Pages

Ads 468x60px

Friday, January 27, 2006

Permohonan KPN batal saman ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ketua Polis
Negara (KPN) dan 10 lagi untuk membatalkan saman seorang bekas pegawai
polis berhubung dakwaan komplot yang menyebabkan beliau ditahan selama
tiga tahun satu bulan mengikut Ordinan Darurat.

Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus membuat keputusan itu semalam,
sekali gus mengekalkan keputusan Penolong Kanan Pendaftar, Edwin
Paramjoothy pada 14 April tahun lalu.

Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili KPN dan defendan lain tidak
hadir di mahkamah, manakala bekas Asisten Superintendan Md Ali Amir
Batcha diwakili peguam Mohd Yusmadi Yusof.

Md Ali, 48, yang pernah menerima sembilan penghargaan dan kepujian
khidmat cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) memfailkan saman pada
26 November 2002.

Dia yang kini peniaga juga menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam
Negeri, PDRM, Datuk Ahmad Ragib Ahmad Salleh (bekas Ketua Polis Johor)
dan enam anggota polis sebagai defendan.

Enam anggota polis yang berpangkat Lans Koperal dan Konstabel itu
ialah Ramli Mokhtar, Hamdan Nordin, Badrul Hisham Baharudin, Radzuan
Shuaib, Mohd Aris Mohd Amin dan Wahyudin Talib.

Dia yang mendakwa menembak mati 25 penjenayah bersenjata sepanjang
bertugas di Johor Bahru, mendakwa dikurung secara salah di Pusat
Pemulihan Akhlak, Simpang Renggam, Johor, sejak 1997 sehingga
mengalami gangguan mental.

Dalam pernyataan tuntutannya, Md Ali yang pernah bertugas di Unit
Tindakan Cepat (UTC) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 1987
hingga 1994 mendakwa pada Februari 1993 dia terbabit dalam operasi
khas jenayah harta.

Dia mendakwa ditawarkan sogokan wang tunai RM50,000 oleh seorang
lelaki ketika bertugas tetapi menolaknya dan menahan lelaki itu di
Balai Polis Sentral.

Namun, katanya, beliau difitnah lelaki terbabit dengan jenayah harta
itu dan mendakwanya menerima sogokan.

Md Ali berkata, beliau kemudian didakwa di mahkamah pada 1996 tetapi
didapati tidak bersalah dan dibebaskan.

Bagaimanapun, pada 20 November 1997 beliau menerima perintah tahanan
yang dikeluarkan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman
Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969, selama dua tahun dan dilanjutkan
sehingga menjalani tahanan selama tiga tahun satu bulan.

Md Ali mendakwa, perintah tahanan itu dikenakan terhadapnya atas
dakwaan beliau perancang utama kumpulan samun bersenjata di Johor.

Ketika menjalani perintah tahanan itu, Md Ali mendakwa mengalami
gangguan mental seperti gelisah dan takut.

Md Ali mendakwa perintah tahanan dibuat kerana pengakuan palsu oleh
Ahmad Ragib, Ramli, Hamdan, Badrul Hisham, Radzuan, Mohd Aris dan
Wahyudin.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text