh satu lagi iaitu Bab VIII, Seksyen 122.

Seksyen yang ada digugurkan dan digantikan Seksyen 122 yang baru, dalam pindaan akta baru ini. Seksyen 122 yang baru ini memberi mahkamah kuasa pembahagian harta sepencarian dan membekukan aset suami atau isteri. Ini perlu ditinjau secara lebih teliti kerana kuasa mahkamah untuk perintah menjual dan membeku aset.

Kegagalan mematuhi perintah boleh dikenakan hukuman penghinaan terhadap mahkamah. Di sini saya hanya menyatakan keraguan saya atas pelaksanaannya dan dasar keadilan pembahagian aset dan perintah jual jika perlu.

Hal ini elok ditinjau kembali oleh ahli-ahli hukum fikah dan ahli hukum lainnya dan juga mereka yang ahli dalam bidang lain yang ada kaitan dengan persoalannya. Saya yakin seluruh Akta Undang-Undang Keluarga Islam mesti diperkemas kembali mengingat bahawa akta ini disusun pada tahun 1984 dan pindaan yang telah diadakan hingga 1994 perlu juga ditinjau kembali.

Satu pindaan yang terakhir ini merupakan langkah ke belakang bukan langkah ke hadapan. Dalam akta yang ada, yang belum dipinda erti hukum syarak ialah ``undang-undang Islam dalam mana-mana mazhab yang sah''.

Dalam pindaan baru ertinya hukum syarak ``mengikut Mazhab Syafie, atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali''.

Pindaan bagi Bahagian 1, Seksyen 2, Akta Ibu.

Bidang hukum syarak diperbatas kepada hanya empat mazhab. Jika ada pasangan Syiah yang hendak membawa kesnya ke mahkamah boleh apa tidak? Umpamanya kalau seorang isteri ditipu oleh suaminya, atau dibelasah sampai patah gigi, boleh tidak minta cerai ke mahkamah dan mereka berdua itu warganegara Malaysia? Ke satu masjid sembahyang dengan yang lain boleh, meninggal dunia ditanam di kubur yang sama boleh, kahwin dengan yang lain boleh, naik haji sama-sama boleh. Apa halnya dengan ke Mahkamah Syariah?

Saya yakin jika Imam Syafie diminta pertolongan oleh orang-orang Syiah dalam menyelesaikan masalah hukum yang penting bagi mereka, Imam Syafie dengan segera dan ikhlas akan membantu mereka.

Undang-undang adalah cita

hidup sempurna intisarinya

jika terpandang sotong gurita

perhati anda jari-jarinya.

- PROF. DR. SYED HUSSEIN ALATAS ialah Fellow Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Saturday, January 28, 2006

Wanita PKR cadang penambahbaikan Rang Undang-undang Keluarga Islam 2005

Wanita PKR cadang penambahbaikan Rang Undang-undang Keluarga Islam 2005
Wednesday, January 25 @ 11:07:04 MYT - Harakah online

Memorandum wanita PKR berhubung isu Rang Undang-undang Keluarga Islam
Wilayah-wilayah Persekutuan kepada Yang Di-Pertuan Agong,
Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri; Dato' Seri Mohammed Nazri
Aziz dan Dato' Abdullah Mat Zin.

Setelah Pindaan Undang-undang Keluarga Islam (RUUKI) diluluskan dalam
Dewan Negara 22 Disember lalu, ia telah mendapat bantahan daripada
kumpulan-kumpulan wanita dan kemudiannya daripada berbagai pihak.
Keadaan menjadi bertambah keliru apabila penjelasan tidak begitu
kedengaran daripada Kementerian-kementerian dan menteri-menteri yang
berkaitan pindaan yang telah dibuat.
Selepas suasana menjadi sedikit tenang, perbincangan dan dialog mula
diadakan dan keadaan menjadi lebih jelas dan ada pihak yang pada
awalnya membuat bantahan, sudah mula faham dan merasa mereka telah
terheret ke dalam kemelut yang dimulakan oleh sesetengah pihak dengan
memainkan isu tersebut.

Wanita Keadilan telah mengikuti perkembangan isu pindaan Rang
Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan (RUUKI)
dengan penuh teliti, dan setelah merujuk kepada pakar undang-undang
dan perlembagaan, kami mendapati ada beberapa perkara yang perlu
ditangani bagi memastikan Pindaan RUUKI akan memberikan kesejahteraan
kepada semua yang terbabit dalam institusi keluarga dan tidak
mendiskriminasi dan menindas mana-mana pihak.

Latar belakang

Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Akta 303)
ini telah dikuatkuasakan pada 29 April 1987, tiga tahun selepas ia
digubal. Ia telah dipinda dua kali iaitu pada tahun 1992 dan juga
tahun1994 dengan pindaan kepada perkataan yang digunakan dalam seksyen
dan juga satu pindaan tambahan kepada Akta ibu yang asal. Pindaan yang
diluluskan baru-baru ini merupakan pindaan kali ketiga yang
membabitkan 27 fasal dan lain-lain pindaan kecil.

Pindaan pada Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah
Persekutuan 2005 sebenarnya adalah berpandukan kepada Enakmen Keluarga
Islam (Negeri Selangor) yang telah diluluskan dan digunapakai semenjak
tahun 2003. Seksyen-seksyen yang menyentuh tentang peruntukan
poligami, fasakh, harta sepencarian dan lain-lain sudah dilaksanakan
di negeri Selangor semenjak tahun 2003.

Pindaan kepada beberapa seksyen (seksyen 23, 53, 107) dan subseksyen
RUUKI telah menimbulkan kebimbangan kalangan pertubuhan-pertubuhan
wanita khususnya mengenai perkara-perkara yang berikut:

1) : Memperluaskan hak suami untuk memfasakhkan perkahwinan.
2) : Memudahkan suami untuk berpoligami Memaksa isteri memilih sama
ada menuntut nafkah atau harta sepencarian apabila suami berpoligami.
3) : Membenarkan suami menuntut harta sepencarian ke atas harta isteri
apabila suami berpoligami.
4) : Membenarkan suami mendapatkan perintah Mahkamah menghalang isteri
melupuskan hartanya.

Wanita Keadilan Rakyat telah meneliti pindaan-pindaan berkaitan dan
mengakui bahawa terdapat perkara-perkara yang menimbulkan rasa sangsi
mungkin akan berlaku ketidakadilan dalam perlaksanaannya terhadap
wanita.

Di bawah adalah saranan Wanita Keadilan Rakyat, tentang bagaimana lima
perkara di atas boleh di atasi:

1. Pindaan pada seksyen 23 (teks sebenar selepas pindaan):
Poligami:

23 (3) Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada
Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan
suatu iqrar menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang
dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, ...

23 (4) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil
pemohon, isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, bakal isteri, wali
kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh
Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang
dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang
hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup,......

23 (9) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan
supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini hendaklah
mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan-

(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada
isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; atau,

Untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh
pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka
dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil
jualan itu dibahagikan.

Perkataan "iqrar" dalam seksyen (3) yang menggantikan perkataan
"akuan" sebelum ini merupakan pindaan yang tepat. Ini kerana iqrar
lebih kuat kesannya berbanding akuan. Ia menunjukkan satu pengakuan
yang dibuat menyatakan kewajipan terhadap seseorang berkaitan sesuatu
hak yang telah didefiniskan di bahagian awal Akta 303. Ia secara jelas
mengukuhkan lagi pemberian alasan untuk berkahwin yang diberikan oleh
suami.

Subseksyen (4) yang telah menambahkan bilangan pemberi keterangan
mengenai perkahwinan yang dipohon dengan memasukkan "bakal isteri,
wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan
oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang
dicadangkan", akan dapat memastikan permohonan lebih telus dan adil.

