Pages

Ads 468x60px

Friday, January 13, 2006

Shahrizat akan temui PM dapatkan arahan

Shahrizat akan temui PM dapatkan arahan
Oleh HABIBAH OMAR

PUTRAJAYA 12 Jan. - Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan bertemu
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekembalinya dari Tanah Suci bagi
mendapatkan arahan sebelum mengadap sultan-sultan dalam usaha
menyeragamkan Rang Undang-Undang Keluarga Islam di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu yang akan
pulang ke tanah air pada 21 Januari ini akan mendapatkan arahan
daripada Perdana Menteri berhubung perkara itu.

``Ini termasuk langkah-langkah yang perlu diambil serta di mana saya
perlu mengadap sultan-sultan untuk membincangkan isu itu.

``Saya juga akan membawa langkah-langkah yang disyorkan oleh
kementerian ke Kabinet,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di
Mekah, hari ini.

Menurut Shahrizat, pihaknya perlu berhati-hati menangani isu yang
melibatkan undang-undang Syariah itu supaya ia tidak tergelincir
daripada lunas-lunas Islam yang sebenar.

Kabinet semalam menangguhkan pewartaan Undang-Undang Keluarga Islam
(Wilayah Persekutuan) Pindaan 2005 yang menimbulkan kontroversi kerana
dikatakan menindas wanita.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri
Aziz, undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen pada 22 Disember
lalu tidak akan diwartakan sehingga kajian semula mengenainya
dilakukan.

Shahrizat yang baru mengetahui keputusan penangguhan itu ketika
dimaklumkan kepadanya melalui telefon turut berterima kasih kepada
Perdana Menteri yang mengambil kira pandangan yang mewakili suara
wanita.

Katanya, kontroversi terhadap undang-undang itu disebabkan klausa
tertentu dalam undang-undang itu sehingga memberikan tanggapan yang
menakutkan bagi golongan wanita.

``Memang menjadi hasrat kementerian supaya ia ditangguhkan kerana
menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meleraikan rasa bimbang wanita
mengenai perkara-perkara berbangkit,'' katanya.

Menurut Shahrizat, ketika dalam penerbangan ke Mekah sebelum ini,
beliau berkesempatan bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Dr. Abdullah Md Zin dan membincangkan mengenai perkara itu.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula, katanya perlu mengambil
langkah untuk menjelaskan kekaburan yang berlaku itu walaupun terdapat
juga beberapa klausa yang memberi faedah kepada wanita.

``Ini yang perlu diterangkan oleh Jakim dengan lebih jelas dan
kementerian akan terus bekerjasama dengan mereka dalam hal ini,''
katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text