Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 12, 2006

Kurang penjelasan punca ramai bukan Islam keliru

Kurang penjelasan punca ramai bukan Islam keliru

KUALA LUMPUR: Kekeliruan yang timbul berkaitan undang-undang dan perlembagaan mengenai penukaran agama berpunca kerana kurangnya penjelasan diberi kepada masyarakat bukan Islam mengenai perkara itu, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok.

Sehubungan itu, katanya, orang Islam yang berpengetahuan mengenai perundangan Islam mesti menyahut cabaran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memperjelas dan memberi penerangan mengenai perkara itu kepada bukan Islam.

Katanya, undang-undang mengenai perkara itu sebenarnya sudah termaktub secara jelas dalam perlembagaan dan enakmen seperti undang-undang mengenai mualaf dalam Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Beliau berkata, akta berkenaan menggariskan antara lain hak dan kuasa Mahkamah Syariah serta cara orang bukan Islam hendak memeluk agama Islam.

"Perkara mengenainya tidak jelas cuma kerana ia gagal diperjelaskan kepada bukan Islam," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri berkata, undang-undang dan perlembagaan berkaitan penukaran agama perlu diperjelaskan berikutan ada tanda-tanda berlaku kekeliruan di kalangan rakyat, tetapi apa juga tindakan yang perlu diambil hendaklah dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menyalahi kepercayaan orang lain yang tidak seagama.

Abdullah mengulas sama ada kerajaan bercadang meminda Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan Islam. Artikel itu menetapkan hanya Mahkamah Syariah mempunyai kuasa terhadap perkara berkaitan Islam.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Muhamad berkata, peguam syarie akan menjadi kumpulan paling kecewa jika pindaan dilakukan kerana Artikel itu adalah asas kepada kewujudan Mahkamah Syariah dan pindaan terhadapnya akan menghakis bidang kuasa mahkamah itu.



Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Abu Zahar Nika Ujang, berkata sebarang kajian sekiranya dilakukan perlu dibuat dengan teliti kerana peruntukan mengenai perkara itu sudah ada dalam perlembagaan.

Katanya, perlu ada tafsiran bagi kekeliruan yang tidak jelas, tetapi undang-undang mesti terus hidup dan semangatnya tidak boleh lari seperti sekarang.

Beliau berkata, mungkin perlu tambahan bagi memperjelaskan tafsiran untuk mengelakkan sebarang kekeliruan kerana hal berkaitan agama adalah perkara sensitif.

Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh pula berkata, undang-undang dan perlembagaan mengenai penukaran agama memerlukan penjelasan secara patut dan adil kepada semua.

Katanya, adalah lebih baik pindaan dibuat terhadap Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kuasa kepada mahkamah sivil jika satu pihak yang terbabit adalah bukan Islam.

"Kerja merangka draf dan kajian mesti dibuat secara teliti melalui perundingan dengan pelbagai pihak," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text