Penambahan kepada bilangan pihak yang boleh dipanggil ke Mahkamah
dapat mengelakkan mana-mana pihak tertipu. Ia juga memberi ruang yang
besar untuk Hakim dalam menilai kelayakan seseorang lelaki utnuk
berpoligami.

Bagi menjaga kepentingan pihak isteri-isteri dan suami, jika ada pihak
yang tidak berpuashati setelah Mahkamah membuat keputusan, mereka
boleh membuat rayuan, seperti yang terkandung dalam subseksyen (6)
mengikut tatacara yang diperuntukkan di bawah Akta Tatacara Mal
Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998, (Akta 585).

Pindaan ini sangat tepat kerana sebarang rayuan perlulah mengikut
peruntukan Undang-undang yang digunapakai sekarang dan tidak lagi
merujuk kepada Enakmen Pentadbiran sepertimana tercatat di dalam Akta
ibu yang asal.

Dengan ini, Wanita Keadilan Rakyat mencadangkan seperti berikut:

Dalam subseksyen (3), perkataan "atau" ditukar semula kepada "dan"
kerana ia akan menguatkan ciri-ciri keadilan dan ketelusan yang ada
dalam subseksyen sebelum dan seterusnya.

Dalam subseksyen (9), perkataan-perkataan "mana-mana pihak" diganti
kepada "isteri atau isteri-isteri yang sedia ada". Apabila isteri atau
isteri-isteri sedia ada memohon dibahagikan harta sepencarian sebaik
suami berpoligami adalah demi menjaga kepentingan isteri atau
isteri-isteri yang sedia ada. Harta sepencarian bahagian isteri yang
sedia ada tidak akan bercampur dengan aset selepas berkahwin. Dengan
itu, apabila suami berpoligami, isteri boleh membuat tuntutan harta
sepencarian.

Dalam subsekyen (9) (a), perkataan "atau" di hujung ayat dibuang bagi
mengelakkan kekeliruan kerana ia boleh bermaksud salah satu, sehingga
timbul dakwaan, memaksa isteri memilih sama ada menuntut nafkah atau
harta sepencarian apabila suami berpoligami.

Walaupun dari segi pentafsiran dan bacaan teks undang-undang,
perkataan "atau" di situ boleh membawa maksud Mahkamah berkuasa
berbuat kedua-dua (a) dan (b).

Dalam subseksyen (9) (b), istilah "usaha bersama" digantikan dengan
harta sepencarian. Ini boleh mengelakkan pentafsiran yang keliru
seperti harta bagi isteri yang tidak bekerja. Apatah lagi istilah
harta sepencarian sudah diberi takrifannya di awal akta.

Menambah subseksyen (9) (c) yang berbunyi; "untuk memerintahkan supaya
dibuat taksiran aset suami di awal perkahwinan yang kedua dan
perkahwinan yang seterusnya". Ini bagi memastikan aset suami pada awal
perkahwinan diketahui dan selepas itu dapat dibahagikan dengan saksama
harta sepencarian apabila berlaku poligami atau perceraian.

Dengan cadangan di atas, kami percaya ia akan meredakan kebimbangan
sesetengah pihak bahawa pindaan yang dibuat akan memudahkan suami
untuk berpoligami. Sebenarnya, pindaan yang diluluskan adalah lebih
baik berbanding dengan peruntukan yang longgar tentang keizinan
isteri. Ia lebih menjamin kesejahteraan kaum wanita secara umumnya dan
isteri-isteri yang terlibat khususnya.

2. Pindaan pada seksyen 53 (teks sebenar selepas pindaan):

Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

53 (1) Seseorang permpuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang
berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat
suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas
satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu—

Berdasarkan perbahasan di kalangan para fuqaha', setiap suami atau
isteri berhak dari segi Syarak untuk memohon fasakh. Permohonan fasakh
hanya akan diluluskan sekiranya Mahkamah berpuashati dengan
alasan-alasan yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan.
Menurut fuqaha', hak-hak selepas fasakh diberikan kepada isteri
walaupun suami yang membuat permohonan fasakh, jika Mahkamah mendapati
"punca" kepada permasalahan yang menyebabkan tuntutan fasakh
diluluskan bukanlah datangnya daripada isteri tetapi sebenarnya suami.

Namun, dalam pindaan pada seksyen 53, tiada disebut akan hak-hak
selepas fasakh tersebut seperti hadanah, harta sepencarian, nafkah
(nafkah tertunggak, nafkah anak-anak). Ketiadaan peruntukan berkaitan
hak-hak tersebut boleh membuka ruang bagi suami mengabaikan
tanggungjawabnya.

Kami mencadangkan yang berikut:

Memasukkan subseksyen yang menggariskan hak-hak wanita/lelaki selepas
fasakh diberikan oleh Mahkamah.

3. Pindaan pada seksyen 107 (teks sebenar selepas pindaan):

Perintah larangan terhadap pelupusan harta sepencarian

107 (1) Mahkamah boleh atas permohonan mana-mana pihak kepada
perkahwinan— jika sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri masih belum
selesai di Mahkamah; atau dalam prosiding tersebut Mahkamah boleh
membuat perintah di bawah seksyen 122 membuat suatu perintah melarang
isteri atau suami, mengikut mana-mana yang berkenaan, daripada
melupuskan apa-apa aset yang telah diperoleh mereka, secara usaha
bersama atau usaha satu pihak semata-mata, semasa perkahwinan mereka
berkuat kuasa jika Mahkamah berpuas hati adalah perlu untuk...

Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah untuk menghentikan pelupusan aset
oleh mana-mana pihak sebelum selesai prosiding adalah wajar kerana ia
menjaga kepentingan kedua-dua pihak ke atas aset yang diperolehi
sepanjang perkahwinan mereka.

Pemilikan harta secara mutlak dalam tempoh perkahwinan perlu
dibuktikan terlebih dahulu. Kemudian harta sepencarian juga perlu
ditaksirkan bahagian masing-masing sebelum dibahagikan. Dengan itu,
bukan suami sahaja berhak mendapatkan perintah Mahkamah, malah isteri
juga berhak mendapatkan perintah Mahkamah menghalang pelupusan harta.

Kami mencadangkan yang berikut:

i. Ayat "melupuskan apa-apa aset yang telah diperoleh mereka" dalam
seksyen 107,

"......membuat suatu perintah melarang isteri atau suami, mengikut
mana-mana yang berkenaan, daripada melupuskan apa-apa aset yang telah
diperoleh mereka, secara usaha bersama atau usaha satu pihak
semata-mata, semasa perkahwinan mereka berkuat kuasa jika Mahkamah
berpuas hati adalah perlu untuk..." digantikan dengan "melupuskan
apa-apa aset yang diperolehi sepanjang perkahwinan mereka"

Penutup
Wanita Keadilan Rakyat berpendirian bahawa :

Meyakini Undang-undang Keluarga Islam digubal dan digarap berasaskan
Al Quran, Sunnah dan juga pandangan jumhur ulama dan bertujuan memberi
keadilan kepada semua pihak di dalam mana-mana keluarga. Justeru itu,
ia tidak boleh dilihat dari satu perspektif semata-mata, dan menjaga
kepentingan satu pihak sahaja.

Pindaan yang dibuat merupakan inisiatif positif bagi memertabatkan
Undang-undang Keluarga Islam (UUKI). Penambahbaikan perlu disegerakan
dan seterusnya diwartakan.

Keseragaman di seluruh negeri-negeri dalam Malaysia wajar dilaksanakan
selepas pewartaan RUUKI 2005 ini dengan perlaksanaannya oleh
negeri-negeri tetapi pengawasannya berada di Peringkat Pusat,
sepertimana Kod Tanah dilaksanakan di negeri-negeri.

Dengan itu, pembelaan dan keadilan diberikan kepada semua dan tiada
individu-individu yang akan mengambil kesempatan menggunakan Enakmen
mana-mana negeri yang longgar untuk lari dari pertanggungjawaban.
Mahkamah Syariah perlu dinaiktarafkan sesuai dengan kuasa yang
diberikan kepadanya.

