Pages

Ads 468x60px

Saturday, January 21, 2006

Pemimpin pelajar, NGO mahu Perkara 121 dipertahan

Pemimpin pelajar, NGO mahu Perkara 121 dipertahan
BH-21/1/2006


KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin pelajar dan badan bukan kerajaan (NGO) mengutuk tindakan 10 menteri bukan Islam menghantar memorandum kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta kerajaan mengkaji semula undang-undang yang didakwa mengancam kedudukan serta hak bukan Islam di negara ini.

Mereka yang marah dan kesal, menyifatkan tindakan itu sebagai bukan saja biadap serta boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini, malah juga membelakangkan Perdana Menteri, sekali gus tidak menghormati kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Khairul Arifin Mohd Munir, berkata, memorandum yang dihantar menteri Kabinet bukan Islam itu menggambarkan bermulanya dikotomi atau pemisahan antara menteri Islam dengan bukan Islam dalam kerajaan.

"Selaku menteri Kabinet, ruang perbincangan, rundingan dan memohon penjelasan yang wujud dalam institusi kerajaan digunakan untuk berbincang mengenai isu sensitif terutama yang membabitkan Perlembagaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khairul Arifin berkata, Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan kerana perubahan pindaan dengan memasukkan fasal 1(A) pada 1988 diluluskan Parlimen selepas pelbagai pihak membincangkan keperluan memperkukuhkan Mahkamah Syariah.

"Ia harus dilihat dari perspektif akademik dengan menilai fakta, sejarah dan memahami peruntukan undang-undang yang wujud," katanya.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Hafiz Badrul berkata sebarang isu berkaitan agama dan menyentuh hak umat Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipertikaikan oleh bukan Islam.

Katanya, Menteri Kabinet bukan Islam jangan terbawa-bawa dengan emosi pihak tertentu mewakili masyarakat bukan Islam untuk mendesak kerajaan berbuat sesuatu bagi memenuhi agenda mereka.

"Sepatutnya menteri bukan Islam berbincang dalam Kabinet (mengenai isu agama) kerana mereka sudah ada forum di situ dan tak perlu buat persidangan berbeza dengan rakan sejawat yang beragama Islam.

"Mereka perlu menarik balik memorandum yang diserahkan dan memohon maaf kepada Perdana Menteri serta umat Islam di negara ini di atas tindakan itu," katanya selepas menghadiri perhimpunan aman Gamis berhubung idu itu di sini, semalam.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sobri Ahmad, mengutuk tindakan menteri terbabit kerana ia boleh mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama.

Katanya, MBM bimbang ia boleh menyebabkan wujud pergeseran dan pertelingkahan agama di kalangan rakyat negara ini, terutama apabila memorandum berkenaan turut menyentuh mengenai kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan negara.

"Mereka tidak wajar bertindak demikian, sebaliknya boleh terus membangkitkan sebarang permasalahan yang timbul di dalam mesyuarat Kabinet atau berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri bagi menyelesaikannya," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text