Pages

Ads 468x60px

Sunday, January 15, 2006

PM perjelas sebab Undang-Undang Keluarga Islam dikaji semula

PM perjelas sebab Undang-Undang Keluarga Islam dikaji semula
BH-15/1/2006

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan, kerajaan menangguhkan pewartaan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 untuk kajian terperinci bertujuan memastikan ia tidak dipertikaikan mana-mana pihak apabila dikuatkuasakan nanti.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengarahkan Peguam Negara melaksanakan satu kajian terperinci mengenai undang-undang itu dengan dibantu pelbagai pihak lain yang mempunyai kepentingan serta kepakaran dalam soal undang-undang Islam.

"Kita menangguhkan pewartaan undang-undang itu kerana hendak membuat pindaan yang difikirkan wajar bagi memastikan tidak timbul isu apabila ia dikuatkuasakan nanti," katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Kabinet menangguhkan pewartaan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang sudah diluluskan Parlimen 22 Disember lalu kerana dikatakan menindas wanita.

Mesyuarat jemaah menteri yang dipengerusikannya Rabu lalu memutuskan menangguhkan pewartaan rang undang-undang itu selepas mengambil kira dua nota, masing-masing daripada Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, walaupun ia sudah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail untuk mendapat perkenan baginda.

Abdullah berkata, walaupun rang undang-undang itu sudah diluluskan, kerajaan memberikan keutamaan supaya ia dikaji semula kerana pelbagai perkara ditimbulkan berkaitannya dan meminda mana yang sesuai bagi memastikan ia tidak dipertikaikan.

"Peguam Negara yang dipertanggungjawabkan dalam hal ini perlu berjumpa dengan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan termasuk kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Begitu juga Sisters in Islam (SIS) iaitu NGO yang cukup cepat timbulkan isu dan masalah yang ada dalam undang-undang baru dipinda ini," katanya.

Perdana Menteri berharap Peguam Negara bertemu dengan pihak terbabit dan mendapat keputusan terbaik untuk dimasukkan dalam pindaan undang-undang keluarga Islam berkenaan.

"Saya juga cadangkan kepada Peguam Negara supaya memanggil kumpulan pakar untuk membantu mengemas kini pindaan undang-undang ini termasuk mereka daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA), pertubuhan Islam dan peguam wanita," katanya.

Terdahulu, Abdullah dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono serta delegasi yang terbabit dalam rundingan tahunan kedua-dua negara bersolat Jumaat di Masjid Jame Raya di sini.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text