Usaha perlu ditingkatkan bagi memperluaskan pendidikan mengenai
Undang-undang Keluarga Islam kepada masyarakat menggunakan segala
medium yang sesuai agar semua mengetahui hak-hak masing-masing yang
termaktub di dalamnya.

Akhir sekali, seluruh isu Pindaan RUUKI telah menghasilkan perkara
yang positif serta menginsafkan semua bahawa menjadi tanggungjawab
semua pihak untuk memastikan undang-undang yang digubal menjaga
kepentingan semua dan memberikan keadilan tanpa mengira gender, ras
dan kaum.

Memorandum ini mengalu-alukan sokongan (endsorsement) daripada semua
pihak dari pelbagai petubuhan.-wn.

Perkuatkan kedudukan undang-undang syariah dalam Perlembagaan - Teras

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Hrkh) - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengesa kerajaan dan pakar-pakar undang-undang Syariah segera berusaha untuk mengukuhkan kedudukana Syariah dalam Perlembagaan Persekutuan yang ada kini.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, adalah sangat penting agar kedudukan Syariah diperkemaskan dan mecari cara yang sesuai untuk meneruskan pengukuhan aspek-aspek yang utama dalam perundangan negara.

Beliau melahirkan kebimbangan jika peruntukan tertentu tidak diwujudkan dalam perlembagaan khususnya dalam kes-kes yang berkaitan dengan murtad maka status syariah dalam perundangan negara tidak akan terjamin.

"Ini penting kerana wujud usaha pihak tertentu yang mencari serta menekan supaya hal ehwal Islam yang berada di bawah bidangkuasa Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah dicabar," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Perkara 121 (1A) itu sendiri masih belum cukup kuat untuk menjamin masalah-masalah lain tidak timbul terutama ketika pembicaraan di Mahkamah berjalan.

"Kami khuatir sejak kebelangkangan ini ada beberapa kes yang mula diungkitkan dan difail dalam mahkamah yang semakin menunjukkan bahawa kedudukan undang-undang Syariah yang sedia ada dalam Perlembagaan masih boleh dicabar kerana ia tidak cukup kuat untuk memastikan mahkamah syariah sahaja yang layak mendengar kes orang Islam," katanya.

Teras juga berpendapat peruntukan yang sedia ada sahaja tidak cukup untuk menjamin kedudukan undang-undang syariah tidak boleh dicabar oleh mahkamah sivil.

Justeru, beliau berpendirian kerajaan hendaklah memastikan sistem dan penguatkuasaan undang-undang Syariah benar-benar dapat berfungsi dengan sempurna.

Tambah beliau, berdasarkan kepada kes-kes yang berlaku menunjukkan tidak efesiennya jabatan berkenaan dan memberi peluang pihak tertentu untuk sering menyerang jabatan penguatkuasa Agama.

"Kami percaya bahawa segala usaha untuk meningkatkan professionalisme jabatan bagi membolehkan pegawai-pegawainya melaksanakan tugas dengan sempurna sangat penting," tegasnya.

UPA terima aduan terhadap mahkamah


PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, semalam mengumumkan penubuhan Unit Pengaduan Awam (UPA) Badan Kehakiman Malaysia, untuk menerima aduan terhadap itu.

Berikutan penubuhan UPA, orang ramai yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran mahkamah di seluruh negara boleh membuat aduan menerusinya untuk siasatan dan tindakan.

Ahmad Fairuz berkata, dengan kewujudan UPA yang dikendalikan oleh tujuh pegawai perkhidmatan kehakiman, orang awam akan menerima maklum balas mengenai aduan mereka yang mengambil masa dua hari.

Katanya, UPA yang beroperasi di bangunan Palace of Justice (POJ) di sini, diselia oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Tengku Maimun Tuan Mat yang bertanggungjawab terus kepada beliau.

UPA katanya, ditubuhkan bagi mempertingkatkan tahap ketelusan dalam pelaksanaan keadilan badan kehakiman.

Skop UPA adalah menerima segala aduan mengenai pentadbiran keadilan badan kehakiman di seluruh negara.

"Tujuan UPA ditubuhkan ialah untuk menangani segala bentuk pengaduan orang awam dengan cepat," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi memastikan UPA berfungsi dengan baik, dua pegawai kehakiman akan ditugaskan secara bergilir-gilir pada setiap bulan dan mereka boleh dihubungi menerusi telefon, e-mel dan taliankhas disediakan UPA.

Pegawai terbabit ialah Azwarnida Affandi, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, Mohd Mokhzani Mokhtar, Muhammad Zaki Abdul Kudos, Naziah Mohd Alias, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid dan Yasmin Abdul Razak.
 

Tak boleh ulas hakim

Oleh Khairunnisa Hussin

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim semalam menegaskan, soal berkaitan perilaku hakim tidak boleh dibincang secara terbuka walaupun sesiapa bebas membuat aduan.

Beliau berkata, masalah itu hanya boleh dibahaskan di Parlimen selepas mendapat persetujuan dua pertiga anggotanya.

"Sesiapa saja bebas membuat aduan tetapi perlu diingat bahawa kelakuan hakim tidak boleh dibincangkan termasuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri, kecuali di Parlimen," kata pada sidang media di sini.

Beliau mengulas mengenai surat yang dihantar peguam Metramac Corporation Sdn Bhd, Datuk Muhammad Shafee Abdullah kepadanya berhubung tingkah lalu Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram.

Kelmarin, Sri Ram berkata perbuatan Muhammad Shafee menghantar surat kepada Ahmad Fairuz secara prima facie boleh dianggap menghina mahkamah.

Ahmad Fairuz berkata, beliau bagaimanapun akan menyiasat aduan Muhammad Shafee itu tetapi enggan mengulas mengenai kemungkinan peguam itu menghadapi dakwaan menghina mahkamah.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Sri Ram jika aduan itu terbukti betul, Ahmad Fairuz berkata beliau tidak boleh memberi sebarang komen kerana ia subjudis berikutan kes mengenai penghinaan mahkamah terhadap Shafee akan didengar pada 23 Februari depan.

Katanya, surat yang dihantar Muhammad Shafee kepadanya adalah salinan yang dihantar kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad yang memohon panel hakim lain untuk mendengar permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan kes Metramac.

Beliau berkata, bidang kehakiman bukan seperti badan pengurusan dengan ketua boleh mengarahkan kakitangannya membuat sesuatu.

"Permintaan untuk menukar panel hakim adalah kuasa Presiden, saya tak boleh arah Presiden. Itu dalam bidang kuasa dia," katanya.

Mengenai ulasan pelbagai pihak berkaitan penghakiman kes Metramac yang diarah membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings sebagai ganti rugi, Ahmad Fairuz berkata kes yang bermula di Mahkamah Tinggi itu mungkin sampai kepadanya untuk didengar di Mahkamah Persekutuan, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

"Sesiapa saja boleh memberi pendapat berhubung keputusan mahkamah. Contohnya dalam kes Moorthy, hakim dikatakan tidak berani membuat interpretasi sebenar, sama ada berdasarkan fakta ia betul atau tidak, terpulang kepada orang ramai untuk menilai.

"Tetapi, apa yang perlu diingat, sewaktu ulasan dibuat, alasan penghakiman masih belum dikeluarkan dan semua ulasan lebih bernilai jika berlandaskan alasan penghakiman," katanya.

Ahmad Fairuz bagaimanapun berkata, hakim sudah lali dengan keadaan itu.

"Apabila mereka kalah dalam sesuatu kes, semua yang dibuat hakim tidak kena tetapi jika menang, pujian melangit akan diberikan kepada hakim itu.

"Saya bernasib baik kerana mempunyai barisan hakim yang profesional dan membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan tidak mudah terpengaruh dengan ulasan serta komen yang tersiar dalam media," katanya.

