Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 25, 2006

Lebih adil jika mahkamah perjelas maksud ‘teknikal’

BH 25/1/2006

 
PADA hari Berita Harian menyiarkan cadangan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, bahawa orang yang didakwa mungkin tidak lagi boleh menggunakan alasan teknikal untuk lepas daripada hukuman atau mengelakkan daripada didakwa, Peguam Negara 'kalah' satu lagi kes atas alasan sama.

Kes dimaksudkan ialah Timbalan Pendakwa Raya lawan Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, apabila Mahkamah Majistret Petaling Jaya memutuskan melepas tanpa membebaskan Biduanita Negara itu daripada tuduhan memfitnah Siti Nurhaliza Taruddin.

Alasan majistret ialah atas sebab teknikal kerana pihak pendakwa raya membuat interpretasi salah terhadap Seksyen 131 Kanun Acara Jenayah. Seksyen itu menyebut mana-mana mahkamah tidak boleh mengambil tahu mengenai kesalahan berkaitan fitnah, kecuali aduan dibuat oleh orang yang terkilan (mangsa) dan dalam kes ini Siti Nurhaliza atau pendakwa raya.

Interpretasi yang mungkin dibuat pendakwa raya ialah apabila mereka sendiri mendakwa Sharifah Aini kerana ia kes jenayah, maka ia sudah memenuhi peruntukkan Seksyen 131.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat interpretasi sama terhadap Seksyen 131 iaitu aduan dibuat pendakwa raya tidak sama tuduhan dibuat oleh pendakwa raya. Yang jadi mangsa akibat soal teknikal ini ialah Siti Nurhaliza, sedangkan beliau sudah menunaikan tanggungjawabnya sebagai pihak yang terkilan dengan membuat aduan polis.

Keputusan pendakwa raya membuat dakwaan berpandukan aduan oleh pihak ketiga dalam kes ini iaitu wartawan Harian Metro, Abdullah Mamat atau Abie, akhirnya memakan diri kerana cubaan menggunakan aduannya dan pendakwaan oleh pendakwa raya tidak diterima mahkamah sebagai memenuhi syarat Seksyen 131. Ini disebabkan mangsa atau pihak yang terkilan ialah Siti Nurhaliza.

Tidak pasti mengapa pendakwa raya tidak menggunakan aduan polis dibuat Siti Nurhaliza untuk mendakwa Sharifah Aini, sedangkan ia boleh dilakukan dari awal lagi.

Melihat 'kekalahan' ini, kita juga tidak dapat lari daripada mengimbas kembali kekalahan yang dialami pendakwa raya dalam kes bunuh pelajar Tingkatan Lima, Farah Deeba Rustam di Ipoh; wanita rakyat Amerika, Carolyn Janice Ahmad; bekas Pembantu Menteri Sabah, Datuk Norjan Khan Bahadar dan Norita Shamsuddin, walaupun alasan pembebasan mungkin berlainan.

Dari satu segi, cadangan Ahmad Fairuz dilihat penyelesaian kepada semua masalah teknikal di mahkamah iaitu mahkamah tidak lagi boleh menggunakan alasan itu untuk membebaskan seseorang. Alasan teknikal digunakan termasuk nama tertuduh disalah eja, alamat silap, salah isi borang penahanan/penemuan bukti, penggunaan seksyen yang salah, tidak memberi alasan penahanan atau menggunakan paksaan untuk dapatkan kenyataan beramaran dan pelbagai alasan lain yang sebenarnya tidak berkaitan dengan perlakuan jenayah sebenar (isu substantif).

Bagaimanapun, itulah asas undang-undang yang meletakkan beban berat terhadap pendakwa iaitu memastikan tidak wujud sebarang keraguan kerana kesilapan pendakwaan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa seseorang atau merengkok dalam penjara bagi jangka masa panjang.

Dari satu segi lain pula, cadangan Ahmad Fairuz akan menyukarkan kes peguam bela malah ada kebimbangan keadilan undang-undang tidak boleh dicapai dan meletakkan beban yang tinggi terhadap tertuduh, khususnya dalam permohonan habeas corpus kerana tiada isu substantif.

Cara paling baik untuk melakukannya ialah meminda undang-undang berkaitan untuk menjelaskan apa maksud 'teknikal' dan mengkategorikannya supaya undang-undang kita dilihat adil kepada tertuduh dan pihak yang mendakwa.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text