Pages

Ads 468x60px

Friday, January 13, 2006

7,512 kes mahkamah masih tertunggak

7,512 kes mahkamah masih tertunggak

Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Usaha menangani kes tertangguh di mahkamah masih belum memperlihatkan hasil sepenuhnya apabila 7,512 kes di peringkat Mahkamah Rayuan dilaporkan masih tertunggak sehingga Julai tahun lalu berbanding 6,655 kes bagi tahun sebelumnya.

Laporan Tahunan Mahkamah-Mahkamah Atasan dan Rendah 2004/2005 bagi kes-kes di peringkat rayuan menunjukkan, sebanyak 6,647 kes tertunggak adalah bagi rayuan sivil dan purata pelupusan yang dicatatkan adalah sebanyak 34 peratus.

Bagi kes-kes rayuan jenayah pula, sebanyak 504 kes dilaporkan tertunggak manakala sebanyak 34 peratus kes telah berjaya dilupuskan.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan mahkamah tidak harus dipersalahkan semata-mata atas penangguhan kes oleh kerana pihak lain wajar turut dipersalahkan.

Laporan menegaskan, sebab-sebab biasa penangguhan kes sivil dan jenayah ialah ketiadaan arahan dari pelanggan, pihak-pihak terbabit dalam proses mencari penyelesaian dan salah satu pihak atau yang dituduh jatuh sakit.

Sebab-sebab lain termasuk peguam atau Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes terlibat dalam perbicaraan lain.

Ia juga menyatakan kes-kes tertangguh di Kehakiman Malaysia tidak berlaku dengan tiba-tiba tetapi longgokan sejak beberapa tahun lalu.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh peruntukan sedia ada dalam peraturan dan prosedur mahkamah yang menghalang hakim bertindak proaktif untuk menyelesaikan kes.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dalam pra-katanya menegaskan sejak Mac 2003, fokus utama kehakiman ialah memastikan kes-kes tertangguh dibereskan sepenuhnya atau setidak-tidaknya diselesaikan ke tahap munasabah.

Pada masa yang sama, katanya, falsafah yang menjadi panduan ialah keadilan tidak sekali-kali boleh dikorbankan.

Laporan juga menunjukkan banyak alasan penghakiman masih belum disediakan disebabkan hakim-hakim menggunakan lebih banyak masa untuk mendengar kes-kes.

Ia secara tidak langsung didapati menyumbang kepada peningkatan dalam jumlah statistik yang dimuatkan dalam laporan tersebut.

Kelewatan alasan penghakiman menyebabkan rayuan para perayu `tergendala' kerana mereka terpaksa menunggu giliran untuk mengemukakan rayuan.

Difahamkan masih terdapat dua kekosongan jawatan Hakim Mahkamah Rayuan yang masih belum diisi.

Laporan tahunan tersebut juga menyatakan, berasaskan pencapaian menggalakkan dalam pelupusan kes-kes pra 2000, tindakan melupuskan kes-kes jenayah 2004 telah mula dilaksanakan.

Untuk itu, pelbagai pendekatan yang munasabah dan praktikal telah diperkenalkan antaranya menghantar laporan kemajuan bulanan kepada Ketua Hakim Negara untuk memastikan tindakan yang pantas diambil.

Selain itu, tarikh sebutan dan perbicaraan awal diberikan bagi kes-kes jenayah pra 2004 yang masih tertunggak serta garis panduan dikeluarkan bagi membantu tindakan pelupusan kes dan juga pemantauan berkala untuk menjayakan tujuan tersebut.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text