Beliau berkata, hakim dilatih untuk membuat keputusan berdasarkan keterangan dan undang-undang.

"Mengikut perlembagaan, undang-undang perlu ditafsir. Kami tidak membuat undang-undang tetapi hanya mentafsir undang-undang. Jika tidak berpuas hati dengan tafsiran itu, orang ramai boleh merayu melalui saluran yang betul," katanya.

Friday, January 27, 2006

Permohonan KPN batal saman ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ketua Polis
Negara (KPN) dan 10 lagi untuk membatalkan saman seorang bekas pegawai
polis berhubung dakwaan komplot yang menyebabkan beliau ditahan selama
tiga tahun satu bulan mengikut Ordinan Darurat.

Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus membuat keputusan itu semalam,
sekali gus mengekalkan keputusan Penolong Kanan Pendaftar, Edwin
Paramjoothy pada 14 April tahun lalu.

Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili KPN dan defendan lain tidak
hadir di mahkamah, manakala bekas Asisten Superintendan Md Ali Amir
Batcha diwakili peguam Mohd Yusmadi Yusof.

Md Ali, 48, yang pernah menerima sembilan penghargaan dan kepujian
khidmat cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) memfailkan saman pada
26 November 2002.

Dia yang kini peniaga juga menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam
Negeri, PDRM, Datuk Ahmad Ragib Ahmad Salleh (bekas Ketua Polis Johor)
dan enam anggota polis sebagai defendan.

Enam anggota polis yang berpangkat Lans Koperal dan Konstabel itu
ialah Ramli Mokhtar, Hamdan Nordin, Badrul Hisham Baharudin, Radzuan
Shuaib, Mohd Aris Mohd Amin dan Wahyudin Talib.

Dia yang mendakwa menembak mati 25 penjenayah bersenjata sepanjang
bertugas di Johor Bahru, mendakwa dikurung secara salah di Pusat
Pemulihan Akhlak, Simpang Renggam, Johor, sejak 1997 sehingga
mengalami gangguan mental.

Dalam pernyataan tuntutannya, Md Ali yang pernah bertugas di Unit
Tindakan Cepat (UTC) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 1987
hingga 1994 mendakwa pada Februari 1993 dia terbabit dalam operasi
khas jenayah harta.

Dia mendakwa ditawarkan sogokan wang tunai RM50,000 oleh seorang
lelaki ketika bertugas tetapi menolaknya dan menahan lelaki itu di
Balai Polis Sentral.

Namun, katanya, beliau difitnah lelaki terbabit dengan jenayah harta
itu dan mendakwanya menerima sogokan.

Md Ali berkata, beliau kemudian didakwa di mahkamah pada 1996 tetapi
didapati tidak bersalah dan dibebaskan.

Bagaimanapun, pada 20 November 1997 beliau menerima perintah tahanan
yang dikeluarkan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman
Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969, selama dua tahun dan dilanjutkan
sehingga menjalani tahanan selama tiga tahun satu bulan.

Md Ali mendakwa, perintah tahanan itu dikenakan terhadapnya atas
dakwaan beliau perancang utama kumpulan samun bersenjata di Johor.

Ketika menjalani perintah tahanan itu, Md Ali mendakwa mengalami
gangguan mental seperti gelisah dan takut.

Md Ali mendakwa perintah tahanan dibuat kerana pengakuan palsu oleh
Ahmad Ragib, Ramli, Hamdan, Badrul Hisham, Radzuan, Mohd Aris dan
Wahyudin.

‘Wajib hadir sesi kaunseling’

PUTRAJAYA: Pengamal ajaran Black Metal yang tidak mematuhi arahan
Mahkamah Syariah supaya menjalani sesi kaunseling boleh dikenakan
tindakan apabila undang-undang mengharamkan ajaran itu diwartakan
mengikut Enakmen Jenayah Syariah di setiap negeri.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa
Abdul Rahman, berkata mereka perlu menjalani sesi kaunseling yang
dikelolakan jabatan agama negeri supaya dapat dibimbing kembali ke
pangkal jalan.

"Jika hakim syarie yang mendengar kes memutuskan mereka perlu
menjalani sesi kaunseling, arahan itu perlu dipatuhi.

"Jika ingkar, tindakan undang-undang boleh diambil. Kita akan lakukan
sebaik undang-undang itu diwartakan di seluruh negara tidak lama
lagi," katanya semalam.

Isnin lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam memutuskan
ajaran Black Metal yang diasaskan kumpulan muzik berirama rock berat
dari Barat haram dari segi Islam.

Pengerusi Jawatankuasa, Datuk Dr Shukor Husin, berkata dengan fatwa
itu, pihak yang mengamalkan ajaran Black Metal boleh dikenakan
tindakan mengikut hukum syarak.

Pihak berkuasa agama negeri kini dalam proses mewartakan undang-undang
mengharamkan ajaran kumpulan itu mengikut Enakmen Jenayah Syariah.

Tindakan pengikut ajaran Black Metal yang memijak al-Quran, memuja
syaitan, anti-Tuhan dan mengamalkan seks bebas jelas bercanggah dengan
ajaran Islam. Namun, adalah tidak menjadi kesalahan jika seseorang
mendengar muzik Black Metal.

Mustafa berkata, Jakim dengan kerjasama jabatan agama negeri akan
memperkenalkan kaedah khusus kaunseling.

"Kita perlu mendekati kumpulan peminat Black Metal yang didapati
terpesong dan membetulkan semula amalan dan fahaman mereka yang salah
sebelum ini.

"Mereka perlu disedarkan mengenai ajaran Islam sebenar dan perbuatan
mereka bercanggah dengan seruan Islam, malah boleh menyesatkan
mereka," katanya.

Mustafa juga berkata, Jakim percaya pengikut ajaran Black Metal hanya
dalam lingkungan beratus-ratus orang tetapi tidak mungkin mencapai
1,000.

Sementara itu, Mustafa berkata, cadangan mengharamkan muzik Black
Metal perlu diperhalusi terutama dengan kementerian berkaitan.

"Kita perlu bincang secara terperinci cadangan itu. Mungkin ia lebih
sesuai untuk peminat bukan Islam dan tentunya timbul banyak isu jika
kita mengharamkannya.

"Kita tidak boleh paksa orang lain ikut (ketetapan yang dikeluarkan
berhubung Black Metal)," katanya.

Sebelum ini, karyawan dan penggiat muzik tempatan dilaporkan mendakwa
tidak wujud gejala Black Metal seperti disiarkan sesetengah media.

Malah, mereka mencabar sesiapa yang mendakwa wujudnya kelompok gejala
tidak sihat itu tampil membuktikan ada pejuang Black Metal yang
membelakangkan agama.

(c)The New Straits Times Press (M) Berhad

Wednesday, January 25, 2006

Memorandum biadab dan bahaya, jangan ulangi lagi - 16 NGO

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Hrkh)- 16 persatuan dan kelab yang berkaitan dengan Islam dan Melayu memberikan peringatan kepada sembilan menteri bukan Islam agar jangan sekali-kali mengulangi tindakan mereka menghantar memorandum seumpama memorandum kepada Perdana Menteri sebelum ini.

Bantahan itu dibuat oleh mereka dalam satu surat yang dihantar khas kepada kesembilan menteri berkenaan dengan salinannya dihantar kepada Perdana Menteri dan lain-lain pemimpin yang berkaitan dengan agama di negara ini.

"Kami ingin mempertegaskan bantahan kami dengan sekerasnya dan menolak sebarang percubaan mana-mana pihak termasuk dari YB Datuk dalam Kabinet untuk cuba merubah mana-mana perkara yang menyentuh kedudukan undang-undang Syariah dan institusi Mahkamah Syariah seperti yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan," kata surat itu.

Antara yang menandatangani surat itu adalah Datuk Syeikh Azmi Ahmad, Pengerusi Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah (ISRA),Datuk Dr. Maamor Mansur, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Syeikh Abu Bakar Awang, Yang DiPertua Persatuan Ulama Kedah, Prof Madya Salleh Ahmad,Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia.

Turut menantanganinya adalah Abdul Ghani Shamsuddin, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Masadah Sajadi, Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia, Prof.Madya Dr. Wan Salim Mohd Nor, Yang DiPertua Persatuan Ulama Cawangan Negari Pulau Pinang serta Pengerusi WADAH Pulau Pinang.

Yang lain adalah Haji Mahfuz Omar, Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK), Hafiz Mustaffa Lubis, Angkatan Belia Islam Malaysia Kedah, Hj.Yahya Abdullah, Naib Yang di Pertua PAS Sik, Hj.Ismail Wan Teh, Pengerusi Kelab Masyarakat Perihatin Kedah, Shahrul Anuar Mahmud, AJK Persatuan Perihatin Malaysia, Mohd Asri Omar, Pengurus Pusat Pembangunan Komuniti Kedah, Awang Soluhuddin Hasyim, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kedah, Adam Abdul Malik, Ikatan Intelektual Nusantara dan Jaafar Daud, Kordinator TERAS Perlis.

Surat itu pula dihantar kepada Datuk Seri S. Samy Vellu (Menteri Kerja Raya), Datuk Seri Ong Ka Ting (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Datuk Seri Lim Keng Yek (Menteri Tenaga , Air dan Komunikasi), Datuk Seri Chan Kong Choy (Menteri Pengangkutan), atuk Seri Dr.Fong Chan Onn (Menteri Sumber Manusia), Datuk Dr. Chua Soi Lek (Menteri Kesihatan), Datuk Dr. Maximus Ongkili (Menteri Jabatan Perdana Menteri) Datuk Peter Chin Fah Kui (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan Tan Sri Bernard Dompok (Menteri Jabatan Perdana Menteri).

Walaupun isu ini dianggap sudah selesai namun mereka berpendirian bahawa para menteri itu harus meneliti kesan dari tindakan ini kerana ia telah menimbul kemarahan di kalangan masyarakat Islam di Negara ini, tulis mereka.

"Untuk itu kami ingin menegaskan pendirian kami supaya pihak YB Datuk tidak memandang ringan terhadap pandangan kami berkaitan dengan isu yang berkaitan dengan undang-undang Syariah dan kedudukan institusi agama di Negara ini," kata mereka.

Oleh kerana mereka telah bersetuju untuk menarik balik memorandum ini seperti yang dimaklumkan kepada umum, mereka mengesa para menteri ituy tidak mengulangi lagi sebarang percubaan seumpama itu dalam apa bentuk sekalipun kerana mereka akan terus memantau setiap tuntutan yang disuarakan yang menyentuh persoalan undang-undang Syariah.

"Kami ingin mempertegaskan bantahan kami dengan sekerasnya dan menolak sebarang percubaan mana-mana pihak termasuk dari YB Datuk dalam Kabinet untuk cuba merubah mana-mana perkara yang menyentuh kedudukan undang-undang Syariah dan institusi Mahkamah Syariah seperti yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kami menegaskan tidak ada sebarang sebab untuk merubah Perlembagaan Persekutuan terutama dalam hal Perkara 121 (1A). Sebarang masalah atau kes yang timbul yang melibatkan mana-mana individu tertentu hendaklah di atasi secara khusus dan tidak seharusnya Perlembagaan khususnya Perkara 121 (1A) menjadi sasaran untuk diubah.

Kami menolak dan membantah Memorandum yang diserah kepada Perdana Menteri yang ditandatangani YB Datuk baru-baru ini. Memorandum yang meminta supaya disemak semula peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan adalah jelas mempersoalkan kedudukan bidangkuasa Mahkamah Syariah," kata mereka dalam surat itu.

Menurut surat itu, peruntukan 121 (1A) yang meletakkan Mahkamah Syariah setaraf dengan Mahkamah Sivil tidak boleh dipersoalkan kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persukutuan yang diluluskan di Parlimen.

"Kami menolak dengan keras percubaan mana-mana pihak untuk mentafsir Peruntukan itu sebagai suatu perkara yang menafikan hak orang bukan Islam. Sebarang percubaan tersebut dengan sengaja adalah suatu tindakan yang merbahaya dan mempunyai niat yang serong untuk mengelirukan pandangan awam terhadap institusi agama Islam di negara ini.

"Kami bertegas, bahawa percubaan buat pertama kali Menteri-menteri bukan Islam dalam Kabinet dalam hal ini, adalah suatu tindakan yang cuba mencabar wibawa dan status undang-undang Syariah di Negara ini dengan mengguna kedudukan mereka untuk menekan Perdana Menteri. Kami melihat ini sebagai tindakan yang biadap dan sangat merbahaya," tulis mereka dalam surat itu.

Bagi mereka, tuntutan memorandum itu antara lain juga mahu mengubah undang-undang Syariah yang memperuntukan anak dibawah umur 18 tahun adalah Islam bila mana-mana ibu atau bapanya memeluk agama Islam.

"Kami tidak melihat tujuan lain mengenai tuntutan ini selain dari cuba mengubahsuai undang-undang Syariah mengikut kehendak mereka.

"Kami membantah keras percubaan untuk mengubah undang undang Syariah yang dikatakan bercanggah dengan undang-undang sivil. Sesungguhnnya tuntutan ini mempunyai niat serong untuk memburukkan imej undang-undang Syariah dan mahu meletakkan undang-undang sivil lebih tinggi dari undang-undang Syariah," kata mereka.

Bagi persatuan-persatuan itu, mereka tidak nampak tujuan lain Memorandum ini selain dari keinginan para menteri itu untuk akhirnya meletakkan undang-undang Syariah tidak campurtangan dalam urusan kehidupan awam dan ia menjadi undang-undang yang berada dibawah undang-undang sivil.

"Ini tidak akan dapat kami terima samasekali," kata surat itu.

Sehubungan itu, mereka mengesa supaya para menteri ini jangan mengguna kedudukan masing-masing untuk kepentingan politik sempit dan cuba mengambil kesempatan dari kes-kes tertentu untuk menekan Perdana Menteri atau kerajaan supaya memenuhi tuntutan.

"Kami ingin mengingatkan bahawa sebarang percubaan untuk meneruskan usaha yang akan mencabar atau mempersoalkan kedudukan dan status undang-undang Syariah serta sebarang Institusi agama di Negara ini akan mencetuskan penentangan yang meluas dari orang Islam dan kesan selanjutnya akan menjadi sangat berat," kata mereka.

Dalam surat itu juga, mereka menggesa para menteri itu meminta maaf secara terbuka kepada masyarakat Islam di negara ini dan mereka menunggu maklumbalas dari para menteri itu.
-ZS

Catatan: Memorandum tersebut ditandatangi oleh Haji Azmi Abdul Hamid (TERAS) yang mewakili mereka.



Lebih adil jika mahkamah perjelas maksud ‘teknikal’

BH 25/1/2006

 
PADA hari Berita Harian menyiarkan cadangan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, bahawa orang yang didakwa mungkin tidak lagi boleh menggunakan alasan teknikal untuk lepas daripada hukuman atau mengelakkan daripada didakwa, Peguam Negara 'kalah' satu lagi kes atas alasan sama.

Kes dimaksudkan ialah Timbalan Pendakwa Raya lawan Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, apabila Mahkamah Majistret Petaling Jaya memutuskan melepas tanpa membebaskan Biduanita Negara itu daripada tuduhan memfitnah Siti Nurhaliza Taruddin.

Alasan majistret ialah atas sebab teknikal kerana pihak pendakwa raya membuat interpretasi salah terhadap Seksyen 131 Kanun Acara Jenayah. Seksyen itu menyebut mana-mana mahkamah tidak boleh mengambil tahu mengenai kesalahan berkaitan fitnah, kecuali aduan dibuat oleh orang yang terkilan (mangsa) dan dalam kes ini Siti Nurhaliza atau pendakwa raya.

Interpretasi yang mungkin dibuat pendakwa raya ialah apabila mereka sendiri mendakwa Sharifah Aini kerana ia kes jenayah, maka ia sudah memenuhi peruntukkan Seksyen 131.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat interpretasi sama terhadap Seksyen 131 iaitu aduan dibuat pendakwa raya tidak sama tuduhan dibuat oleh pendakwa raya. Yang jadi mangsa akibat soal teknikal ini ialah Siti Nurhaliza, sedangkan beliau sudah menunaikan tanggungjawabnya sebagai pihak yang terkilan dengan membuat aduan polis.

Keputusan pendakwa raya membuat dakwaan berpandukan aduan oleh pihak ketiga dalam kes ini iaitu wartawan Harian Metro, Abdullah Mamat atau Abie, akhirnya memakan diri kerana cubaan menggunakan aduannya dan pendakwaan oleh pendakwa raya tidak diterima mahkamah sebagai memenuhi syarat Seksyen 131. Ini disebabkan mangsa atau pihak yang terkilan ialah Siti Nurhaliza.

Tidak pasti mengapa pendakwa raya tidak menggunakan aduan polis dibuat Siti Nurhaliza untuk mendakwa Sharifah Aini, sedangkan ia boleh dilakukan dari awal lagi.

Melihat 'kekalahan' ini, kita juga tidak dapat lari daripada mengimbas kembali kekalahan yang dialami pendakwa raya dalam kes bunuh pelajar Tingkatan Lima, Farah Deeba Rustam di Ipoh; wanita rakyat Amerika, Carolyn Janice Ahmad; bekas Pembantu Menteri Sabah, Datuk Norjan Khan Bahadar dan Norita Shamsuddin, walaupun alasan pembebasan mungkin berlainan.

Dari satu segi, cadangan Ahmad Fairuz dilihat penyelesaian kepada semua masalah teknikal di mahkamah iaitu mahkamah tidak lagi boleh menggunakan alasan itu untuk membebaskan seseorang. Alasan teknikal digunakan termasuk nama tertuduh disalah eja, alamat silap, salah isi borang penahanan/penemuan bukti, penggunaan seksyen yang salah, tidak memberi alasan penahanan atau menggunakan paksaan untuk dapatkan kenyataan beramaran dan pelbagai alasan lain yang sebenarnya tidak berkaitan dengan perlakuan jenayah sebenar (isu substantif).

Bagaimanapun, itulah asas undang-undang yang meletakkan beban berat terhadap pendakwa iaitu memastikan tidak wujud sebarang keraguan kerana kesilapan pendakwaan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa seseorang atau merengkok dalam penjara bagi jangka masa panjang.

Dari satu segi lain pula, cadangan Ahmad Fairuz akan menyukarkan kes peguam bela malah ada kebimbangan keadilan undang-undang tidak boleh dicapai dan meletakkan beban yang tinggi terhadap tertuduh, khususnya dalam permohonan habeas corpus kerana tiada isu substantif.

Cara paling baik untuk melakukannya ialah meminda undang-undang berkaitan untuk menjelaskan apa maksud 'teknikal' dan mengkategorikannya supaya undang-undang kita dilihat adil kepada tertuduh dan pihak yang mendakwa.

Keadilan syarak untuk semua kaum

BH 25/1/2006

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Syariah Seremban kelmarin bahawa seorang wanita Melayu, Nyonya Tahir, 89, bukan lagi seorang Islam ketika meninggal dunia akhir minggu lalu, diharap dapat menghapuskan kecurigaan bukan Islam kononnya hak mereka kini tidak lagi terjamin. Keputusan itu membolehkan mayat wanita berkenaan diserahkan kepada warisnya untuk disemadikan sebagai seorang penganut Buddha.

Rakyat negara ini tentunya menyambut baik keputusan itu dengan harapan ia dapat mengikis kontroversi yang melanda baru-baru ini, dipelopori beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh yang dengan lantang persoalkan isu membabitkan hak rakyat bukan Islam.

Kontroversi itu timbul berikutan keputusan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dalam kes pendaki Everest, Muhammad Abdullah @ M Moorthy yang disahkan seorang Islam ketika meninggal dunia, walaupun ini ditentang balunya, S Kaliammal, di Mahkamah Sivil.

Ramai di kalangan bukan Islam kesal dengan keputusan Mahkamah Sivil bahawa ia tidak mempunyai kuasa membelakangi keputusan Mahkamah Syariah berdasarkan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, beberapa pihak termasuk akhbar berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil serta laman blog internet dengan lantang memberikan gambaran seolah-olah hak dan kebebasan beragama di negara ini sudah tercemar dan dihakis walaupun kebebasan itu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keadaan agak mencemaskan apabila golongan bukan Islam terus dengan bantahan mereka dan ia diperkuatkan lagi berikutan tindakan sembilan menteri bukan Islam menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, meminta kerajaan meminda undang-undang yang terpakai, termasuk Artikel 121 (1A) yang dianggap boleh menghakis hak asasi rakyat bukan Islam.

Bagaimanapun, memorandum itu ditarik balik berikutan pertemuan lima daripada sembilan menteri berkenaan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Walaupun beberapa pihak, termasuk Persatuan Peguam Syarie menegaskan bahawa peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu tidak menghakis hak bukan Islam, ramai daripada mereka terus mendesak supaya ia dimansuhkan.

Kontroversi itu dapat diredakan apabila Abdullah menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak akan dipinda, sebaliknya yang perlu dilakukan ialah mengkaji semula mana-mana undang-undang dan peraturan yang menimbulkan was-was bahawa rakyat bukan Islam tidak akan terbela.

Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban juga secara tidak langsung menidakkan kebimbangan beberapa pihak tertentu, termasuk NGO yang sejak awal lagi merumuskan kononnya rakyat bukan Islam dalam negera ini akan sekali lagi dinafikan hak oleh Mahkamah Syariah.

Seperti kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok, keputusan itu membuktikan Mahkamah Syariah bukan saja melindungi dan memulihara hak orang Islam, malah boleh menentukan bukan Islam mendapatkan keadilan.

Semua umat Islam mengetahui Nabi Muhammad SAW diutuskan Allah SWT sebagai Rasul sejagat bagi kepentingan semua manusia, sama ada Islam atau bukan Islam hingga akhir zaman. Sebab itulah ketika pemerintahannya hak semua rakyat di bawah naungannya terjamin.

Sebenarnya, kontroversi ini tidak akan tercetus jika pihak yang mengislamkan penganut agama lain tidak mengabaikan tanggungjawab mereka. Seperti ditimbulkan ruang ini beberapa minggu lalu, mengislamkan seseorang itu memang mudah, tetapi implikasinya amat berat bukan saja kepada mereka yang memeluk Islam tetapi juga isteri dan anaknya.

Perkara inilah yang sepatutnya diberikan pertimbangan mereka yang mengislamkan seseorang. Sememangnya Islam menetapkan seorang bukan Islam sudah menjadi Islam hanya dengan mengucap dua kalimah syahadah, tetapi ia membawa kepada kesan yang amat meluas.

Di sinilah pihak yang mengislamkan seseorang, termasuk pihak berkuasa yang diamanahkan mentadbir hal ehwal agama Islam gagal melaksanakan tanggungjawab dengan penuh hemah.

Mereka sepatutnya memberi penjelasan kepada orang yang memeluk Islam segala implikasinya, termasuk soal kedudukan perkahwinan, pembahagian harta, selain mengajar hukum Islam dan bagaimana menghayati agama itu dengan sebenarnya.

Mereka juga perlu mengingatkan mualaf berkenaan mengenai perlunya memberi tahu isteri atau suami dan keluarga masing-masing mengenai statusnya itu.

Malangnya, dalam kes pengislaman Muhammad Abdullah @ M Moorthy, perkara ini tidak dilakukan dan itulah yang menyebabkan beliau terus tinggal dengan isterinya yang menjaga hingga akhir hayatnya tanpa mengetahui beliau sudah memeluk Islam.

Bukan Islam jangan curiga Mahkamah Syariah

BH -025/1/2006

KETIKA isu berhubung hak orang bukan Islam di negara ini semakin reda dan dianggap selesai, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban kelmarin pula membuat satu keputusan menarik apabila mengarahkan mayat seorang wanita, Nyonya Tahir, 89, diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut upacara Buddha selepas wanita itu diisytiharkan sebagai bukan Islam ketika meninggal dunia. Keputusan itu secara tidak langsung membuktikan bahawa Mahkamah Syariah tidak pernah menafikan hak orang bukan Islam, sekali gus diharap dapat menghapuskan kebimbangan dan kecurigaan mereka kononnya mahkamah berkenaan bukan saja khusus untuk orang Islam, malah hanya memihak kepada orang Islam dan langsung tidak melindungi hak mereka.

Kita akur dengan keputusan itu kerana walaupun Nyonya Tahir berketurunan Melayu dan beragama Islam seperti tertera pada kad pengenalannya, beliau didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu. Malah, beliau juga pernah membuat akuan bersumpah bahawa tidak akan kembali kepada agama Islam dan berpesan supaya mayatnya disemadikan mengikut cara Buddha. Dalam kes ini, ternyata Mahkamah Syariah mampu mengendali dan menghadapi kes sensitif tanpa menjejaskan kepentingan dan hak pihak yang terbabit.

Apa pun, keputusan kes Nyonya Tahir ini sangat menarik jika diambil kira perkembangan semasa dalam bidang perundangan di negara ini, khususnya membabitkan status agama seseorang yang meninggal dunia. Dalam kes ini, untuk pertama kalinya Mahkamah Syariah membuka ruang kepada orang bukan Islam tampil di Mahkamah Syariah secara sukarela apabila dua anak si mati yang beragama Buddha dibenarkan memfailkan afidavit berhubung status agama ibu mereka, selain akuan bersumpah Nyonya Tahir sendiri. Malah, peguam pemerhati bagi keluarga berkenaan ketika perbicaraan kes itu juga bukan beragama Islam. Ini jelas menolak tohmahan sesetengah orang bukan Islam yang mengatakan mereka tidak mempunyai peluang bersuara di Mahkamah Syariah.

Selain itu, keputusan berkenaan juga jelas membuktikan orang bukan Islam boleh mendapatkan remedi terhadap hak mereka di Mahkamah Syariah, berbanding pandangan selama ini bahawa mahkamah itu hanya khusus untuk kes berkaitan Islam. Isu ini agak berbeza dengan kes pendaki Everest, M Moorthy atau nama Islamnya, Muhamad Abdullah, yang menimbulkan kontroversi apabila mayatnya menjadi 'rebutan' antara isterinya dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), iaitu sama ada pihak yang bukan Islam mahu menggunakan Mahkamah Syariah untuk mencari remedi. Dalam kes Muhammad, isterinya, S Kaliammal memilih untuk mencabar Jawi di Mahkamah Sivil yang memutuskan ia tiada bidang kuasa untuk mencampuri hal berkaitan Islam.

Hakikatnya, dalam dua kes berkenaan rakyat Malaysia mendapat pengajaran yang amat jelas betapa pentingnya berbincang dalam menyelesaikan sebarang pertikaian dan Mahkamah Syariah memberi keadilan tanpa mengira agama yang dianuti. Malah, dalam kes Nyonya Tahir, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) turut membantu waris wanita berkenaan menyelesaikan masalah yang dihadapi secara harmoni.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Kaliammal kemuka 50 alasan dalam rayuan - BH 25/1/2006

 

BH 25/1/2006


PUTRAJAYA: Balu Mohammad Abdullah @ M Moorthy memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Disember lalu yang memutuskan ia tidak mempunyai kuasa menyemak dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung status agama suaminya.

S Kaliammal yang diwakili peguam M Manoharan memfailkan rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, di Palace of Justice (POJ) di sini, pada jam 12 tengah hari semalam.

Dalam rayuannya yang mengandungi 50 alasan, Kaliammal menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pengarah Hospital Besar Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Kaliammal mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi silap apabila memutuskan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa atau tidak layak menentukan sama ada Moorthy beragama Islam atau Hindu.

"Hakim silap apabila tidak memutuskan bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sama ada Moorthy secara sahnya sudah memeluk agama Islam," katanya.

Kaliammal berkata, hakim juga tersilap apabila tidak memutuskan bahawa adalah beban MAIWP untuk memberi atau mengemukakan keterangan bagi menunjukkan bahawa Mohammad sudah memeluk Islam kerana beliau mencabar pertukaran agama suaminya dan masih penganut Hindu.

Katanya, jika benar Mohammad memeluk Islam, beliau mencabar dokumen penukaran agama yang tidak sah di sisi undang-undang dan ia terbatal.

Beliau mendakwa Mahkamah Tinggi tersilap apabila menolak permohonannya untuk mengambil jenazah Mohammad dan disemadikan mengikut agama Hindu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan itu.

Hakim Datuk Md Raus Sharif pada 28 Disember lalu juga menolak permohonan Kaliammal untuk mendapatkan deklarasi yang suaminya ialah penganut agama Hindu dan bukan beragama Islam pada tarikh kematiannya pada 20 Disember.

Permohonan Kaliammal bagi mendapatkan deklarasi bahawa semua dokumen penukaran agama Moorthy kepada agama Islam adalah tidak sah dan terbatal juga ditolak.

Bagaimanapun, Md Raus membenarkan permohonan Kaliammal untuk mengisytiharkan bahawa beliau adalah isteri Moorthy yang sah sehingga tarikh kematiannya.

Kaliammal memfailkan saman pemula pada 21 Disember lalu memohon perintah supaya HKL menyerahkan mayat suaminya serta merta untuk diuruskan mengikut upacara Hindu.

Keesokan harinya, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan jenazah Moorthy dikebumikan segera mengikut hukum syarak selepas mendapati dia memeluk Islam pada 11 Oktober 2004.

Pada prosiding itu, mahkamah syariah menerima 'borang pendaftaran memeluk agama Islam' daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bertarikh 14 Mei lalu yang mempunyai cap jari kanan Moorthy yang mengaku beliau memeluk Islam dan menggunakan nama Mohammad Abdullah.

Mahkamah syariah juga menerima dokumen 'keterangan masuk agama Islam' yang menyatakan Moorthy memeluk Islam tanpa dipaksa sesiapa, diajarkan mengucap dua kalimah syahadah dan diberi faham makna serta diterangkan Rukun Iman dan Islam di hadapan dua saksi.

Moorthy, 36, yang lumpuh dari pinggang ke bawah sejak tujuh tahun lalu, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi HKL jam 11.10 pagi 20 Disember selepas koma sejak 11 November tahun lalu.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Mahkamah Syariah tak "double standard": PM


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban yang memutuskan Nyonya Tahir bukan Islam ketika kematiannya, membuktikan Mahkamah Syariah adil dalam menentukan status agama seseorang.

Perdana Menteri berkata, Mahkamah Syariah membuat keputusan itu berasaskan kepada fakta dan selepas orang bukan Islam dibenarkan mengemukakan hujah serta membuat tuntutan pembelaan.

"Saya setuju (Mahkamah Syariah tidak mengamalkan 'double standard') kerana dulu orang anggap bukan Islam tidak boleh hadir dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah, tetapi mereka sebenarnya boleh hadir serta mengemukakan hujah.

"Apa yang berlaku di Seremban membuktikannya. Orang bukan Islam boleh hadir, boleh kemukakan hujah dan boleh tuntut pembelaan.

"Itulah tanda keadilan. Bukan nak pejam mata dan tak mahu fikir fakta langsung (memihak kepada Islam semata-mata), tanpa peduli faktanya.

"Itulah tuduhan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah (sebelum ini), tapi Alhamdulillah... terbukti ada keadilan di mahkamah berkenaan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Mahkamah Tinggi Syariah Seremban kelmarin yang memutuskan Nyonya, 89, yang status agamanya mencetuskan kontroversi ketika meninggal dunia Khamis lalu, bukan Islam ketika kematiannya.



Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, dalam Islam, Allah memerintah umatnya bertindak adil ketika mengenakan hukuman antara manusia.

"Firmannya bermaksud: "Apabila kami menghakimi antara manusia, hendaklah kamu adil". (Ini menjelaskan) keadilan dalam Islam menjadi satu nilai yang tinggi," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, mesyuarat sebulat suara menyokong pendirian beliau meminta sembilan menteri menarik balik memorandum yang dikemukakan kepadanya dan memutuskan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, tidak akan dipinda.

"Ahli MT nyatakan sokongan mengenai pendirian yang saya ambil berkaitan memorandum yang dihantar oleh menteri bukan Islam supaya ia ditarik balik. Pendirian saya berhubung Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan tidak akan dipinda juga mendapat sokongan," katanya.

Mesyuarat semalam katanya, turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan ahli Umno yang membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, baru-baru ini.

Selain itu, Abdullah berkata, mesyuarat juga memutuskan Perhimpunan Agung Umno akan diadakan selepas Aidil Fitri tahun ini.

"Banyak kerja yang perlu dilakukan antaranya kempen meramaikan ahli dan pendaftaran ahli Umno dikemaskini bersesuaian dengan kedudukan ahli.

Mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), beliau berkata, ia masih diperhalusi sebelum diserahkan kepada Kabinet.


©The New Straits Times Press (M) Berhad 

‘Bidang kuasa tidak perlu dipertikai’


BH 25/1/2006

KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin politik menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban memutuskan Nyonya Tahir, sebagai bukan Islam ketika kematiannya membuktikan kredibiliti institusi itu dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Penghakiman itu melambangkan bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak perlu dipertikaikan mana-mana pihak selaras dengan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata keputusan itu jelas menunjukkan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa penuh menentukan status orang Islam berdasarkan bukti dikemukakan.

"Mahkamah Syariah mendengar rayuan daripada keluarganya dan keputusan menunjukkan Islam adil," katanya ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md Zin, berkata hakim Mahkamah Syariah membuat keputusan saksama apabila mengambil kira hujah dan bukti yang dikemukakan keluarga Nyonya Tahir.

Katanya, selain bukti, riwayat Sheikh Abu Sujak daripada Kitab Kifayatul Akhyar yang diguna pakai dalam memutuskan penghakiman mengenai kes berkenaan juga membuktikan ketelusan mahkamah.

"Keputusan itu jelas menunjukkan status Islam seseorang itu hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sivil," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berkata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bersetuju mengadakan kursus khas kepada semua hakim Mahkamah Syariah bagi meningkatkan mutu perbicaraan dan perkhidmatan.

"Program itu akan diadakan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (Iklap), dalam masa terdekat bagi memastikan masalah penerimaan bukti dan cara menjalankan perbicaraan dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada ahli MT ketika membincangkan isu berkaitan Perlembagaan negara dan langkah menyeragamkan Undang-undang Keluarga Islam dalam mesyuarat semalam.

Katanya, penyelarasan dan penyeragaman perlu dilaksanakan untuk memberi keyakinan umum yang keadilan boleh dilaksanakan pada peringkat Mahkamah Syariah untuk masyarakat pelbagai kaum dengan adanya fakta lengkap.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Perjelaskan undang-undang sedia ada

Rencana Pengarang- UM 25/1/2006

HAKIKATNYA masih ada yang terbuku di hati sesetengah pihak di sebalik ketegasan kerajaan untuk tidak tunduk kepada desakan supaya Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Masih ada cakap-cakap yang kurang enak mengenai bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah meskipun Perdana Menteri menegaskan tiada apa yang perlu ditambah atau dikurangkan dalam peruntukan undang-undang itu.

Pindaan Perkara 121 (1A) pada tahun 1988 sememangnya telah menyelesaikan konflik pembahagian kuasa antara kedua-dua mahkamah, cuma ia perlu diperjelaskan untuk mengelak sebarang kekeliruan terutama di kalangan orang awam.

Dan kes Nyonya Tahir yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban kelmarin menyokong kekuatan Perkara 121(1A). Paling penting umum kini mengetahui bahawa undang-undang syariah itu sebenarnya tidak rumit.

Mahkamah Syariah pula tidak pernah `memusuhi' orang bukan Islam malah mereka boleh tampil mengemukakan bukti dan berhujah untuk menyokong kes mereka. Pendek kata orang bukan Islam mempunyai ruang dalam kes-kes melibatkan hukum syarak jika kena caranya.

Cuma sebelum ini ada sesuatu yang `mengikat' orang bukan Islam dengan tanggapan bahawa mereka tidak mempunyai remedi di mahkamah syariah.

Selepas 33 hari M. Moorthy selamat dikebumikan, kes Nyonya menjawab segala kecelaruan dan kekusutan yang timbul sehingga memberi gambaran yang tidak tepat mengenai sistem perundangan negara.

Dakwaan bahawa mahkamah syariah langsung tidak memberi peluang kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan keadilan terbukti tidak berasas sama sekali.

Apa yang diperlukan sekarang ini ialah bukan menjuarai sesuatu isu sebaliknya setiap kekeliruan diperbetulkan manakala kekusutan dileraikan tanpa mengecewakan mana-mana pihak.

Semua pihak yang terlibat melaksanakan undang-undang di negara ini termasuk persatuan-persatuan yang mewakili pelbagai agama perlu menjelaskan apa sebenarnya isi kandungan undang-undang itu.

Bagi jabatan agama Islam pula, kenal pasti kelemahan yang ada. Jika hasil siasatan terhadap isu Nyonya Tahir telah disiapkan sejak 1986 lagi, mengapa tidak mereka berbuat sesuatu untuk memastikan kekeliruan seperti ini tidak timbul.

Kekecewaan S. Kaliammal dan kegembiraan anak-anak Nyonya sebenarnya membawa seribu rahmat kepada rakyat Malaysia.

Pemergian Moorthy dan Nyonya memperjelaskan undang-undang sedia ada dan memberi ruang kepada kita semua supaya berfikir.

Majistret tegur pakaian penjamin

UM 25/1/2006
 
KUALA LUMPUR 24 Jan. - Seorang penjamin ditegur oleh Mahkamah Majistret di sini kerana hadir ke mahkamah dalam keadaan berpakaian seolah-olah hendak ke disko.

Majistret Aizatul Akmal Maharani membuat komen demikian selepas melihat pakaian Mawar Rosli, 23, yang tampil dari galeri awam dengan memakai seluar jean ketat dan baju T singkat berwarna putih sehingga menampakkan sedikit perutnya.

``Lain kali datang pakai baju sopan sikit. Ini pakai baju macam hendak pergi disko,'' tegas Aizatul.

Mawar kelihatan menganggukkan kepalanya.

Dia yang bekerja sebagai pelayan hadir di mahkamah hari ini bagi memohon mengurangkan wang jaminan sebanyak RM3,000 yang ditetapkan oleh pegawai pendakwa, Cif Inspektor Zakaria Alias sebelum ini terhadap adiknya, Mohd. Firdaus Rosli, 19, yang didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Aizatul selepas mempertimbangkan rayuan Mawar mengurangkan jumlah wang ikat jamin kepada RM2,800.

 
 

Sample text

Sample Text

Sample Text